Jemaat-jemaat Allah Al Masehi

[CB6]

 

 

 

 

Adam dan Hawa di dalam Taman Eden

(Edisi 2.0 20030805-20061230)

 

Jadi Tuhan mencipta manusia menurut gambar rupaNya sendiri; lelaki dan perempuan diciptaNya. Karya ini disesuaikan daripada Bab 2 The Bible Story Volume 1 oleh Basil Wolverton, diterbitkan oleh Ambassador College Press, dan karya Doktrin Dosa Asal Bahagian 1: Taman Eden (No. 246) yang diterbitkan oleh CCG.

 

 

 

Christian Churches of God

 

PO Box 369, WODEN ACT 2606, AUSTRALIA

E-mail: secretary@ccg.org

 

(Hakcipta ã 2003, 2006 Jemaat-jemaat Allah Al Masehi, ed. Wade Cox)

(Tr. 2009)

 

Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan.  Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan.  Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.

 

Karya ini boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org dan http://www.ccg.org

 

Adam dan Hawa di dalam Taman Eden

 


Taman Eden

 

Adam dan Hawa dicipta dengan tubuh-tubuh yang dibentuk sempurna. Kebolehan untuk berbicara dan bernyanyi telah ditanam dalam mereka. Adam tegap dan tampan. Hawa cantik dan anggun. Sejak mula Hawa dicipta dan diberi kepada Adam institusi perkahwinan didirikan. Adam dan Hawa diperintah untuk beranak cucu dan menjaga Bumi. Mereka diajar Hukum Tuhan oleh Malaikat yang dikenali sebagai “Firman Tuhan”. Dia jurubicara Allah Bapa; berbicara menurut apa yang Bapa perintahnya.

 

Adam dicipta pada umur 20 tahun (diambil daripada kronologi berdasarkan Ussher dan disenarai dalam Lampiran 50 The Companion Bible, seperti yang disediakan oleh Bullinger). Itu umur bilamana kita menjadi orang dewasa. Nampaknya selama kira-kira 30 tahun Adam dan Hawa belajar dan menuruti Hukum-hukum Tuhan dan hidup di dalam Taman itu.

 

Kejadian 2:8-15 memberitahu tentang Taman Eden. Tuhan menanam Taman di timur Eden. Ini terletak di Timur Tengah, termasuk tempat yang kini wilayah Israel dan di utara lembah Tigris-Efrat. Ia mengandungi pokok-pokok yang indah dipandang dan pohon-pohon yang baik untuk makanan. Alkitab juga memberitahu kita ada satu sungai yang mengalir keluar dari Eden untuk mengairkan Taman itu. Sungai ini tidak kekal sebagai satu sungai tetapi terbahagi dan menjadi empat sungai. Semua agama dan budaya berlainan yang berkembang dari zaman ini mempunyai versi mereka sendiri untuk empat sungai ini. Ini nampaknya telah menjadi tema utama yang dikongsi oleh kebanyakan umat manusia.

 

Rujukan kepada empat divisi sungai itu sebenarnya menunjuk kepada kita bagaimana kawalan alam semesta bermula dari Allah Bapa dan menyalur ke empat kuadran atau kawasan alam semesta.

 

Manusia berlainan daripada binatang

 

Tuhan mencipta binatang menurut jenis-jenisnya sendiri. Namun Dia menjadikan manusia menurut jenisNya sendiri – menurut keluarga Tuhan yang telah diciptaNya. Dia menjadikan manusia dalam gambar rupa Tuhan. Binatang mempunyai otak dan otak binatang mempunyai kelakuan naluriah terprogram dalamnya serupa seperti komputer. Seekor anjing mempunyai naluri menyalak apabila seseorang datang. Anjing tidak perlu berfikir, “Patutkah aku menyalak?” kemudian memutuskan untuk menyalak. Anjing-anjing selalunya hanya menyalak kerana ia dipilih dan dilatih untuk itu, dan ia berkelakuan mengikut naluri. Tetapi seorang anak lelaki atau perempuan, lelaki atau perempuan dewasa, perlu berfikir dan memutuskan apa yang hendak dilakukan, dan sama ada melakukannya dalam lingkungan batas rujukan yang diberi kepada mereka oleh ibu bapa mereka, sebagaimana mereka sendiri telah diajar.

 

Manusia juga memiliki otak, tetapi lain daripada naluri semulajadi manusia juga perlu tahu dan berfikir dan membuat keputusan apa yang hendak dilakukan. Mereka perlu membuat pilihan. Seringkali ini disebut sebagai tindakan moral bebas. Ini sama untuk para malaikat. Mereka juga mempunyai pilihan untuk mendengar dan mematuhi Hukum-hukum Tuhan atau mengingkari Tuhan.

 

Tuhan menjadikan manusia daripada benda daripada debu tanah, sama seperti binatang dibuat daripada benda daripada Bumi. Sama seperti binatang, manusia dicipta dengan kewujudan jasmaniah sementara saja. Kewujudan ini hanya datang daripada bernafas udara, dan jantung yang terus mengepam darah melalui salur-salur darah. Malah nafas dan peredaran darah ini mesti dibekal kembali dengan makanan dan minuman daripada tanah. Manusia memerlukan ini untuk hidup sama seperti binatang. Sesetengah anak kecil meninggal tidak lama selepas lahir; ada yang hidup lapan atau sepuluh tahun; ada yang hidup tujuh puluh hingga sembilan puluh tahun, tetapi selepas itu semua orang mati.

 

Tuhan berbeza. Tuhan terdiri daripada Roh dan memiliki hidup dalam diriNya sentiasa, yang tidak pernah mati. Tuhan satu-satunya abadi (1 Timotius 6:16). Dia memberi hidup kekal ini kepada Angkatan Syurgawi sebagaimana dilihatNya harus dalam Rencana KehidupanNya. Dari dulu sampai sekarang, hanya ada Tuhan Maha Esa. Dialah Bapa segala ciptaan. Dia mengutus Yesus Kristus supaya kita dapat mengenali Tuhan Maha Esa dan agar kita memperolehi hidup kekal ini (Yohanes 17:3).

 

Tuhan telah mencipta manusia pertama, Adam, dengan pemikiran yang boleh belajar untuk bekerja dengan benda-benda yang tumbuh daripada tanah. Namun untuk mempunyai hubungan dengan Tuhan dan hidup berukun serta bekerja dengan orang lain, manusia perlu mempunyai Roh Kudus Tuhan ditambah kepada pemikirannya. Dengan cara inilah manusia dijadikan dalam gambar Tuhan. Dengan cara ini Roh Kudus Tuhan dapat ditanam pada rohnya dan manusia dapat menjadi tuhan sebagai Anak Tuhan. Ini jugalah sebabnya kenapa dan bagaimana iblis setan dapat memasuki manusia dengan menggunakan gambar mereka.

 

Pohon-pohon dalam taman

 

Dalam Taman Eden Tuhan Allah telah membuatkan semua jenis pohon tumbuh keluar daripada tanah. Di tengah-tengah Taman itu ialah pohon kehidupan dan pohon pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Tuhan Allah memerintah manusia, Semua pohon dalam taman ini boleh kaumakan buahnya dengan bebas, tetapi pohon pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat itu, janganlah kaumakan buahnya, sebab pada hari engkau memakannya, pastilah engkau mati (Kejadian 2:16).

 

Ini merupakan satu ujian ketaatan untuk manusia baru itu. Jika mereka mengambil daripada pohon larangan itu maka itu mencuri. Apa kata Perintah Kelapan? Jangan mencuri. Daripada setiap pohon lain mereka bebas mengambil buahnya, namun pohon ini dilarang. Selain itu jika mereka ingin mengambil sesuatu yang dimiliki orang lain, mereka juga melanggar Perintah Kesepuluh. Perintah Kesepuluh berbunyi: Jangan mengingini. Jadi kita tahu daripada ini, bahawa sejak mula lagi, Hukum Tuhan sudahpun ditetapkan.

 

Istilah pohon boleh digunakan untuk makhluk roh Angkatan Syurgawi (lihat Yehezkiel 31:3-18). Kita lihat daripada ayat 18 bahawa Iblis dikenal pasti dalam dan dengan Taman Eden.

 

18 Maka dengan siapakah engkau dapat disamakan di antara pohon-pohon di taman Eden dalam hal kemuliaan dan kebesaran? Engkau akan diturunkan ke bumi yang paling bawah bersama pohon-pohon di taman Eden dan engkau telentang di tengah orang-orang yang tak bersunat bersama orang-orang yang mati terbunuh oleh pedang. Itulah Firaun dengan semua khalayak ramai yang mengikutinya, demikianlah firman Tuhan ALLAH. (KJV)

 

Kebanyakan pohon dalam Taman Eden berada di situ untuk pendidikan manusia. Mereka bukan semuanya di situ sebagai makanan jasmaniah. Alkitab tidak memberitahu kita berapa banyak pohon ada di dalam Taman itu, namun ada satu saja yang tidak baik untuk dimakan. Pohon ini, yang dilarang bagi Adam dan Hawa, menghasilkan pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Jadi sekiranya mereka memakan daripada pohon ini mereka akan berdosa dan diberitahu mereka akan mati. Pohon pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat ini mewakili Iblis dan sistem yang ingin digunakannya untuk memperdaya manusia mula-mula. Dia sudahpun menipu dan merosakkan Angkatan Syurgawi dengan cara sama.

 

Pohon kehidupan bererti mula-mula sekali menerima Roh Tuhan, yang akan menanamkan di dalam pemikiran mereka pengetahuan rohaniah daripada Tuhan tentang yang baik dan yang jahat, dalam hubungan rapat dengan Tuhan dan dengan orang lain. Ini ialah pengetahuan rohaniah – jalan kasih kepada Tuhan dan kasih kepada manusia. Tanpa pengetahuan rohaniah ini yang dinyatakan melalui Roh Tuhan terus daripada pemikiran Tuhan, manusia tidak akan dapat belajar dengan sendirinya bagaimana berukun dengan orang lain dalam damai dan kerjasama dan kebahagiaan. Manusia juga tidak dapat menjalin hubungan rapat penuh kasih dengan Tuhan.

 

Jadi, pohon-pohon di tengah-tengah Taman itu mewakili dua jenis pengetahuan. Satu jenis mengandungi pengetahuan tentang yang baik dan juga yang buruk dan membawa kepada perbuatan yang bertentangan dengan apa yang diperintah oleh Tuhan dan berlawanan dengan kodratNya. Pengetahuan ini dilarang bagi Adam dan semua manusia di dalam Taman dan, jika dimakan, mengakibatkan maut. Jenis yang satu lagi, yang berdasarkan pengetahuan rohaniah yang diberi Tuhan membawa kepada hidup kekal. Kalaulah Adam telah mentaati Tuhan kita semua tentunya tidak mati. Kita semua tentunya berubah kepada keadaan rohaniah bila diangkat sesudah hidup duniawi kita selesai.

 

Tuhan memang mengasihi Adam, sama seperti Dia mengasihi semua orang. Tuhan mengingininya dan semua orang bahagia, menikmati kehidupan dan hidup selamanya. Namun Iblis menipu Hawa, dan dia menyebabkan Adam membuat pilihan salah. Jadi dia mengingkari Tuhan. Pilihan ini terletak dalam tangan Adam.

 

Bila Adam berdosa, Tuhan menutup pohon kehidupan. Dengan kata lain, Tuhan menahan Roh Kudus daripada Adam dan semua keturunannya – seluruh dunia – sehingga Yesus Kristus, “Adam kedua,” datang dan menanggung hukuman dosa-dosa setiap orang agar manusia boleh diampuni dan selepas itu Roh Kudus dapat ditawarkan kepada mereka. Kalau tidak, Tuhan tentunya harus mengizinkan manusia memakan daripada pohon kehidupan, dan mendapat hidup kekal dalam keadaan tidak puas hati, tidak bahagia, dukacita, dan penderitaan yang akan kekal selamanya!

 

Hanya orang tertentu yang dipilih Tuhan untuk tujuanNya diberikan Roh Kudus untuk menyelesaikan tujuanNya. Orang-orang ini biasanya Para Bapa Kaum dan Nabi-nabi dan orang lain seperti Daud dan Musa. Bila Kristus datang, Roh Kudus akan boleh didapati semua bangsa melalui Jemaat yang ditubuhkan oleh Kristus dan para Rasul. Tuhan telah menentukan urutan ini sejak dari mula.

 

Oleh sebab Tuhan mengetahui semua itu akan terjadi, Dia menyediakan Rencana sempurna untuk keluargaNya sebelumpun Dia mula mencipta. Tuhan tahu Lucifer akan menderhaka dan memimpin makhluk roh lain serta manusia untuk mengingkariNya. Namun Tuhan dalam kebijaksanaan dan belas kasihanNya telah mengizinkan manusia mati agar dia dapat dihidupkan kembali dalam Kebangkitan Kedua. Pada waktu itu Iblis dalam bentuk rohaniahnya tidak akan ada, jadi tiada fikiran dan sikap negatif atas planet ini seperti yang ada sekarang.

 

Manusia dalam Kebangkitan Kedua akan semua mempunyai akses kepada Roh Kudus Tuhan. Kemudian Hukum-hukum Tuhan akan memerintah planet ini dan waktu ini akan merupakan waktu pemerintahan adil dan saksama di bawah Yesus Kristus. Pada akhir Milenium, Iblis dan Angkatan Syurgawi penderhaka sesungguhnya akan dijadikan manusia. Mereka kemudiannya mempunyai peluang untuk bertaubat daripada semua perbuatan terdahulu mereka. Mereka akan berpeluang memilih untuk mentaati Hukum Tuhan sementara hidup secara jasmaniah dalam Kebangkitan Kedua. Ini cerita yang amat berbeza daripada apa yang ramai kita dengar tentang Iblis dan api neraka. Tuhan kita Tuhan yang amat mengasihi dan berbelas kasihan. Dia tidak mengingini sesiapapun binasa.

 

Ular dalam Taman

 

Tuhan mengizinkan Iblis terus sebagai pemerintah Bumi, walaupun dia tidak hidup menurut Hukum-hukum Tuhan. Apabila manusia ditempatkan di Bumi dengan kuasa atas semua makhluk jasmaniah Iblis menjadi marah. Dia mencari-cari cara untuk membuatkan Adam dan Hawa melawan Pencipta mereka, agar dia dapat menjadi tuan mereka. Peluangnya datang satu hari apabila Hawa berjalan-jalan sendirian dalam Taman. Tiba-tiba dia terserempak seekor ular. Ini bukan luar biasa kerana semua binatang mesra dengan dan taat kepada Adam dan Hawa. Bagaimanapun, apa yang luar biasa ialah ular ini berbicara kepadanya.

 

“Adapun ular (serpent) ialah yang paling cerdik dari segala binatang di darat yang dijadikan TUHAN Allah” (Kejadian 3:1). Perkataan Inggerisnya serpent di sini merujuk kepada Nachash atau yang bersinar. Yang bersinar ini ialah Kerub Penjaga, Malaikat Terang atau Lucifer Yesaya bab 14 dan Yehezkiel 28:13-17. Iblis kemudiannya disebut sebagai ‘si ular tua’ (Wahyu 12:9; 20:2). Ular lama (dalam 2 Korintus 11:3) diubah menjadi Malaikat Terang (2 Korintus 11:4). Justeru ular digunakan sebagai satu kiasan untuk Iblis yang berbicara dengan perempuan ini dalam Taman dan memperdayanya.

 

Sekarang ular itu berkata kepada perempuan: “Tentulah Allah berfirman: Semua pohon dalam taman ini jangan kamu makan buahnya, bukan?”

 

Hawa menjawab, “Allah berfirman: Jangan kamu makan ataupun raba buah itu, nanti kamu mati.”

 

“Sekali-kali kamu tidak akan mati,” tipu Iblis (Kejadian 3:4). “Pada waktu kamu memakannya matamu akan terbuka, dan kamu akan menjadi seperti allah (elohim), tahu tentang yang baik dan yang jahat.” Kita tahu daripada Alkitab bahawa manusia ditakdirkan menjadi anak-anak Tuhan sebagai tuhan (elohim) seperti Kristus dan ciptaan rohaniah (lihat Zakharia 12:8 dan Mazmur 82:6). Iblis tahu bahawa Tuhan tidak ingin sesiapapun binasa (2 Petrus 3:9).

 

Daripada dusta “Sekali-kali kamu tidak akan mati” juga, Iblis mengembangkan doktrin jiwa abadi. Sesetengah jemaat mengajar bahawa manusia mempunyai jiwa yang kembali kepada Tuhan apabila mereka meninggal. Namun kebenarannya ialah pada akhir zaman manusia akan dibangkitkan kepada keadaan jasmaniah. Tuhan bukan saja perlu menghidupkan kembali setiap individu daripada peta DNAnya, yang Dia simpan dalam pemikiranNya, tetapi juga idea-idea yang membentuk keperibadian individu tersebut.

 

Kalaulah Adam dan Hawa telah taat mereka tentunya tidak mati. Jika mereka berdosa mereka akan mati, tetapi akan dihidupkan kembali pada waktu kebangkitan.

 

Iblis sedang memberi pilihan kepada Hawa. Malaikat Yahovah merupakan guru mereka dan mereka diberikan satu sistem, yang cukup untuk menampung mereka dengan sempurna. Namun Iblis cuba menyakinkan mereka untuk mengikut sistemnya. Mereka memang mempunyai kebebasan untuk memilih apa yang hendak dilakukan. Semakin banyak Hawa berfikir tentang apa yang dia katakan, semakin tidak sabar dia untuk memakan buah pohon pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Akhirnya dia tidak tertahan lagi. Dia pergi ke pohon itu dan memetik lalu memakan buah itu. Buahnya sedap, jadi dia membawa beberapa kepada Adam, yang juga memakannya walaupun Hawa memberitahunya apa dia buah itu.

 

Ini menggambarkan pengambilan pengetahuan yang dia dan Adam sepatutnya tidak ambil.

 

Kejatuhan manusia

 

Dengan memakan buah larangan itu Adam dan Hawa juga mendapatkan untuk diri mereka hak untuk memutuskan apa yang baik, dan apa yang jahat. Mereka menolak Hukum rohaniah Tuhan dan memilih jalan yang melanggarnya! Mereka memilih cara Iblis memutuskan apa yang baik dan betul, daripada mendengar apa yang Allah Bapa kita kata dan tahu apa yang terbaik untuk kita.

 

Walaupun Adam dan Hawa menolak suara Tuhan, Dia mewariskan kepada manusia wahyu pengetahuan dasarNya. Kita milikinya dalam bentuk penulisan! Kitab Suci ialah wahyu itu. Ia mengandungi sejarah, pengajaran, dan wahyu nubuatan dan pengetahuan asas. Ia tidak mengandungi semua pengetahuan. Ia mengandungi pengetahuan asas yang tidak dapat kita ketahui sebaliknya.

 

Sesudah memakan buah larangan itu, Adam dan Hawa buat pertama kalinya mengalami perasaan tidak senang rasa bersalah yang perit. Mereka tahu mereka telah mengingkari Tuhan; mereka tahu mereka telah melakukan sesuatu yang salah. Mereka juga tidak senang bila menyedari diri mereka telanjang, dan mereka berasa malu. Mereka ingin menutup diri mereka, jadi mereka menyemat daun pohon ara dan membuat cawat untuk menutup diri mereka. Sebelum manusia pertama memakan daripada pohon pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat mereka hanya tahu yang baik dan tidak berasa malu bertelanjang.

 

Sebab mereka telah mengingkari Tuhan dengan membuat hanya satu perkara yang dimintaNya jangan mereka lakukan, Adam dan Hawa melakukan dosa manusia yang pertama. Perbuatan salah yang ringkas itu mengubah hidup setiap manusia yang lahir sejak itu.

 

Sama seperti malaikat unggul Lucifer menemui kesusahan apabila dia melawan ketetapan-ketetapan Tuhan, manusia juga jatuh ke dalam kesusahan apabila mereka melanggar peraturan-peraturan yang patut mereka ikuti untuk kebaikan mereka sendiri. Hukum-hukum yang kita patuhi datang daripada mereka yang berkuasa atas kita. Tindakan mendorong orang mematuhi peraturan dipanggil pemerintahan. Hukum-hukum Tuhan dan pemerintahanNya ialah kasih (Roma 13:10). KetetapanNya ialah manusia harus mula-mula mengasihi Tuhan dengan mentaatiNya, beribadah kepadaNya, berdoa kepadaNya, mempercayaiNya dan memelihara kesucian SabatNya.

 

Di sebelah hukum-hukum yang paling penting itu ialah hukum-hukum bahawa seseorang patut mengasihi orang lain. Anak-anak patut menghormati dan mematuhi ibu bapa mereka (Efesus 6:1-3). Orang harus jangan sekali-kali membenci atau membunuh atau cuba menyakiti orang lain. Sebaliknya, mereka patut mengasihi setiap orang, malahan termasuk musuh mereka (Matius 5:44). Mereka harus setia dan jujur terhadap orang lain. Mereka harus tiada keinginan untuk merampas apa-apa daripada orang lain. Mereka patut ingat bahawa memberi lebih baik daripada mengambil (Keluaran 20:12-17). Lihat juga karya Sepuluh Hukum (No. CB17).

 

Membuat pilihan

 

Selepas Iblis mula berfikiran derhaka, dia segera mempunyai kepercayaan bertentangan dengan Hukum-hukum Tuhan. Cara hidupnya kini bererti melakukan semua yang bertentangan dengan apa yang telah disebut dalam dua perenggan sebelumnya (Yohanes 8:44; 1 Yohanes 3:8). Tuhan mengizinkan Iblis memerintah atas Bumi untuk satu waktu yang ditetapkan, sehingga bilangan manusia sudah dicipta dan dipanggil keluar sebagaimana ditakdirkan dari semula olehNya. Manusia harus membuktikan bahawa dia layak memerintah dengan mentaati Tuhan. Kelanjutan tanpa henti pemerintahan Iblis hanya akan membawakan kesedihan dan penderitaan yang semakin bertambah.

 

Sebab Adam merupakan manusia pertama, Tuhan memberinya peluang untuk memerintah Bumi (Kejadian 1:28). Syaratnya ialah dia mesti terus taat kepada Tuhan dan jangan sekali-kali mengikut jalan Iblis. Iblis tahu bahawa jika Adam gagal dalam ketaatan, Tuhan akan mengambil balik peluangnya untuk memerintah. Muslihat Iblis, sebab dia membenci Adam, ialah menipunya untuk percaya bahawa jalan salah merupakan jalan betul. Sekiranya Adam boleh diperdaya untuk berbuat begitu, dia pasti mendapat susah. Iblis telah menggunakan muslihat ini untuk menyebabkan umat Tuhan berdosa dan memisahkan mereka daripada kasih dan perlindunganNya selama ini.

 

Tuhan telah menjadikan lelaki kepala isteri dan anak-anaknya (Efesus 5:23, 25). Sama seperti Tuhan memerintah dengan kasih atas para malaikat dan umat manusia, begitu juga harusnya lelaki memerintah dengan kasih atas keluarganya sendiri. Lelaki yang gagal melakukan ini juga akan gagal untuk menjadi pemerintah dalam Kerajaan Tuhan. Iblis tahu bahawa Tuhan mengharapkan Adam mengepalai Hawa. Itulah sebabnya kenapa dia menunggu Hawa bersendirian. Setelah selesai menggodanya untuk memetik buah yang tidak harus dipetiknya, Hawa menggoda Adam (Kejadian 3:6). Adam tidak cukup kuat untuk menahan dirinya daripada ingkar bersama-sama dengan Hawa. Ini membuktikan dia tidak cukup kuat untuk mentaati Tuhan dalam segala perkara, dan dengan itu tidak layak menjadi pemerintah Bumi.

 

Iblis masih pemerintah yang tidak kelihatan

 

Iblis dipercayakan untuk mengajar Adam dan memupuknya menjadi bertanggungjawab dan berkepimpinan, agar mereka berdua dapat membangunkan manusia sampai satu keadaan makhluk-makhluk kekal memerintah bersama. Iblis menolak segala tanggungjawabnya sebagai seorang pemerintah dan induk efektif kepada manusia. Sebagaimana terjadi, Iblis kekal sebagai pemerintah tidak kelihatan bumi sehinggalah seseorang datang kemudian dan menakluknya dengan mentaati Tuhan serta tidak berdosa. Orang ini, Yesus Kristus, akhirnya datang juga dan melayakkan diri untuk menjadi pemerintah itu (Lukas 4:5-8). Dia belum lagi kembali ke Bumi sebagai pemerintah utamanya.

 

Tuhan mengizinkan Iblis tinggal di Bumi, namun dia tidak diberi kuasa untuk memaksa sesiapapun untuk berdosa. Iblis hanya berkuasa untuk cuba memimpin atau menggoda manusia. Bagi manusia pula, Tuhan memberi mereka pemikiran yang mampu berfikir untuk diri mereka dan memutuskan sama ada untuk mentaati Tuhan atau Iblis (Yakobus 4:7).

 

Malu kerana mereka telah mempercayai apa yang dikatakan melalui ular itu, Adam dan Hawa cuba menyembunyikan diri dalam Taman. Namun Tuhan tahu di mana mereka bersembunyi (Kejadian 3:8).

 

“Apakah engkau makan dari buah pohon, yang Kularang engkau makan itu?” Tuhan mengejutkan mereka dengan bertanya amat dekat mereka. Ingat bahawa Alkitab memberitahu kita bahawa tiada sesiapapun pernah melihat, atau mendengar suara Allah Maha Esa (Yohanes 1:18 dan 5:37). Jadi makhluk yang berbicara kepada manusia pertama ini ialah Malaikat Yahovah.

 

“Hawa memberiku buah itu,” Adam menjawab akhirnya, cuba memindahkan kesalahan itu kepada isterinya (Kejadian 3:12).

 

Tuhan kecewa. Dia telah mengizinkan lelaki dan perempuan ini membuat pilihan siapa yang mereka patut taati. Mereka telah memilih jalan yang hanya akan mendatangkan kesedihan. Kini sudah terlalu lewat untuk apa-apa melainkan penyesalan pilu, dan itupun tiada manfaatnya. Apa yang dapat dijangka mereka hanyalah hukumannya (Ulangan 30:15-19).

 

Mereka diberi pakaian kulit untuk dipakai dan diusir dari Taman indah itu yang telah dicipta dengan penuh kasih hanya untuk mereka. Tuhan tahu bahawa, jika mereka tinggal di situ, mereka juga mungkin memakan buah Pohon Kehidupan dan hidup selamanya dalam pelanggaran dan meneruskan ketidakrukunan yang disebabkan oleh pemberontakan tersebut (Kejadian 3:21-23).

 

Untuk menghalang mereka kembali ke Taman Eden, satu pedang besar yang bernyala-nyala dan menyambar-nyambar menjaga pintu masuknya (Kejadian 3:24).

 

Hukuman untuk manusia 

 

“Sebab engkau telah berdosa dan menggoda Adam untuk berdosa, engkau akan menderita sakit bila-bila masa engkau melahirkan anak,” Tuhan memberitahu Hawa. “Begitulah juga dengan dengan semua ibu manusia di masa depan” (Kejadian 3:16).

 

Oleh sebab mempercayai Iblis daripada Pencipta mereka, manusia pertama, dan semua keturunan berikutnya, kehilangan hak untuk hidup dalam damai, kebahagiaan dan kesihatan baik. Betapa beza keadaannya kalaulah mereka telah mentaati Tuhan dan memakan buah Pohon Kehidupan. Mereka tentunya sudah hidup bahagia selamanya, menjadi kekal dan diubah kepada makhluk-makhluk roh!

 

Nampaknya Rencana asal Tuhan adalah untuk Adam dan Hawa serta semua anak mereka hidup dalam damai dan kebahagiaan dan sihat sempurna. Namun dosa memasuki manusia sebagaimana terjadi dengan makhluk-makhluk roh. Akibat dosa ialah maut (Roma 6:23). Namun sebab Tuhan kita ialah Tuhan yang mengasihi dan penuh belas kasihan, manusia kini berpeluang untuk dibangkitkan kepada hidup baru dan akhirnya kita semua akan menjadi makhluk-makhluk roh – anak-anak Tuhan.

 

Sebagai satu lagi akibat dosa mereka, Tuhan mengutuk tanah di luar Taman itu. Untuk pertama kalinya sejak Bumi dibentuk kembali, lalang dan semak duri dan rumput duri tumbuh daripada tanah (Kejadian 3:17). Ini satu kesukaran untuk Adam, yang terpaksa bergantung pada pertanian di bawah keadaan sukar untuk mendapatkan makanan mereka.

 

Allah Bapa dalam kebijaksanaanNya yang tidak terbatas tahu apa yang Iblis dan manusia akan lakukan. Dengan itu, Tuhan menetapkan sistem Yobel untuk melindungi planet ini. Lihat karya Kalendar Kudus Tuhan (No. CB20). Kita lihat daripada Wahyu 22:3 bahawa pada satu ketika di masa depan kutuk tidak akan ada lagi pada tanah. Pada waktu itulah dosa tidak akan wujud lagi dan Allah Bapa akan memindahkan TakhtaNya ke Bumi dan memerintah alam semesta dari Bumi.

 

Adam meninggal

 

Adam hidup cukup lama untuk menyaksikan beberapa akibat keingkarannya itu. Dia berumur sembilan ratus tiga puluh tahun ketika dia meninggal. Dia mampu hidup begitu lama kerana dia dicipta dengan tubuh jasmaniah sempurna. Namun dia memang mati, sama seperti Tuhan kata akan terjadi jika dia memakan buah Pohon Pengetahuan tentang Yang Baik dan Yang Jahat (Kejadian 2:17).

 

q