Jemaat-jemaat Allah Al Masehi
[CB58]
Yefta
(Edisi 1.0 20060513-20060513)
Yefta orang Gilead ialah seorang pahlawan gagah perkasa tetapi dia merupakan buangan masyarakat dan saudara-saudara tirinya menghalaunya daripada keluarga. Apabila Gilead berada dalam kesusahan, para tua-tua pergi kepadanya dan meminta pertolongannya dan menjadikan dia kepala mereka. Karya ini telah disesuaikan daripada Bab-bab 66-67 The Bible Story Volume III oleh Basil Wolverton, Diterbitkan oleh Ambassador College Press..
E-mail: secretary@ccg.org
(Hakcipta ã 2006 Jemaat-jemaat Allah Al Masehi,
ed. Wade Cox)
(tr. 2009)
Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan. Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan. Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.
Karya
ini boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org dan http://www.ccg.org
Yefta
Kita sekarang teruskan dari karya Abimelekh Raja Palsu (No.
CB57).
Tuhan memilih sesiapa yang
ditolak manusia
Sementara itu, dekat sempadan timur
wilayah Manasye di Gilead, ada seorang yang keras tabiatnya bernama Yefta.
Bapanya ialah Gilead daripada suku Manasye, tetapi sebab ibunya bukan isteri
sah bapanya, saudara-saudara tirinya (ibu mereka isteri sah bapa mereka) tidak
mahu dia berkongsi milik pusaka mereka. Ditolak oleh keluarganya sendiri, Yefta
meninggalkan rumah ketika masih sangat muda dan membiasakan dirinya dengan cara
hidup di padang gurun (Hakim 11:1-3).
Dia menjadi amat terlatih dalam
berkuda, memburu dan bertempur. Lama kelamaan dia berjaya menjadi seorang
pemimpin suku, pembangun suatu tentera peribadi yang kecil yang ditakuti
suku-suku nomad agresif dan pembela orang lemah dan miskin. Yefta sebenarnya
pemimpin sekumpulan orang yang bukannya lain daripada lanun padang gurun yang
licik, tetapi dia menjadi terhormat dan terkenal di bahagian negeri ini. Dia
mendapat nama kerana hanya merampas jarahan daripada kumpulan-kumpulan perompak
dan pembunuh kejam, khasnya orang Amon.
Di Mizpa orangnya semakin khuatir
tentang siapa yang harus dipilih untuk mengepalai tentera Israel. Mereka kini
sedar orang yang mereka buang sebab sikap benar diri mereka merupakan
satu-satunya harapan mereka. Para tua-tua Gilead pergi untuk mendapatkan Yefta
dari tanah Tob. “Datanglah, jadilah panglima kami supaya kami dapat memerangi
orang Amori”, kata mereka (Hakim 11:4-6).
Yefta berkata, “Bukankah kamu
membenci aku dan mengusir aku dari rumah bapaku? Kenapa kamu datang kepadaku
sekarang ketika kamu dalam kesusahan?”
Para tua-tua menjelaskan, “Apa
sekalipun kami di sini untuk meminta bantuanmu melawan orang Amon. Kamu akan
menjadi kepala kami atas seluruh penduduk Gilead (ayat 7-8).
Yefta menjawab, “Jika aku membawa
tenteramu melawan orang Amon, dan Tuhan membuatku menang, benarkah aku akan menjadi
kepala atas kamu?”
Para tua-tua itu menjawab, “Tuhan
saksi kami; kami pasti akan lakukan seperti yang kamu katakan.” Maka Yefta
pergi bersama mereka ke Gilead dan dia dijadikan kepala dan panglima atas
mereka (ayat 9-11).
Beberapa hari kemudian di Mizpa,
Yefta mengirim utusan kepada Raja Amon, yang berkhemah dengan tentera yang
besar di selatan Sungai Yabok di wilayah Gad. Dia bertanya raja itu kenapa dia
datang memerangi suku-suku Israel timur laut.
Para utusan itu kembali segera
dengan jawapan pendek raja Amon: “Bani Israel merampas tanahku pada waktu
mereka datang dari Mesir. Aku di sini dengan tenteraku untuk menuntut kamu
mengembalikannya kepada aku. Ia seluruh wilayah di timur Yordan antara
sungai-sungai Arnon dan Yabok” (Hakim 11:12-13).
Yefta mengirim balik pesan kepada
raja: “Israel tidak merampas negeri Moab mahupun negeri bani Amon.”
“Ketika Israel tiba dari Mesir
melalui padang gurun, Laut Teberau dan Kadesh, utusan dikirim kepada raja Edom
meminta izin untuk berjalan melalui negerinya. Dia menolak. Izin diminta
daripada raja Moab untuk berjalan dengan damai melalui Moab, dan dia juga
menolak. Setelah orang Israel berkhemah di Kadesh untuk beberapa lama, mereka
berangkat ke timur laut, dengan hati-hati supaya tidak salah masuk ke dalam negeri
Edom dan negeri Moab, atau mengganggu orang-orang itu tatkala mereka berlalu.”
“Israel mengirim utusan kepada
Sihon di Hesybon, raja Amori, meminta izin untuk berjalan melalui negerinya.
Negerinya itu ialah negeri ini yang menjadi soal sekarang. Orang Amori
sebelumnya telah merampasnya daripada orang Amon, dan Amon tidak pernah
mendapatnya kembali. Daripada menunaikan permintaan untuk mengizinkan Israel
melalui negerinya, raja Sihon cuba menghapuskan Israel dengan pedang. Tetapi
dia dikalahkan. Tuhan Israel kemudian menyerahkan negeri orang Amori kepada
Israel sebagai harta milik. Ini termasuk wilayah dari Sungai Arnon sampai
Sungai Yabok, dan dari Sungai Yordan ke timur sampai padang gurun. Semua itu
ialah batas-batas tanah yang kamu kata milikmu, tetapi kenapa kamu tidak pernah
menuntutnya?” (Hakim 11:14-23).
“Tuhan kami merampas negeri itu
daripada orang Amori dan menyerahkannya kepada kami. Seandainya tuhanmu Kamos
memberi kamu sesuatu, tidakkah kamu merasakan bahawa kamu pemiliknya yang
sah? Sama ada itu negeri yang kamu
katakan atau mana-mana negeri lain, jika Tuhan kami mengusir penduduknya, kami
akan memiliki negeri itu!”
Orang Amon menolak keputusan
Tuhan
“Adakah kamu lebih baik daripada
Balak, raja Moab, yang tahu lebih baik daripada berperang melawan Israel ke
atas kota-kota dan wilayah yang diketahuinya hak milik Israel? Pernahkah dia
menuntut supaya kami memberinya tanah Moab yang direbut orang Amori? Jika
engkau rasakan tempat-tempat yang direbut orang Amori ini harus diambil balik daripada
Israel, kenapa kamu tidak berbuat sesuatu dari dulu lagi?”
“Memikirkan semua ini, engkau harus
jujur mengaku bahawa Israel tidak melakukan apa-apa untuk membuat kamu
mengancam bangsa ini atau berperang. Sebaliknya, engkau berbuat salah mengancam
perang terhadap Israel!”
“Biarlah Tuhan Israel, Tuhan
Mahatinggi, mengadili hal ini antara Israel dan Amon!”
Raja Amon tidak menghiraukan pesan
yang dikirim Yefta kepadanya (Hakim 11:24-28).
Lalu roh Tuhan turun pada Yefta.
Dia pergi ke seluruh Israel timur dan merekrut lebih ramai perajurit malah
mengirim utusan menyeberangi Yordan untuk meminta bantuan suku Efraim. Dia
menyuruh para pegawainya menyediakan tentera Israel untuk bergerak. Sementara
persiapan sedang dibuat, Yefta dengan bodohnya mengucapkan satu nazar yang
sangat luar biasa dan tidak patut, memikirkan peluangnya untuk menang akan
lebih besar lagi sekiranya dia dapat menjanjikan sesuatu kepada Tuhan sebagai
balasan (Hakim 11:29-31; 12:1-2).
“Jika engkau memberi kami
kemenangan dalam perang dan jika aku diizinkan kembali dengan damai, maka aku
akan menyerahkan kepadamu apa saja yang mula-mula keluar dari pintu rumahku
untuk menemui aku,” dia berkata kepada Tuhan, “dan, aku akan mempersembahkannya
sebagai korban bakaran!”
Tuhan tidak menyetujui nazar yang
diucap sembarangan ini dan sudah pasti menolong Yefta kalaupun dia tidak
membuat nazar itu. Tetapi tidak kira apa yang Tuhan fikirkan tentang nazar itu,
Dia menolong Israel menyerang orang Amon dengan kekuatan yang menghancurkan.
Pertempuran itu meliputi satu kawasan tiga puluh batu yang membabitkan dua
puluh kota. Bila semuanya selesai, orang Amon kalah sama sekali. (ayat 32-33).
Namun rasa senang kemenangan itu
segera bertukar pahit untuk Yefta. Keberanian dan ketulusannya telah membawakan
kemenangan tetapi tiadanya pertimbangannya yang baik bakal mendatangkan
kesedihan. Tatkala dia menghampiri rumahnya sekembalinya dia dari medan perang
di timur Yordan, anak perempuannya yang muda (anak tunggalnya) keluar
menari-nari dari rumah.
Dia tercegat terkelu, mengingati
bahawa dia telah bernazar untuk menyerahkan kepada Tuhan apa saja yang datang
untuk menemuinya! (Hakim 11:34).
Melakukan apa yang nampak
betul
Waktu itu dia mengingati nazar yang
telah dibuatnya kepada Tuhan sebelum pertempuran itu. Yefta begitu susah hati
sekali sehingga dia mengoyakkan bajunya. Sementara anak perempuannya bergegas
untuk menemuinya, dia merangkul anaknya dalam pelukan penuh sayang. Kemudian
dia memberitahunya tentang nazar yang dibuatnya. Ini satu kejutan baginya, tetapi
dia tidak mengeluh.
“Jika engkau telah bernazar kepada
Tuhan,” dia berkata kepada bapanya, “maka engkau harus menunaikannya. Tuhan
memberimu kemenangan atas orang Amon, seperti yang engkau minta, jadi
lakukanlah kepadaku menurut janjimu dalam hal ini.”
Nazar kepada Tuhan harus jarang
sekali dibuat, kalau adapun. Yefta baru sedar yang dia memang amat bodoh sebab
membuat nazar terburu-buru begitu. Namun, sebab dia berpendapat semua nazar
adalah wajib, dia memutuskan untuk melaksanakannya, walaupun Tuhan pasti tidak
menyetujui tindakan sebegitu.
“Sebelum aku pergi,” kata anak
perempuan Yefta kepadanya, “Aku ingin dua bulan untuk mengunjung teman-temanku
yang tinggal di pelbagai tempat di gunung-gunung berdekatan, sebab aku tidak
akan melihat mereka lagi!”
Yefta dengan cepat bersetuju (Hakim
11:35-38). Pada akhir dua bulan itu anaknya yang patuh itu pulang. Alkitab
tidak menjelaskan perincian peristiwanya kemudian. Ia hanya mengakhiri: “…dan
ayahnya melakukan kepadanya apa yang telah dinazarkannya itu …” (Hakim 11:39).
Walaupun sesetengah pengulas berpendapat Yefta mengekalkan anaknya seorang
perawan, orang Yahudi dan kebanyakan pengulas memahami kisah tragis ini
sebagaimana ia dijelaskan dalam Alkitab Versi Diabsahkan (Authorized Version).
Pengajaran
sini ialah tiada seorangpun dalam Israel diikat oleh sesuatu nazar, yang
melanggar hukum Tuhan. Yefta mempelajari pengajaran yang besar sekali. Dia
mengetahui, melalui tragedi ini, pengajaran iman sebenar – bahawa seseorang
tidak perlu bernazar kepada Tuhan untuk mendorong Dia melakukan apa yang Dia
sudah janjikan. Apa yang Tuhan jangkakan adalah supaya kita belajar
mempercayaiNya dalam segalanya. Setelah Yefta akhirnya mempelajari pengajaran
itu, dia menjadi seorang teladan iman yang terkenal. Malah Paulus menyebut
tentang dia dalam Ibrani 11:32 sebagai salah seorang teladan iman terbaik dalam
Perjanjian Lama.
Selepas itu
telah menjadi adat di Israel untuk anak-anak perempuan meratap selama empat
hari setiap tahun untuk anak perempuan Yefta (Hakim 11:40).
Yefta
dan Efraim
Orang Efraim sakit hati kerana
mereka tidak diberi bahagian dalam kehormatan yang diperolehi tentera Yefta
sebab melawan bani Amon. Malah, mereka begitu jengkel sekali sehingga mereka
membentuk satu tentera dan menyeberang ke Zafon untuk menghadapi Yefta.
“Kenapa engkau tidak membawa kami
bersama dalam perangmu dengan bani Amon?” mereka bertanya dengan marahnya.
“Kami akan membakar rumahmu bersama-sama kamu!”
“Kami kesuntukan waktu dalam
persiapan melawan bani Amon,” dia menjelaskan. “Kalaulah kamu mahu menolong
masa itu, kamu tentu dapat memberi dengan sukarela berapa saja bilangan orang
yang kamu dapat kumpulkan dengan cepat ketika aku meminta pertolonganmu. Tetapi
kamu tidak mengirim seorangpun. Jadi sekarang kamu tiada sebab baik untuk
merungut. Beribu-ribu orang, termasuk diriku sendiri, mempertaruhkan nyawa
mereka melawan musuh, tetapi Tuhan menyelamatkan kami dan semuanya selesai.
Oleh sebab itu, apakah sebabnya kamu membawa tentera untuk melawan aku?” (Hakim
12:1-3).
“Kamu penduduk Gilead ialah
pengkhianat dari Efraim dan Manasye!” mereka berteriak. “Kamu hanyalah buangan
dan sampah Israel!”
Semua penghinaan tidak berasas ini
menyakitkan hati orang Gilead, dan pertempuran segera berlaku.
Suku Efraim telah datang sebagai
pihak marah, tetapi orang-orang Yefta, selepas semua kata-kata menghina itu,
lebih marah lagi, dan mereka menyerbu saudara-saudara mereka itu dengan kuat
sekali sehingga mereka cepat mengalahkan orang Efraim, yang berpecah dan lari
ketakutan dan kebingungan ke sana sini. Yefta tahu mereka akhirnya akan
bertindak untuk menyeberangi Yordan ke barat untuk kembali ke wilayah mereka di
selatan, jadi dia memerintahkan orang-orangnya bergegas ke tempat-tempat
penyeberangan sungai itu. Dia menganggap orang yang mempunyai sikap buruk
seperti itu harus dihukum, dan Tuhan mengizinkannya melakukan perkara itu.
Pada mulanya orang Gilead sukar
mengenal pasti orang sebab ramai sekali orang yang menyeberang Yordan. Untuk
menyeberang dengan selamat, suku Efraim cuba berlagak seperti orang dari timur
Yordan supaya mereka tidak diserang. Kemudian seseorang terfikirkan cara baik
untuk memastikan mana satu orang Efraim. Setiap orang, ketika mendekati sungai
itu, diminta untuk menyebut perkataan “syibolet.” Orang-orang dari timur Yordan
dapat menyebutnya dengan betul, tetapi suku Efraim, oleh sebab cara berbicara
mereka yang khusus, tidak dapat menyebut “syibolet” tetapi bertegas ia
“sibolet.” Semua yang salah menyebut perkataan itu dibunuh. Setelah hal itu
selesai, empat puluh dua ribu orang Efraim sudah mati! (Hakim 12:4-6).
Yefta mengalami perang dengan
saudara-saudaranya ini kerana kesalahannya dalam membuat nazar kepada Tuhan.
Yefta memerintah Israel selama enam tahun. Selepas itu dia meninggal dan
dikubur di Gilead (ayat 7).
Ebzan, Elon dan Abdon
Ketika dua puluh lima tahun
seterusnya tiga hakim lain memerintah wilayah Israel itu.
Mereka ialah:
Ebzan dari Betlehem yang memimpin
Israel selama tujuh tahun. Dia mempunyai tiga puluh anak lelaki dan tiga puluh
anak perempuan. Dia mengahwinkan anak-anak perempuannya kepada mereka yang di
luar kaumnya dan membawa masuk tiga puluh perempuan muda dari luar kaumnya
sebagai isteri-isteri kepada anak-anak lelakinya. Ini mewakili sidang dalaman.
Sesudah dia meninggal, Elon orang
Zebulon memimpin Israel selama sepuluh tahun.
Selepas Elon, Abdon dari Piraton
memimpin Israel selama lapan tahun. Dia mempunyai empat puluh anak lelaki dan
tiga puluh cucu yang menunggangi tujuh puluh keldai jantan. Ini mewakili
keseluruhan sidang tujuh puluh dipulihkan.
Mereka tidak berbuat apa-apa yang
luar biasa khususnya, tetapi dalam waktu mereka adanya sedikit sebanyak kedamaian dan kemakmuran di
wilayah itu (Hakim 12:7-15).
Kelahiran Simson
Sekali lagi Israel berbuat jahat di
hadapan Tuhan, jadi Tuhan menyerahkan mereka ke dalam tangan orang Filistin
selama empat puluh tahun.
Pada zaman itu ada seorang dari
suku Dan bernama Manoah yang tinggal di kota Zora, yang berada di dalam wilayah
Dan dekat sempadan antara Dan dan Yehuda. Ini terletak kira-kira dua puluh batu
di barat Yerusalem, dan dalam kawasan yang ditakluki oleh orang Filistin.
Manoah sudah berkahwin selama
beberapa tahun, dan walaupun dia berharap mempunyai keluarga yang besar,
isterinya tidak mendapat anak. Lama kelamaan, pasangan ini terpaksa akur dengan
kemungkinan bahawa isteri Manoah tidak dapat mengandung.
Satu hari ketika isteri Manoah
bersendirian, Malaikat Tuhan datang kepadanya dan berfirman, “Aku tahu engkau
tidak dapat beranak, tetapi aku ingin engkau tahu bahawa tidak lama lagi engkau
akan melahirkan seorang anak lelaki. Dengarlah perintahku. Anakmu ini akan
menjadi seorang nazir dari waktu dia lahir sampai kematiannya. Jangan minum
anggur atau minuman keras dan jangan makan makanan haram. Anakmu ini akan
membesar menjadi seorang yang amat istimewa yang akan memulakan penyelamatan
Israel daripada kuasa orang Filistin!” (Hakim 13:1-5).
Apa yang isteri Manoah lakukan
selepas itu akan diceritakan beberapa perenggan kemudian. Nazar seorang nazir
harus dijelaskan dahulu. Ketika orang Israel berkhemah di Gunung Sinai dan
menerima daripada Tuhan petunjuk lengkap tentang bagaimana untuk menjalani
hidup mereka dengan betul, arahan-arahan itu termasuk apa yang harus dilakukan
sekiranya seseorang memilih untuk menyerahkan dirinya untuk melayani secara
khusus kepada Tuhan untuk seberapa lama waktu yang dipilih, sama ada untuk
sebulan, setahun, atau beberapa tahun. Janji untuk membuat pelayanan khusus
seperti itu dikenali sebagai nazar seorang nazir.
Sesiapa yang membuat nazir begitu
harus melakukan tiga perkara: Tidak meminum minuman keras atau memakan anggur
atau apa saja hasil anggur seperti cuka atau kismis; tidak menyentuh
bangkai/mayat; tidak memotong rambut (Bilangan 6). Anak Manoah harus mentaati
semua peraturan ini seumur hidupnya, dan isteri Manoah harus mematuhi semuanya
sehingga anaknya cerai susu.
Nazar orang nazir tidak lagi perlu
sejak Mesias yang sendirinya bukan seorang nazir. Daripada catatan Alkitab,
Kristus tidak pernah mengambil sumpah seorang nazir pada mana-mana peringkat
pelayanannya.
Sesudah Manoah pulang, isterinya
segera pergi kepadanya dan dengan asyiknya memberitahunya semua yang telah
terjadi.
“Aku bertanyakan namanya tetapi dia
tidak menjawab pertanyaanku dan tidak mengatakan dari mana dia datang!” dia
menyahut” (Hakim 13:1-7).
Kemudian Manoah berdoa kepada Tuhan
dan meminta supaya Malaikat Tuhan diutus sekali lagi untuk mengajar mereka
bagaimana untuk mengasuh anak yang bakal lahir itu.
Beberapa hari kemudian, ketika
isteri Manoah berada di ladang Malaikat Tuhan datang sekali lagi, tetapi
suaminya tidak bersama dia. Dia berlari kepada suaminya untuk memberitahunya
bahawa orang yang meramalkan yang dia akan mendapat anak telah hadir sekali
lagi. Manoah bergegas kembali bersama isterinya dan menemui seorang yang cocok
tepat dengan gambaran yang diberikan kepadanya oleh isterinya beberapa hari
lepas.
“Engkaukah yang berbicara dengan
isteriku beberapa hari lalu?” Manoah bertanya dengan sedikit ragu-ragu.
“Akulah orangnya,” orang asing itu
menjawab. “Engkau meramalkan kami akan mendapat anak,” Manoah meneruskan. “Kami
ingin tahu dengan lebih terperinci lagi bagaimana kami harus mengasuhnya.”
“Aku sudahpun memberi petunjuk
kepada isterimu,” orang asing itu menjawab. “Jika engkau patuh kepada petunjuk
itu, engkau pasti senang.” Dia kemudian mengulangi arahan-arahan itu untuk
menguatkannya dalam ingatan mereka (Hakim 13:8-14).
Manoah meminta orang itu tunggu
sehingga seekor anak kambing dapat diolah untuk jamuan khas. Orang asing itu
memberitahu Manoah bahawa dia tidak dapat tunggu untuk makan, tetapi jika dia
ingin memasak daging, daging itu harus dipersembahkan sebagai korban kepada
Tuhan.
Semakin lama Manoah berbicara
dengan orang asing ini, semakin dia ingin tahu tentang identitinya.
“Apakah namamu?” dia akhirnya
bertanya dengan berani. “Kami ingin tahu supaya kami dapat memuliakan engkau
bilamana ramalanmu digenapi dan anak kami lahir.”
“Engkau harus sudah sedar bahawa
namaku harus dirahsiakan,” orang asing itu menjawab. “Jadi janganlah engkau
bertanya tentangnya.”
Manoah masih tidak mengerti
siapakah orang itu, tetapi dia bertindak seperti dicadangkan dan meletakkan
anak kambing yang diolah di atas sebuah batu besar yang rata bahagian atasnya.
Tatkala dia melangkah ke belakang untuk memungut batang-batang kayu untuk membuat
api, orang asing itu menuding ke arah batu itu. Api melonjak naik daripadanya!
Kemudian, sementara Manoah dan isterinya memandang, dia melangkah ke atas batu
itu dan dengan ajaibnya naik ke langit dengan api dan asap itu!
Manoah dan isterinya begitu terkejut
sekali dengan pemandangan itu dan dengan kesedaran tiba-tiba bahawa orang itu
ialah pengunjung dari Tuhan sehingga mereka sujud dengan takutnya sampai ke
tanah. Bila akhirnya mereka melihat sekeliling, mereka tidak nampak apa-apa
tanda orang asing itu (Hakim 13:15-20).
“Kita sudah melihat Tuhan!” Manoah
berkata. “Tiada seorangpun dapat melihat Tuhan dan hidup! Kita pasti mati
kerana ini!”
Isterinya tidak gelisah seperti itu
tentang hal ini. Dia menghiburnya dengan mengatakan bahawa seandainya Tuhan
mahu membunuh mereka, Dia tentunya tidak menerima korban mereka dan Dia
tentunya tidak akan memberitahu mereka bahawa mereka akan mendapat seorang anak
tidak lama lagi (Hakim 13:21-23).
Pasangan ini bukan benar-benar
melihat Allah Bapa. Orang asing itu ialah Utusan Tuhan, dan makhluk yang
kemudiannya menjadi manusia Yesus Kristus.
Akhirnya seorang anak lahir bagi
isteri Manoah. Dia diberi nama Simson. Dia membesar menjadi seorang anak muda
yang luar biasa kekuatannya yang berpendapat keras bahawa sesuatu harus
dilakukan untuk membebaskan bangsanya daripada kuasa dan pengaruh orang
Filistin pagan.
Malaikat Yahovah mengatur pelepasan
Israel daripada orang Filistin oleh tangan Simson. Kita sudah belajar daripada
pelajaran-pelajaran sebelumnya bahawa Malaikat ini ialah makhluk yang
kemudiannya menjadi manusia Yesus Kristus. Simson dikhususkan sejak lahir
sebagai orang kudus kepada Tuhan. Inilah penentuan takdir umat pilihan dari
mula sejak dunia dijadikan.
Kita akan teruskan dengan kisah
Simson dalam karya Simson (No. CB59).
Rujukan:
Simson dan Para Hakim (No.
73)
New
International Version Study Bible
q