Jemaat-jemaat Allah Al Maséhi

 

[CB14]

 

 

 

Yusuf: Anak Yakub

Bahagian 1 [CB14]

(Edisi 1.0 20020314-20020314)

 

Yakub dan Rahel mempunyai seorang anak lelaki bernama Yusuf. Yusuf adalah yang termuda daripada dua belas anak-anak lelaki Yakub dengan isteri-isteri berlainan. Dia merupakan anak kesayangan Yakub dan ini menyebabkan timbulnya cemburu di kalangan saudara-saudaranya yang lain. Kita akan lihat dari cerita Yusuf bahawa dia mempunyai peranan yang penting untuk dimainkan di dalam sejarah Israel.

 

 

 

Christian Churches of God

 

PO Box 369, WODEN ACT 2606, AUSTRALIA

E-mail: secretary@ccg.org

 

(Hakcipta ă 2002 Christian Churches of God, ed. Wade Cox)

(Tr. 2003)

 

Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan.  Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan.  Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.

 

Karya ini boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org dan http://www.ccg.org


 

Yusuf: Anak Yakub Bahagian 1 [CB14]


 

Ibubapa Yusuf

Yusuf merupakan anak Yakub dan nama ibunya adalah Rahel. Yakub mempunyai seorang abang yang bernama Esau dan mereka merupakan anak-anak Ishak. Terjadi masalah di dalam keluarga Ishak dan Yakub terpaksa melarikan diri demi keselamatannya. Abangnya Esau ingin membunuhnya kerana Yakub telah mengakalinya sehingga menjualkan hak kelahirannya untuk semangkuk makanan.

 

Ianya adat zaman itu bagi anak sulung mendapat bahagian lebih besar dari sebarang harta milik yang dipunyai keluarganya, apabila bapanya mati. Ini dipanggil sebagai hak kelahiran. Esau merupakan anak sulung, jadi kita boleh bayangkan betapa marahnya dia dengan Yakub kerana mengambil haknya itu daripadanya. Ia bukanlah sesuatu yang baik untuk seorang saudara lakukan.

 

Yakub telah pergi ke negeri yang jauh di mana abang ibunya iaitu Laban tinggal. Laban mempunyai dua anak perempuan bernama Lea dan Rahel. Kesayangan Yakub adalah Rahel dan dia ingin mengahwininya. Namun keadaan tidak begitu memihaknya di sana. Laban telah menipu Yakub untuk berkahwin dengan anak perempuannya yang satu lagi iaitu Lea. Namun begitu, setelah bekerja tujuh tahun lagi, akhirnya Yakub berjaya juga mengahwini Rahel. Dengan itu, dia mempunyai dua orang isteri. Namun bukanlah pelik pada zaman itu untuk mempunyai lebih dari satu isteri.

 

Kelahiran Yusuf

Selama suatu tempoh Rahel tidak boleh mengandungkan anak. Namun Lea telah melahirkan ramai anak lelaki. Ruben merupakan anak sulung, kemudiannya adalah Simeon, Lewi, Yehuda serta Isakhar dan Zebulon. Rahel begitu ingin sekali mempunyai anak sehingga dia memberikan pelayan perempuannya Bilha kepada Yakub, sebagai isteri, agar anak-anak dilahirkan baginya. Bilha telah melahirkan dua anak lelaki yang dipanggil Dan dan Naftali.

 

Lea juga telah memberikan pelayan perempuannya Zilpa kepada Yakub sebagai isteri dan dia telah melahirkan dua lagi anak lelaki yang bernama Gad dan Asyer. Kemudian, Tuhan telah memberkati Rahel dan membenarkannya melahirkan seorang anak lelaki. Anak ini dinamakan Yusuf. Nama Yusuf bermaksud, “Allah telah menghapuskan aibku.” (Kejadian 30:23). Rahel telah mati ketika melahirkan anak lelaki Yakub yang kedua belas dan terakhir iaitu Benyamin. Dengan itu, Yakub mempunyai anak lelaki berjumlah dua belas orang. (Kejadian 35:23-26).

 

Mimpi-mimpi Kebesaran Yusuf

Sementara itu, Yusuf, anak kesayangan Yakub telah menjadi seorang anak muda. Pada umur tujuh belas tahun dia sudahpun bekerja keras di wilayah bapanya di Kanaan. Saudara-saudaranya juga melakukan kerja yang sama, namun mereka tidak menyukai Yusuf. Ini adalah kerana dia lebih dikasihi bapa mereka (Kejadian 37:3). Yusuf juga menceritakan kepada bapanya mengenai beberapa perkara-perkara salah yang dilakukan abang-abangnya. Perbuatannya itu membuatkan abang-abangnya lebih tidak menyukainya.

 

Yakub, ketika ini, sudahpun tua. Yusuf telah menghabiskan banyak masanya sebagai anak muda bersama dengan Yakub. Hasilnya, Yakub mempunyai ikatan yang lebih kuat dengan anaknya Yusuf berbanding anak-anak lelakinya yang lain. Yakub telah memberikan Yusuf sehelai jubah yang maha indah. Saudara-saudara Yusuf melihat sikap pilih kasih bapa mereka terhadap Yusuf dan mereka dipenuhi kecemburuan.

 

Kejadian 37:4 Setelah dilihat oleh saudara-saudaranya, bahwa ayahnya lebih mengasihi Yusuf dari semua saudaranya, maka bencilah mereka itu kepadanya dan tidak mau menyapanya dengan ramah.

 

Menambah kepada semua ini, Yusuf mempunyai mimpi-mimpi, yang menunjukkan dirinya sebagai seorang yang penting satu hari nanti. Di dalam mimpi Yusuf yang pertama, dia bermimpi bahawa dia dan saudara-saudaranya sedang mengikat berkas-berkas gandum di ladang. Kemudian, ketika mereka mengikat berkas-berkas ini, berkas gandum Yusuf telah bangkit dan tegak berdiri, sementara berkas-berkas lain sujud menyembah kepada berkasnya (Kejadian 37:6-8).

 

Di dalam mimpi Yusuf yang kedua, matahari, bulan dan sebelas bintang sujud menyembah kepadanya (Kejadian 37:9). Dia memberitahu mimpinya yang kedua ini kepada saudara-saudaranya serta bapanya. Bapa Yusuf berkata: “Masakan aku dan ibumu serta saudara-saudaramu sujud menyembah kepadamu sampai ke tanah?”

 

Kejadian 37:10 Setelah hal ini diceritakannya kepada ayah dan saudara-saudaranya, maka ia ditegor oleh ayahnya: "Mimpi apa mimpimu itu? Masakan aku dan ibumu serta saudara-saudaramu sujud menyembah kepadamu sampai ke tanah?"

 

Disebabkan mimpi-mimpi ini, saudara-saudara Yusuf lebih membencinya lagi. Mereka menegurnya dan bertanya kepadanya sama ada dia benar-benar fikir bahawa dia akan memerintah ke atas mereka, atau mungkin bahawa satu hari nanti mereka akan sujud menyembah kepadanya?

 

Kita semua mungkin teringat masa-masanya apabila kita telah cemburu terhadap saudara-saudara kita. Ini mungkin telah menyebabkan kita melakukan perkara-perkara yang jahat. Kecemburuan saudara-saudara Yusuf akhirnya menyebabkan mereka menderitai banyak ketakutan, kesakitan dan dukacita. Akhirnya, mereka tetap sujud menyembah di hadapan Yusuf, seperti mana yang dimimpikan Yusuf.

 

Namun, tidak kira apa yang difikirkan saudara-saudara Yusuf, Yakub telah menyimpan mimpi-mimpi Yusuf di dalam fikirannya (Kejadian 37:11).

 

Kita perlu berfikir mengenai maksud mimpi-mimpi Yusuf, kerana mereka penting kepada rencana Tuhan. Kita lihat kemudiannya di dalam cerita Yusuf bahawa mimpi-mimpinya itu benar-benar terjadi (lihat Keluaran 42:6; 43:26; 44:14). Yusuf kemudiannya menjadi raja di kalangan abang-abangnya (Ulangan 33:16). Dia juga akan menerima hak kesulungan (1Tawarikh 5:2). Ini merupakan bahagian dua kali ganda kerana bapanya, Yakub, telah menjadikan kedua-dua anak lelakinya sebagai miliknya.

 

Namun begitu, terdapat satu lagi maksud mimpi-mimpi itu yang lebih penting lagi. Seperti yang telah disebutkan sebelumnya, perayaan-perayaan Tuhan dipanggil tuaian-tuaian. Berkas-berkas di dalam mimpi Yusuf mewakili tuaian umum, yang berlaku pada Perayaan Pondok Daun. Suku Yusuf bukan saja sebahagian daripada tuaian tersebut, tetapi juga mempunyai bahagian yang lebih besar daripada suku-suku yang lain.

 

Kemudiannya kita melihat matahari, bulan dan bintang-bintang sujud menyembah kepada Yusuf. Yakub merupakan matahari selaku nenek moyang Mesias. Bangsanya dipanggil sebagai dia akan memimpin sebagai Tuhan atau Israel. Isterinya pula digambarkan sebagai bulan kerana dia adalah ibu Israel. Dia juga mewakili bangsa itu. Jemaat juga dipanggil isteri Mesias atau pengantin perempuan Mesias.

 

Suku-suku Israel adalah sebelas bintang-bintang itu dengan Yusuf sebagai bintang kedua belas. Bangsa jasmani Israel, kemudiannya menjadi Israel rohani, iaitu jemaat.

 

Jadi bulan itu mewakili bangsa Israel dan juga Jemaat. Bulan tidak mempunyai terangnya sendiri, tetapi diberikan terang dari matahari, iaitu suatu bintang. Matahari ini juga merupakan bintang yang terbit keluar dari Yakub (Bilangan 24:17). Ini adalah berkenaan Kristus yang merupakan salah satu dari Bintang-bintang Fajar. Dia telah melepaskan kedudukannya di syurga dan turun ke bumi untuk mati untuk kita. Ini dilakukan agar kita boleh layak bagi sistem baru yang Kristus telah datang untuk perkenalkan. Dengan cara yang sama, jemaat mendapat kuasanya dari matahari (Kristus) yang datang dari Allah pencipta.

 

Mungkin ada antara hal-hal ini yang susah untuk difahami sekarang, namun ia akan menjadi semakin jelas apabila kita belajar lebih banyak mengenai rencana Tuhan untuk kita semua.

 

Yusuf Dijual Oleh Saudara-saudaranya

Sementara itu, saudara-saudara Yusuf telah pergi menggembala kambing domba bapa mereka di Sikhem. Setelah pergi selama beberapa hari dan Yakub tidak menerima sebarang berita dari mereka, dia mula risau. Oleh itu, Yakub telah mengutus Yusuf untuk pergi dan melihat bagaimana keadaannya serta membawa balik berita tentang mereka.

 

Selepas sampai ke Sikhem, seorang lelaki mendapati Yusuf merayau-rayau mencari saudara-saudaranya itu. Lelaki ini menghampirinya dan bertanya apa yang sedang dicarinya. Yusuf menjawabnya dan lelaki itu memberitahunya bahawa abang-abangnya itu telahpun pergi ke Dotan.

 

Kejadian 37:16-17 16 Sahutnya: "Aku mencari saudara-saudaraku. Tolonglah katakan kepadaku di mana mereka menggembalakan kambing domba?" 17 Lalu kata orang itu: "Mereka telah berangkat dari sini, sebab telah kudengar mereka berkata: Marilah kita pergi ke Dotan." Maka Yusuf menyusul saudara-saudaranya itu dan didapatinyalah mereka di Dotan.

 

Kini, apabila saudara-saudara Yusuf melihatnya datang dari jauh, mereka berkata sesama sendiri, “Lihat tukang mimpi kita itu datang!” Kemudian sebelumpun Yusuf hampir kepada mereka, mereka sudah merancang untuk membunuhnya.

 

Kejadian 37:20  Sekarang, marilah kita bunuh dia dan kita lemparkan ke dalam salah satu sumur ini, lalu kita katakan: seekor binatang buas telah menerkamnya. Dan kita akan lihat nanti, bagaimana jadinya mimpinya itu!"

 

Namun, apabila Ruben anak lelaki tertua Yakub mendengar rancangan saudara-saudaranya untuk membunuh Yusuf, dia telah menahan mereka. Ruben menyuruh mereka untuk membuatkannya seolah-olah Yusuf telah dibunuh. Jadi sebalik betul-betul membunuhnya, mereka akan memasukkan Yusuf ke dalam satu sumur. Sebenarnya, selepas mereka berbuat begitu, Ruben merancang untuk mengeluarkan Yusuf dari sumur itu dan membawanya pulang (Kejadian 37:22).

 

Jadi, apabila Yusuf sampai kepada saudara-saudaranya, jubah maha indahnya telah ditanggalkan dan dia telah dilemparkan ke dalam sumur di padang gurun itu oleh saudara-saudaranya. Kemudian mereka duduk untuk makan. Sebaik saja mereka mula makan, mereka telah melihat sekumpulan kafilah orang Ismael yang datang dari Gilead dengan unta-unta mereka. Orang-orang Ismael ini dalam perjalanan ke Mesir dengan membawa banyak barang dagangan seperti damar, balsam dan damar ladan.

 

Apabila Yehuda abang Yusuf melihat para pedagang ini datang ke arah mereka, dia mendapat satu akal. Yehuda berkata kepada saudara-saudaranya, “Apakah untungnya kalau kita membunuh adik kita itu dan menyembunyikan darahnya? “ (Kejadian 37:26).

 

Sebalik membunuh Yusuf dengan tangan mereka sendiri, saudara-saudara Yusuf membuat keputusan untuk menjualnya sebagai hamba kepada orang-orang Ismael itu. Maka, Yusuf telah ditarik keluar dari sumur itu dan dijual abang-abangnya kepada orang-orang Ismael itu dengan harga dua puluh syikal perak.

 

Kemudiannya Ruben, selaku saudara paling tua dan kerana itu bertanggungjawab ke atas Yusuf, telah menggoyakkan jubahnya apabila menyedari bahawa dia tidak mempunyai sebarang alasan untuk menerangkan kehilangan Yusuf kepada bapanya Yakub (Kejadian 37:30).

 

Saudara-saudara Yusuf kemudiannya mendapat idea untuk menerangkan kehilangan Yusuf itu. Mereka telah mengambil jubah maha indah kepunyaan Yusuf, menyembelih seekor anak kambing, dan mencelupkan jubah Yusuf itu ke dalam darah anak kambing tersebut. Saudara-saudara itu kemudiannya telah membawa jubah itu kepada bapa mereka dan bertanya kepadanya sama ada jubah itu adalah milik Yusuf. (Sungguhpun mereka memang mengetahui ianya jubah Yusuf). Yakub mengenali jubah itu sebagai milik anaknya.

 

Kejadian 37:33 Ketika Yakub memeriksa jubah itu, ia berkata: "Ini jubah anakku; binatang buas telah memakannya; tentulah Yusuf telah diterkam."

 

Yakub menggoyakkan jubahnya dan mengenakan kain kabung pada pinggangnya. Yakub berkabung ke atas kematian anaknya Yusuf selama berhari-hari lamanya. Keluarga Yakub cuba menghiburnya, namun Yakub menolak dari dihiburkan. Yakub kemudiannya mengisytiharkan bahawa dia akan berkabung ke atas kehilangan Yusuf sehingga hari kematiannya.

 

Yusuf sebagai Hamba di Mesir

Orang-orang Ismael itu telah menjual Yusuf kepada Potifar. Potifar merupakan seorang pegawai Firaun Mesir, dan juga kepala pengawal raja.

 

Tuhan menyertai Yusuf di Mesir dan Tuhan telah menjadikan Yusuf seorang yang berjaya. Tuhan juga memberkati semua yang Yusuf lakukan, dan pada masa yang sama, berkat Tuhan dilanjutkan kepada keluarga tuannya itu. Tuan Yusuf, iaitu Potifar, melihat hal ini dan memberi kasih kepadanya dan menjadikan Yusuf sebagai penguasa rumahnya dan segala miliknya.

 

Sesudah semua ini, isteri Potifar memandang Yusuf dengan berahi. Kerana, Yusuf manis sikapnya dan elok parasnya. Isteri Potifar kemudiannya memintah Yusuf tidur dengannya. Namun Yusuf menolaknya.

 

Kejadian 39:8-9 Tetapi Yusuf menolak dan berkata kepada isteri tuannya itu: "Dengan bantuanku tuanku itu tidak lagi mengatur apa yang ada di rumah ini dan ia telah menyerahkan segala miliknya pada kekuasaanku, 9 bahkan di rumah ini ia tidak lebih besar kuasanya dari padaku, dan tiada yang tidak diserahkannya kepadaku selain dari pada engkau, sebab engkau isterinya. Bagaimanakah mungkin aku melakukan kejahatan yang besar ini dan berbuat dosa terhadap Allah?"

 

Hari demi hari, isteri Potifar terus meminta Yusuf untuk tidur dengannya. Namun, kali demi kali, Yusuf menolaknya. Kemudian, suatu hari apabila tidak ada seorangpun di dalam rumah itu, isteri Potifar telah memegang jubah Yusuf dan cuba membuatkan dia tidur dengannya. Yusuf melarikan diri, dengan meninggalkan jubahnya di dalam tangan perempuan itu. Isteri Potifar kemudiannya memanggil seisi rumahnya. Apabila mereka tiba, dia berdusta mengenai Yusuf dan menuduhnya cuba memperkosanya (Kejadian 39:14-15).

 

Dengan itu, dia menyimpan jubah Yusuf sehinggalah Potifar pulang dan memberitahunya dusta yang sama mengenai Yusuf. Apabila Potifar mendengar ceritanya, dia menjadi marah dan memasukkan Yusuf ke dalam penjara di mana tahanan-tahanan Raja dipenjarakan.

 

Namun begitu, Tuhan tetap menyertai Yusuf dan menunjukkan belas kasihannya. Tuhan telah membuatkan Yusuf kesayangan kepala penjara itu, dan pengawal penjara memberi Yusuf kuasa ke atas segala yang dilakukan para tahanan di situ. Pengawal penjara tidak campur tangan di dalam segala yang dipercayakan kepada Yusuf (Kejadian 39:23).

 

Sewaktu Yusuf berada di penjara, terdapat suatu komplot untuk meracuni Firaun Mesir. Sebagai akibatnya, juru minuman dan juru roti Firaun telah dimasukkan ke dalam penjara itu bersama Yusuf. Potifar sendiri menyuruh Yusuf untuk melayani mereka (Kejadian 40:4). Ini memberitahu kita bahawa Potifar mungkin tidak benar-benar percaya bahawa Yusuf bersalah.

 

Selang masa berlalu, Yusuf telah menjadi agak rapat dengan kedua orang ini. Satu pagi dia melihat mereka kelihatan bersusah hati. Jadi dia bertanya apa yang merisaukan mereka. Mereka memberitahu padanya bahawa mereka berdua telah mengalami mimpi yang merunsingkan pada malam sebelumnya dan mereka tidak tahu apa ertinya mimpi-mimpi itu. Yusuf, memandangkan dia seorang yang suka berkawan, meminta mereka memberitahunya mimpi-mimpi mereka itu (Kejadian 40:5-8). Dia tahu bahawa jika ada sesuatu yang ingin Tuhan sampaikan kepada mereka melalui mimpi-mimpi itu maka Dia akan menyatakannya.

 

Juru minuman itu telah bermimpi suatu pohon anggur yang mempunyai tiga cabangnya yang telah menghasilkan buah-buah anggur yang ranum. Kemudian dia telah memeras buah-buah anggur itu dan memasukkan airnya ke dalam cawan Firaun dan memberikannya kepadanya untuk diminum. Tuhan menolong Yusuf untuk memahami maksud mimpi ini. Dia memberitahu juru minuman ini bahawa dalam masa tiga hari dia akan keluar dari penjara dan akan mendapat semula pangkatnya sebagai kepala juru minuman (Keluaran 40:9-13).

 

Yusuf meminta juru minuman itu untuk mengingatinya setelah semua itu terjadi. Dia meminta juru minuman tersebut untuk memberitahu Firaun bahawa dia tidak bersalah dan sepatutnya tidak berada di dalam penjara. Namun kita dapati kemudiannya bahawa juru minuman itu telah lupa untuk berbuat begitu untuk suatu masa yang lama (Keluaran 40:23).

 

Mimpi juru roti itu tidak mempunyai erti yang menggembirakan. Dia bermimpi dia sedang membawa tiga bakul makanan di atas kepalanya kepada Firaun. Tetapi burung-burung yang lapar telah turun dan memakan makanan itu. Yusuf tidak berasa senang untuk memberitahu juru roti ini mengenai maksud mimpinya, namun dia tahu yang dia harus mengucapkan kebenarannya. Jadi dia memberitahu juru roti itu bahawa dalam masa tiga hari, Firaun akan memenggal kepalanya, menggantungkannya pada pohon dan burung-burung akan memakan dagingnya (Keluaran 40:16-19). Betapa ngerinya hal ini?

 

Tiga hari kemudiannya merupakan hari kelahiran Firaun. Selalunya diadakan pesta yang besar pada hari ini dan ada tahanan yang dilepaskan dari penjara sebagai kurniaan istimewa dari Firaun pada hari lahirnya. Seperti mana ditentukan, juru minuman itu telah dibebaskan dan diberikan semula jabatannya. Pada hari yang sama juru roti itu telah digantun dan burung-burung datang memakan dagingnya. Hal-hal ini terjadi sama seperti yang dikatakan Yusuf akan terjadi.

 

Yusuf Meninggalkan Penjara

Dua tahun berlalu, dan Firaun sendiri telah bermimpi dua mimpi yang membingungkannya. Dia telah memanggil semua ahli sihir di Mesir untuk cuba mencari erti mimpi-mimpinya. Namun tiada seorangpun dari mereka yang dapat memberitahu apa ertinya hal-hal yang pelik ini. Masa itu barulah juru minuman itu mengingati Yusuf. Dia memberitahu Firaun mengenai Yusuf serta bagaimana dia telah memberikan maksud yang betul kepada mimpinya dan mimpi juru roti tersebut.

 

Dengan itu, Firaun telah meminta supaya Yusuf dibawa kepadanya. Akhirnya Yusuf berpeluang keluar dari penjara. Setelah bercukur dan berpakaian, dia telah dibawa kepada Firaun. Yusuf memberitahu Firaun bahawa dia tidak mempunyai kuasa untuk memahami mimpi, melainkan Tuhan dan Dia akan memberikan jawapan melalui Yusuf.

 

Di dalam mimpi pertama Firaun sedang berdiri di tepi sungai dan keluarlah tujuh ekor lembu yang gemuk dari sungai itu. Kemudian dia melihat tujuh ekor lembu yang kurus dan buruk keluar dari sungai itu dan memakan tujuh lembu yang gemuk itu. Lebih pelik lagi adalah bagaimana tujuh lembu kurus itu tetap kurus selepas memakan tujuh lembu gemuk itu (Keluaran 41:17-21).

 

Di dalam mimpi kedua, Firaun melihat tujuh bulir gandum yang berisi tumbuh keluar dari satu tangkai. Kemudian tujuh bulir gandum yang kurus, yang ditiup angin, telah tumbuh dan memakan tujuh bulir yang baik itu (Keluaran 41:22-24).

 

Yusuf memberitahu Firaun bahawa kedua-dua mimpi itu mempunyai erti yang sama. Sebabnya adalah Tuhan ingin memastikan bahawa Firaun akan mendengar amaran mimpi-mimpi tersebut. Yusuf memberitahunya bahawa tujuh ekor lembu yang gemuk dan tujuh bulir gandum yang baik itu mewakili tujuh tahun bila mana terdapatnya kelimpahan makanan di Mesir. Tujuh ekor lembu serta bulir gandum yang kurus itu bermakna bahawa selepas tujuh tahun yang baik itu akan ada tujuh tahun yang buruk. Binatang ternakan akan mati dan tanam-tanaman akan gagal dan tidak akan ada cukup makanan untuk manusia mahupun haiwan. Ini bermakna bahawa suatu kebuluran akan berlaku di Mesir selama tujuh tahun.

 

Yusuf Dijadikan Penguasa di Mesir

Firaun mungkin cukup takjub dengan apa yang telah dinyatakan Tuhan Yusuf kepadanya. Dia bertanya Yusuf apa yang harus mereka lakukan untuk bersedia untuk kebuluran yang dahsyat ini. Yusuf menjawab “Oleh sebab itu, baiklah tuanku Firaun mencari seorang yang berakal budi dan bijaksana, dan mengangkatnya menjadi kuasa atas tanah Mesir. Baiklah juga tuanku Firaun berbuat begini, yakni menempatkan penilik-penilik atas negeri ini dan dalam ketujuh tahun kelimpahan itu memungut seperlima dari hasil tanah Mesir. Mereka harus mengumpulkan segala bahan makanan dalam tahun-tahun baik yang akan datang ini dan, di bawah kuasa tuanku Firaun, menimbun gandum di kota-kota sebagai bahan makanan, serta menyimpannya.” (Kejadian 41:33-36). Ini dilihat sebagai akal yang baik bagi para pemimpin Mesir. Dengan menyimpan gandum semasa tahun-tahun yang baik itu, mereka akan mempunyai makanan yang cukup untuk penduduk negeri itu apabila kebuluran itu datang. Mereka begitu kagum sekali dengan kebijaksanaan Yusuf, sehingga mereka memutuskan untuk melantiknya penguasa ke atas segala hal ini.

 

“Engkaulah menjadi kuasa atas istanaku, dan kepada perintahmu seluruh rakyatku akan taat; hanya takhta inilah kelebihanku dari padamu.” (Kejadian 41:40)

 

Jadi sekarang ini kita melihat bagaimana Tuhan meletakkan hambanya yang setia Yusuf ke dalam suatu pangkat yang sangat berkuasa. Ingatlah bahawa Dia telah melakukan seperti itu dengan Musa di Mesir.

 

Yusuf taat kepada Tuhan sungguhpun segala-galanya kelihatan tidak baik di dalam hidupnya. Selepas melalui banyak masa-masa yang sukar, Tuhan telah memberikan berkat yang besar kepada Yusuf dengan menjadikannya penguasa ke atas negeri Mesir dan berpangkat kedua selepas Firaun. Ini juga merupakan suatu pelajaran yang baik untuk kita. Kita haruslah percaya pada Tuhan dan menurut Hukum-hukumNya, dan Dia akan sentiasa menjaga kita.

 

Dengan itu, tiga belas tahun selepas Yusuf dijual sebagai seorang hamba pada umur tujuh belas tahun, dia telah dijadikan penguasa di dalam bangsa yang terkuat di dunia pada masa itu. Dia kini berumur tiga puluh tahun. Firaun memberi Yusuf pakaian yang halus, cincin meterai untuk mengecap surat-surat penting, dan menggantungkan kalung emas pada lehernya (Kejadian 41:42). Dia juga memberikan Yusuf seorang isteri. Nama isterinya itu adalah Asnat dan dia adalah anak perempuan kepada imam.

 

Selang masa berlalu, Yusuf memerhati bagaimana tanam-tanaman menghasilkan makanan yang berlimpahan. Dia dapat melihat bahawa Tuhan sedang menunaikan janjiNya untuk tujuh tahun baik itu. Jadi dia telah mengumpulkan semua makanan lebihan itu di dalam kota-kota dan menyimpannya di dalam tempat-tempat khas untuk bersedia untuk tujuh tahun kebuluran itu. Begitu banyak sekali gandum yang disimpannya sehingga Yusuf tidak mampu menghitungnya semua (Kejadian 41:46-49).

 

Sebelum tahun-tahun kebuluran itu tiba, Yusuf telah menjadi bapa kepada dua anak lelaki. Nama mereka adalah Manasye dan Efraim. Berkat istimewa dari Tuhan ini menolong Yusuf untuk melupakan tahun-tahunnya bersendirian yang dihabiskannya di dalam penjara serta perkara-perkara tidak baik yang dilakukan saudara-saudaranya kepadanya.

 

Maka tujuh tahun yang baik berlalu dan tujuh tahun kebuluran bermula. Hujan-hujan berhenti; angin-angin yang panas mula bertiup; dan tanam-tanaman mula gagal. Ia sama seperti apa yang dikatakan Yusuf. Kebuluran itu terjadi di semua negeri-negeri, namun di Mesir terdapat makanan. Apabila orang-orang Mesir kehabisan makanan mereka sendiri, mereka berteriak kepada Firaun meminta pertolongannya. Firaun menyuruh mereka pergi kepada Yusuf dan melakukan apa saja yang dikatakannya. (Kejadian 41:54-55).

 

Kebuluran itu terjadi di seluruh dunia dan Yusuf telah membuka semua tempat penyimpanan daan menjual gandum kepada orang-orang Mesir. Bukan itu saja, tetapi juga kepada semua negeri-negeri lain yang datang ke Mesir untuk membeli gandum dari Yusuf, kerana kebuluran itu begitu buruk sekali di semua negeri.

 

Dengan itu nubuatan Yusuf telah menjadi hakikat. Disebabkan dia menurut Tuhan dan menyimpan makanan untuk tahun-tahun kebuluran itu, ramai orang telah diselamatkan. Jika kita menurut Hukum-hukum Tuhan, Dia juga tidak akan melupakan kita.

 

Kita akan meneruskan cerita Yusuf di dalam karya  Yusuf: Anak Yakub Bahagian 2 [CB15].

 

q