Jemaat-jemaat Allah Al Masehi
[CB57]
Abimelekh Raja Palsu
(Edisi 1.0 20060506-20060506)
Abimelekh, anak Gideon melalui hamba perempuannya telah dijadikan raja Sikhem oleh orang-orang keluarga ibunya. Abimelekh membunuh tujuh puluh saudara-saudaranya sendiri untuk merampas kepimpinan. Dia memerintah Israel selama tiga tahun. Karya ini telah disesuaikan daripada Bab-bab 64-66 The Bible Story Volume III oleh Basil Wolverton, diterbitkan oleh Ambassador College Press.
E-mail: secretary@ccg.org
(Hakcipta ã 2006 Jemaat-jemaat Allah Al Masehi,
ed. Wade Cox)
(tr. 2009)
Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan. Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan. Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.
Karya
ini boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org dan http://www.ccg.org
Abimelekh
Raja Palsu
Seorang jahat bernafsu
terhadap kuasa politik
Setelah Gideon mati dan Israel
sekali lagi mula terpesong ke dalam keberhalaan, salah seorang anak Gideon yang
ramai merencana untuk menjadi raja Israel. Dia ialah Abimelekh, seorang muda
yang sangat bercita-cita yang bertindak ekstrim dan kejam untuk mendorong
dirinya mendapat kuasa.
Dia memulakan komplot bercita-cita
besarnya dengan mengunjungi keluarga ibunya di Sikhem untuk meyakinkan mereka
bahawa salah seorang anak Gideon harus memerintah bangsa itu.
“Seseorang harus menentukan siapa
antara anak-anak bapaku harus memerintah,” dia memberitahu saudara-saudaranya.
“Mahukah kamu tujuh puluh orang memerintah kamu, atau adakah kamu akan memilih
satu orang hanya? Aku darah dagingmu, jadi kenapa harus memilih orang selain
aku?” (Hakim 9:1-2).
Saudara-saudara Abimelekh pantas
nampak semua keuntungan mempunyai seorang raja daripada keluarga mereka. Mereka
mengadakan kempen di dalam dan di sekitar Sikhem untuk memajukan idea tentang
betapa bermanfaatnya mempunyai pemimpin Israel dari Sikhem, supaya kota mereka
boleh ditentukan sebagai ibu kota bangsa itu.
Sikhem kebelakangan ini telah
menjadi salah satu kota di mana ibadat Baal sangat aktif sekali. Sesetengah
pemberian kepada Baal diserahkan kepada Abimelekh. Dia menggunakan tujuh puluh
syikal perak untuk mengupah sekumpulan petualang dan orang nekad untuk menjadi
pengikutnya (ayat 3-4).
Pengkhianatan menggemparkan
sedang berlaku
Tindakan Abimelekh seterusnya
begitu kejam sekali dan membuktikan dia tidak membiarkan apa-apa menghalangnya
untuk mendapatkan apa yang diingininya. Dia pergi ke rumah bapanya di Ofra dan
di atas satu batu membunuh tujuh puluh orang daripda saudara-saudaranya. Tetapi
Yotam, anak bongsu Yerubaal (Gideon), terlepas dengan menyembunyikan diri (ayat
5).
Abimelekh meneruskan dengan
rencananya untuk menjadi pemerintah Israel dengan mendapatkan sokongan
orang-orang berpengaruh, keluarga-keluarga dan imam-imam Baal di Sikhem, yang
dalam beberapa hari berkesudahan dengan satu pesta dan upacara dalam mana
Abimelekh diisytiharkan raja Israel (ayat 6).
Apabila Yotam mengetahui hal ini
dia sungguh marah. Walaupun dia anak Gideon, yang sebelumnya merupakan pemimpin
Israel, dia tidak berhasrat untuk menjadi raja Israel. Tetapi dia ingin
mendedahkan diri sebenar saudara tirinya sebagai ahli politik yang mengejar
kuasa dan pembunuh, dan menolong memajukan dalam Israel kelakuan yang bapanya
telah pelihara dan amalkan menentang ibadat pagan.
Pada waktu malam Yotam pergi ke
atas Gunung Gerizim, yang memuncak dekat dan di atas Sikhem. Esok paginya,
selepas orang sudah bangun, dia muncul di puncaknya untuk berseru kepada
mereka. Ini bukanlah perbuatan teramat hebat seperti yang mungkin disangka,
sebab Yosua pernah berbicara dengan jayanya kepada ratusan ribu orang di tempat
sama itu. Gunung Ebal berada berdekatan ke arah utara, dan antara dua puncak
itu suara kuat boleh didengari dengan jelas dalam satu kawasan yang sangat luas
sekali (Yosua 8:30-35).
Nubuatan Yotam yang
menakjubkan
“Dengarlah aku, kamu warga Sikhem
supaya Tuhan akan mendengarkan kamu!” Yotam berseru kepada mereka.
“Pernah ada waktunya bilamana semua
pohon memutuskan bahawa mereka harus ada pohon tertentu memerintah atas mereka.
Mereka setuju bahawa pohon zaitun paling cocok sebagai pemimpin, jadi mereka
meminta pohon zaitun itu menjadi raja. Pohon zaitun menolak, sambil berkata,
‘Aku menghormati Tuhan dan manusia dengan minyak yang aku hasilkan. Kenapa aku
harus meninggalkan pelayananku yang baik sekali walaupun untuk menjadi raja?’
“Lalu pohon-pohon itu berkata
kepada pohon ara, ‘Jadilah raja kami.’ Tetapi pohon ara itu menjawab, ‘Kenapa
aku harus berhenti menghasilkan rasaku dan manisanku yang istimewa hanya untuk
dimajukan lebih daripada pohon-pohon lain?’
“Pohon-pohon itu seterusnya meminta
pohon anggur untuk memerintah mereka. Pohon anggur itu menjawab, ‘Aku tidak
boleh menjadi rajamu. Itu bererti aku akan terpaksa berhenti menghasilkan sari
buah dari mana datangnya air anggurku untuk menyukakan hati tuhan dan manusia.’
“Pohon-pohon itu akhirnya pergi
kepada semak duri untuk memintanya menjadi raja mereka. Semak duri itu menjawab
berlainan sekali. ‘Jika kamu betul-betul ingin aku menjadi rajamu,’ katanya,
‘serahkan segala-galanya kepada aku. Jika kamu gagal meletakkan kepercayaanmu
dalam aku atau tidak setuju dengan apa yang aku lakukan, aku akan keluarkan api
untuk membakar segalanya, malah pohon-pohon aras di atas puncak-puncak gunung
Libanon yang diliputi salji!” (Hakim 9:6-15).
Orang-orang di bawah yang mendengar
Yotam menyedari bahawa apabila dia bercakap tentang semak duri itu dia
maksudkan Abimelekh, dan apabila dia menyebut pohon-pohon aras Libanon dia
maksudkan para tua-tua dan kepala-kepala Israel.
“Kalau kamu sekalian menganggap kamu
telah melakukan hal terbaik untuk Israel dalam menjadikan Abimelekh
pemimpinmu,” Yotam meneruskan, “dan kamu benar-benar percaya pembunuhan tujuh
puluh saudaraku oleh kamu merupakan penghargaan yang cocok bagi Gideon bapaku,
yang membahayakan nyawanya untukmu, maka berbahagialah dengan Abimelekh dan
biarlah Abimelekh berbahagia dengan kamu!”
“Sebaliknya, jika kamu telah
mengizinkan seorang bajingan dan seorang pembunuh menjadi rajamu, Abimelekh
akan segera berselisih dengan kamu semua yang telah menolongnya mendapat kuasa.
Kamu akan akhirnya memusnahkannya. Tetapi dia juga akan memusnahkan kamu!”
(ayat 16-20).
Amaran Tuhan kepada mereka sudah
berakhir. Mereka tiada lagi alasan untuk terus kekal dengan Abimelekh.
Lalu Yotam lari, melepaskan diri ke
Beer, dan dia tinggal di situ kerana takut akan saudaranya Abimelekh (ayat 21).
Bagaimana Hukum Tuhan
bekerja
Mungkin usaha Yotam untuk
mengingatkan orang Israel tempatan bahawa mereka bakal mendapat kesusahan tidak
sia-sia keseluruhannya. Abimelekh merupakan pemimpin orang Israel utara di
sekitar Sikhem dan Aruma selama tiga tahun, tetapi pada akhir waktu itu satu
perasaan benci dan curiga terbentuk antara dia dan ramai orang Israel, khasnya
mereka dalam kawasan Sikhem. Bekas sekutu dalam pembunuhan kini menjadi musuh.
Inilah hasil semulajadi pembangunan
kerajaan berdasarkan komplot membunuh, rencana jahat dan usul keagamaan tidak
beriman. Apapun, Tuhan campur tangan untuk membuatkan perselisihan terjadi
lebih cepat supaya Abimelekh dan pembunuh-pembunuh upahannya serta teman-teman
sekomplotannya lebih cepat menghadapi pengadilan. Abimelekh mungkin tahu
tentang Hukum-hukum Tuhan, namun dia tidak percaya hukuman mengerikan kerana
melanggarnya pasti jatuh padanya (Roma 15:4; 2 Timotius 3:16).
Ada antara orang-orang sama yang
pernah menolong Abimelekh menjadi pemerintah, mengupah orang lain untuk
memperhatikan dia dan teman-temannya sementara mereka berjalanan di
wilayah-wilayah pergunungan yang lebih liar di sekeliling Aruma dan Sikhem di
Kanaan atas. Mereka berharap untuk membunuhnya di mana-mana tempat yang
terpencil, namun cubaan-cubaan mereka tidak berjaya kerana dia telah diberitahu
rencana itu.
Apa yang dicapai hanyalah
pencederaan dan perompakan ramai orang lain yang berjalanan melalui
tempat-tempat sunyi (Hakim 9:22-25).
Sementara itu, seorang bangsa
Kanaan bernama Gaal, yang mengingini orang Israel dihalau keluar, mengumpulkan
sepasukan perajurit dan pergi ke Sikhem untuk mengusulkan kepada musuh-musuh
Abimelekh supaya mereka bergabung melawan pemimpin mereka itu. Gaal bersukarela
mengepalai gerakan itu.
Abimelekh tidak berada di Sikhem
pada waktu itu, jadi ramai warga Sikhem berasa bebas untuk menyertai Gaal. Ada
pesta besar dalam kuil Baal. Di situ, disemarakkan oleh peminuman anggur yang
banyak, Gaal mengumumkan dengan kuat bahawa orang Israel harus berpaling kepada
pemimpin-pemimpin Kanaan jika mereka ingin merdeka daripada Abimelekh, seorang
bangsa Israel, dan bahawa dia, Gaal, akan menggulingkan Abimelekh jika hanya
warga kota itu menyokongnya dengan orang-orang untuk berlawan.
Kekacauan politik semakin
buruk
Ramai orang di Sikhem berkumpul
untuk menyertai Gaal. Dia begitu terdorong sehingga dia menjadi pasti dia dapat
memimpin revolusi tanpa apa-apa kemungkinan gagal. Dia begitu pasti sampai dia
mengutus utusan untuk mencabar Abimelekh kembali ke Sikhem dan bertempur untuk
hak menjadi pemerintah (Hakim 9:26-29).
Perkembangan ini menyusahkan Zebul,
penguasa Sikhem dan seorang daripada orang kanan Abimelekh. Dia tahu di mana
Abimelekh berada, dan mengutus utusan pantas kepadanya untuk memperingatkannya
bahawa Gaal telah menguasai kota itu dan sedang memperkuatkannya. Dia
mengusulkan supaya Abimelekh diam-diam membawa tentera pada waktu malam,
bersembunyi di padang-padang berdekatan dan selepas itu menunggu untuk melihat
apa tindakan Gaal.
Malam itu Abimelekh diam-diam
membawa tenteranya ke sekitar Sikhem, menyembunyikannya dalam empat pasukan di
dalam selokan dan di belakang bukit dan batu.
Esok paginya Gaal melangkah keluar
melalui pintu gerbang utama kota itu bersama beberapa orangnya. Zebul
mengiringi mereka.
“Abimelekh yang perkasa tentu sudah
lama mendengar cabaranku, tetapi aku tidak melihat apa-apa tandanya,” Gaal
berkata-kata kuat dengan nada mengejek. “Mungkin dia sudah membawa orang Israel
kembali ke Mesir!”
Orang-orang Gaal ketawa terhadap
ulasan ini. Zebul juga senyum, tetapi bukan kerana ulasan itu. Dia tahu bahawa
tentera Abimelekh berada di sekeliling tempat itu. Tiba-tiba Gaal mengedipkan
matanya seolah-olah cuba melihat sesuatu di tempat jauh.
“Lihat!” katanya, sambil menuding.
“Adakah aku melihat orang turun dari puncak bukit-bukit itu?”
“Orang?” Zebul menjawab. “Bukankah
kamu hanya melihat bayang-bayang gunung?” (Hakim 9:30-36).
“Itu ialah orang,” dia berseru.
“Mereka datang ke arah kita melalui lembah itu dan menyeberangi dataran! Kita
dikepung!”
“Benar sekali!” Zebul mengulas
dengan senyuman suram. “Sekarang kita lihat bagaimana kamu akan hapuskan
Abimelekh seperti yang kamu katakan! Pergilah dan lawan mereka!”
Jadi Gaal memimpin keluar warga
kota Sikhem dan memerangi Abimelekh.
Abimelekh mengejarnya, dan ramai
orang tewas dalam pertempuran itu – sampai di depan pintu gerbang. Abimelekh
tinggal di Aruma, dan Zebul mengusir Gaal dan saudara-saudaranya keluar dari
Sikhem (Hakim 9:37-41).
Tanpa menghiraukan bahaya serangan
oleh Abimelekh, yang kini menganggap Sikhem sebagai kubu musuh, beratus-ratus
orang keluar keesokan paginya ke ladang-ladang di sekeliling dan ini
diberitakan kepada Abimelekh. Jadi dia membawa orang-orangnya, membahagikan
mereka kepada tiga pasukan dan memasang serangan hendap di ladang-ladang itu.
Apabila dia melihat warga kota itu keluar dia bangkit menyerang mereka.
Abimelekh dan pasukan-pasukannya menyerbu ke depan ke satu kedudukan di depan
pintu gerbang. Kemudian dua pasukan menyerbu orang-orang di ladang-ladang itu
dan menewaskan mereka.
Sepanjang hari itu Abimelekh
meneruskan serangannya terhadap kota itu sehingga dia menawannya dan membunuh
semua penduduknya. Kemudian dia merobohkan kota itu dan menaburkan garam
atasnya (ayat 42-45). Tiada rekod tentang apa terjadi kepada Zebul, penguasa
kota itu.
Sudah menjadi adat pada zaman itu
bahawa sebuah rumah, kota atau desa harus ditaburi dengan garam sekiranya atas
apapun sebab ia dianggap tempat hina atau keji. Untuk menunjukkan rasa jijiknya
terhadap Sikhem, Abimelekh menyuruh orang-orangnya menabur garam di seluruh
kota itu.
Ketika ini sedang berlangsung,
orang-orang pelarian kawasan Sikhem yang ketakutan berkumpul tidak jauh dari
situ di satu bangunan seperti menara yang didirikan di tepi gunung. Ini tempat
ibadat satu daripada tuhan Kanaan, dan dianggap tempat perlindungan yang kuat.
Lebih daripada seribu orang berkerumun masuk ke dalamnya. Mereka berharap
bahawa Abimelekh, yang telah menunjukkan kecenderungan kuat terhadap
tuhan-tuhan pagan akan melepaskan tempat itu sekiranya dia menemui mereka
bersembunyi di situ.
Sekali lagi pengintai Abimelekh
memberitahunya tentang apa yang terjadi. Abimelekh membawa orang-orangnya ke
tempat berdekatan di mana adanya banyak pohon dan semak. Di situ setiap orang
memotong dahan kayu sebesar yang mampu diangkatnya, dan membawa muatannya ke
tempat orang-orang itu bersembunyi.
Dahan-dahan itu ditimbun di
keliling dasar bangunan itu kemudian mereka menyalakannya. Api besar yang
menyusuli memusnahkan menara itu dengan cepat. Orang-orang di dalamnya, yang
tidak dapat melarikan diri, mati kerana menolong Abimelekh membunuh anak-anak
Yerubaal, sama seperti yang Yotam nubuatkan (Hakim 9:19-20; Hakim 9:46-49).
Daripada pembalasan dendam
kepada penaklukan!
Kemenangan Abimelekh yang
dianugerahkan Tuhan itu menjadikannya begitu sombong dan tamak sekali sehingga
dia ingin menakluk kota-kota yang tidak bersalah. Keesokan paginya dia maju ke
kota Tebes kira-kira sepuluh batu di timur laut. Dia telah menerima berita
bahawa kebanyakan penduduk di situ tidak menyukai kepimpinannya. Keinginan
berdendamnya hanya mahu menghapuskan mereka, sama seperti yang dilakukannya
kepada semua yang menghalangnya dalam laluan cita-cita politiknya. Abimelekh
tidak sedar bahawa Tuhan telah mengizinkannya menghapuskan Sikhem hanya kerana
peranannya dalam pembunuhan-pembunuhan khianatnya itu.
Apabila dia sampai ke Tebes, warga
kota di situ begitu takut sekali sehingga mereka melarikan diri ke satu kubu
bertembok yang tinggi di dalam kota itu. Tentera Abimelekh mendekati kota itu,
dan berkumpul di kubu tinggi di dalamnya. Tatkala dia menghampiri menara itu
untuk membakarnya, seorang perempuan menjatuhkan satu bongkah berat daripada
batu kilangan yang sudah pecah ke atas kepalanya dan memecahkan tengkoraknya
(Hakim 9:50-53).
Abimelekh memanggil pembawa
senjatanya, “Jangan biarkan orang berkata bahawa seorang perempuan telah
membunuh aku! Tikam pedangmu padaku! Sekarang!”
Jadi hambanya menikamnya, dan dia
mati. Apabila orang Israel melihat bahawa Abimelekh telah mati merekapun pulang
(ayat 54-55).
Abimelekh menolak pengajaran
daripada pengalaman-pengalaman orang lain yang menderhaka terhadap Hukum-hukum
Tuhan. Hanya mereka yang ingin mentaati Tuhan dapat belajar daripada
peristiwa-peristiwa tragis sebegitu (Roma 15:4; 2 Timotius 3:16).
Pemerintahan Abimelekh mewakili
cubaan pertama untuk merampas kuasa Sanhedrin (sidang pemerintah) bagi raja.
Gideon mempunyai tujuh puluh orang anak lelaki, yang melambangkan sidang para
tua-tua. Kita melihat bagaimana Abimelekh membunuh saudara-saudaranya sendiri,
tujuh puluh orang itu, untuk merebut kepimpinan. Dia bukan salah seorang
daripada dua belas hakim tetapi dia seorang raja palsu.
Dari segi rohaniah perempuan yang
membunuh Abimelekh itu melambangkan Jemaat yang mengatasi Iblis yang memerangi
tujuh puluh daripada Angkatan syurgawi itu.
Ramalan malapetaka dalam Israel
oleh Yotam itu bukan ramalan kosong semata-mata. Tuhan telah mendatangkan
kebinasaan pada para pembinasa itu (ayat 56-57). Segala kesusahan dan
kesengsaraan itu sudah tentu dapat dielakkan jika bangsa itu telah menjauhi
tuhan-tuhan pagan dan sudi mempelajari jalan hidup yang betul dan bahagia
dengan mentaati segala Hukum Tuhan. Tuhan telah berjanji bahawa semuanya akan
berjalan baik bagi mereka yang mentaati (Ulangan 6:3). Namun Iblis telah
mengusulkan bahawa lebih baik memilih apa saja jalan hidup yang kelihatan
paling mudah dan paling menyenangkan dan menunggu melihat apa terjadi (Kejadian
3:4-6).
Malangnya, hampir setiap keturunan
Israel lebih suka mengikut jalan kedua itu dan mempelajari prinsip-prinsip
hidup dengan cara yang paling susah dan sengsara sekali. Kebanyakan umat
manusia terus mempercayai pepatah lama yang memperdayakan itu bahawa pengalaman
ialah guru terbaik. Pengalaman sebenarnya merupakan guru paling buruk
disebabkan kecelakaan dan dukacita yang menyertainya.
Tola
Selepas kematian Abimelekh, orang
berikutnya yang menjadi hakim di Kanaan utara ialah Tola bin Pua. Dia berasal
daripada suku Isakhar.
Tola memimpin Israel utara selama
dua puluh tiga tahun. Dalam waktu ini bahagian negeri itu damai kerana ibadat
tuhan-tuhan pagan dan berhala telah hampir berhenti sepenuhnya (Hakim 10:1-2).
Yair
Setelah Tola meninggal, seorang
bernama Yair bangkit berkuasa di Israel timur. Dia mempunyai tiga puluh anak
lelaki dewasa yang menolongnya memelihara kuasa sebagai wali kota atau
pemerintah-pemerintah tiga puluh kota di Kanaan utara. Yair dan anak-anaknya
memilih untuk memerintah menurut Hukum-hukum Tuhan, dan selama dua puluh dua
tahun lagi semuanya baik bagi orang Israel di wilayah itu (ayat 3-5).
Kematian Yair mencetuskan
kembalinya orang Israel di Kanaan utara kepada keberhalaan. Perlahan-lahan
mereka mula menyembah tuhan-tuhan asing dan melupai berkat-berkat indah yang
banyak hasil daripada mentaati Tuhan mereka, seperti kedamaian, kesihatan dan
kemakmuran.
Disebabkan keingkaran orang Israel,
Tuhan menjadi semakin murka. Dia mengizinkan dua bangsa suka berperang yang
berdekatan untuk mengirim perajurit-perajuritnya ke dalam negeri itu. Mereka
ialah orang Amori dan orang Filistin yang menindas semua orang Israel di
sebelah timur Yordan di Gilead selama lapan belas tahun. Orang Amon juga
menyeberangi Yordan untuk berperang terhadap Yehuda Benyamin dan Efraim; dan
Israel menjadi sangat terdesak (Hakim 10:6-9).
Waktu itu barulah bangsa itu mula
memanggil Tuhan. Mereka mengakui dosa mereka menyembah tuhan-tuhan lain, dan
memohon pengampunan serta pertolongan.
Tuhan menjawab, “Tidakkah aku menyelamatkan
kamu sebelumnya daripada orang Mesir, orang Amori, bani Amon, orang Filistin,
orang Sidon, suku Amalek dan suku Midian (Maon)? Kamu meminta pertolongan bila
kamu dalam bahaya, dan aku melepaskan kamu daripada semua musuh ini. Kemudian
kamu berpaling dan meninggalkan aku! Haruskah aku selamatkan kamu lagi?
Panggillah tuhan-tuhan paganmu untuk menyelamatkan kamu!” (ayat 10-14).
Orang Israel tahu lebih baik
daripada mensia-siakan doa mereka dengan tuhan-tuhan kafir pada waktu
kesusahan. Mereka sedar bahawa hanya Tuhan Israel saja yang boleh menolong
mereka, dan mereka meneruskan rayuan mereka meminta pelepasan.
Akhirnya -- pertaubatan!
“Lakukan kepada kami apa yang
engkau hendak!” mereka merayu. “Tetapi buat masa ini, kami meminta engkau
menyelamatkan kami daripada musuh kami!”
Lalu mereka membuang tuhan-tuhan
asing di kalangan mereka dan beribadat kepada Tuhan dan dia berasa kasihan
terhadap Israel.
Sekali lagi, selepas lapan belas
tahun penindasan, Pencipta yang maha mengasihani bertindak untuk menyelamatkan
umat pilihanNya (Hakim 10:8). Dia memerintah mereka supaya seberapa ramai yang
boleh pergi berkumpul untuk bertemu musuh itu di negeri di timur Yordan, dan
Dia akan menolong mereka.
Orang Israel tidak teratur, tetapi
khabar indah ini menggerakkan mereka untuk bertindak.
Tidak lama kemudian berita
perkumpulan besar ini sampai kepada orang Amon, yang sudahpun sedia untuk
serangan terakhir ke atas suku setengah Manasye dan suku-suku Ruben dan Gad di
Kanaan timur. Tindakan Israel itu mempercepatkan lagi tindakan orang Amon, yang
tidak menjangkakan apa-apa tentangan besar-besaran.
Namun hakikatnya ialah tentera
Israel yang begitu cepat diaturkan belum lagi mempunyai kepala atau panglima!
Para pemimpin bangsa di Gilead berkata sesama sendiri, “Sesiapa yang memulai
serangan terhadap orang Amon akan menjadi kepala kepada semua penduduk di
Gilead (ayat 17-18).
Rujukan:
Simson dan Para Hakim (No.
73)
New
International Version Study Bible
q