Jemaat-jemaat Allah Al Masehi
[CB103]
Raja Salomo
(Edisi 1.0 20070522-20070522)
Sesudah Salomo selesai menyiapkan tugas-tugas yang diberi bapanya kepadanya, kerajaan itu kukuh di tangannya kerana Tuhan ada bersama dia. Karya telah disesuaikan daripada bab-bab 108, 109 dan 110, Volume V The Bible Story oleh Basil Wolverton, diterbitkan oleh Ambassador College Press.
E-mail: secretary@ccg.org
(Hakcipta ã 2007 Jemaat-jemaat Allah Al Masehi,
ed. Wade Cox)
(tr. 2009)
Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan. Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan. Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.
Karya
ini boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org dan http://www.ccg.org
Raja Salomo
Kita teruskan di sini dari karya Daud Kembali ke Yerusalem
(No. CB102).
Salomo mengahwini anak
Firaun
Walaupun Tuhan telah melarang
bangsa Israel berkahwin dengan bangsa lain, Salomo membuat perikatan atau
persetujuan dengan Firaun, raja Mesir dan mengahwini anak perempuannya. Dia
membawanya tinggal di Yerusalem sampai dia selesai membina istananya dan Bait
Suci dan tembok di sekeliling kota itu (1 Raja-raja 3:1).
Pada waktu itu bangsa Israel
mempersembahkan korban-korban mereka atas mezbah-mezbah di bukit-bukit, sebab
Bait Tuhan belum lagi didirikan. Salomo mengasihi Tuhan dan mengikut segala
petunjuk bapanya Daud, melainkan dia terus mempersembah korban dan ukupan di
bukit-bukit. Mezbah paling terkenal antara semuanya berada di Gibeon dan raja
pergi ke situ dan mempersembah seribu korban bakaran (1 Raja-raja 3:2-4; 2
Tawarikh 1:1-6).
Salomo meminta kebijaksanaan
Tuhan muncul kepada Salomo dalam
mimpi dan menyuruhnya meminta apa saja yang diingininya, dan ini akan diberikan
kepadanya.
“Engkau sudah banyak memberi
kepadaku dengan berbelas kasihan kepada bapaku dan mengizinkannya duduk di atas
takhta Israel,” Salomo berkata. “Aku tidak memiliki kebijaksanaan yang aku
harus ada sebagai raja. Ada masalah dan keputusan yang membingungkan aku. Aku
ingin memilih jalan-jalan betul sebab bangsa yang besar harus mempunyai
pimpinan baik. Lebih daripada segalanya aku memilih untuk meminta daripadamu
kebijaksanaan istimewa untuk memerintah umatmu dengan betul dan adil” (1
Raja-raja 3:5-9; 2 Tawarikh 1:7-10).
Tuhan senang hati dengan jawapan
Salomo dan berkata kepadanya, “Sebab engkau telah meminta kebijaksanaan untuk
memerintah dengan baik, aku akan memberimu kebijaksanaan yang lebih besar
daripada sesiapapun manusia. Kebijaksanaanmu akan melebihi sesiapapun yang hidup
sebelum ini, dan melebihi sesiapapun yang hidup selepas ini. Aku senang hati
engkau tidak meminta umur panjang, kekayaan atau nyawa musuhmu. Oleh sebab itu
aku juga akan memberimu kekayaan. Engkau akan menjadi raja yang paling
dihormati sekali. Jika engkau mentaati segala hukumku, aku akan memberimu umur
panjang.”
Apabila Salomo bangun dia sedar itu
ialah mimpi. Ini merupakan pengalaman yang begitu menonjol baginya sehingga
sekembalinya dia di Yerusalem, dia pergi berdiri di depan Tabut Perjanjian
Tuhan dan mempersembahkan korban-korban bakaran dan keselamatan. Dia mengadakan
jamuan khas untuk hamba-hambanya dan semua yang bekerja dengannya dalam
pemerintahan Israel (1 Raja-raja 3:10-15; 2 Tawarikh 1:11-13).
Satu contoh kebijaksanaan yang
diberi Tuhan kepada Salomo ditunjukkan dalam kasus dua perempuan yang datang
menghadap raja yang menuntut anak sama kedua-duanya. Mereka diam dalam rumah
yang sama. Seorang melahirkan anak. Seorang lagi melahirkan anak tiga hari
kemudian. Perempuan yang mula-mula beranak itu menuntut bahawa perempuan
seorang lagi tidak sengaja tidur atas anaknya sendiri dan menyebabnya mati
lemas.
“Apabila dia mendapati anaknya
sudah mati,” perempuan pertama memberitahu raja, “dia masuk ke dalam kamarku
pada waktu malam, ketika aku tidur, dan mengambil bayiku daripada aku. Dia
meletakkan anaknya yang sudah mati di sampingku. Apabila aku bangun untuk
menyusuinya, aku nampak dia tidak bernyawa. Waktu itu aku ingatkan dia anakku,
tetapi pada waktu pagi aku dapati dia bukan anakku. Inilah anakku yang engkau
lihat di depanmu. Aku inginnya kembali.”
“Tetapi ia tidak terjadi seperti
katanya,” perempuan kedua berkata kepada Salomo. “Ini anakku. Aku tidak
merampasnya daripada dia. Anak mati itu kepunyaannya.”
Salomo tahu salah seorang mereka
berbohong. Dia memanggil seorang perajurit dengan pedang untuk menghadapnya.
Apabila orang ini masuk, senjata dalam tangan, Salomo menyuruhnya mengambil
anak itu.
“Potong anak ini menjadi dua!” raja
memerintah perajurit itu. “Lepas itu berikan setengah kepada perempuan ini dan
setengah lagi kepada perempuan itu.”
“Jangan!” kata ibu sebenar.
“Berikan anak hidup itu kepadanya! Jangan bunuhnya!”
Tetapi perempuan seorang lagi
berkata, “Aku dan kamu tidak akan memilikinya, bahagikan ia antara kami”.
Lalu raja berkata, “Berikan anak
itu kepada perempuan yang tidak mahu engkau membunuhnya. Dia cuba
menyelamatkannya, dan itu membuktikan dialah ibunya”.
Khabar tentang hal ini, serta
khabar lain berkenaan keputusan-keputusan Salomo, tersebar ke seluruh negara.
Rakyat sedar bahawa Salomo diilhami Tuhan. Rasa hormat terhadap raja Israel ini
bertambah dengan khabar betapa bijaknya dia menyelesaikan masalah. Tuhan
mentaati janji-janjiNya yang dibuat kepada Salomo dalam mimpi itu (1 Raja-raja
3:16-28).
Salomo semakin terkenal dan
berpengaruh
Salomo menikmati pemerintahan yang
damai dan makmur tahun demi tahun dan memerintah atas kerajaan yang bersatu.
Selain pegawai-pegawai utamanya dia mempunyai dua belas pemimpin daerah –
seorang untuk tiap suku – atas seluruh Israel. Mereka membekalkan semua bekalan
untuk raja dan seisi rumahnya. Tiap satu harus menyediakan bekalan untuk satu
bulan dalam setahun. Dari seluruh bahagian negara makanan dibawa ke meja
Salomo.
Raja Salomo memerintah dari Sungai
Efrat sampai negeri orang Filistin, dan sehingga perbatasan Mesir. Orang Israel
dan Yehuda merupakan bangsa yang puas hati dan kaya pada waktu itu. Mereka
menakluk penduduk negeri-negeri itu dan mengirim ufti (persepuluhan) kepada
Salomo dan terus melayaninya seumur hidupnya (1 Raja-raja 4:1-25).
Tuhan melarang Israel memelihara
banyak kuda sebagai sebahagian daripada tentera tetap (Ulangan 17:14-16). Tuhan
tidak mahu bangsa ini membuat jentera perang perkasa yang akan menyebabkan
mereka tidak nampak Tuhan sebagai pelindung mereka dan mencetuskan iri hati
bangsa- bangsa lain. Bagaimanapun, Salomo mengumpulkan beribu-ribu kuda perang
(1 Raja-raja 4:26-28; 2 Tawarikh 1:14-17). Apabila perang benar-benar terjadi
pada zaman kemudian, orang Israel kurang berjaya dalam perang dengan menggunakan
tentera berkuda daripada sebelum mereka tidak mempunyai apa-apa kuda untuk
digunakan.
Sebelum zaman Salomo pusat-pusat
pengetahuan dianggap berada di Mesir dan di Timur, di mana orang Arab, Kasdim
dan Persia tinggal. Dalam bangsa-bangsa ini terdapat beberapa orang yang
terkenal kerana pengetahuan mereka yang unggul (mengatasi yang biasa). Ada
peramal dan orang bijaksana, malah ahli sihir yang mendapat pengetahuan mereka
daripada iblis setan.
Sebab Tuhan telah memberi Salomo
fikiran luar biasa, pengertian baik dan pemahaman tentang orang dan
benda-benda, dia mempunyai lebih banyak kebijaksanaan daripada mana-mana orang
yang dikatakan bijak itu. Dia juga lebih berpengetahuan daripada kebanyakan
orang, dan mempunyai kebolehan hasil karunia Tuhan untuk menumpukan dirinya
dengan tekun untuk memerhati, belajar dan mengingat. Dia dapat berbicara dengan
wewenang tentang apa saja dari serangga kecil hingga binatang, dan dari
tumbuhan amat kecil sampai pohon besar. Dia banyak pengetahuan tentang sejarah,
matematik, muzik dan subjek lain. Mungkin dia mempunayi sekurang-kurangnya
pengertian asas tentang astronomi. Dia menulis lebih daripada seribu nyanyian.
Beratus-ratus pepatahnya, daripada ribuan yang dihasilkannya, dipelihara dalam
Kitab Amsal dalam Alkitab untuk pembelajaran kita. Kemasyhuran Salomo sebab
kebijaksanaan dan pengetahuannya menjadi begitu besar sekali sampai raja-raja
dari semua negara datang sendiri untuk mengutus wakil untuk bertanya pendapat
dan nasihatnya (1 Raja-raja 4:29-34).
Ini merupakan hasil karunia
daripada Tuhan. Apabila Pencipta membuat janji, Dia melaksanakannya sepenuhnya
dan seringkali lebih daripada itu.
Salomo memulakan Bait
Hiram, raja Tirus, telah sentiasa
ramah terhadap Daud. Sebagai tanda niat baik, dia telah mengirim para tukang
dan bahan-bahan, kira-kira tiga puluh tahun sebelumnya, untuk mendirikan rumah
Daud di Yerusalem. Kebanyakannya dibina dengan kayu aras yang tumbuh dekat
Tirus (2 Samuel 5:11; 1 Tawarikh 14:1).
Apabila Hiram mendengar bahawa
Salomo telah menjadi raja, dia mengutus wakil-wakilnya untuk menyampaikan
ucapan tahniah. Sebab tahu apa yang Hiram pernah lakukan untuk bapanya, Salomo
menghargainya (1 Raja-raja 5:1). Waktu itulah idea datang kepada Salomo untuk
memakai para tukang unggul Tirus untuk mengerjakan Bait itu yang diketahuinya
harus didirikan pada waktu pemerintahannya.
“Engkau tentu ingat yang bapaku
ingin mendirikan sebuah Bait yang akan dibaktikan kepada Tuhan,” Salomo
memberitahu Hiram dalam pesan balasan ke Tirus. “Dia terpaksa banyak berperang
dalam zamannya sehingga Tuhan tidak menghendaki projek sebegitu dilaksanakan.
Kini Israel dalam keamanan dan aku bermaksud untuk mendirikan Bait itu
sementara negaraku bebas daripada perselisihan. Aku dan bangsaku akan senang
hati jika negaramu dapat membekalkan kayu aras dan kayu sanobar, dan aku akan
membayarmu dengan emas, perak atau apa saja hasil Israel yang engkau ingini.
Aku juga ingin mengupah tukang-tukangmu yang pakar untuk bekerja dengan
orang-orang yang akan aku sediakan sebagai buruh” (1 Raja-raja 5:2-6; 2
Tawarikh 2:1-10).
Hiram gembira mengetahui hal ini.
Dia segera mengirim utusan kembali dengan surat kepada raja Israel.
“Aku besar hati melakukan apa yang
aku mampu untuk membantumu membangunkan Bait ini,” bunyi surat itu. “Aku akan
membekal semua kayu sanobar, kayu aras dan apa-apa lagi kayu lain engkau
perlukan. Sebagai bayaran, kami memilih untuk menerima hasil dari negaramu” (1
Raja-raja 5:7-9; 2 Tawarikh 2:11-16).
Lalu Hiram terus membekali Salomo
dengan kayu yang diingininya. Sebagai balasan, Salomo mengirim jumlah banyak
gandum, jelai, minyak dan anggur (wain). Sebahagiannya adalah untuk para
pekerja Hiram, dan sebahagiannya untuk Hiram dan seisi rumahnya. Bahagian untuk
rumahnya dikirim setiap tahun selama bertahun-tahun selepas itu. Hiram dan
Salomo juga membuat persetujuan damai secara rasmi (1 Raja-raja 5:10-12).
Kemudian Raja Salomo mengerahkan
tiga puluh ribu buruh dari seluruh Israel dan mengirim mereka bergilir-gilir ke
Libanon, sepuluh ribu sebulan. Ini bererti setiap orang berada sebulan di
Libanon dan dua bulan di rumah. Salomo juga mempunyai tujuh puluh ribu pekerja
tambahan, lapan puluh ribu tukang pahat di pergunungan serta tiga ribu tiga
ratus mandur.
Orang-orang dari Gebal menolong
tukang-tukang Salomo dan Hiram untuk menebang kayu dan membuat papan, serta
menyediakan batu untuk Bait (2 Tawarikh 2:17-18; 1 Raja-raja 5:13-18).
Pada tahun keempat pemerintahan
Salomo, dia mula membangunkan Bait Tuhan. Ini berlaku pada bulan kedua (Ziw)
dan juga tahun ke 480 selepas bangsa Israel meninggalkan Mesir. Bait dicorakkan
mengikut Khemah Tuhan dan dibahagikan kepada tiga tempat utama: Tempat
Mahakudus, Tempat Kudus dan pelataran luar. Ukuran-ukuran Bait nampaknya dua
kali ganda ukuran Khemah Suci. Lihat karya Khemah Suci dalam Padang
Gurun (No. CB42) dan Bait Suci yang Didirikan
Salomo (No. CB107).
Arkitek utama dan ahli logam dalam
projek besar ini ialah seorang dari Tirus bernama Huram (Hiram). Selain
mengatur rencana untuk Bait Suci supaya dapat dilaksanakan, dia juga
merekabentuk dan melakukan kebanyakan kerja hiasan dan benda-benda seperti
perlengkapan, meja, lampu dan tiang (1 Raja-raja 7).
Sejak Khemah Suci dibina ketika
orang Israel berada di Gunung Sinai, ia kebanyakannya diperbuat daripada kain
dan kulit supaya ia boleh diturunkan dan dibawa pergi. Kini, akhirnya, Khemah
Suci diganti dengan sebuah struktur kukuh dan indah yang diperbuat daripada
batu, kayu, emas, perak, batu permata, gambar ukiran, lenan berwarna cerah dan
pohon kurma ukiran yang sama, bunga-bungaan dan buah-buahan. Seperti dalam
Khemah asal, ada kawasan luaran, Tempat Kudus dan Tempat Mahakudus. Tabut
Perjanjian kemudiannya ditempatkan di dalam Tempat Mahakudus.
Bangunan utama mempunyai lantai
yang dilapisi dengan kayu sanobar dan dinding-dinding dalaman kayu aras.
Kedua-duanya kemudian ditutupi dengan emas. Ia bukanlah bangunan besar, tetapi
bersama-sama struktur lain, pelataran berlantai batu, menara dan tembok,
seluruhnya meliputi beberapa ekar.
Perabot-perabot Bait ada banyak,
termasuk rantai, kandil, sepit, pasu, pisau, bokor penyiraman, cawan, dan
perbaraan untuk membakar pedupaan di dalamnya. Semua in diperbuat daripada
tembaga, emas atau perak, dan dengan gaya dan keahlian yang membuatnya menonjol
dari segi rupa dan kualiti (1 Raja-raja 6 dan 7; 2 Tawarikh 3 dan 4).
Pada tahun kesebelas pemerintahan
Salomo, dalam bulan kelapan (Heshvan atau Bul), Bait itu siap dalam segala perinciannya
menurut spesifikasinya. Salomo telah menghabiskan masa tujuh tahun untuk
mendirikannya (1 Raja-raja 6:1, 37-38; 2 Tawarikh 3:1-2). Dalam beberapa bulan
seterusnya Salomo memasukkan ke dalam Bait segala perabot terbaik yang Daud
telah baktikan untuk Bait itu.
Tabut dibawa ke Bait
Setelah Bait selesai dibina Salomo
memanggil para tua-tua Israel, kepala-kepala semua suku dan ketua-ketua semua
keluarga Israel untuk membawa Tabut Perjanjian ke Yerusalem. Mereka berkumpul
pada bulan ketujuh, sebab itulah waktunya untuk Hari Raya Pondok Daun (1
Raja-raja 8:1-2; 2 Tawarikh 5:1-3).
Tidak perlu bagi raja mengundang
sesiapa ke Yerusalem untuk Hari Raya itu kerana itu perhimpunan yang
diperintahkan oleh Tuhan, dan ini masih begitu. (Lihat Imamat 23:33-35, 41;
Zakharia 14:16-19; Ulangan 16:13-15.) Mentaati Hari-hari Raya tahunan Tuhan
sama penting kepada Tuhan dan kepada semua orang taat seperti pemeliharaan
Sabat mingguan (Yohanes 4:45; 7:10; Kisah 18:21).
Beribu-ribu orang Israel
berduyun-duyun masuk ke dalam Yerusalem untuk menghadiri peristiwa terbesar
sejak pemberian Hukum Sepuluh di Gunung Sinai. Ada perbarisan rumit dalam mana
Tabut Perjanjian dibawa dari tempat di mana Daud telah menempatkannya. Para
imam dan pembantu mereka menyusuli, membawa segala peralatan mahal, seperti
pasu dan kandil, yang merupakan kelengkapan dalam Khemah Suci di padang gurun.
Tabut diletakkan dengan cermat di
sebalik tirai kudus di dalam Tempat Mahakudus, di bawah sayap-sayap dua kerub
besar yang diperbuat daripada kayu zaitun, dilapisi dengan emas. Kerub-kerub
itu mengembangkan sayap-sayapnya atas tempat Tabut itu (yang mempunyai dua
kerub lain di atas tutupnya) dan menutup Tabut serta kayu-kayu pengusungnya.
Pada waktu itu tiada apa-apa di dalam Tabut melainkan dua loh batu yang
dituliskan Hukum Sepuluh. Ia sudah berada di situ sejak Musa meletakkannya di
dalam Tabut di Gunung Sinai (1 Raja-raja 8:3-9; 2 Tawarikh 5:4-10).
Sewaktu perbarisan itu dan
peristiwa penuh upacara memperlengkapi Bait dan lama selepas itu, korban-korban
dibuat di banyak tempat di Yerusalem. Begitu banyak sekali domba dan lembu
dikorbankan dan dimakan dalam beberapa hari berikutnya sehingga bilangannya
tidak pernah diketahui atau dituliskan.
Apabila para imam berundur dari
Tempat Kudus awan memenuhi Bait itu. Para imam tidak dapat melaksanakan
pelayanan mereka sebab Kemuliaan Tuhan memenuhi Bait itu dalam awal tadi.
Salomo berpaling kepada orang ramai
dan berkata, “Inilah tanda yang Tuhan ada bersama kita! Tuhan telah menerima
Rumah yang kita dirikan untuk Dia! Ini sudah menjadi tempat kediamanNya!” (1
Raja-raja 8:10-11); 2 Tawarikh 5:11-14).
Doa pembaktian Salomo
Selepas itu Salomo memuji Tuhan
kerana keagunganNya. Dia memperhatikan bahawa Bait itu bukanlah kediaman yang
baik sangat, berbanding seluruh alam semesta, untuk Pencipta yang cukup besar
untuk memenuhi alam semesta. Salomo meminta supaya Tuhan menempatkan namaNya
pada Bait itu, bagaimana sekalipun, sebagai tempat di mana Dia akan datang
untuk berada dekat dengan umatNya, dan agar Tuhan akan mendengar segala doa
mereka, mengampuni dosa-dosa mereka sesudah mereka bertaubat, dan menyelamatkan
mereka daripada musuh-musuh mereka, kebuluran, penyakit, kemarau dan penyakit
sampar (1 Raja-raja 8:12-53; 2 Tawarikh 6:1-42).
Selepas saja Salomo mengucapkan
kata-kata akhir ucapan yang fasih bicara dan mengharukan ini kepada Tuhan, api
turun dari langit dan membakar korban-korban bakaran dan semua korban lain, dan
kemuliaan Tuhan memenuhi Bait itu.
Cara bagaimana Tuhan menunjukkan
Dia senang hati dengan Bait itu, korban-korban dan doa Salomo menyebabkan
ribuan penonton yang terkejut untuk sujud menyembah dengan muka mereka ke tanah
(2 Tawarikh 7:1-3).
Salomo membaktikan Bait
Setelah Salomo selesai semua doa
ini dia bangkit di hadapan mezbah Tuhan di mana dia telah berlutut. Dia berdiri
dan memberkati seluruh umat Israel. Kemudian raja dan seluruh Israel bersamanya
mempersembahkan korban di hadapan Tuhan. Sebab mezbah tembaga utama terlalu
kecil untuk menampung semua korban yang akan dibakar, satu lagi mezbah
sementara didirikan berdekatan (1 Raja-raja 8:54-64; 2 Tawarikh 7:4-7).
Pembaktian Bait itu berlangsung
tujuh hari dan diikuti dengan Hari Raya Pondok Daun. Salomo, dan seluruh Israel
bersamanya, merayakan Perayaan ini tujuh hari. Pada hari kelapan, iaitu Hari
Besar Terakhir, mereka mengadakan pertemuan kudus. Kemudian Salomo menyuruh
bangsa itu pergi.
Orang Israel pulang ke rumah mereka
dengan bersukacita dan gembira. Tahun itu merupakan tahun makmur bagi mereka,
dan mereka lebih dekat kepada Tuhan kerana pengalaman mereka di Bait dan ilham
serta pengajaran yang mereka terima daripada Tuhan melalui Salomo dan para imam
(1 Raja-raja 8:65-66; 2 Tawarikh 7:8-11). Betapa menakjubkan keadaannya nanti
bagi mereka yang hadir apabila Bait milenium dibaktikan.
Bertahun-tahun kemudian, Salomo
menulis satu daripada banyak pemerhatian bijaknya yang cocok sekali dengan
peristiwa itu: “Jika orang benar bertambah, bersukacitalah rakyat” (Amsal
29:2).
Istana Salomo
Projek Salomo seterusnya ialah
pendirian sebuah istana untuk dirinya. Ini mengambil masa tiga belas tahun
untuk dibina! Ini memakan lebih masa untuk dibina daripada Bait sebab kurang
orang mengerjakannya dan raja tidak begitu cemas untuk menyiapkan istana itu,
sebagaimana dengan bangunan yang dibaktikan kepada Tuhan. Bahagian utamanya
ialah satu struktur indah daripada kayu aras dan batu mahal. Dalam bahagian ini
ialah kamar takhta mewah Salomo, dilengkapi dengan benda-benda mahal dan
dihiasi batu-batu permata yang disusun dalam tempat-tempat mewah berlapis emas
. Di sinilah beribu-ribu masalah dibawa kepadanya, dan di mana dia membuat
begitu banyak pengadilan dan keputusannya yang bijak.
Satu bahagian lagi dibina untuk
isteri Salomo, puteri yang dibawa dari Mesir (1 Raja-raja 7:1-12; 9:24; 2
Tawarikh 8:11). Tempat-tempat lain mengandungi kamar jamuan, kamar permainan
dan tempat tinggal tetamu. Istana Salomo merupakan kediaman yang amat luar
biasa. Ia dikelilingi oleh serambi-serambi luas yang dibuat daripada batu-batu
besar. Di luar serambi-serambi ini ialah taman-taman indah dengan ukiran-ukiran
unik. Serambi bertiang, tiang, tembok, menara dan pintu gerbang disokong,
dihubungi atau dihiasi beratus-ratus balok kayu aras.
Seperti dengan Bait, kebanyakan
bahan untuk istana ini datang dari Tirus atau wilayah berdekatan yang ditukar
dengan hasil dari Israel. Sekali lagi Salomo mengupah tukang-tukang yang ahli
dari Tirus.
Tuhan muncul kepada Salomo
Selepas Salomo siap mendirikan Bait
dan istana, dan mencapai semua yang ingin dilakukannya, Tuhan, Malaikat Hadirat
Tuhan, menghubunginya untuk kali kedua dengan cara yang sama seperti ketika Dia
muncul kepada Salomo sesudah dia menjadi raja dan pada waktu dia membuat
korban-korban khas di Gibeon.
“Apabila engkau membaktikan Bait
itu kepadaku,” suara itu berucap, “aku menjawab doamu dengan mentahbiskan Bait
yang engkau dirikan ini dengan menempatkan namaku di sini untuk selamanya.
Mataku dan hatiku akan sentiasa berada di situ”.
“Jika engkau taat kepadaku seperti
bapamu Daud, dan jika engkau hidup menurut segala Perintah, ketetapan dan
pengadilanku, keturunanmu akan bertakhta atas seluruh Israel selamanya. Aku
membuat janji yang sama kepada bapamu. Tetapi jika engkau atau anak-anakmu
membelakangi Hukum-hukumku dan mengikut agama-agama pagan, aku akan memutuskan
Israel daripada negeri yang aku sediakan. Bangsamu akan menjadi bahan ejekan.
Aku akan meninggalkan Bait mulia itu. Ia akan runtuh, dan sesiapa yang
melepasinya akan bertanya apa yang aku telah lakukan kepadanya. Mereka akan
tahu bahawa ia terjadi kerana Israel meninggalkan Tuhan mereka, yang
menyelamatkan mereka dari Mesir. Jika mereka memilih untuk mengikut tuhan lain,
tuhan itu tidak akan mampu menyelamatkan bangsa ini daripada malapetaka yang
akan Aku timpakan pada mereka” (1 Raja-raja 9:1-9; 2 Tawarikh 7:12-22).
Selepas peringatan ini, Salomo
membaharui tekadnya untuk terus mentaati Tuhan. Niat dan sikapnya pada waktu
itu adalah betul. Dia bersyukur kerana kemakmurannya sendiri serta kemakmuran
bangsanya. Tetapi raja ini mempunyai keinginan kuat tertentu yang boleh
menimbulkan kesusahan untuk seluruh bangsa kalau tidak dikawal.
Apabila harga lengkap istana Salomo
dan bangunan-bangunan umumnya yang lain akhirnya dijumlahkan, jelas sekali
bahawa hasil dari Israel tidak cukup untuk membayar raja Tirus dengan adil
untuk segala yang dibekalinya bagi projek-projek Raja Salomo. Salomo memutuskan
untuk memberi raja Tirus dua puluh kota di Galilea.
Kota-kota ini didiami orang Kanaan
yang hidup dalam negara Israel. Raja Hiram dari Tirus tidak sabar-sabar
mengetahui apa sebenarnya yang diperolehinya, namun dia tidak puas hati. Pesan
yang dikirim Hiram selepas itu kepada Salomo bukan pesan yang menggembirakan
bagi raja Israel (1 Raja-raja 9:10-14; 2 Tawarikh 8:1-2).
Kebanyakan kerja keras di kota-kota
itu dibuat oleh orang Kanaan yang tinggal berdekatan. Orang-orang Amori, Het,
Feris, Hewi dan Yebus dikerahkan untuk bekerja, dan dianggap hampir-hampir
seperti budak (1 Raja-raja 9:15-23; 2 Tawarikh 8:1-10).
Penolakan kota-kota ini, suatu
perkara yang dianggap agak menghina oleh Salomo, bererti bahawa cara lain harus
ditemui untuk membayar hutang Israel kepada Tirus.
Dosa-dosa Raja Salomo
Untuk membayar hutang kepada raja
Tirus, Salomo menuntut orang Israel membayar lebih banyak cukai. Dengan
pendapatan tambahan ini dia juga mendirikan sebahagian daripada tembok di
sekeliling Yerusalem dan memperbaiki serta mengukuhkan beberapa kota di barat
laut dan utara.
Kira-kira waktu yang sama Salomo
meningkatkan kekuatan tenteranya dengan menambahkan bilangan penunggang kuda
dan kereta kuda. Malah dia menubuhkan tentera laut, tetapi ini lebih untuk
tujuan perdagangan daripada untuk perang. Dengan kapal-kapal ini raja berharap
untuk mengikat hubungan perdagangan dengan negara-negara jauh yang dapat
membekalkan hasil luar biasa dan benda-benda yang jarang didapati.
Orang Israel baru saja menjadi
orang pelayar. Tetapi Salomo telah meminta bantuan daripada orang Tirus, yang
mempunyai ramai pelaut kerana bangsa mereka telah hidup turun-temurun di pantai
timur Laut Besar. Orang Tirus melatih sebilangan orang Israel dalam kemahiran
pembuatan kapal dan kecekapan belayar. Mungkin kapal-kapal itu dijalankan oleh
anak-anak kapal yang lebih berupa orang Tirus daripada Israel (1 Raja-raja
9:26-28; 2 Tawarikh 8:17-18).
Pelayaran-pelayaran ini, sesetengahnya
selama tiga tahun, terbukti menguntungkan untuk Salomo. Dengan satu pelayaran
saja kapal-kapalnya akan membawa balik muatan-muatan bernilai besar.
Apabila kapal-kapal itu pulang,
mereka membawa rempah, kera, burung merak, emas, perak, gading, jenis kayu yang
jarang ditemui dan pelbagai jenis benda unik dan berharga yang amat menarik
minat serta menakjubkan ramai orang Israel yang berpeluang untuk melihatnya
atau memiliki sesetengahnya (1 Raja-raja 10:11-12,14-15,22-23; 2 Tawarikh
9:10-11,13-14,21-22).
Ratu Syeba mengunjungi
Salomo
Sementara itu khabar tentang
kebijaksanaan dan kekayaan Salomo sampai kepada Ratu Syeba dan dia datang untuk
mengujinya dengan soalan-soalan susah. Pada waktu itu Ratu Syeba memerintah
Etiopia dan Mesir.
Ratu Syeba datang bersama
gerombolan besar unta yang dimuatkan dengan rempah, emas dan batu permata.
Kekayaan ini dipersembahkannya kepada Salomo sebagai hadiah persahabatan ketika
dia tiba di Yerusalem.
Untuk menguji kekuatan fikiran
Salomo, ratu ini meminta jawapannya kepada banyak soalan sukar. Salomo memberi
jawapan-jawapan yang amat baik dan dengan cepat sekali sehingga tetamunya
terkejut. Semua jawapan yang membantu dan penuh pengetahuan yang diterimanya
itu membangkitkan dalam dirinya rasa hormat yang semakin bertumbuh terhadap
raja Israel itu.
Dalam hari-hari berikutnya dalam
kunjungannya yang panjang, ratu ini kagum dengan kecantikan Bait, keindahan
istana Salomo, rekabentuk luar biasa takhtanya, pilihan makanan yang banyak di
meja makannya, ketaatan setia hamba-hambanya, efisiensi para pegawai dan
anggota-anggota stafnya, pakaiannya yang amat bagus dan pakaian mewah
orang-orang di sekitarnya, dan cara bagaimana dia membuat persembahan kepada
Tuhannya dengan korban-korban bakaran.
“Apabila aku mendengar khabar
bangga tentang kebijaksanaan dan kemakmuranmu, aku tidak mempercayainya,” ratu
itu mengaku kepada Salomo. “Sejak datang ke sini aku dapat segala pencapaian
dan kebijaksanaanmu jauh melebihi khabar yang aku dengar. Israel tentunya
sangat gembira mempunyai raja seperti engkau. Tuhanmu tentu sekali mengasihi
bangsamu sampai mengizinkan mereka memiliki seorang raja yang begitu bijak.”
Ratu itu memberi Salomo emas yang
paling baik kualiti dan amat berharga sekali, batu-batu permata dan jumlah
rempah yang besar (1 Raja-raja 10:1-10; 2 Tawarikh 9:1-9).
Salomo memberi Ratu Syeba semua
yang diingini dan dimintanya. Sebagai tambahan dia memberinya banyak hadiah
daripada hadiah rajanya sendiri. Kemudian dia berangkat dan pulang ke negaranya
sendiri (1 Raja-raja 10:13; 2 Tawarikh 9:12).
Untuk satu waktu yang lama selepas
Ratu Syeba pergi, Salomo terus makmur. Dalam satu tahun bukan luar biasa
baginya menerima jumlah emas yang luar biasa banyaknya.
Dia diberi ufti tetap oleh
negara-negara jiran. Dia mengadakan persetujuan-persetujuan dagang dengan
negara lain. Kafilah-kafilah pedagangnya sentiasa mengembara. Salomo juga
membawa masuk kereta kuda serta kuda yang semakin banyak bilangannya. Kuda
banyak permintaannya dalam Israel (1 Raja-raja 10:24-26; 2 Tawarikh 9:23-24).
Salomo menubuhkan tentera berkuda tetap dan pasukan kereta kuda. Setelah dia
memperolehi semua kuda yang dikehendakinya, kuda-kuda yang terus datang dari
Mesir dan tempat lain dijual dengan keuntungan kepada mereka yang mengingininya
untuk tujuan peliharaan atau olahraga. Banyak bagal dari Mesir juga menambah
kepada pendapatan untuk raja (1 Raja-raja 10:28-29; 2 Tawarikh 9:25,28).
Alkitab menyatakan, secara kiasan,
bahawa perak begitu biasa sekali di Yerusalem sehingga ia umpama batu-batu di
atas tanah. Salomo memiliki begitu banyak perak dan menganggapnya bernilai amat
rendah sehingga dia tidak mengizinkan apa-apa bekas minum dalam istananya yang
diperbuat daripada perak. Semua mangkuk, piala, cawan dan gelas harus diperbuat
daripada emas. Malah sesetengah peralatan untuk tenteranya diperbuat daripada
emas bukan tembaga. Sesetengah perisai para perajuritnya yang digunakan di
pesta-pesta negara mempunyai nilai amat tinggi disebabkan kandungan emasnya.
Dengan segala pendapatan yang
diterima raja Israel ini kerana kebolehan berniaganya yang tajam, serta ufti
dan hadiah yang diterimanya, dia menjadi raja terkaya pada zaman itu. Namun ini
tidak mungkin berlaku tanpa bantuan Tuhan dengan banyak cara langsung dan tidak
langsung (1 Raja-raja 10:16-17,27; 2 Tawarikh 9:15-16,27).
Isteri-isteri Salomo
Sementara kekayaannya meningkat,
Salomo tetap setia kepada Tuhan dalam korban-korban yang dituntut tiap hari dan
dalam kebanyakan hal ketaatan yang lain. Pada waktu yang sama, dia mempunyai
satu kelemahan yang kian bertumbuh bersama-sama dengan kekayaan dan
kemasyhurannya. Ini ialah keinginan kasih ramai perempuan. Kebolehannya serta
adanya kekayaannya untuk mendapatkan mereka merupakan godaan besar kepadanya.
Meskipun dengan kebijaksanaannya, pilihan isteri-isterinya bermula dengan
pilihan seorang puteri Mesir. Mungkin ini ada kaitannya dengan perjanjian
dagang yang diadakannya dengan Mesir pada awal pemerintahannya sebagai raja
Israel. Sejak itu dia nampaknya mempunyai kegemaran istimewa terhadap perempuan
asing, termasuk orang Moab, Amon, Edom, Sidon dan Het (1 Raja-raja 11:1-2).
Angkatan berperang Israel yang kuat
terus menundukkan bangsa-bangsa pagan. Salomo bukan saja berjaya menahan mereka
dalam wilayah mereka masing-masing, tetapi dia memasukkan sesetengahnya atau
bahagian-bahagian daripada sesetengahnya dalam kerajaannya yang semakin luas.
Mereka membayar ufti mahal dengan tetap. Ini dikirim dalam bentuk emas, perak,
batu-batu permata, karya tembaga, pakaian dan ternakan (2 Tawarikh 9:26,28).
Pada waktu Israel tiba di Kanaan,
Tuhan telah melarang umat pilihanNya mengahwini orang Kanaan atau bangsa-bangsa
berdekatan. Raja Salomo, bagaimanapun, mencintai ramai perempuan asing selain
anak perempuan Firaun. Pencipta tahu bahawa perkahwinan dengan orang-orang asing
akan berkesudahan dengan orang Israel ditarik menyembah berhala dan tuhan-tuhan
palsu (Keluaran 34:11-16; Ulangan 7:1-6; 1 Raja-raja 11:2-3).
Itulah yang betul-betul terjadi
kepada Salomo, biarpun dengan fikirannya yang cerdas dan kebijaksanaannya yang
mendalam.
Dalam waktunya dia cuba memuaskan
hati isteri-isterinya yang ramai, Salomo diminta ramai mereka untuk
mempertimbangkan pengikutan tuhan-tuhan mereka yang banyak. Bila Salomo semakin
tua isteri-isterinya mengubah hatinya ke arah tuhan-tuhan lain. Dia
beransur-ansur lupa akan Tuhan dan menjadi prihatin sepenuhnya dengan hal-hal
jasmaniah.
Oleh sebab itu Salomo menitahkan
supaya kuil-kuil kecil didirikan untuk ibadat Asytoret dewi Sidon (juga
dikenali sebagai Astarte atau Easter), untuk Kamos dewa orang Moab dan untuk
Molokh dan Milkom, berhala orang Amon. Ini didirikan di atas bukit di selatan
Bukit Zaitun saja, jelas kelihatan dari Bait yang dibaktikan kepada Tuhan (1
Raja-raja 11:4-8).
Tuhan menjadi marah dengan Salomo
kerana keberhalaannya. Sama ada ia datang kepadanya dalam mimpi atau melalui
nabi tertentu yang rapat kepada Tuhan, apa yang dipelajari Salomo menjadi
kejutan kepadanya.
“Engkau telah mengabaikan amaranku
yang berulang-ulang tentang berpaling kepada tuhan-tuhan lain,” Tuhan memberitahu
raja. “Sebab engkau telah melakukan hal ini dan melanggar begitu banyak
hukum-hukumku, aku telah memutuskan untuk mengambil kerajaan Israel
daripadamu!”
“Aku akan memberikannya kepada
salah seorang hambamu. Tetapi demi Daud bapamu, aku tidak akan melakukannya
sepenuhnya sementara engkau hidup. Engkau akan hidup cukup lama untuk
menyaksikan permulaan kesusahan besar dalam bangsa ini. Sesudah engkau mati dan
anakmu mewarisi takhta, ia akan cepat diambil daripadanya. Sekali lagi, sebab
hormat terhadap Daud dan demi Yerusalem, aku akan mengizinkan anakmu
mengekalkan pimpinan atas suku Yehuda” (1 Raja-raja 11:9-13).
Bertahun-tahun sebelumnya, ketika
pemerintahan Daud, Tuhan menyelamatkan nyawa seorang pangeran Edom muda bernama
Hadad apabila Yoab cuba membunuh semua lelaki Edom. Hadad dan beberapa orang
bangsanya telah lari ke Mesir. Hadad kemudiannya kembali ke negerinya untuk
mendapatkan sebuah tentera yang kecil tetapi kuat untuk mengganggu Israel. Ini
berlaku pada waktu Tuhan memberitahu Salomo bahawa Israel akan diganggu.
Seorang lagi, namanya Rezon, panglima dalam sebuah tentera Aram yang dikalahkan
Daud, melarikan diri ke Damsyik dan menubuhkan sebuah tentera kecil lagi untuk
lebih menyusahkan lagi para perajurit Salomo. Kedua-dua orang ini digunakan oleh
Tuhan untuk mengganggu Israel, khususnya ketika hari-hari terakhir Salomo (1
Raja-raja 11:14-25).
Yerobeam memberontak
Kemudian muncullah orang ketiga
untuk menambahkan lagi kekhuatiran Salomo. Dia ialah Yerobeam, seorang yang
sangat berkemampuan yang bekerja bagi Salomo sebagai pengawas projek-projek
kerja raya di dalam dan sekitar Yerusalem. Dialah hamba yang disebut Tuhan
dalam nubuatan yang baru dibuatNya kepada Salomo.
Satu hari, ketika Yerobeam keluar
dari Yerusalem, seseorang datang kepadanya pada waktu tiada orang lain di
sekelilingnya dan meminta untuk berbicara dengannya. Pada mulanya Yerobeam
tidak mengenali orang ini, yang tiba-tiba menanggalkan kain baru yang
dipakainya. Lalu Yerobeam mengenalinya sebagai nabi Ahia, yang telah menggantikan
Natan dan Gad, nabi-nabi pada zaman Daud. Tindakan mengejut Ahia seterusnya
adalah mengoyakkan kainnya dengan keras menjadi dua belas koyakan. Dia
menyimpan dua bahagian dan menghulur sepuluh bahagian lagi kepada Yerobeam yang
kehairanan.
“Sepuluh koyakan kain in mewakili
sepuluh suku Israel,” Ahia berkata. “Ambillah.”
“Tetapi kenapa engkau memberinya
kepadaku?” Yerobeam bertanya.
“Tuhan telah memberitahu aku bahawa
Dia hampir sudah mengoyakkan kerajaan Israel daripada Salomo, dan bahawa Dia
akan memberi kepadamu sepuluh daripada suku-suku itu untuk diperintah,” Ahia
menjelaskan.
“Tetapi kenapa aku?” Yerobeam
bertanya. "Dan kenapa hanya sepuluh suku?”
“Tidak cukupkah engkau tahu Tuhan
memilihmu?” Ahia berkata. “Tidak cukupkah sepuluh suku? Demi Daud dan demi
Yerusalem, Yehuda akan kekal di bawah pimpinan keluarga Salomo. Engkau akan
menjadi raja atas sepuluh suku, yang keluarga Salomo akan kehilangan disebabkan
keingkaran raja yang berpaling kepada tuhan-tuhan pagan dan melanggar begitu
banyak Perintah Tuhan. Tuhan telah memerintah aku memberitahu engkau bahawa
jika engkau taat, engkau dan keturunanmu yang menggantimu akan terus memerintah
sepuluh suku itu” (1 Raja-raja 11:26-39).
Kemudiannya, setelah Yerobeam
merenungi peristiwa menggemparkan ini, dia hampir tidak dapat menahan dirinya.
Banyak sekali yang ingin diperkatakannya kepada keluarga dan sahabat-sahabatnya
tentang apa yang akan dilakukannya. Kata-katanya segera sampai kepada Salomo,
yang menjadi begitu iri hati dan marah sehingga dia mengirim
perajurit-perajurit mencari Yerobeam.
Salomo cuba membunuh Yerobeam
tetapi Yerobeam melarikan diri sampai Mesir, di mana raja muda di sana senang
hati memberi perlindungan kepada seorang yang berkebolehan seperti Yerobeam (1
Raja-raja 11:40).
Kematian Salomo
Salomo yang sangat bertalenta
sekali tiba-tiba mati pada umur bilamana dia patutnya berada pada puncak
kebijaksanaannya – kira-kira enam puluh tahun. Kalaulah dia taat, dia mungkin
hidup selama bertahun-tahun lagi. Wafatnya raja terkenal seperti dia merupakan
satu peristiwa penuh dukacita untuk Israel dan untuk ramai orang di luar
Israel. Salomo telah memerintah selama empat puluh tahun setelah menjadi raja
pada kira-kira umur 20 tahun (1 Raja-raja 11:41-43; 2 Tawarikh 9:29-31).
Melalui dia Tuhan bukan saja
melakukan hal-hal besar untuk Israel zaman itu, tetapi juga untuk orang-orang
hari ini yang mendapat manfaat daripada pembacaan kitab-kitab Alkitab yang
ditulis Salomo – Amsal, Pengkhotbah dan Kidung Agung. Daripada karya-karya
Salomo ini nampaknya dia telah bertaubat atas segala kesalahannya sebelum
kematiannya.
Untuk pelajaran lanjut tentang Raja
Salomo lihat karya Pemerintahan Raja-raja
Bahagian III: Salomo dan Kunci Daud (No. 282C).
q