Jemaat-jemaat
Allah Al Maséhi
[CB13]
Yakub: Anak Ishak [CB13]
(Edisi 1.0 2002122120021221)
Ishak dan Ribka mempunyai anak-anak kembar Esau dan Yakub. Sementara anak-anak itu tumbuh menjadi lelaki dewasa, Esau menjadi seorang pemburu sementara Yakub terus menjadi gembala. Di dalam karya ini, kita akan melihat bagaimana ketiadaan iman dengan tidak mempercayai Tuhan boleh membawa kepada masalah keluarga dan pelanggaran perintah-perintah Tuhan.
E-mail: secretary@ccg.org
(Hakcipta ã 2002 Christian Churches of God, ed. Wade Cox)
(Tr. 2003)
Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan. Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan. Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.
Karya ini
boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org
dan http://www.ccg.org
Yakub: Anak Ishak [CB13]
Ibubapa Yakub
Ishak berumur empat puluh tahun ketika dia mengahwini Ribka, iaitu cucu saudara Abraham (Kejadian 25:20). Banyak tahun telah berlalu dan pasangan ini tidak memperolehi anak, jadi Ishak memohon kepada Tuhan untuk memberikan mereka anak (Kejadian 25:21). Tuhan telah menjawab doanya dan tidak lama kemudian mereka sedar yang mereka akan menjadi ibubapa.
Sewaktu dia mengandung, Ribka telah perasan beberapa kejadian luar biasa “anak-anaknya bertolak-tolakan di dalam rahimnya”. Jadi dia berdoa kepada Tuhan. Tuhan mengatakan kepadanya – mungkin di dalam mimpi atau penglihatan – bahawa dia akan melahirkan kembar atau dua bangsa. Satu bangsa (kembar) akan menjadi lebih kuat daripada yang satu lagi dan anak lebih tua akan menjadi hamba kepada anak yang muda (Kejadian 25:22-23). Jadi, sewaktu di dalam rahimpun, pergelutan di antara anak-anak itu telahpun bermula. Akan terdapat masalah-masalah di masa depan di antara keturunan-keturunan Yakub dan Esau. Di dalam Bilangan 20:20 kita melihat bangsa Edom (dari Esau) yang tidak membenarkan bani Israel (dari Yakub) untuk melalui kawasan mereka dan mengancam untuk melawan mereka jika mereka tidak mengikut jalan lain.
Pada zaman dahulukala, di bawah keadaan biasa, anak lebih muda akan melayani anak yang tua, namun Tuhan telah memilih untuk mengatur semula susunan itu. Jalan-jalan Tuhan bukanlah jalan kita dan Dia boleh memilih untuk melakukan apa saja yang dikehendakiNya (Mazmur 115:3).
Sebagaimana jadinya, Ribka telah melahirkan dua anak lelaki kembar. Anak sulungnya merah dan berbulu jadi mereka menamakannya Esau. Adiknya keluar dengan memegang tumit Esau maka dia dinamakan Yakub. Ishak berumur enam puluh tahun ketika anak-anaknya dilahirkan (Kejadian 25:24-26). Sambil anak-anak itu membesar, nyata sekali mereka mempunyai perwatakan yang berbeza. Esau sangat suka memburu sementara Yakub ingin memelihara binatang dan tanaman seperti bapanya. Ishak suka memakan daging buruan yang dibawa pulang oleh Esau, jadi dia adalah anak kesayangan Ishak. Anak kesayangan Ribka pula adalah Yakub, mungkin kerana dia bekerja lebih dekat dengan rumah dan dia lebih banyak melihatnya (Kejadian 25:27-28).
Satu hari ketika Esau kembali dari padang, penat lelah dari memburu, dia melihat bahawa adiknya telah memasak sesuatu. Baunya wangi sekali. Esau bersedia memberikan apa saja untuk mendapatkannya. Yakub mengetahui betapa bernilainya hak kesulungan dan dia mengingini benda ini lebih daripada segalanya. Dia cemburu terhadap posisi Esau di dalam keluarga itu dan di sini dia melihat satu jalan untuk mengambil kesempatan dari kelemahan abangnya itu. Jadi, Yakub memberitahu Esau bahawa dia akan menukarkan makanan itu dengan hak kesulungan Esau. Disebabkan lapar dan lemah, Esau setuju dengan pertukaran itu dan telah memakan masakan tersebut (Kejadian 25:29-34).
Bertahun-tahun kemudian, Yakub sekali lagi telah mengambil kesempatan dari Esau. Kali ini, dia telah merampas berkat abangnya Esau; ini adalah satu lagi perkara curang yang dilakukannya. Disebabkan kemarahannya terhadap adiknya kerana hal-hal ini, Esau kemudiannya merancang untuk membunuh saudaranya Yakub. Apa yang Yakub lakukan adalah salah, kerana dia telah merompak hak kesulungan abangnya. Esau juga berdosa kerana memikirkan dia akan membunuh Yakub.
Oleh kerana Esau adalah anak tua Ishak, dia terlebih dahulu berhak menerima sebahagian besar daripada harta milik keluarga itu serta berkat-berkat (atau hak kesulungan) daripada bapanya yang semakin tua. Apabila masanya tiba, Ishak telah memanggil anaknya Esau dengan mengatakan,
“Berkatalah Ishak: "Lihat, aku sudah tua, aku tidak tahu bila hari kematianku. Maka sekarang, ambillah senjatamu, tabung panah dan busurmu, pergilah ke padang dan burulah bagiku seekor binatang; olahlah bagiku makanan yang enak, seperti yang kugemari, sesudah itu bawalah kepadaku, supaya kumakan, agar aku memberkati engkau, sebelum aku mati." (Kejadian 27:2-4)
Mungkin sekali Esau terlalu malu untuk memberitahu bapanya pada masa ini bahawa hak kesulungan itu kini adalah milik adiknya Yakub. Apabila Ribka mendengar apa yang telah dikatakan Ishak kepada anaknya Esau, dengan cepat dia memberitahu Yakub apa yang didengarinya. Ribka kemudiannya menyuruh Yakub pergi ke padang dan membawa kepadanya dua daripada kambing terbaik yang boleh didapatinya. Dengan kambing-kambing ini, Ribka memasak makanan yang enak yang boleh diberikan Yakub kepada bapanya Ishak. Ribka berharap Ishak akan memberikan tanpa menyedarinya, hak kesulungan serta berkat-berkat Esau kepada Yakub, anak kesayangannya (Kejadian 27:5-10).
Pada zaman itu, kata-kata yang disebutkan diterima sama seperti surat wasiat atau kontrak pada hari ini. Ishak boleh memindahkan harta miliknya dengan hanya berbicara dan ini sudahpun mengikat. Di sini, Ribka dan Yakub keduanya berlaku curang di mana mereka mengambil kesempatan dari kasih sayang Ishak terhadap Esau dan makanan yang dibawanya pulang hasil buruannya. Selain ini, Ishak juga buta.
Ribka telah melakukan segala yang boleh supaya anak kesayangannya Yakub akan mewarisi berkat itu dari bapanya. Adakah betul untuk Ribka mempunyai anak kesayangan? Mahukah kamu jika ibu atau bapamu mempunyai anak kesayangan?
Dengan menjadikan Yakub sebagai keutamaannya, ertinya, dia menjadikannya lebih penting daripada Tuhan. Dengan melakukan perkara ini, Ribka telah melanggar perintah pertama dan kedua (Ulangan 20:1-4). Tuhan pasti telah mendapat kesudahan yang diinginiNya kerana Dia sudahpun memberitahu Ribka apa yang akan terjadi di antara anak-anak itu. Namun dia cuba menyelesaikan hal ini dengan tangannya sendiri dan ini telah menyebabkan banyak masalah bagi keluarga itu.
Juga, sungguhpun harus ada persefahaman mengenai aturan dan pangkat di dalam sesuatu keluarga, ianya tidak betul untuk Ribka mempunyai anak kesayangan. Kalau kita memerhatikan satu contoh yang ditetapkan Tuhan, kita melihat bahawa walaupun Dia mempunyai penyusunan pangkat yang teratur di dalam keluarga rohaniNya, Dia bukanlah seorang “yang membedakan orang.” (Kisah 10:34)
Selanjutnya, Yakub mengetahui terdapatnya perbezaan fizikal yang besar di antara dia dan abangnya. Esau seorang yang berbulu dan ianya tentu sukar untuk menipu bapanya. Sekali lagi Yakub pergi kepada ibunya dan bertanya,
“Lalu kata Yakub kepada Ribka, ibunya: "Tetapi Esau, kakakku, adalah seorang yang berbulu badannya, sedang aku ini kulitku licin. Mungkin ayahku akan meraba aku; maka nanti ia akan menyangka bahwa aku mau memperolok-olokkan dia; dengan demikian aku akan mendatangkan kutuk atas diriku dan bukan berkat." (Kejadian 27:11-12)
Ribka kemudiannya menyuruh Yakub pergi dan mengambil lebih banyak kambing, dan tidak merisaukan tentang kemungkinan dia didatangkan kutuk kerana penipuannya. Sebaliknya, Ribka akan menanggung kutuk tersebut.
Adakah Ribka berbuat teladan baik bagi Yakub dengan memberitahu anaknya begini? Kenapakah ini sesuatu yang tidak baik? Dengan memberitahu anaknya untuk membiarkan dia menanggung kutuk itu, Ribka meletakkan dirinya di dalam suatu keadaan yang sangat berbahaya. Kalaulah Ribka mempunyai iman bahawa Tuhan akan memelihara Yakub, dan tidak cuba menyelesaikannya sendiri, dia tentu tidak perlu risau tentang kutuk yang mungkin datang kepadanya. Jika kita mengkaji Matius 27, kita akan melihat satu contoh mengenai bagaimana menanggung sesuatu kutuk itu melalui perbuatan kita bukan hanya akan memberi kesannya kepada kita. Di dalam contoh ini, orang-orang Yahudi menanggung kutuk dari kematian Kristus itu pada diri mereka sendiri, dan ini telah mempengaruhi semua keturunan mereka kemudiannya sehinggalah hari ini. Namun, hal ini boleh dipelajari pada suatu masa nanti.
Bagi Ribka pula, dia telah mengambil kambing-kambing itu dari Yakub dan membuat makanan enak untuk suaminya Ishak. Dia kemudiannya telah mengambil pakaian terbaik Esau dan memakaikan pada Yakub. Untuk menyempurnakan penyamaran curang Yakub itu, Ribka telah meletakkan bulu kambing pada leher dan tangan-tangan Yakub (Kejadian 27:13-17). Kemudian, dengan makanan dan roti yang telah diolah Ribka, Yakub pergi kepada bapanya Ishak dan berdusta kepada bapanya dengan berkata:
"Akulah Esau, anak sulungmu. Telah kulakukan, seperti yang bapa katakan kepadaku. Bangunlah, duduklah dan makanlah daging buruan masakanku ini, agar bapa memberkati aku." (Kejadian 27:19)
Apakah kamu fikir ianya betul untuk Yakub berdusta pada bapanya hanya untuk mendapatkan apa yang diingininya? Apakah yang dikatakan Alkitab mengenai berdusta? Jawapannya boleh didapati di dalam Keluaran 20:16 di mana Tuhan menyatakan perintah kesembilanNya, “Jangan mengucapkan saksi dusta..” Maksudnya kita mestilah jangan mengucapkan dusta atau gosip, dan sebagainya.
Ishak menyuruh anaknya datang dekat kepadanya dan dia meraba leher Yakub untuk menentukan sama ada dia betul-betul Esau. Kemudian dia meraba tangan-tangan Yakub, yang juga dirasai berbulu kerana telah ditutupi bulu kambing. Ishak menjadi keliru dan mengatakan, "Kalau suara, suara Yakub; kalau tangan, tangan Esau." (Kejadian 27:21-22). Nyata sekali Ishak keliru jadi dia bertanya pada anaknya, “Benarkah engkau ini anakku Esau?" dan Yakub menjawab, “Ya.” Sekali lagi dia berdusta.
Dengan menipu Ishak, Yakub tidak menghormati bapanya dan, pada masa yang sama, juga melanggar perintah kelima Tuhan yang mengatakan: “Hormatilah ayahmu dan ibumu” (Keluaran 20:12) di samping perintah untuk tidak berdusta. Bolehkah kamu ingat lagi perintah manakah yang menyuruh kita supaya tidak berdusta? Ribka sama curangnya dengan Yakub di dalam hal ini.
Ishak kemudiannya menyuruh Yakub untuk membawakannya makanan itu yang disukainya, “Dekatkanlah makanan itu kepadaku, supaya kumakan daging buruan masakan anakku, agar aku memberkati engkau." Setelah dia makan dan meminum anggur yang dibawakan Yakub untuknya, Ishak mencium Yakub dan menyedari bahawa orang ini berbau sama seperti anaknya Esau.
"Sesungguhnya bau anakku adalah sebagai bau padang yang diberkati TUHAN. Allah akan memberikan kepadamu embun yang dari langit dan tanah-tanah gemuk di bumi dan gandum serta anggur berlimpah-limpah. Bangsa-bangsa akan takluk kepadamu, dan suku-suku bangsa akan sujud kepadamu; jadilah tuan atas saudara-saudaramu, dan anak-anak ibumu akan sujud kepadamu. Siapa yang mengutuk engkau, terkutuklah ia, dan siapa yang memberkati engkau, diberkatilah ia." (Kejadian 27:27-29).
Berkat ini merupakan janji yang diberikan oleh Tuhan melalui Ishak kepada Yakub yang akan dikongsi oleh semua keturunan mereka kemudiannya. Janji itu sendiri adalah suatu berkat rohani dan fizikal yang akan terlihat kemudiannya di dalam Alkitab, dengan kelahiran Kristus ke dalam keturunan yang sama seperti Yakub. Kristus telah dilahirkan ke dalam keturunan keluarga Yakub fizikal. Juga, sebagai seorang pemimpin rohani, Kristus akan menjadi pemerintah ke atas segalanya, di bawah Bapa pada masa hadapan.
Jadi Ishak sekarang ini telah memindahkan kepada Yakub, berkat perjanjian itu yang telah diterimanya sebagai waris Abraham. Sesudah Ishak habis memberkati Yakub, Esau pulang dari buruannya. Tanpa mengetahui apa yang telah dilakukan adiknya itu, Esau telah membuat makanan enak yang disukai bapanya Ishak dan memberikannya kepada bapanya sambil berkata, “Bapa, bangunlah dan makan daging buruan masakan anakmu, agar engkau memberkati aku." (Kejadian 27:31).
Kini Ishak sedar apa yang telah terjadi dan mula bergemetar dan bertanya, “Siapakah gerangan dia, yang memburu binatang itu dan yang telah membawanya kepadaku? Aku telah memakan semuanya, sebelum engkau datang, dan telah memberkati dia; dan dia akan tetap orang yang diberkati." (Kejadian 27:33). Apabila Esau mendengar hal ini dari bapanya, dia menjadi sakit hati dan meraung: "Berkatilah aku ini juga, ya bapa!" (Kejadian 27:34) Ishak kemudiannya memberitahu Esau tentang berkat yang diberikannya kepada Yakub dan bukan dirinya.
Begitu sakit hatinya dengan kehilangan berkatnya itu, Esau menangis dan berkata kepada bapanya, “Hanya berkat yang satu itukah ada padamu, ya bapa? Berkatilah aku ini juga, ya bapa!” (Kejadian 27:38) Ishak tidak dapat memberikan berkat yang sama dua kali, namun dia berasa kasihan dengan anak kesayangannya Esau. Jadi, Ishak menjawab Esau dengan mengatakan:
“Sesungguhnya tempat kediamanmu akan jauh dari tanah-tanah gemuk di bumi dan jauh dari embun dari langit di atas. Engkau akan hidup dari pedangmu dan engkau akan menjadi hamba adikmu. Tetapi akan terjadi kelak, apabila engkau berusaha sungguh-sungguh, maka engkau akan melemparkan kuk itu dari tengkukmu." (Kejadian 27:39-40)*
Setelah mendengar ini dari bapanya Ishak, Esau menaruh dendam pada Yakub kerana dia telah menerima berkat yang lebih besar. Di dalam hati Esau, dia merancang untuk membunuh Yakub setelah Ishak mati (Kejadian 27:41).
Pernahkah kamu berasa marah ataupun mungkin menaruh dendam terhadap sesiapa saja kerana mengambil sesuatu daripadamu? Apakah yang terjadi sebagai akibat perasaanmu itu? Selain melanggar perintah kelima dengan tidak menghormati ayahnya, Esau juga melanggar perintah keenam kerana merancang untuk membunuh saudaranya Yakub.
Nasib baiklah, kita dapati apabila kita membaca lebih lanjut ke dalam kisah Yakub dan Esau, bahawa Esau akhirnya tidak membunuh saudaranya itu (seperti dalam kejadian Kain dan Habel). Namun begitu, hanya kerana kita tidak bertindak menurut fikiran-fikiran kita, tidak bermakna bahawa kita perlu bertanggungjawab kerananya.
“Kamu telah mendengar yang difirmankan kepada nenek moyang kita: Jangan membunuh; siapa yang membunuh harus dihukum. Tetapi Aku berkata kepadamu: Setiap orang yang marah terhadap saudaranya harus dihukum; siapa yang berkata kepada saudaranya: Kafir! harus dihadapkan ke Mahkamah Agama dan siapa yang berkata: Jahil! harus diserahkan ke dalam neraka yang menyala-nyala.”(Matius 5:21-22)
Setelah Ribka mendengar apa yang dirancangkan Esau terhadap Yakub, dia takut kehilangan anak-anaknya itu, jadi dia memanggil Yakub kepadanya dan berkata kepadanya,
“Esau, kakakmu, bermaksud membalas dendam membunuh engkau. Jadi sekarang, anakku, dengarkanlah perkataanku, bersiaplah engkau dan larilah kepada Laban, saudaraku, ke Haran, dan tinggallah padanya beberapa waktu lamanya, sampai kegeraman dan kemarahan kakakmu itu surut dari padamu, dan ia lupa apa yang telah engkau perbuat kepadanya; kemudian aku akan menyuruh orang menjemput engkau dari situ. Mengapa aku akan kehilangan kamu berdua pada satu hari juga?”(Kejadian 27:42-45)
Ribka merisaukan keselamatan Yakub, jadi dia telah membuat satu rancangan untuk menjauhkan dia dari abangnya. Dia memberitahu Ishak bahawa dia takut Yakub akan mengahwini seorang perempuan Het dan kerana itu mereka harus menghantar dia pergi untuk memilih isteri dari antara orang-orang mereka sendiri (Kejadian 27:42-46). Namun, kita tahu yang ini bukanlah kebenaran sepenuhnya. Jadi Ishak telah memanggil Yakub dan memberitahunya, “Janganlah mengambil isteri dari perempuan Kanaan.” Orang-orang ini menyembah berhala dan bukan dari iman yang sama.
Sebaliknya, Ishak menyuruh Yakub bahawa dia harus pergi dan mengambil seorang isteri dari negeri Padan Aram, negeri saudara Ribka iaitu Laban. Esau yang berkahwin dengan banyak isteri di samping isteri-isterinya adalah orang Kanaan, juga membuatkan Ishak tidak gembira kerana Tuhan telahpun melarang keturunan keluarga mereka untuk berkahwin dengan orang-orang Kanaan (Ulangan 7:1-4).
Ishak kemudiannya telah memberkati Yakub dengan mengutus dia pergi untuk mengahwini seorang anak perempuan Laban dengan mengatakan:
“Moga-moga Allah Yang Mahakuasa memberkati engkau, membuat engkau beranak cucu dan membuat engkau menjadi banyak, sehingga engkau menjadi sekumpulan bangsa-bangsa. Moga-moga Ia memberikan kepadamu berkat yang untuk Abraham, kepadamu serta kepada keturunanmu, sehingga engkau memiliki negeri ini yang kaudiami sebagai orang asing, yang telah diberikan Allah kepada Abraham.”(Kejadian 28:3-4)
Dengan berkat terakhir itu, Yakub berlepas ke negeri Padan Aram dan pergi kepada keluarga Laban yang juga merupakan saudara Ribka (Kejadian 8:5).
Tidak lama kemudian Esau mengetahui bahawa adiknya Yakub telah pergi dan dia tidak cuba mengikutnya. Dia sedar bagaimana pastinya dia telah menyinggung ibubapanya dengan mengahwini perempuan-perempuan Kanaan itu, jadi dia telah pergi kepada bapa saudaranya Ismael dan mengahwini saudaranya Mahalat. Ia adalah isteri ketiganya (Kejadian 28:6-9).
Mimpi Yakub
Pada perjalanannya ke Haran, Yakub berhenti pada suatu tempat tertentu untuk berehat untuk malam itu. Dia tidur dengan menyandarkan kepalanya pada salah satu batu di stu. Ini bukannya tidak biasa, kerana orang-orang pada masa itu biasa tidur di atas tanah dan mereka sudah biasa menyandarkan kepala mereka pada benda-benda keras. Hari ini, kita adalah umat yang lebih lemah dan biasanya kita menyukai bantal-bantal dan katil-katil yang selesa untuk tidur.
Yakub mula bermimpi dan dia melihat suatu tangga besar yang berdiri di atas bumi dengan hujungnya sampai ke syurga. Malaikat-malaikat Tuhan berjalan turun naik tangga itu dan pada puncaknya Tuhan berdiri. “Akulah TUHAN, Allah Abraham, nenekmu, dan Allah Ishak,” datang suaranya dari atas. “Tanah tempat engkau berbaring ini akan Kuberikan kepadamu dan kepada keturunanmu. Keturunanmu akan menjadi seperti debu tanah banyaknya, dan engkau akan mengembang ke sebelah timur, barat, utara dan selatan, dan olehmu serta keturunanmu semua kaum di muka bumi akan mendapat berkat. Sesungguhnya Aku menyertai engkau dan Aku akan melindungi engkau, ke manapun engkau pergi, dan Aku akan membawa engkau kembali ke negeri ini, sebab Aku tidak akan meninggalkan engkau, melainkan tetap melakukan apa yang Kujanjikan kepadamu." (Kejadian 28:10-15) Di sini kita melihat Tuhan Allah, atau Malaikat Yahovah, menawarkan untuk menjadi Tuhan Yakub sama seperti dia adalah Tuhan Abraham dan Ishak. Malaikat ini, atau Tuhan Perjanjian Lama, adalah makhluk yang sama yang menjadi Yesus Kristus yang dilahirkan manusia di dalam Perjanjian Baru. Ia bukanlah Allah Benar yang Satu (Eloah) yang muncul kepada manusia.
Apabila Yakub bangun dari tidurnya dia berasa takut. Dia tahu mimpinya pastinya penting, jadi dia menandakan tempat di mana dia mendapat mimpi tersebut dengan batu yang digunakannya untuk menyandarkan kepalanya. Dia menuangkan minyak ke atasnya dan memanggil tempat itu Betel. Kemudian dia bernazar bahawa sekiranya Tuhan melakukan segala hal yang dijanjikannya itu maka dia akan memberikan sepersepuluh (persepuluhan) daripada semua yang datang kepadanya (Kejadian 28:18-22). Yakub tahu bahawa hukum taurat mengatakan bahawa sepersepuluh pertama hasil seseorang adalah milik Tuhan.
Maka Yakub meneruskan perjalanannya dan akhirnya dia melihat suatu kota. Di luar kota itu dia berhenti untuk berbicara dengan beberapa gembala yang bersama kumpulan kambing domba mereka. Mereka memberitahu Yakub yang mereka datang dari Haran dan lebih baik lagi, mereka mengenali bapa saudaranya Laban. Pada waktu itu juga, seorang perempuan muda datang dengan kawanannya dan para gembala itu memberitahu Yakub yang dia adalah anak perempuan Laban iaitu Rahel (Kejadian 29:1-6).
Tidak sabar-sabar untuk berbicara dengan saudaranya itu, Yakub menolong memberi minum kepada domba itu dan kemudiannya dia berbicara bersendirian dengan Rahel. Dia menceritakan kepadanya bahawa dia adalah anak Ribka, iaitu saudara perempuan Laban. Ini bermakna bahawa Rahel dan Yakub adalah sepupu pertama (saudara terdekatnya). Apabila Laban mendengar mengenai Yakub dia cepat-cepat keluar untuk bertemu dengannya dan menyambutnya ke rumah (Kejadian 29:7-14).
Sewaktu dia terus tinggal bersama sanak saudaranya, Yakub melakukan bahagiannya di dalam pekerjaan di sekeliling rumah dan di ladang-ladang. Lebih banyak dia melihat Rahel, lebih banyaklah dia mengasihinya. Apabila Yakub meminta untuk mengahwini Rahel, Laban gembira. Tetapi dia memintanya bekerja di ladang-ladang selama tujuh tahun untuk Rahel. Apabila tiba masanya untuk perkahwinan itu, Laban telah menipu Yakub dan memberikannya anak perempuan yang lebih tua iaitu Lea dan bukannya Rahel. Ini merupakan muslihat yang keji, namun Laban memberitahu Yakub bahawa ia adalah adat di dalam negeri itu untuk anak perempuan lebih tua berkahwin dahulu. Yakub seorang yang sabar dan setuju untuk bekerja tujuh tahun lagi untuk Rahel. (Kejadian 29:15-30).
Dengan itu dia mempunyai dua isteri, suatu kebiasaan pada zaman itu, namun dia paling mengasihi Rahel. Apabila Tuhan melihat bahawa Lea tidak dikasihi dia memberkatinya dengan empat anak lelaki; Ruben, Simeon, Lewi dan Yehuda (Yuda). Kemudian dia berhenti melahirkan anak (Kejadian 29:31-35).
Sementara itu, Laban telahpun menjadi kaya kerana hasil kerja keras Yakub. Namun, Yakub tidak memiliki apa-apa bagi dirinya melainkan suatu keluarga yang besar dan khemah-khemah di mana mereka tinggal. Pada waktu itu Yakub sudahpun mempunyai sebelas anak lelaki, namun hanya seorang saja (Yusuf) yang dilahirkan Rahel. Dengan itu, Yakub membuat keputusan untuk membawa balik keluarganya ke Kanaan untuk melawat bapanya yang sudah tua. Mestinya Laban tidak menyukai hal ini, kerana dia akan kehilangan seorang pekerja yang sangat baik (Kejadian 30:1-26).
Suatu persetujuan dibuat di antara mereka di mana Yakub akan diberi upah bagi kerjanya dengan mana-mana lembu atau kambing atau domba yang mempunyai bintik-bintik atau belang-belang pada kulitnya. Sekali lagi, Laban cuba menipu Yakub dengan mengambil keluar haiwan-haiwan ini daripada kumpulan kawanan haiwan sebelum Yakub menyedarinya. Namun Tuhan telah berjanji untuk menjaganya, dan tidak lama kemudian ternyata bahawa hal-hal ajaib terjadi dengan lembu, kambing dan domba itu. Maka Yakub sendiri menjadi sangat kaya (Kejadian 30:27-43).
Laban begitu tamak sekali sehingga dia tidak sanggup memberikan Yakub upah sepatutnya untuk pekerjaannya. Namun apabila Laban melihat Yakub mendapat lebih banyak kawanan haiwan, dia tidak lagi begitu mesra dengan Yakub. Begitulah Tuhan mengambil berkat itu dari Laban dan memberikannya kepada Yakub.
Kemudian pada satu hari Malaikat Yahovah sekali lagi berbicara kepada Yakub di dalam mimpi dan menyuruhnya kembali ke Kanaan. Rahel dan Lea setuju dengan Yakub apabila dia memberitahu mereka apa yang telah dikatakan Malaikat itu kepadanya. Mereka juga tahu bahawa bapa mereka telah menipu mereka semua, jadi mereka puas hati bahawa apa saja yang telah dimiliki Yakub pada masa itu memang berhak dimiliki mereka (Kejadian 31:1-16).
Maka dengan itu Yakub mengemaskan khemah-khemahnya dan keluarganya dan mengumpulkan segala binatang miliknya dan meninggalkan kawasan Laban. Dia berhati-hati agar hanya mengambil apa yang dimilikinya. Namun begitu, Rahel telah memutuskan untuk mengambil berhala milik bapanya. Laban tidak menyedari mereka telah pergi sehinggalah tiga hari telah berlalu. Dia tidak menyukai bagaimana Yakub dengan diam-diam telah pergi seperti itu, jadi dia telah mengejar Yakub. Ia memakan masa tujuh hari untuk mengejar Yakub dan keluarganya. Dia juga tahu bahawa berhalanya itu telah diambil (Kejadian 31:17-21).
Namun sebelum Laban sampai kepada Yakub, Tuhan telah muncul kepadanya di dalam mimpi dan menyuruhnya untuk tidak menyakitkan Yakub (Kejadian 31:18-25). Maka Laban mengatakan kepada Yakub:
"Apakah yang kauperbuat ini, maka engkau mengakali aku dan mengangkut anak-anakku perempuan sebagai orang tawanan?... Lagipula engkau tidak memberikan aku kesempatan untuk mencium cucu-cucuku laki-laki dan anak-anakku perempuan… Maka sekarang, kalau memang engkau harus pergi, semata-mata karena sangat rindu ke rumah ayahmu, mengapa engkau mencuri dewa-dewaku?" (Kejadian 31:26,28,30)
Yakub memberitahu Laban bahawa dia telah pergi diam-diam kerana dia takut yang Laban akan mengambil anak-anak perempuannya itu daripadanya dengan kekerasan. Juga dia memberitahunya untuk mencari dewa-dewanya itu dan “Tetapi pada siapa engkau menemui dewa-dewamu itu, janganlah ia hidup lagi.” Sememangnya Yakub tidak mengetahui bahawa Rahel yang dikasihinya telah mencuri dewa-dewa tersebut (Kejadian 31:31-45).
Laban keluar dan masuk semua khemah itu, tanpa menjumpai apa-apa. Akhirnya dia sampai kepada khemah Rahel. Rahel telah menyembunyikan dewa-dewa itu di dalam pelana untanya dan duduk di atasnya. Jadi Laban mencari dan tidak menjumpai apa-apa. Rahel berdusta kepada bapanya dan membuat alasan kenapa dia duduk di atas pelana itu, supaya dia tidak mencari di situ. Akhir sekali dia terpaksa mengaku kepada Yakub yang dia tidak menemui apa-apa. Semestinya Yakub tidak senang hati bahawa Laban kini melayaninya seperti seorang musuh setelah segala kerja keras yang dilakukannya untuk Laban. Yakub tahu bahawa jika Tuhan tidak bersamanya sepanjang tahun-tahun dia bekerja untuk Laban, dia pasti meninggalkan tempat itu tanpa apa-apa (Kejadian 31:36-43).
Laban menawarkan untuk membuat suatu persetujuan dengan Yakub agar mereka tidak lagi berdendam antara satu sama lain. Oleh itu mereka telah mengumpulkan batu-batu dan mendirikan suatu tugu, yang berdiri sebagai saksi kepada persetujuan mereka. Kemudiannya Yakub mempersembahkan korban di atas gunung itu dan mereka semua telah makan bersama, iaitu suatu tanda selanjutnya bagi persahabatan mereka yang baru. Awal pagi esoknya Laban mengucapkan selamat tinggalnya dan pulang ke Haran (Kejadian 31:44-55) dan Yakub meneruskan perjalanannya menuju Kanaan.
Esau datang untuk menemui Yakub
Yakub melanjutkan perjalanannya, lalu bertemulah malaikat-malaikat Allah dengan dia. Ketika Yakub melihat mereka, berkatalah ia: "Ini bala tentara Allah." Sebab itu dinamainyalah tempat itu Mahanaim. (Kejadian 32:1-2)
Namun Yakub merisaukan pertemuannya dengan saudaranya Esau setelah dua puluh tahun. Dia berfikir bahawa Esau mungkin masih lagi marah dan ingin membunuhnya. Oleh itu, dia mengutus seorang utusan ke hadapan untuk memberitahu Esau yang sedang datang dan dia kini memiliki kekayaan yang besar dan bahawa dia berharap mereka dapat bertemu di dalam persahabatan dan kasih – seperti mana sepatutnya di antara saudara (Kejadian 32:3-5).
Tidak lama kemudian utusan-utusan itu kembali dan memberitahu Yakub bahawa mereka telah menemui Esau dan dia sememangnya dalam perjalanannya untuk berjumpa Yakub, bersama-sama dengan empat ratus orang. Ini membuatkan Yakub sangat takut kerana ada banyak yang harus dilindunginya. Oleh itu dia membahagikan orang-orang serta binatang-binatang itu kepada dua kumpulan dengan memikirkan bahawa jika satu kumpulan diserang maka kumpulan yang satu lagi boleh melarikan diri. Namun Yakub juga ingat untuk berdoa kepada Tuhan untuk perlindungan, seperti mana yang Malaikat Yahovah telah beritahu padanya di dalam satu penglihatan. Ini adalah senjatanya yang terbaik, kerana dia akan memiliki perlindungan ilahi (Kejadian 32:6-12).
Yakub memilih yang terbaik daripada kumpulan binatangnya: kambing, domba, unta, lembu betina, lembu jantan, dan keldai. Dia menghantar setiap kawanan dengan hamba-hambanya pada waktu yang berlainan. Dia berharap Esau akan menerima hadiah-hadiah yang dihantarnya dan akan bersukacita melihatnya apabila mereka bertemu akhirnya. Kemudian Yakub menghantar dua bahagian lagi kumpulannya ke hadapannya. Selepas itu, dia telah menghantar isteri-isterinya, anak-anak serta hamba-hambanya menyeberangi sungai itu dan dia tinggal berseorangan untuk berdoa (Kejadian 32:13-21).
Yakub bergelut dengan Malaikat itu
Sewaktu Yakub berseorangan, seorang lelaki yang aneh telah muncul dan bergumul dengannya sehingga pagi. Yakub tidak mahu menyerah kalah dan apabila lelaki itu memintanya melepaskannya kerana fajar sudah tiba Yakub berkata: “Aku tidak akan membiarkan engkau pergi, jika engkau tidak memberkati aku." Sememangnya, pada masa ini Yakub sudah menyedari bahawa lelaki ini adalah seorang utusan (malaikat) dari Allah Benar yang Tunggal (Kejadian 32:22-26).
“Bertanyalah orang itu kepadanya: "Siapakah namamu?" Sahutnya: "Yakub." Lalu kata orang itu: "Namamu tidak akan disebutkan lagi Yakub, tetapi Israel, sebab engkau telah bergumul melawan Allah dan manusia, dan engkau menang.” (Kejadian 32:27-28)
Kita dapati dari Hosea 12:3-6 bahawa malaikat atau utusan dengan siapa Yakub bergumul itu adalah seorang yang kemudiannya menjadi manusia Yesus Kristus.
Yakub akhirnya bertemu Esau
Apabila Yakub melayangkan pandangnya, dia dapat melihat bahawa Esau datang dengan diiringi oleh empat ratus orang. Menjangkakan adanya masalah, Yakub membahagikan keluarganya dan meletakkan Rahel dan Yusuf paling belakang sekali. Seperti yang disebutkan sebelum ini Rahel adalah isteri kesayangannya, dan Yusuf adalah anak kesayangannya, jadi dia meletakkan pada jarak paling selamat (Kejadian 33:1-3).
Yakub berjalan ke hadapan Esau dan sujud tujuh kali sampai ke tanah sebelum sampai kepada abangnya itu. Ini merupakan adatnya dan menunjukkan hormat terhadap orang yang satu lagi. Namun Esau tidak memikirpun untuk membunuh adiknya. Dia mendakapnya dan menciumnya dan mereka berdua menangis kegembiraan. Apabila mereka melihat semuanya selamat, isteri-isteri Yakub dan anak-anak serta hamba-hambanya datang hampir dan sujud kepada Esau. Yakub memberitahu abangnya bahawa Tuhan telah memberkatinya dengan banyak sekali (Kejadian 33:4-7).
Esau bertanya mengenai pasukan binatang yang telah melaluinya tadi. Yakub mengatakan yang semua itu adalah pemberiannya, agar Esau memikirkan yang terbaik terhadap Yakub. Namun Esau mengatakan dia juga mempunyai banyak dan pada mulanya menolak hadiah Yakub itu. Namun akhirnya dia menerimanya supaya tidak mengecewakan adiknya. Esau juga menawar untuk berjalan kembali bersama adiknya, tetapi Yakub tahu bahawa kumpulannya akan berjalan lebih perlahan daripada Esau dan orang-orangnya yang berkuda, disebabkan anak-anaknya dan kumpulan haiwannya. Jadi, adik-beradik ini memilih untuk berjalan berasingan. Esau kembali ke Seir dan Yakub pergi ke Sukot dan mendirikan rumah untuk dirinya (Kejadian 33:8-16).
Seorang anak lagi untuk Yakub
Setelah Yakub kembali ke Kanaan isterinya Rahel telah melahirkan anaknya yang kedua belas. Malang sekali Rahel telah mati sewaktu kelahirannya dan ini membuatkan Yakub sangat sedih, kerana dia mengasihi Rahel melebihi yang lain. Anak ini dipanggil Ben Oni atau “anak ratapanku” kerana melaluinya dia mati, namun bapanya kemudiannya telah menamakan dia Benyamin yang bermaksud anak perjanjian (Kejadian 35:16-19).
Sementara itu Yakub telah pulang kepada bapanya Ishak. Kemudiannya, setelah Ishak mati, anak-anaknya Esau dan Yakub telah menguburkannya (Kejadian 35:27-29). Esau mengambil isteri-isterinya dari kaum perempuan Kanaan dan dia menjadi bapa kepada bani Edom. Kita boleh membaca tentang keturunan Esau dari Kejadian bab 36. Selang masa berlalu, keluarga dan harta milik Esau menjadi terlalu banyak untuk adik-beradik ini terus tinggal bersama. Oleh itu Esau telah membawa isteri-isterinya, anak-anaknya dan segala yang dimilikinya dan berpindah ke suatu tempat yang agak jauh dari saudaranya Yakub. Yakub terus tinggal di Kanaan sehinggalah kebuluran itu memaksanya memindahkan keluarga dan harta miliknya ke Mesir (Kejadian 36:1-8).
Perjalanan Yakub ke Mesir
Selang masa berlalu, suatu kebuluran yang dahsyat tersebar ke seluruh dunia. Namun terdapat makanan yang banyak di Mesir dan bangsa-bangsa lain pergi ke situ untuk membeli dari mereka. Yakub juga mendengar mengenai hal ini dan mengutus anak-anaknya (kecuali Benyamin) untuk membeli gandum agar mereka tidak mati kebuluran. Sebagaimana ceritanya, keluarga ini digalakkan berpindah ke Mesir kerana Yusuf, anak Yakub yang telah lama hilang telah menjadi pemerintah di situ dan bertugas membahagi-bahagikan makanan.
Pada arahan Yusuf, dan dengan persetujuan Firaun Mesir, Yakub dan anak-anaknya serta kesemua keluarga mereka telah berangkat ke Mesir bersama segala harta benda mereka. Apabila mereka sampai ke Bersyeba mereka mempersembahkan korban-korban kepada Allah Benar yang Satu. Yakub mungkin risau bahawa Tuhan tidak setuju mereka pindah ke Mesir. Namun pada malam itu Yakub telah diberitahu di dalam suatu penglihatan atau mimpi (Kejadian 46:1-2). Kita memang tahu yang Alkitab memberitahu kita bahawa tiada seorangpun manusia yang pernah mendengar suara Allah Benar yang Satu, jadi pesanan ini sepatutnya datang melalui Malaikat Yahovah.
Dia memberitahu Yakub (Israel) untuk tidak takut pergi ke Mesir kerana satu bangsa besar Israel akan keluar dari situ. Selanjutnya dia mengatakan, “Aku sendiri akan menyertai engkau pergi ke Mesir dan tentulah Aku juga akan membawa engkau kembali; dan tangan Yusuflah yang akan mengatupkan kelopak matamu nanti." (Kejadian 46:3-4) Apa yang sebenarnya dikatakannya adalah bahawa Yakub akan bertemu semula dengan anaknya Yusuf dan bersama dengannya untuk suatu masa tertentu di Mesir. Yakub akan berada di situ apabila bapanya mati dan dia akan membawa tubuh Yakub kembali ke Kanaan.
Dengan itu Yakub yakin ianya betul untuk pergi ke Mesir, jadi mereka meneruskan perjalanan mereka. Seperti yang kita tahu daripada cerita Yusuf, keluarga ini diberikan tanah dan makanan di Mesir dan Yusuf memastikan bahawa semuanya baik dengan mereka. Mereka hidup dengan baik dan bertumbuh di dalam bilangan mereka dan menjadi makmur.
Yakub memberkati anak-anaknya
Tujuh belas tahun berlalu dan Yakubpun sakit tenat. Apabila Yusuf mendengar hal ini, dia membawa anak-anak lelakinya dan pergi berjumpa bapanya. Yakub memberitahu Yusuf bagaimana Malaikat Tuhan telah muncul kepadanya di dalam suatu penglihatan dan mengatakan bahawa satu bangsa besar akan muncul daripadanya. Dia kemudiannya mengatakan dia ingin menjadikan anak-anak Yusuf, Efraim dan Manasye, sebagai miliknya. Dia meletakkan anak-anak itu pada lututnya sebagai tanda pemgambilan anak angkat dan terus memasukkan mereka di dalam berkat-berkat yang akan diberikannya kepada anak-anaknya yang lain.
Mula-mula sekali Yakub memberkati Yusuf, kemudian dia meletakkan tangan kirinya pada kepala Manasye dan tangan kanannya pada kepala Efraim. Memikirkan bapanya tidak dapat melihat dengan baik, Yusuf telah membuka tangan kiri bapanya dari kepala Manasye, kerana adatnya adalah meletakkan tangan kanan pada anak sulung (Kejadian 48:5-18).
Namun bapanya menolak dan mengatakan, "Aku tahu, anakku, aku tahu; ia juga akan menjadi suatu bangsa dan ia juga akan menjadi besar kuasanya; walaupun begitu, adiknya akan lebih besar kuasanya dari padanya, dan keturunan adiknya itu akan menjadi sejumlah besar bangsa-bangsa." (Kejadian 48:19) Di sini Yakub sedang meramalkan bahawa bangsa-bangsa yang akan muncul dari Efraim (anak yang lebih muda) akan lebih besar lagi dari mereka yang keluar daripada Manasye, anak sulung itu (Kejadian 48:20).
Ianya menarik untuk mengingatkan bahawa Yakub juga adalah anak lelaki bongsu dan dia telah bergumul dengan abangnya Esau untuk mendapatkan hak kelahiran serta berkat di dalam keluarganya. Namun Yakub telah menipu bapanya Ishak dan sebenarnya telah merampas apa yang sepatutnya dimiliki Esau.
Sebelum dia mati, Yakub telah mengumpulkan anak-anaknya yang lain di sekelilingnya juga untuk memberikan mereka berkatnya. Dia memberitahu mereka sedikit sebanyak mengenai bangsa-bangsa masa depan yang akan muncul dari suku tertentu mereka dan berkat-berkat itu juga adalah untuk mereka. Kita dapat membaca semua butir-butir ini di dalam Kejadian 48:3-28. Berkat Yusuf adalah yang terbesar dan bapanya memanggilnya “raja di antara saudara-saudaranya”.
Yakub hidup tujuh belas tahun di Mesir dan sewaktu masa itu keluarga anak-anak lelakinya bertambah besar bilangannya. Orang-orang ini kemudiannya dikenali sebagai orang-orang Israel, kerana Yakub telah dinamakan semula sebagai Israel oleh Malaikat Tuhan. Apabila masanya sudah tiba untuk Yakub mati, dia meminta Yusuf berjanji padanya yang dia akan menguburkannya di Kanaan bersama nenek moyangnya. (Kejadian 47:27-31).
Kematian Yakub
Setelah Yakub habis memberikan arahan-arahan ini kepada anak-anaknya, dia menghembuskan nafasnya yang terakhir dan mati. Yakub telah hidup selama satu ratus dan empat puluh tujuh tahun. Dia sebahagian penting daripada rencana Tuhan untuk bangsa Israel (Kejadian 50:1-14). Anak-anaknya melakukan seperti yang diperintahkannya dan membawa tubuhnya kembali ke Kanaan. Mereka menguburkannya di dalam gua, yang telah dibeli Abraham untuk dijadikan tempat kuburan. Di situ ramai daripada nenek moyangnya juga dikuburkan: Abraham dan isterinya Sara, Ishak dan isterinya Ribka dan isteri pertama Yakub iaitu Lea (Kejadian 49:29-33).
Dengan mempelajari cerita mengenai Esau, Yakub, Ishak, dan Ribka, kita telah melihat bagaimana tiadanya iman atau kepercayaan di dalam Tuhan boleh membawa kepada pelanggaran perintah-perintahNya. Jika kita melanggar satu perintah ia mungkin membawa kepada pelanggaran semuanya (Yakobus 2:10). Dan, jika kita tidak beriman dan akhirnya melanggar hukum-hukum Tuhan dan tidak memohon pengampunan Tuhan (atau bertaubat), maka terdapat bahaya-bahaya yang besar bagi masa depan rohani kita. Seperti yang dinyatakan Kristus di dalam Matius 5:19, “Karena itu siapa yang meniadakan salah satu perintah hukum Taurat sekalipun yang paling kecil, dan mengajarkannya demikian kepada orang lain, ia akan menduduki tempat yang paling rendah di dalam Kerajaan Sorga”. Namun begitu, jika kita menjaga perintah-perintah Tuhan dan mengajarkannya demikian kepada orang lain, kita “akan menduduki tempat yang tinggi di dalam Kerajaan Sorga.”
q