Jemaat-jemaat Allah Al Masehi

[CB10]

 

 

 

 

Abraham dan Sara

(Edisi 2.0 20030923-20070123)

 

Tuhan Allah berfirman kepada Abram, “Pergilah dari negerimu dan dari sanak saudaramu dan dari rumah bapamu ini ke negeri yang akan Kutunjukkan kepadamu; Aku akan membuat engkau menjadi bangsa yang besar, dan memberkati engkau serta membuat namamu masyhur; dan engkau akan menjadi berkat.” Karya ini telah disesuaikan daripada bab 6 The Bible Story Volume 1 oleh Basil Wolverton, diterbitkan oleh Ambassador College Press, dan karya-karya Abraham dan Sodom (No. 91) dan Melkisedek (No. 128), diterbitkan oleh CCG.

 

 

 

Christian Churches of God

 

PO Box 369, WODEN ACT 2606, AUSTRALIA

E-mail: secretary@ccg.org

 

(Hakcipta ã 2003, 2007 Jemaat-jemaat Allah Al Masehi, ed. Wade Cox)

(Tr. 2009)

 

Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan.  Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan.  Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.

 

Karya ini boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org dan http://www.ccg.org

 

Abraham dan Sara

 


Kita teruskan di sini dari karya Nimrod dan Agama Palsu (No. CB9).

 

Dua tahun selepas banjir, bilamana Sem bin Nuh berumur 100 tahun, Sem mendapat seorang anak lelaki yang dipanggil Arpakhsad (Kejadian 11:10). Bila Arpakhsad berumur 35 tahun, dia mendapat anak bernama Selah (Kejadian 11:12). Beberapa generasi berlalu seperti ini. Setelah kira-kira 300 tahun telah berlalu, seorang yang bernama Abram dilahirkan. Nama bapanya ialah Terah (Kejadian 11:26).

 

Abram dibesarkan di sebuah kota di Mesopotamia (Kisah 7:2) yang dipanggil Ur, tidak jauh dari tempat di mana Nimrod mula membangun Babel (Kejadian 11:2). Di sini Abram, seperti Nuh, belajar mentaati Hukum-hukum Tuhan, sementara sekali lagi penduduk dunia ini menyembah berhala dan hidup semakin jauh daripada jalan Tuhan. Abram salah seorang daripada sedikit orang yang tidak menyertai jalan pagan. Di Mesopotamia Abram mendapat penglihatan pertamanya atau panggilan daripada Tuhan untuk meninggalkan negerinya dan bangsanya (Kisah 7:2). Ketika berumur kira-kira tujuh puluh lima tahun Abram sekali lagi diminta berpindah bersama keluarganya ke negeri lain.

 

Berfirmanlah TUHAN kepada Abram: "Pergilah dari negerimu dan dari sanak saudaramu dan dari rumah bapamu ini ke negeri yang akan Kutunjukkan kepadamu. (Kejadian 12:1)

 

Abram mentaati Tuhan

 

Tuhan menjanjikannya bahawa sekiranya dia mentaati semua perintahNya, Abram sendiri akan diberkati dan dia akan menjadi bapa suatu bangsa yang besar (Kejadian 12:2-3). Sampai waktunya bangsa ini bakal menikmati berkat-berkat yang amat istimewa. Abram tidak tahu bagaimana keadaannya negeri ke mana dia akan pergi, dan dia tidak tahu berkat-berkat apakah yang diberikan kepada orang-orangnya, tetapi dia mempercayai Tuhan dan taat.

 

Selain isterinya, Sarai, Abram membawa bersama anak saudaranya yang bernama Lot dan isteri Lot, dan para gembala untuk menjaga kawanan-kawanan domba serta para penggiring untuk mengawal kumpulan-kumpulan lembu sapi. Ini bukan tugas kecil bagi Abram memindahkan keluarganya dan harta milik mereka ke negeri yang jauh (Kejadian 12:4).

 

Selepas berminggu-minggu perjalanan, mereka tiba di tanah Kanaan, di mana Tuhan telah katakan Abram harus pergi (Kejadian 12:5). Kanaan merupakan tanah yang amat subur di mana adanya tanah yang baik untuk penanaman. Namun penduduk di situ jahat. Jadi Tuhan membuatkan kebuluran terjadi di kawasan itu. Kebuluran ini terjadi selepas saja Abram sampai Kanaan (Kejadian 12:10). Kekurangan hujan menyebabkan semua pohon buah, sayur-sayuran dan rumput menjadi kering. Ada sedikit saja makanan untuk binatang-binatang yang dibawa Abram dan Lot ke Kanaan. Tanpa lembu sapi atau domba, makanan pastinya tidak cukup untuk Abram dan orang-orang yang bersamanya.

 

Abram pergi ke Mesir

 

Berita sampai kepada pengembara-pengembara itu bahawa di negeri Mesir tiada kekurangan hujan, jadi Abram dan keluarganya pergi ke Mesir untuk menyelamatkan ternakan mereka. Tuhan telahpun membuat perjanjian dengan Abram untuk memberinya tanah itu dan memberinya makan di mana dia berada, namun dia tidak memiliki iman untuk tinggal dan percaya pada Tuhan. Kemudian nanti kita akan lihat bahawa Abraham merupakan hamba yang setia dan sahabat Tuhan melalui ketaatannya. Lihat karya Abraham dan Ishak: Korban Penuh Taat (No. CB11).

 

Di negeri Mesir satu tamadun agung telah tumbuh sejak banjir. Raja-raja Mesir, atau Firaun, telah menjadi kaya dan berkuasa walaupun mereka menyembah berhala. Mereka menikmati semua benda baik yang datang daripada tanah. Apa yang mereka tiada mereka ambil dari orang lain.

 

Oleh sebab Sarai seorang perempuan cantik, dan Abram takut raja Mesir mungkin ingin menjadikannya salah seorang daripada isteri-isterinya yang ramai, dia meminta Sarai berpura-pura sebagai adiknya dan bukan isterinya (Kejadian 12:12-13). Sarai sebenarnya adik tiri Abram, sebab bapanya ialah bapa Abram, tetapi ibunya bukanlah ibu Abram. Abram mahu menyampaikan separuh kebenaran ini kerana dia takut sekiranya diketahui bahawa dia ialah suami Sarai, orang Mesir mungkin membunuhnya supaya Sarai bebas dikahwini.

 

Hal yang ditakuti Abram berlaku tidak lama kemudian. Walaupun berumur kira-kira 65 tahun, Sarai masih kelihatan seperti seorang perempuan muda dan rupawan. Dia amat cantik dipandang. Sekejap saja berita tersebar bahawa perempuan luar biasa ini mungkin amat disenangi Firaun, dan dia memerintah agar Sarai dibawa ke istananya.

 

Firaun begitu senang sekali dengan kemungkinan Sarai menjadi isterinya, sehingga dia memberi Abram hadiah-hadiah mahal termasuk binatang ternakan, hamba-hamba dan kediaman yang sangat baik. Namun Abram berdosa kerana dia berbohong dan Firaun berdosa dengan mengambil isteri orang lain. Oleh sebab itu Tuhan menimpakan tulah ke atas kerabat Firaun. Firaun murka dengan Abram, tetapi dia menghantar Sarai kembali kepada suaminya, dan memberi perintah kepada orang-orangnya untuk memastikan Abram dan keluarganya serta harta miliknya diiring keluar dari Mesir dengan selamat (Kejadian 12:14-20). Kita dapat lihat di sini bahawa perkahwinan dan Hukum-hukum Tuhan sudahpun diketahui waktu itu.

 

Pulang ke Kanaan

 

Abram dan Lot serta isteri-isteri mereka dan hamba-hamba sekalian kemudian memindahkan binatang ternakan mereka kembali ke Kanaan. Abram pergi ke satu tempat di mana dia pernah mendirikan mezbah kepada Tuhan bila dia mula-mula sampai ke Kanaan. Di situ dia meminta pengampunan dan penguatan (Kejadian 13:4).

 

Sampai waktu ini kebuluran di Kanaan sudah tamat. Kawanan domba dan lembu sapi milik Abram dan Lot telah menjadi lebih banyak. Tuhan memberkati Abram dan juga Lot sementara dia menjadi sebahagian daripada keluarga Abram. Namun sebab binatang-binatang itu begitu banyak, orang Abram dan orang Lot mula bertengkar atas tempat-tempat di mana adanya paling banyak rumput dan air. Abram tidak ingin berselisih dengan Lot, jadi dia mengusulkan supaya mereka memilih daerah-daerah berasingan untuk tinggal.

 

Tuhan telah menjanjikan tanah ini kepada Abram. Abram mempunyai hak pilihan pertama di mana dia mahu binatang-binatangnya makan rumput, namun tanpa mementingkan diri dia meminta Lot membuat pilihan dahulu. Lot memandang tanah subur di lembah Sungai Yordan, dan berkata dia inginkan tanah di situ. Ini meninggalkan kawasan tanah tinggi kepada Abram, namun Abram puas hati kerana Lot puas hati (Kejadian 13:5-12).

 

Selepas itu, Tuhan berfirman kepada Abram sekali lagi, memberitahunya bahawa seluruh tanah yang dapat dilihatnya di semua arah akan selamanya menjadi miliknya dan keturunannya, yang bilangannya akan sama dengan bilangan butir pasir di atas Bumi. Kemudian Abram memindahkan khemahnya ke Hebron dan di situ dia mendirikan mezbah kepada Tuhan (Kejadian 13:14-18). Ini merupakan janji indah kepada Abram, yang waktu itu sudah berumur hampir 80 tahun dan tiada anak.

 

Sementara itu, Lot dan keluarganya memasang khemah mereka dekat kota Sodom di lembah Yordan yang subur. Lot menyangka dia telah membuat pilihan yang bijak dengan pergi ke situ. Dia tidak menyedari kesukaran yang akan dialaminya dengan orang yang hidup di situ. Mereka sangat keji sekali. Sebagai seorang yang saleh, Lot sepatutnya tidak sekali-kali pergi dekat mereka.

 

Perang tercetus di Kanaan

 

Tidak lama selepas Lot berpindah dekat dengan Sodom, perang tercetus antara raja-raja lima kota lembah Yordan dan empat raja negeri di mana Nimrod memulakan kerajaannya. Empat raja dari jauh itu memenangi pertempuran itu. Penduduk dua kota lembah utama, Sodom dan Gomora, diburu sampai kawasan gunung, di mana sesetengah mereka terlepas. Kebanyakan mereka ditawan untuk dijadikan hamba-hamba pihak menang. Di kalangan tawanan ini ialah Lot, keluarganya dan hamba-hambanya. Harta milik Lot dirampas daripadanya.

 

Apabila berita sampai kepada Abram tentang apa yang terjadi, Abram pergi mengejar raja-raja menang itu dengan hanya 318 orangnya (Kejadian 14:14). Ini memerlukan keberanian untuk menghadapi tentera dengan lebih ramai orang daripada semua yang ada bersama Abram. Abram memandang kepada Tuhan untuk bantuan, dan Tuhan menolongnya dengan memberinya peluang untuk mengelilingi perkhemahan empat raja yang menyerang itu pada waktu malam. Orang mereka telah dikejutkan. Dalam kegelapan mereka tidak dapat nampak berapa besar gerombolan yang menyerang mereka. Sebab takut ini kumpulan yang amat besar, mereka lari ke gunung-gunung dekat Damsyik di utara, meninggalkan semua tawanan dan barang-barang yang dirampas di lembah Yordan itu (Kejadian 14:13-16).

 

Raja Sodom datang dengan saki baki orangnya untuk menghormati Abram kerana apa yang telah dilakukannya kepada musuh itu. Bagaimanapun, dia tidak sedar bahawa Abram telah melakukannya kerana Lot dan keluarganya. Pertemuan ini diadakan di satu tempat dekat kota Salem, yang kemudiannya dipanggil Yerusalem.

 

Melkisedek, raja Salem, juga keluar untuk bertemu Abram. Hamba-hamba Abram membawakan roti dan anggur kepada Abram dan orang-orangnya yang kepenatan (Kejadian 14:13-16). Melkisedek memberkati Abram kerana menyelamatkan orang-orang yang telah ditawan. Melkisedek bukan saja seorang raja tetapi juga seorang imam Tuhan Mahatinggi (Ibrani 7:1).

 

Penting diperhatikan bahawa Mesias menjadi imam kekal menurut Mazhab Melkisedek. Dia seorang Imam Besar kekal, namun dia bukanlah Melkisedek tersebut yang berjumpa Abraham. Dia hanya seorang lagi imam Mazhab itu (Ibrani 7:11 RSV). Yesus pergi sebagai pelopor bagi pihak kita. Ini bererti bahawa kita juga merupakan imam-imam Mazhab itu. Keimamatan Melkisedek ialah sebahagian satu janji Tuhan (Ibrani 6:17-20).

 

TUHAN telah bersumpah, dan Ia tidak akan menyesal: "Engkau adalah imam untuk selama-lamanya, menurut Melkisedek."  

 

Signifikans roti dan anggur yang diberikan kepada Abraham, berkait secara langsung dengan Roti dan Anggur, yang ditetapkan oleh Mesias, pada Perjamuan Suci. Peristiwa ini memandang ke depan kepada pemberian Roh Kudus di bawah keimamatan baru Mazhab Melkisedek, seperti yang diperkenalkan oleh Mesias.

 

Abram memberi Melkisedek sepersepuluh daripada semua barang yang ditinggalkan oleh penyerang-penyerang yang melarikan diri itu, walaupun Abram tidak menyimpan apa-apa untuk dirinya sendiri (Kejadian 14:20-24). Ini adalah untuk menunjukkan kita bahawa keturunan Abraham akan memberi persepuluhan kepada para imam. Hukum persepuluhan Tuhan menyatakan bahawa sesiapa yang gagal memberi sepersepuluh daripada pendapatannya kepada imam-imam Tuhan, merampok Tuhan (Maleakhi 3:8). Segala harta milik ialah milik Tuhan. Mengembalikan sepersepuluh ialah salah satu cara yang betul untuk menghormati Dia.

 

Raja Sodom menawar untuk mengganjarkan Abram atas segala jasanya, tetapi Abram tidak mahu menerima apa-apa. Dia lebih suka berkat-berkat Tuhan daripada kekayaan yang diberikan raja duniawi. Penting kita perhatikan bahawa penduduk Sodom diberkati di sini sebab Abram, walaupun mereka hidup bertentangan Hukum Tuhan.

 

Satu lagi janji kepada Abram

 

Beberapa tahun kemudian, ketika Abram hidup damai dalam khemah-khemahnya di bukit-bukit di atas lembah Yordan, Malaikat Tuhan sekali lagi berbicara kepadanya dalam satu penglihatan. Dia memberitahunya bahawa oleh sebab ketaatannya dia akan menjadi bapa suatu bangsa yang besar. Abram dan isterinya sudah terlalu tua untuk mendapat anak jadi Abram bingung dengan janji ini. Dia mengingatkan Malaikat itu bahawa dia tiada anak dan tiada waris (Kejadian 15:1-3).

 

Abram diberitahu bahawa warisnya ialah anaknya sendiri, dan jika dia dapat menghitung bintang-bintang pada waktu malam gelap, dia akan tahu bilangan besar orang-orang yang turun daripada anak seorang itu.

 

Abram percaya dan dia diberkati untuk ini (Kejadian 15:6; Roma 4:20-22). Abram kemudian disuruh untuk menyembelih beberapa binatang dan burung halal dan memotong-motong semua itu sebagai persembahan (Kejadian 15:9-10).

 

Abram menurut

 

Tidak lama kemudian Abram tertidur dengan nyenyak sekali. Dia bermimpi yang dia berada dalam keadaan yang amat gelap, dan suara Malaikat itu datang kepadanya dari kegelapan itu, memberitahunya hal-hal yang akan terjadi bertahun-tahun selepas Abram meninggal (Kejadian 15:12-16).

 

Ketahuilah dengan sesungguhnya bahwa keturunanmu akan menjadi orang asing dalam suatu negeri, yang bukan kepunyaan mereka,” kata suara itu.  “Kemudian mereka akan diperbudak dan dianiaya, empat ratus tahun lamanya, dan sesudah itu mereka akan keluar dengan membawa harta benda yang banyak.” (Kejadian 15:13-16). Mimpi ini meramalkan penawanan dan perbudakan orang Israel di Mesir pada masa depan.

 

Abram bangun dan melihat perapian yang berasap beserta suluh yang berapi lewat di antara potongan-potongan daging yang disediakannya. Bila dia nampak pandangan menakjubkan ini, imannya dalam Tuhan menjadi lebih kuat lagi (Kejadian 15:17). Pada hari yang sama Tuhan membuat satu lagi perjanjian dengan Abram yang dia akan mendapat keturunan yang besar bilangannya dan mereka akan mempunyai harta milik tanah dan berkat material lain yang banyak.

 

Tuhan telah sentiasa menjanjikan benda-benda baik kepada mereka yang mentaatiNya. JanjiNya kepada Abram ialah janji yang telah memberi kesan besar pada seluruh dunia selama beribu-ribu tahun. Sepanjang banyak generasi keturunan Abram telah menikmati kekayaan dan berkat material yang lebih besar daripada kebanyakan bangsa lain.

 

Anak sulung Abram

 

Sarai, isteri Abram, berumur kira-kira 75 tahun pada waktu itu. Dia percaya dia terlalu tua untuk mendapat anak. Dia tidak mengerti bagaimana mungkin bagi dia dan Abram menjadi ibu bapa kepada anak yang akan menjadi leluhur kepada berjuta-juta orang. Sarai mempunyai seorang hamba perempuan bangsa Mesir, Hagar, yang merupakan jauh lebih muda. Sarai memberitahu Abram bahawa dia patut mengambil Hagar sebagai isteri kedua, dengan harapan bahawa Hagar akan mendapat anak untuk Abram dan Sarai. Zaman itu seorang lelaki sering mengahwini lebih daripada seorang isteri. Abram mengikut usul Sarai, dan selepas itu Hagar mengandung (Kejadian 16:1-3).

 

Lama kelamaan Hagar mula memandang rendah nyonyanya sebab sekarang dia merasakan dirinya lebih baik daripada Sarai sejak dia mengandungkan anak Abram. Kemudian Sarai menindas Hagar dan Hagar melarikan diri. Namun Malaikat Tuhan menjumpai Hagar dan bertanya apa yang dilakukannya. Dia menjelaskan apa yang terjadi dan Malaikat menyuruhnya kembali kepada nyonyanya. Hagar juga diberitahu dia akan mendapat seorang anak lelaki dan disuruh menamakannya Ismael. Malaikat Tuhan juga berjanji untuk memberkati dan menambah keturunannya, iaitu keturunan Ismael, yang bakal mendapat 12 anak lelakinya sendiri. Ketika Hagar melahirkan Ismael Abram berumur 86 tahun (Kejadian 16:4-15).

 

Keturunan Ismael ialah bangsa-bangsa Arab. Jadi segala berkat kepada kaum Arab datang daripada janji-janji Malaikat itu kepada Hagar. Malaikat ini dipanggil Hagar “Tuhan yang melihat”. Inilah makhluk yang telah memberi Hukum kepada Israel dalam Keluaran.

 

Perjanjian penyunatan

 

Tiga belas tahun berlalu. Ketika Abram berumur 99 tahun Tuhan muncul di depannya dan berkata: “”Akulah Allah Yang Mahakuasa, hiduplah di hadapanKu dengan tidak bercela!” (Kejadian 17:1).

 

Kita tahu daripada Yohanes 1:18 bahawa tiada seorangpun pernah melihat Allah Bapa pada bila-bila masa, dengan itu, makhluk yang berbicara kepada Abram di sini berperanan sebagai seorang utusan atau Malaikat untuk Yahovah Yang Mahatinggi.

 

Dengan gemetar, Abram sujud dengan mukanya ke tanah sementara Malaikat ini memberitahunya bahawa sebab dia mematuhi segala Perintah Tuhan, dia akan mengotakan janji-janji yang dibuatnya bertahun-tahun sebelum itu. Dia memberitahu Abram bahawa namanya akan ditukar kepada Abraham, yang bererti bapa sejumlah besar bangsa (Kejadian 17:3-6). Nama Sarai ditukar kepada Sara, yang maknanya puteri.

 

Perjanjian yang diberikan kepada Abraham adalah untuk dipelihara oleh dia dan kerabatnya serta generasi-generasinya pada masa depan. Tanda perjanjian itu ialah setiap lelaki di kalangan mereka harus disunat. Generasi-generasi masa depan harus menyunat anak-anak lelaki mereka pada umur lapan hari (Kejadian 17:9-14). Bagaimanapun, perjanjian itu juga ditetapkan melalui Sara sebab Tuhan berkata, “Dia akan menjadi ibu bangsa-bangsa; raja-raja bangsa-bangsa akan lahir dari padanya” (Kejadian 17:15-16).

 

Tuhan kemudian menjanjikan Abraham bahawa Sara sesungguhnya akan mendapat seorang anak lelaki, walaupun dia sudah berumur lapan puluh sembilan tahun. Anak ini harus dinamai Ishak (Kejadian 17:15-16, 19). Lihat karya Ishak: Anak Perjanjian (CB12).

 

Tiga pengunjung

 

Tidak lama selepas itu, tiga orang asing datang ke khemah Abraham. Mereka ialah malaikat-malaikat yang muncul dalam rupa bentuk manusia (Kejadian 18:1-2). Pada zaman itu, sebab perjalanan lebih sukar dan memenatkan, keramah-tamahan lebih banyak. Abraham menjemput tiga orang ini untuk berehat dan menjamu makanan. Satu jamuan disediakan untuk mereka (Kejadian 18:3-8). Selepas mereka makan, Abraham diberitahu bahawa dalam setahun itu Sara akan mendapat seorang anak lelaki. Ini merupakan khabar baik sekali untuk Abraham dan Sara. Sara, khususnya, sukar mempercayainya (Kejadian 18:9-15).

 

Apabila mereka bangun untuk pergi mereka memandang ke arah Sodom. Kemudian Tuhan memberitahu Abraham yang malaikat-malaikat itu akan pergi ke Sodom untuk mengetahui bagaimana jahatnya orang di situ.

 

“Jika mereka menemui kebanyakan penduduknya keji dan jahat, Aku akan memusnahkan seluruh kota itu!” kata Malaikat (Kejadian 18:16-22).

 

“Sekiranya Engkau menemui lima puluh orang benar di situ, tidakkah Engkau akan mengampuni kota itu supaya lima puluh orang itu tidak mati?” Abraham bertanya.

 

“Jika Aku menemui lima puluh orang benar dalam Sodom Aku tidak akan memusnahkannya,” Dia menjawab.

 

Abraham kemudian bertanya kalau Sodom akan diampuni jika hanya empat puluh lima orang benar ditemui di sana. Jawapnya ialah kalaupun empat puluh lima orang ini saja ditemui di situ, kota itu akan diampuni. Abraham terus bertanya tentang hal itu, tiap kali mengurangkan bilangan orangnya. Akhirnya dia diberitahu bahawa jika sepuluh orang boleh ditemui di Sodom, kota itu akan dilepaskan (Kejadian 18:23-33). Abraham meminta supaya orang benar diselamatkan bersama dengan semua anggota keluarganya.

 

Lot, anak saudara yang Abraham selamatkan daripada raja-raja yang telah menyerang Sodom, dengan bodohnya telah kembali menetap di situ. Malam itu, dua malaikat, muncul sebagai manusia, tiba di Sodom dan bertemu Lot yang sedang duduk di salah satu pintu gerbang kota itu (Kejadian 19:1). Lot melihat bahawa mereka orang asing, dan dengan ramah menjemput mereka ke rumahnya untuk makanan dan rehat. Dia tidak tahu mereka ialah utusan-utusan Tuhan. Pada mulanya mereka menolak, tetapi kemudian bersetuju untuk pergi dengan Lot. Lot sendiri sedang diuji.

 

Lot meminta jamuan istimewa disediakan untuk tetamu-tetamunya. Kemudiannya, ketika mereka bersedia untuk tidur, sekumpulan orang yang bising mengelilingi rumah Lot. Mereka tahu bahawa ada dua orang asing di dalam rumah itu. Mereka berteriak kepada Lot untuk mengeluarkan kedua-dua orang itu ke jalanan, di mana mereka bermaksud untuk memperlakukan orang asing itu dengan cara memalukan (Kejadian 19:4-5).

 

Lot keluar dan merayu supaya kumpulan orang itu pergi. Kelompok jahat, berjeritan itu tidak mahu mendengar Lot. Ada yang menyerbunya, menekannya pada pintu. Dua malaikat di dalam menjangkau ke luar, menarik Lot ke dalam, dan menutup pintu itu (Kejadian 19:6-10). Kelompok marah itu menyerbu rumah itu untuk memecah masuk ke dalamnya. Kemudian satu perkara aneh terjadi. Penyerang-penyerang itu mula terhuyung-hayang dan meraba-raba ke sana sini. Pekikan marah mereka bertukar menjadi rintihan. Utusan-utusan Tuhan telah membutakan mereka dengan tiba-tiba! (Kejadian 19:11).

 

Apabila orang-orang selebihnya menyaksikan sesuatu yang mengkagumkan sedang terjadi, mereka berundur dari rumah itu. Namun sesuatu yang lebih teruk bakal berlaku. Semua lelaki dalam kota itu telah menyertai kumpulan orang tersebut (Kejadian 19:4). Sebab semua mereka mempunyai keinginan hina yang sama, ini bermakna bahawa tidak sampai sepuluh orang benar berada di dalam Sodom. Tiada sebab untuk Tuhan mengampuninya.

 

“Kalau engkau mempunyai saudara-saudara dalam Sodom yang engkau ingin selamatkan, suruh mereka tinggalkan kota ini segera!” kata malaikat-malaikat itu kepada Lot. “Sodom dan penduduknya hampir dibakar!”

 

Lot segera keluar mencari bakal-bakal menantunya. Apabila dia memberitahu mereka tentang apa yang bakal terjadi, mereka tidak mempercayainya (Kejadian 19:14). Dia begitu kecewa sampai dia memutuskan untuk kekal di rumahnya sehingga mereka menyertainya. Malaikat-malaikat itu memperingatkannya bahawa dia harus pergi waktu itu juga, namun Lot melambat-lambat. Malah selepas mereka memegangnya, isteri dan dua anak perempuannya yang bujang dan memaksa mereka ke luar kota itu, Lot masih berharap anggota keluarganya yang selebihnya akan muncul (Kejadian 19:15-16).

 

“Larilah ke pergunungan!” desak malaikat-malaikat itu. “Jangan berhenti mahupun menoleh ke belakang melihat apa yang bakal terjadi!”

 

“Pergunungan terlalu jauh,” Lot membantah. “Ada kota di sana dalam lembah yang dapat kita sampai lebih cepat. Mari pergi ke sana!” (Kejadian 19:17-22).

 

Malaikat-malaikat itu sudah hampir hilang sabar dengan Lot, yang masih berharap anak-anak mertuanya akan menyusulinya bagaimana sekalipun. Kumpulan mereka terus berjalan. Matahari sedang terbit ketika mereka sampai ke kota Zoar, beberapa batu dari Sodom.

 

Di Sodom dan Gomora, kota utama yang satu lagi di lembah itu, berlaku gegaran tanah secara tiba-tiba. Pernah diandaikan bahawa di tempat berdekatan yang mempunyai lubang-lubang bitumen mudah terbakar, tanah meretak terbuka dan memuntahkan minyak, garam dan belerang tinggi ke langit. Dalam seketika saja semua itu bercampur dan meletup dengan bunyi gemuruh yang amat kuat, dan meniupkan bongkah-bongkah benda pejal bernyala lebih tinggi lagi. Beberapa saat kemudian bongkah-bongkah ini menghujan turun, beratus-ratus bilangannya jatuh ke atas Sodom dan Gomora bagaikan batu-batu meteor terbakar yang begitu banyak. Tidak mungkin lagi penduduk di dalam atau berdekatan kota-kota itu melarikan diri. Bagaimanapun, Alkitab hanya berkata bahawa hujan api turun ke atas Sodom dari Yahovah di Syurga.

 

Malah banyak kawasan dataran dekat dua kota itu kering di bawah kepanasan yang dahsyat itu. Tiada hidupan yang tinggal di bahagian itu. Semak dan rumput paling hijau menyala dan terbakar. Endapan aspal yang lain terbakar, dan menyebabkan reaksi rantai yang menghasilkan kemusnahan menyeluruh di situ (Kejadian 9:24-25). Demikianlah Tuhan menangani penduduk di situ sebab mereka merosakkan diri mereka dengan menjalani cara hidup jahat dan bukan menurut Hukum-hukumNya.

 

Pada permulaan ribut api itu, ketika Lot dan sebahagian keluarganya baru saja hendak memasuki Zoar, isteri Lot memandang ke belakang untuk melihat kemusnahan itu. Dia mungkin sedang mengingati segala yang ditinggalnya di situ dan mungkin kesal yang dia terpaksa meninggalkan tempat berdosa itu, meskipun dengan semua dosanya. Lot dan anak-anak perempuannya terus bergegas ke Zoar, tetapi isteri Lot tidak sampai-sampai dengan mereka. Dia telah bertukar menjadi sepotong garam batu yang bentuk dan saiznya seperti seorang manusia (Kejadian 19:26; Lukas 17:29). Namun Tuhan berbelas kasihan kepada Lot sebab menyelamatkannya dan kedua-dua anak perempuannya. Pengajarannya kepada kita adalah bilamana kita dipanggil keluar daripada dosa kita janganlah ingin kembali kepadanya tetapi tinggalkan itu tanpa memandang ke belakang.

 

Abraham melihat pemandangan ngeri itu

 

Selamat dalam kediamannya yang damai di pergunungan, Abraham bangun awal untuk memandang ke bawah ke arah Sodom. Dia terkejut melihat asap berkepul-kepul naik di atas dataran dan kota-kotanya yang telah hitam (Kejadian 19:27-29). Jelas baginya bahawa tidak sampaipun sepuluh orang benar ditemui di Sodom.

 

Kemudiannya Abraham mengetahui, dengan begitu gembira sekali, bahawa Tuhan telah menjawab segala doanya. Kota Zoar, walaupun berada di kawasan dataran dengan Sodom dan Gomora, selamat supaya Lot boleh mendapat perlindungan di situ.

 

Sedar bahawa dengan menetap di Zoar dia akan terus tinggal di kalangan orang-orang yang tidak menghormati Tuhan, Lot dan anak-anak perempuannya lari ke pergunungan (Kejadian 19:30). Dia tentunya lebih kaya dan jauh lebih bebas-kesusahan lagi jika dia telah memilih untuk tidak hidup di kalangan orang jahat Kanaan.

 

Kematian Sara

 

Selepas itu Abraham berpindah ke Hebron di bahagian selatan tanah Kanaan. Di sini Sara meninggal pada umur 127 tahun (Kejadian 23:1-2). Abraham membeli padang yang luas di wilayah itu. Ada sebuah gua di padang itu, dan di situlah dia menguburkan isterinya Sara.

 

Kita mungkin tertanya-tanya kenapa Abraham, seorang yang kaya-raya dengan binatang ternakan yang banyak sekali, selalu saja berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Apapun, dari satu segi kadangkala ia pilihan terbaik untuk berpindah untuk kepentingan binatang ternakan. Jika tempatnya tidak cukup hujan binatang-binatang itu tidak akan mendapat cukup rumput untuk dimakan. Bila ini terjadi Abraham hanya mencabut khemah-khemahnya dan menggembalakan ternakannya ke padang rumput yang lebih baik.

 

Namun sebab yang lebih penting lagi kenapa Abraham tinggal dalam khemah dan berpindah-pindah adalah kerana Tuhan memerintahnya berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Kebanyakan orang di negeri-negeri di situ tidak tahu-menahu tentang Tuhan. Mereka menyembah berhala dan Tuhan tidak mahu Abraham atau mana-mana anggota keluarganya menetap dan mula mengikuti gaya-gaya orang-orang itu.

 

Kematian Abraham

 

Masa berlalu dan Abraham mengahwini seorang perempuan lain yang namanya Ketura. Dia melahirkan untuknya enam anak lelaki lagi (Kejadian 25:1-4).

 

Abraham meninggalkan segala harta miliknya kepada Ishak. Namun waktu dia masih hidup dia memberi hadiah-hadiah kepada anak-anak lelakinya yang lain (Kejadian 24:5-6). Hukum memperuntukkan bahagian harta si bapa sebanyak dua kali ganda untuk diberikan kepada anak lelaki sulung sesudah si bapa meninggal (Ulangan 21:15-17).

 

Semuanya Abraham hidup 175 tahun sebelum meninggal. Anak-anaknya Ishak dan Ismael menguburkannya dalam gua yang sama di mana Abraham menguburkan isterinya Sara sebelumnya. Selepas kematian Abraham Tuhan memberkati anaknya Ishak yang tinggal dekat Beer Lahai-Roi pada waktu itu (Kejadian 24:7-11).

 

Pelajari lebih lanjut tentang Abraham, keturunan-keturunannya dan janji-janji Tuhan daripada laman web: www.abrahams-legacy.org

 

 

q