Jemaat-jemaat Allah Al Masehi
[CB154]
Kejatuhan Babel
(Edisi
1.0 20090524-20090524)
Daniel telah mengingatkan Nebukadnezar bahawa kuasa dan harta miliknya telah datang hanya melalui tangan Tuhan, dan Tuhan boleh mengambil balik semua itu pada bila-bila masa. Bagaimanapun, raja Babel ini hanya merumuskan bahawa dia semestinya seorang yang amat istimewa dalam pandangan Tuhan sampai diberikan benda-benda istimewa begitu. Kertas ini telah disesuaikan daripada bab-bab 153-154, Volume VI The Bible Story oleh Basil Wolverton, diterbitkan oleh Ambassador College Press.
E-mail: secretary@ccg.org
(Hakcipta ã 2009 Jemaat-jemaat
Allah Al Masehi, ed. Wade Cox)
(tr. 2010)
Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan. Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan. Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.
Karya
ini boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org dan http://www.ccg.org
Kejatuhan
Babel
Kita teruskan di sini dari kertas Mimpi Nebukadnezar (No.
CB153).
Mimpi Nebukadnezar
Nebukadnezar masih banyak lagi
perlu belajar tentang betapa tidak pentingnya dia sebenarnya berbanding Tuhan,
walaupun dia kepala bangsa paling berkuasa atas bumi. Dia terlalu perasan kuasa
dan harta miliknya sehingga fikirannya dihantui hal itu.
Dia tidak sedar akan apa yang bakal
menimpanya sebab terlalu yakin. Satu malam dia bermimpi mimpi luar biasa yang
begitu menakutkan dan mengganggunya sehingga dia memutuskan untuk memanggil
menghadapnya semua yang diandaikan mempunyai pengetahuan khas dalam hal-hal
sebegitu, supaya dia dapat memastikan makna mimpi itu daripada mereka. Jadi,
pada hari tertentu, kamar takhta raja itu dipenuhi dengan ahli sihir, ahli
nujum, ahli jampi dan peramal dan dia memberitahu mereka mimpi itu.
Bagaimanapun, mereka tidak boleh menafsirkannya.
Akhirnya, Daniel (Beltsazar) segera
tiba di hadapan Nebukadnezar. “Beltsazar” ialah nama pagan yang pemimpin
pegawai istana Babel yang bertanggungjawab atas orang-orang muda telah berikan
kepada Daniel. Raja kemudian menceritakan kembali kepadanya segala yang
diberitahunya kepada para hadirin sebelumnya.
Raja berkata kepada Daniel, “Aku
tahu bahawa roh para dewa yang kudus ada dalam kamu, dan tiada rahsia yang
terlalu sukar untukmu. Beginilah mimpiku.”
“Aku bermimpi yang aku berdiri di
satu kawasan terbuka yang luas, di mana adanya satu pohon yang besar. Pohon itu
tumbuh dengan cepat sehingga dahan-dahan tepinya memenuhi langit dan
dahan-dahan atasnya tumbuh melepasi awan-awan. Daun-daunnya indah dan buahnya
berlimpahan. Burung-burung datang untuk hidup di dalam dahan-dahannya dan
binatang-binatang serta burung-burung mendapat makanan daripada kelimpahan luar
biasa pohon ini.”
“Lalu dari langit turun seorang
utusan, seorang kudus, yang berseru dengan suara kuat bahawa pohon itu harus
ditebang, dan dahan-dahannya harus dipotong, daun-daunnya digugurkan, buahnya
dihamburkan dan binatang-binatang serta burung-burung harus lari menyelamatkan
diri. Tunggul pohon itu akan ditinggalkan dan dilingkari rantai pelindung besi
dan tembaga, namun terbuka kepada unsur-unsur cuaca.
Biarlah dia dibasahi embun dan
hidup dengan binatang-binatang dan biarlah akal fikirannya diubah daripada
manusia kepada binatang sampai tujuh masa berlalu untuknya.”
Daniel Menafsirkan Mimpi itu
Daniel susah hati. Erti mimpi itu
menakutkannya.
“Jangan biar mimpi itu atau ertinya
menggusarkan kamu”, Nebukadnezar berkata.
“Aku risau hanya musuhmu saja akan
senang hati mendengar apa yang aku akan katakan,” Daniel menjawab.
“Inilah erti mimpi tuanku,” Daniel
bermula. “Pohon besar yang tuanku nampak dalam tidur itu ialah tuanku sendiri.
Tuanku sudah begitu berkuasa di dunia ini sampai ramai bergantung pada tuanku
untuk perlindungan dan makanan, sama seperti binatang-binatang dalam mimpi
tuanku yang memakan buah pohon itu.”
“Dia yang tuanku lihat dalam mimpi
yang turun dari langit dan mengatakan bahawa pohon itu harus ditebang ialah
seorang utusan daripada Tuhan. Tuhan telah memutuskan bahawa tuanku perlu
diajar kerendahan hati dan ditunjukkan betapa kecil tuanku sebenarnya bila
dibanding dengan Tuhan yang mencipta langit dan bumi.”
“Penebangan pohon itu bermakna
tuanku akan kehilangan kedudukan sebagai raja Babel.” Daniel menerangkan.
“Tuanku akan dihalau dari antara manusia dan akan hidup dengan binatang liar.
Tuanku akan memakan rumput seperti lembu dan dibasahi embun. Selama tujuh tahun
tuanku tidak akan berkuasa atas Babel atau mana-mana bangsa lain, namun Tuhan
akan melindungi kerajaan ini untuk tuanku. Ini akan dikembalikan kepada tuanku bila
tuanku mengakui bahawa Sang Mahatinggi berkuasa atas kerajaan manusia.
Bertaubatlah daripada segala dosa tuanku dan tunjukkan belas kasihan kepada
mereka yang tertindas” (Dan. 4:21-27).
Raja Angkuh Ditundukkan
Setahun selepas mimpinya,
Nebukadnezar sedang berjalan-jalan dalam istananya, khususnya senang hati
dengan pemandangan sekeliling yang mewah.
Dia berkata, “Tiada tempat seperti
Babel, kota yang aku bangunkan dengan kekuatan kuasaku untuk kehormatan dan
kemuliaan kebesaranku!”
Sebaik saja raja habis mengucapkan
kata-kata yang amat sombong ini satu suara datang dari langit.
“Nebukadnezar, engkau akan
kehilangan kerajaanmu. Engkau akan menjadi buangan dari kota ini. Daripada
hidup bersama manusia, engkau akan dihalau keluar ke padang dan hutan untuk
hidup dengan binatang! Selama tujuh tahun berikutnya engkau akan berkelakuan
dan kelihatan seperti binatang liar sampai engkau sedar sepenuhnya bahawa Tuhan
menguasai keadaan setiap orang, dan memberi serta mengambil balik daripada
sesiapa yang dipilihNya!”
Serta-merta semua yang dikatakan
tentang Nebukadnezar menjadi nyata. Dia dihalau pergi dari antara manusia dan
memakan rumput seperti lembu. Tubuhnya menjadi basah dengan embun dan rambutnya
tumbuh sepanjang bulu burung rajawali dan kukunya seperti kuku burung (Dan.
4:28-33).
Kejatuhan Kota Besar Babel
Sesudah Nebukadnezar menghabiskan
tujuh tahun dalam keadaan kekacauan mentalnya yang amat buruk, kewarasan bekas
raja itu tiba-tiba kembali kepadanya (Dan. 4:33-34). Ini seolah-olah dia
tiba-tiba sedar dirinya selepas tujuh tahun hanya sedar seperti binatang.
Nebukadnezar telah cuba meninggikan
dirinya ke tahap Tuhan, dan Tuhan\telah membuatnya jatuh ke tahap binatang. Dia
kini mempunyai gambaran lebih jelas tentang Tuhan, dan sedar bahawa Tuhan dengan
penuh belas kasihan telah membetulkan dan menundukkannya, dan dia memuji dan
memuliakan Tuhan. Bila itu terjadi, Tuhan mengaturnya supaya Nebukadnezar
diletakkan kembali dengan kukuh atas takhta Babel. Dia menjadi raja yang jauh
lebih bijak sepanjang sisa hayatnya, dan selama itu dia lebih dihormati lagi
oleh ramai orang daripada semua bangsa (Dan. 4:34-37).
Nebukadnezar menulis dekri yang
ditemui dalam bab empat kitab Daniel untuk mengajar orang lain segala
pengajaran yang dipelajarinya.
Raja Yoyakhin Dilepaskan
Nebukadnezar meninggal selepas
empat puluh tiga tahun memerintah kerajaan Babel. Dia diganti oleh anaknya
Ewil-Merodakh, dan di bawahnya keadaan dalam kerajaan itu mula bertambah buruk.
Bagaimanapun, salah satu perbuatan raja baru itu ialah membebaskan Yoyakhin,
raja Yehuda yang telah dibawa oleh Nebukadnezar ke Babel dan dipenjara hampir
tiga puluh tujuh tahun sebelumnya.
Untuk menunjukkan penghormatan
kepada raja pengikut itu, Ewil-Merodakh memberikan Yoyakhin hak istimewa
makanan raja dalam istana. Justeru Yoyakhin memakan secara tetap di meja raja
selama hidupnya (2 Raja-raja 25:27-30). Kita tidak tahu berapa lama ini
bertahan sebab selepas pemerintahan yang amat singkat saja Ewil-Merodakh
dibunuh dan seorang lain mengambil tempatnya.
Pesta Belsyazar
Selama berlakunya
perubahan-perubahan mendadak seperti itu selama beberapa tahun seterusnya,
kuasa kerajaan itu terus-menerus berkurang. [Seorang musyrik (penyembah
berhala) bernama Belsyazar telah menjadi pemerintah bersama dengan bapanya, Nabonidus,
namun masih dipanggil Putera Mahkota dalam tawarikh. Nabonidus (555-539 BCE)
merupakan seorang Asyur yang memuja dewa bulan Sin dalam bentuk purbanya dan
menjadikan anak perempuannya entu
atau imam besar perempuan (baru dilantik kembali) dewa Sin di Ur. Karya ini
menyatakan dia mungkin menantu lelaki Nebukadnezar berdasarkan fakta bahawa
teks dalam Daniel menyatakan bahawa Nebukadnezar ialah bapanya dan istilah ini
juga digunakan untuk datuk/kakek. Para sarjana mengambil ertinya sebagai
pendahulu (lihat Interpreter’s Dictionary
of the Bible, Vol. Art. Nabonidus)
sebab terdapat tiga raja yang memerintah antara Nebukadnezar dan Nabonidus.
Menjelang 539 BCE kerajaan ini berada dalam kesusahan besar pecah-belah kerana
ketidakpuasan dan ketiadaan sepuluh tahun Nabonidus di Barat (ed.)] Media dan
Persia, dua bangsa di utara dan timur, telah mengirim tentera-tentera mereka ke
arah Babel yang bertembok tinggi, yang kejatuhannya boleh bermakna kejatuhan
seluruh kerajaan Babel.
Walaupun di bawah suasana tidak menyenangkan
sebegitu, Babel kelihatan tidak boleh dicerobohi. Belsyazar mengadakan pesta
besar untuk seribu pegawainya. Ketika Belsyazar meminum anggurnya, dia memberi
perintah untuk mengambil perkakas emas dan perak yang dirampas Nebukadnezar
daripada bait di Yerusalem supaya raja dan hadirinnya dapat meminum
daripadanya.
Sementara mereka minum daripada
perkakas-perkakas itu mereka memuji dewa-dewa pagan mereka yang banyak dan
berjenis-jenis (Dan. 5:1-4).
Tulisan tangan pada Dinding
Tiba-tiba jari-jari tangan manusia
muncul dan menulis pada dinding itu.
Ketika raja melihatnya, mukanya
menjadi pucat dan dia begitu takut sekali sehingga lututnya berantukan, dan
kakinya menjadi lemas.
Raja memanggil semua ahli nujum,
peramal dan ahli sihir untuk datang dan dia berkata kepada mereka, “Beritahu
aku apa makna tulisan itu!” dia meminta. “Bagi sesiapa kamu yang boleh
melakukan ini, aku menjanjikan pakaian yang sangat baik, kalung rantai emas dan
dia akan menjadi orang ketiga dalam kekuasaan dalam kerajaan Babel!”
Semua orang “bijak” ini,
sebagaimana mereka dipanggil, mengkaji tulisan itu, namun tidak seorangpun
dapat memberitahu raja apakah dia. Belsyazar menjadi lebih takut lagi dan
mukanya bertambah pucat (Dan. 5:5-9).
Pada waktu ini ratu memasuki kamar
itu dan berjalan ke arah Belsyazar.
“Ya raja, hiduplah selamanya!” dia
dengan hormatnya berucap. “Jangan gelisah atau terkejut. Di sini dalam kota ini
ada seorang yang pernah mengepalai orang-orang bijaksana. Nebukadnezar
memberinya pangkat itu bila orang ini memperlihatkan pengetahuan dan pengertian
luar biasa. Orang bernama Daniel ini, yang raja panggil Beltsazar [nama itu
diberi bagi pihak raja oleh pemimpin pegawai istana seperti yang kita lihat
dalam Daniel 1:7], memiliki roh dewa-dewa dalamnya. Dia mempunyai kebolehan
untuk menafsirkan mimpi dan menyingkap erti-erti tersembunyi. Panggillah Daniel
dan dia akan memberitahu tuanku apa maksud mimpi itu.”
Selepas seketika seorang perajurit
membawa masuk Daniel, yang kini seorang tua. Daniel telah kehilangan pangkat
tingginya dalam kerajaan itu tidak lama selepas kematian Raja Nebukadnezar.
Belsyazar Mengetahui Nasibnya
“Aku telah mendengar tentangmu dan
kebolehanmu yang unik,” Belsyazar berkata. “Aku sudah bertanya ramai orang
untuk memberitahu aku makna huruf-huruf pada tembok ini, tetapi mereka telah
gagal. Jika kamu berjaya, kamu akan menerima ganjaran pangkat orang ketiga
dalam kekuasaan dalam kerajaan ini. Selain itu, engkau akan diberikan pakaian
baik dan kalung emas yang amat baik!” (Dan. 5:10-16).
“Aku tidak mengingini ganjaran
tuanku,” Daniel memberitahu raja. “Aku lebih suka tuanku menyimpannya atau
memberinya kepada orang lain sesudah aku memberitahu makna kata-kata yang
ditulis pada dinding itu. Namun, mula-mula sekali, ada beberapa hal lain yang
tuanku harus ketahui. Bertahun-tahun dahulu kakek tuanku Raja Nebukadnezar
memperolehi banyak harta milik, kebesaran, kemuliaan dan penghormatan. Semua
itu menjadikannya seorang yang angkuh dan sombong yang mencabut atau melepaskan
nyawa sesuka hatinya. Dia tidak mahu mengakui bahawa Tuhan Israel-lah yang
telah mengizinkannya memiliki kekayaan dan kekuasaan ini. Dengan itu, Tuhan
mengambil kerajaannya daripadanya dan membuangnya untuk hidup dengan binatang
sehingga dia dapat pelajari bahawa kehendak Tuhan mengatasi kehendak
sesiapapun. Walaupun tuanku mengetahui semua ini, tuanku juga, Belsyazar, telah
cuba meninggikan diri tuanku. Malam inipun tuanku berani menunjukkan orang lain
penghinaan tuanku terhadap Pencipta dengan menggunakan perkakas daripada bait
suci Tuhan untuk tujuan cemar meminum bagi dewa-dewa tidak bernyawa yang tuanku
puja dengan bodohnya. Sebab tuanku tidak mahu merendahkan diri dan memuji Tuhan
yang memberi tuanku nafas hidup, Tuhan telah mengirim satu tangan untuk menulis
peringatan untuk tuanku!
“Kata-kata yang tuanku lihat pada
dinding itu bermakna bahawa kerajaan tuanku sudah berakhir, yang tuanku telah
terbukti raja tidak bijaksana, dan musuh tuanku di pintu gerbang sudahpun mula
merebut kerajaan tuanku!” (Dan. 5:17-28).
(Kata-kata yang ditulis pada
dinding itu ialah Mene, Mene, Tekel, Parsin iaitu nama-nama timbangan sebagai
wang Babel. Perkataan mene diulang,
menggambarkan dua mina, tetapi perkataan itu sendiri diulangi untuk menandakan
dua entiti. Tekel bermakna syikal
yang kurang daripada mina. Parsin
ialah mina yang dibahagi. Konsep nama-nama itu berhubungan dengan raja-raja
sebelumnya selepas Nebukadnezar, Ewil-Merodakh dan Neriglissar yang
masing-masingnya seberat satu mina. Pengganti ketiga Labashi-Marduk digambarkan
sebagai hanya seberat satu syikal. Parsin mempunyai makna mina yang dibahagi
atau setengah mina. Dengan itu semua perkataan ini juga membawakan
konsep-konsep penghitungan, penimbangan, dan pembahagian. Dengan cara itu
kata-kata ini disajikan sebagai nubuatan sesuai dengan nubuatan Daniel Bab 2,
yang diberikannya kepada Nebukadnezar dan menandakan berakhirnya kepala emas
Babel serta konsep pengurangan nilai dengan setiap pemerintahan berturut-turut.
Itu akan berterusan sekarang sampai akhir zaman dan kerajaan akhir sepuluh jari
kaki besi dan tanah liat. Nubuatan ini hanya boleh difahami dengan betul
kembali pada zaman akhir tatkala fakta-fakta ini diketahui sekali lagi daripada
ilmu purbakala dan sejarah. Konsep ini dihuraikan dalam pesan Bulan Baru di http://www.ccg.org/Sabbath/2009/NM_11_17_09.html
(ed.)].
“Engkau tidak boleh katakan yang
aku tidak sekurang-kurangnya menunaikan janjiku kepadamu!” raja berseru.
Walaupun gelisah dengan semua yang
baru didengarinya, Belsyazar memerintahkan hamba-hambanya membawa pakaian baik
dan rantai emas untuk dipakaikan pada Daud segera, dan menyuruh salah seorang
pegawainya untuk memproklamasikan bahawa Daniel akan diangkat menjadi orang
ketiga dari segi kuasa dalam kerajaan Babel. Apabila Daniel meninggalkan
istana, dia berpakaian seperti mana raja titahkan dan ditunjukkan hormat yang
diberikan kepada kerabat raja.
Malam itu juga Belsyazar, raja
Babel dibunuh dan Darius orang Media mengambil alih kerajaan itu pada umur 62
tahun (Dan. 5:29-31). [Raja Media ini hampir pasti merupakan wali untuk Koresh
raja Persia sebab tarikh-tarikh Nabonidus dan Koresh saling meliputi sebanyak
dua bulan dan Alkitab pasti tentang pemerintahan Koresh sebagai pengganti
Nabonidus dan Belsyazar. Darius bukanlah nama raja Media yang dikenali sejarah.
Tablet-tablet membuktikan bahawa Astyarges ialah raja Media diketahui yang
terakhir. Darius ialah nama Persia namun maknanya mungkin telah dipakaikan
kepada Astyarges yang ditundukkan Koresh dan anak perempuannya mungkin diambil
Koresh sebagai isteri. Dengan itu dia mungkin bapa mentua Koresh. Gobryas,
jeneral Koresh, menguasai Babel secara ketenteraan sebelum Koresh tiba, tetapi
dia bukan orang Media ataupun berumur 62 tahun. Darius orang Media berumur 62
tahun, sebagaimana teks Daniel 5:31 memberitahu kita]. Raja Belsyazar tidak
hidup cukup lama untuk melihat kotanya diserbu oleh angkatan pengepung yang
dihinanya itu.
Kumpulan Pertama Buangan Pulang
[Koresh kemudian memerintah atas
orang Babel seperti diramalkan oleh nubuatan (Yer. 29:10-11) dan dalam tahun
pertama pemerintahannya atas Persia dan Babel (328-327 BCE) mengeluarkan
perintah untuk membangun kembali bait dan untuk orang buangan kembali (2 Taw.
36:22-23, Ezra 1:1-2)]
Kumpulan pertama buangan Yahudi
untuk mula berjalan ke tanah air mereka setelah menjadi tawanan orang Babel
telah dipimpin oleh Zerubabel, raja Yehuda. Kafilah panjang mereka yang terdiri
daripada kira-kira lima puluh ribu orang juga termasuk lebih 736 kuda, 245 bagal,
435 unta dan 6720 keldai.
Sebaik saja bangsa itu menetap
dalam keadaan agak selesa, kaum lelaki dipanggil ke Yerusalem oleh Zerubabel
dan Yesua untuk mendirikan kembali mezbah utama di tempat bait itu supaya
mereka dapat mula secepat mungkin membuat korban bakaran waktu pagi dan waktu
petang. Mezbah itu didirikan walaupun sebelum lantai bait baru dipasang kerana
mereka takut orang-orang yang tinggal berdekatan, dan percaya bahawa tindakan
ketaatan yang disegerakan ini akan memberi mereka perlindungan lebih besar
daripada Tuhan.
Bila tiba waktunya untuk Hari Raya
Pondok Daun dalam bulan tujuh, orang Yahudi itu merayakannya dengan setia.
Banyak sekali kekayaan yang dibawa masuk sehingga mereka dapat, dengan izin
daripada Raja Koresh, yang masih memegang Yehuda sebagai negara pengikut,
membeli kayu untuk membina bait kedua daripada kota-kota Tirus dan Sidon yang
berdekatan. Rencana juga dibuat untuk mengupah tukang-tukang yang cekap
daripada tempat-tempat itu untuk datang tahun berikutnya untuk menjalankan kerja
rumit yang orang Yahudi tidak dilatih membuatnya.
Tibanya waktu dasar-dasar bait itu
siap, Yesua telah melantik orang-orang daripada suku Lewi untuk pelbagai tugas.
Para pembantu imam dan imam ini memakai pakaian yang tepat untuk upacara
pembaktian. Dengan meniup nafiri dan memukul ceracap, orang-orang ini memimpin
umat dalam nyanyian-nyanyian kesyukuran yang gembira. Ini diikuti dengan
sorak-sorai nyaring yang penuh sukacita. Pada waktu yang sama terdapat tangisan
nyaring, mengikut adat timur jauh yang menunjukkan kesedihan, oleh orang-orang
lebih tua yang pernah melihat bait asal. Mereka terang-terang menangis kerana
mereka menyesal yang bait baru itu tidak akan mempunyai saiz, keindahan,
kebesaran dan kelengkapan bait pertama.
Sementara itu, apabila musuh-musuh
Yehuda mendengar mereka sedang mendirikan bait mereka ini datang dan bertanya
kalau mereka boleh menolong. Zerubabel, Yesua dan kepala-kepala keluarga lain
menolak mereka. Lalu orang-orang di sekeliling mereka mula melemahkan semangat
bangsa Yehuda untuk membuat mereka takut untuk terus membina. Usaha mereka
begitu hebat sekali sehingga mereka menggagalkan rencana untuk mendirikan bait
itu ketika sepanjang pemerintahan Koresh sampai pemerintahan Darius raja Persia
(lihat Ezra bab 1-4).
[Bagaimanapun, kedatangan kembali
ke Yerusalem ini tidak menyebabkan Bait dibina kembali. Ini tidak berlaku
selama beberapa dekad. Ini tidak berlaku di bawah Koresh dan ini tidak terjadi
di bawah Cambyses anaknya sebab adanya perang dengan Mesir selepas pemberontakan
pada 565 BCE dan Cambyses mendudukinya pada 525 BCE (lihat kertas Kejatuhan Mesir: Nubuatan
Lengan-lengan Patah Firaun (No. 36)).
Koresh memberi perkakas-perkakas
Bait kepada Sesbazar pembesar Yehuda untuk pemulangan itu dan ini kekal dalam
jagaannya dan Zerubabel selama bertahun-tahun. Pada bulan ketujuh kepulangan
itu mereka berjaya meletakkan mezbah dan batu dasar dan di situlah pembangunan
terhenti selama lebih seratus tahun. Negeri Israel telah dipenuhi suku-suku
bangsa lain dan mereka menggagalkan pembangunan itu dengan surat-surat kepada
Koresh dan menghalang pembangunannya sepanjang waktu pemerintahan Koresh dan
Cambyses sampai pemerintahan Darius orang Persia (Ezra 3:1-13 dan 4:1-4).]
[Dalam pemerintahan Ahasyweros (Artahsasta) mereka
menulis satu tuduhan kepadanya terhadap orang Yahudi dan juga dalam
pemerintahan Artahsasta I mereka menghentikan pembangunan dengan surat-surat
tuduhan (Ezra 4:7-16). Artahsasta menjawab kepada orang bangsa lain itu (Ezra
17-22) dan jawapan itu dibacakan kepada orang bangsa lain. Mereka berangkat
dengan angkatan dan, dengan kekerasan, memaksa orang Yahudi menghentikan
pembangunan, dan pekerjaan membangun Bait terhenti sehingga tahun kedua Darius
orang Persia (iaitu Darius II berdasarkan surat-surat daripada orang Yahudi di
Bait di Elephantine). Perinciannya diliputi dalam kertas Tanda Yunus dan
Sejarah Pembangunan Kembali Bait Suci (No. 13).]
Dalam tahun kedua pemerintahan
Darius (II 423-404 CE) raja Persia (Ezra 4:24) pembangunan itu diperintah
disambung kembali selepas pengangkatan nabi-nabi Tuhan untuk tujuan itu.
Dalam tahun kedua pemerintahan Raja
Darius, dua nabi Yahudi, Hagai dan Zakharia, diilhami oleh Tuhan untuk
menggerakkan orang sebangsa mereka untuk meneruskan pekerjaan membangun Bait
itu meskipun adanya ancaman musuh mereka.
Setelah hidup bertahun-tahun dekat
kepada Tuhan, mereka lebih jelas lagi menyedari kepentingan meneruskan pembangunan
bait itu. [Diilhami oleh Tuhan mereka mula mengilhami orang Yahudi untuk
memulakan kembali pembangunan itu.] Di samping itu, mereka lebih percaya
daripada kebanyakan orang Yahudi bahawa Tuhan akan melindungi mereka yang akan
cuba melaksanakan pekerjaan yang Tuhan harap mereka lakukan.
Dengan dorongan itu, Zerubabel dan
Yesua kemudian mula membangun kembali bait di Yerusalem dengan pertolongan
nabi-nabi Tuhan.
Apabila Bupati Tatnai diberitahu
tentang apa yang terjadi, dia dan rakan-rakannya pergi kepada Zerubabel dan
bertanyanya siapa yang mengizinkan pembangunan kembali bait itu dan siapa yang
berkuasa di situ.
[Bagaimanapun “mata Tuhan
mengamat-amati mereka” dan orang-orang itu tidak berhenti bekerja dan
meneruskan saja sampai mereka mendapat jawapan dari Persia mengenai kebenaran
tepat pembangunan itu.]
Mereka berkata: “Bertahun-tahun
lalu seorang raja agung Israel telah diperintah Tuhan untuk membangunkan sebuah
bait di sini. Lama selepas ini dibina, leluhur kami membuat Tuhan murka, dan menyebabkan
Dia membawa Raja Nebukadnezar dari Babel menentang mereka. Nebukadnezar
memusnahkan bait itu dan membawa bangsa kami sebagai tawanan ke Babel.
Sesetengah orang itu ada di sini bersama kami. Orang lain dan keturunan mereka
masih hidup di dalam atau berdekatan Babel. Dalam tahun pertama pemerintahan
Raja Koresh Persia, Koresh menitahkan, sesuai dengan keinginan Tuhan, bahawa
bait itu harus dibangun kembali oleh bangsa kami. Beribu-ribu orang kami
kembali ke Yerusalem dengan izin daripada raja, yang mengembalikan kepada kami
perkakas emas dan perak yang diambil Nebukadnezar daripada rumah Tuhan. Semua
itu kami ada di sini sedia untuk digunakan kembali dalam bait, yang kami belum
dapat siapkan dalam enam belas tahun kebelakangan ini. Ini disebabkan musuh
kami terus-menerus cuba menghalangi pekerjaan kami.”
Tatnai kemudian membuat laporan
untuk dikirim kepada Raja Darius, menggambarkan secara terperinci kunjungannya
ke Yerusalem.
“Jika ini menyenangkan tuanku
biarlah rekod-rekod Persia di Babel diselidiki untuk mengetahui apa yang
ditulis tentang Raja Koresh dalam hal ini,” Tatnai mengakhirinya. “Sila
maklumkan kami sama ada orang Yahudi harus diizinkan untuk meneruskan
pembangunan mereka. Keputusan tuanku akan dilaksanakan sebaik saja kami
menerima khabar daripada tuanku.” (Ezra bab 5).
Sesudah membaca laporan Tatnai,
Raja Darius menitahkan supaya rekod-rekod raja diselidiki. Di situ satu
gulungan ditemui yang jelas menggambarkan apa yang dilakukan Raja Koresh
berkenaan satu lagi bait yang diusulkan di Yerusalem.
Dalam jawapannya Raja Darius
memerintahkan supaya Tatnai dan rakan-rakan pegawainya harus menjauhkan diri
dan tidak mengganggu pekerjaan membangun bait di Yerusalem. Ufti yang biasanya
datang ke Babel dari negara-negara pengikut (vasal) ditentukan untuk diberi
kepada orang Yahudi dalam seberapa jumlah mereka perlukan untuk terus membangun
bait itu, dan para imam di situ diberikan lembu jantan, domba jantan, anak
domba, anggur (wain), gandum, garam dan minyak supaya mereka dapat mempersembah
korban-korban yang diperkenan Tuhan dan berdoa untuk raja dan anak-anaknya.
Darius meneruskan, “Selanjutnya,
aku di sini mengumumkan bahawa sesiapa yang menentang atau mengabaikan
kehendakku dalam hal ini akan dicabut tiang daripada rumahnya dan dia akan diangkat
dan disula padanya. Rumahnya pula akan dijadikan reruntuhan. Semoga Tuhan
Israel membinasa sesiapa yang ingin merosakkan bait Tuhan di Yerusalem! Biarlah
perintah ini dilaksanakan dengan cepat.”
Bait Disiapkan dan Dibaktikan
Perintah Darius dilaksanakan dengan
ketekunan. Orang Yahudi terus membangun dan menjadi makmur di bawah pengajaran
nabi-nabi Hagai dan Zakharia. Selama empat tahun berikutnya pekerjaan membangun
bait itu berjalan begitu baik sekali sehingga bangunan itu siap dalam tahun
keenam pemerintahan Darius. Disebabkan gangguan sebelumnya daripada musuh
mereka dan waktu-waktu mereka tiada dedikasi terhadap pekerjaan mereka, orang
Yahudi telah mengambil dua puluh tahun untuk menjalankan projek mereka.
Upacara-upacara pembaktian
menandakan hari paling berperistiwa sejak orang Yahudi tiba. Ini merupakan
waktu kemenangan, kegembiraan dan kesyukuran. Segalanya tersedia dalam susunan
teliti untuk fungsi-fungsi para imam dan pembantu mereka. Persembahan korban
semuanya termasuk seratus lembu jantan, dua ratus kambing jantan, empat ratus
anak domba; dan korban penghapus dosa untuk seluruh Israel, dua belas kambing
jantan, menurut bilangan suku-suku Israel.
Paskah
Pada hari keempat belas bulan
Pertama, bangsa buangan itu merayakan Paskah. Para imam dan orang Lewi
menghapus dosa mereka, anak-anak domba Paskah disembelih dan selama tujuh hari
mereka merayakan Hari Raya Roti Tidak Beragi dengan gembira. Tuhan telah
memenuhi mereka dengan kegembiraan kerana Raja Darius telah membantu mereka
membangunkan rumah Tuhan Israel (Ezra bab 6).
[Orang Yahudi dari Bait di
Elephantine di Nil dalam Mesir dicatatkan telah mengirim sumbangan untuk
pembaharuan Bait yang dibangun kembali itu pada tahun 419 BCE. Selain itu
Paskah yang tercatat dirayakan (Ezra 6:19) telah dicatatkan mengikut titah
Satrap Arsames pemerintah Mesir menurut perintah Darius II pada 419 BCE dalam
tahun pemerintahan keenamnya seperti dicatatkan oleh Ezra. (ed) (Lihat kertas
Tanda Yunus di atas)].
Penutup
Kisah ini membawa kita sampai
pemulihan Yehuda di bawah orang Persia, suatu gambaran pemulihan masa depan
untuk kesemua dua belas suku itu ke Tanah Perjanjian.
Marilah kita ingat bahawa kitab
Daniel dengan kisah tulisan tangan pada dinding itu menggambarkan terlebih
dahulu keadaan dunia ini sekarang. Tulisan tangan (amaran) sudah ada pada
dinding tamadun dunia hari ini. Kita akan bicarakan aspek-aspek itu dalam pesan
lain.
Sekarang kita sudahpun mengakhiri
saduran Volume VI The Bible Story
oleh Basil Wolverton, diterbitkan oleh Ambassador College Press, yang
menandakan berakhirnya karya khusus ini.
Dari sini, kita akan teruskan
kisah-kisah Alkitab daripada kertas Ezra dan Nehemia (No.
CB155).
q