Jemaat-jemaat
Allah Al Maséhi
[CB15]
Yusuf: Anak Yakub
Bahagian 2 [CB15]
(Edisi 1.0 20030202-20030202)
Sebagai akibat kebuluran di negeri Mesir, saudara-saudara Yusuf telah datang ke hadapannya untuk pertama kalinya dalam masa tiga belas tahun untuk meminta makanan. Walaupun dia mengenali saudara-saudaranya itu, Yusuf tidak memperkenalkan dirinya kepada mereka pada mulanya. Namun begitu, Yusuf akhirnya bersatu semula dengan saudara-saudaranya serta bapanya.
E-mail: secretary@ccg.org
(Hakcipta ã 2003 Christian Churches of God, ed. Wade Cox)
(Tr. 2003)
Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan. Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan. Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.
Karya ini
boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org
dan http://www.ccg.org
Yusuf: Anak Yakub Bahagian 2 [CB15]
Saudara-saudara Yusuf pergi ke Mesir
Kebuluran itu telah tersebar kepada negara-negara lain selain Mesir, dan kerabat Yakub di Kanaan tidak terkecuali. Untuk sebab ini, apabila Yakub melihat bahawa sepuluh anaknya yang tinggal itu tidak pergi ke Mesir di mana bekalan gandum boleh dibeli, dia bertanya kepada mereka, “Mengapa kamu berpandang-pandangan saja? Telah kudengar, bahwa ada gandum di Mesir” (Kejadian 42:1-2).
Ingat dari karya sebelumnya, bahawa anak-anak Yakub yang lain telah memberitahunya bahawa seekor binatang liar telah membunuh Yusuf. Kerana Yakub tidak mengingini apa-apa terjadi kepada apa yang dianggapnya satu-satunya anak Rahel yang masih hidup, maka Yakub tidak membenarkan Benyamin pergi sementara sepuluh saudaranya yang lain telah berangkat ke Mesir (Kejadian 42:3-5).
Setibanya mereka di Mesir, saudara-saudara Yusuf telah datang menghadapnya dan sujud menyembah dengan muka sampai ke tanah. Mereka melakukan ini sebagai tanda hormat kepada seorang yang penting. Kita boleh ingat dari ceritanya di dalam Bahagian 1 bahawa Yusuf merupakan pemerintah kedua selepas Firaun Mesir. Yusuf kenal siapa mereka dan dia teringat mimpinya ketika dia masih muda – iaitu bagaimana saudara-saudaranya sujud menyembah kepadanya. Jadi, mimpi tersebut telah digenapi akhirnya (Kejadian 42:6-9).
Mereka tidak mengenali adik mereka Yusuf setelah sekian lama, kerana dia masih seorang pemuda ketika mereka menjualnya kepada perhambaan dan kini dia seorang yang lelaki yang dewasa. Juga dia kelihatan seperti seorang bangsa Mesir. Namun mereka mengenali kekuasaan orang yang berada di depan mereka itu. Yusuf ingin memberitahu mereka siapa dirinya dan ingin memeluk mereka, namun dia memilih untuk menunggu. Menyedari bahawa adiknya Benyamin tidak ada, Yusuf memulakan salah satu dari dua ujian untuk saudara-saudaranya untuk memastikan mereka telah insaf daripada kesalahan-kesalahan mereka dahulu.
Kejadian 42:9 "Kamu ini pengintai, kamu datang untuk melihat-lihat di mana negeri ini tidak dijaga."
Saudara-saudara Yusuf menolak tuduhan-tuduhannya bahawa mereka adalah pengintai yang telah datang ke Mesir supaya mereka dapat melaporkan kelemahan Mesir kepada negara-negara musuh.
Lalu jawab mereka: "Hamba-hambamu ini dua belas orang, kami bersaudara, anak dari satu ayah di tanah Kanaan, tetapi yang bungsu sekarang ada pada ayah kami, dan seorang sudah tidak ada lagi." (Kejadian 42:13)
Namun Yusuf meneruskan tuduhannya terhadap mereka. Dia tahu bahawa mereka bukanlah pengintai sebenarnya, namun dia membuat keputusan untuk memastikan bahawa pangkatnya serta kuasanya tetap menjadi tumpuan mereka. Dia melakukan ini dengan memastikan bahawa mereka tidak akan meninggalkan Mesir melainkan saudara mereka yang termuda datang ke Mesir sebagai bukti bahawa apa yang mereka katakan itu adalah benar (Kejadian 42:14-16).
Setelah menahan mereka di dalam penjara selama tiga hari, Yusuf membenarkan semua saudaranya kecuali seorang untuk kembali pulang kepada bapa mereka dengan gandum untuk menolong keluarga-keluarga mereka menempuhi kebuluran itu (Kejadian 42:17-20). Akhirnya, menyedari bahawa mereka melalui semua ini kerana apa yang telah mereka lakukan kepada Yusuf pada masa lepas, saudara-saudara ini membincangkan kesalahan mereka serta kemungkinannya mereka kehilangan nyawa mereka disebabkan perbuatan-perbuatan mereka pada masa lampau.
Kejadian 42:21-22 Mereka berkata seorang kepada yang lain: "Betul-betullah kita menanggung akibat dosa kita terhadap adik kita itu: bukankah kita melihat bagaimana sesak hatinya, ketika ia memohon belas kasihan kepada kita, tetapi kita tidak mendengarkan permohonannya. Itulah sebabnya kesesakan ini menimpa kita." 22 Lalu Ruben menjawab mereka: "Bukankah dahulu kukatakan kepadamu: Janganlah kamu berbuat dosa terhadap anak itu! Tetapi kamu tidak mendengarkan perkataanku. Sekarang darahnya dituntut dari pada kita."
Yusuf berbahasa Mesir sementara saudara-saudaranya hanya dapat berbahasa Ibrani, jadi seluruh perbicaraan di antara saudara-saudara itu adalah melalui seorang juru bahasa. Orang ini dapat berbicara di dalam kedua bahasa (Kejadian 42:23). Namun Yusuf mengerti bahasa asalnya dan dia memahami apa yang dibicarakan oleh saudara-saudaranya itu. Dia berasa kasihan dengan saudara-saudaranya dan dia mengundurkan dirinya agar mereka tidak melihatnya menangis. Apabila Yusuf kembali, dia telah mengenakan belenggu kepada Simeon di depan mata saudara-saudaranya (Kejadian 42:24).
Saudara-saudara itu kembali ke Kanaan
Sebelum saudara-saudara yang telah dilepaskan itu memulakan perjalanan mereka kembali ke rumah bapa mereka Yakub, tanpa disedari mereka, Yusuf telah memerintahkan hamba-hambanya untuk memasukkan wang mereka kembali ke dalam karung gandum mereka. Mereka begitu takut sekali apabila mendapat tahu hal ini kerana mereka mungkin dipersalahkan kerana mencuri wang itu jika Yusuf mengetahuinya nanti (Kejadian 42:25-28).
Dapatkah kamu bayangkan ketakutan yang menyelubungi saudara-saudara ini yang percaya bahawa mereka akan mendapat balasan ke atas perbuatan-perbuatan mereka daripada seorang yang kuasanya kedua terbesar di dalam bangsa yang paling kuat di bumi! Apabila kita terfikirkan betapa susahnya kita menjawab kepada ibubapa kita kerana perbuatan kita, fikirkanlah betapa susahnya lagi untuk bertanggungjawab terhadap kesalahan-kesalahan kita terhadap para pemimpin negara kita!
Setelah kembali ke tanah Kanaan, saudara-saudara itu terus pergi kepada Yakub dan memberitahunya segala yang telah berlaku kepada mereka di Mesir. Apabila Yakub melihat pundi-pundi wang dari karung-karung anak-anaknya itu, dia juga menjadi takut. Kerana, Yakub percaya Yusuf dan Simeon telahpun mati, dan sekarang ini Benyamin juga diminta untuk kembali bersama anak-anaknya yang lain ke Mesir. Sebagai anak lelaki sulung, Ruben cuba meyakinkan bapanya bahawa jika Benyamin berada di bawah penjagaannya, dia akan pastikan bahawa Benyamin akan pulang bersama mereka, malah mempertaruhkan nyawa kedua anaknya sendiri (Kejadian 42:29-36).
Kejadian 42:37 “Lalu berkatalah Ruben kepada ayahnya: "Kedua anakku laki-laki boleh engkau bunuh, jika ia tidak kubawa kepadamu; serahkanlah dia ke dalam tanganku, maka dia akan kubawa kembali kepadamu.”
Merisaukan kecelakaan yang mungkin menimpa Benyamin di dalam perjalanannya nanti, Yakub tidak membiarkannya pergi buat masa itu (Kejadian 42:38). Mengetahui betapa kasihnya ibubapa kita terhadap kita, seperti mana Tuhan juga mengasihi anak-anakNya, ianya senang untuk memahami betapa sukarnya untuk Yakub meletakkan Benyamin ke dalam sesuatu keadaan yang mengancam hidupnya, lebih-lebih lagi apabila Yakub percaya bahawa dia sudahpun kehilangan dua orang anak.
Namun, apabila kebuluran itu menjadi begitu teruk sekali, Yakub tidak mempunyai pilihan lagi kecuali untuk membiarkan Benyamin pergi ke Mesir bersama anak-anaknya yang lain untuk mendapatkan makanan. Kali ini, Yehuda menanggung keselamatan Benyamin. Yehuda berjanji bahawa jika ada apa-apa terjadi kepada Benyamin, kesalahan itu akan ditanggungnya selamanya (Kejadian 43:1-9).
Bolehkah kamu ingat siapa yang telah menanggung kutukan atas dirinya di dalam keluarga Yakub ketika dia lebih muda? Dengan merujuk kepada pelajaran-pelajaran sebelumnya serta Alkitab sendiri, apakah yang dikatakan salah oleh Tuhan mengenai menanggung sesuatu kutukan atau dosa ke atas diri sendiri?
Yakub akhirnya setuju bahawa Benyamin terpaksa kembali bersama anak-anaknya yang lain ke Mesir, kerana anak-anak serta cucu-cucunya yang lain sedang menderita akibat kebuluran tersebut. Namun, untuk memastikan mereka tidak pergi ke Mesir dengan tangan kosong, Yakub telah menghantar bersama mereka sedikit balsam dan sedikit madu, damar dan damar ladan, buah kemiri dan buah badam sebagai persembahan (Kejadian 43:10-11).
Bersama persembahan-persembahan ini, anak-anak itu juga harus membawa bersama mereka dua kali ganda wang yang telah mereka bawa di dalam lawatan pertama mereka ke Mesir. Mereka juga disuruh untuk mengembalikan wang yang dijumpai di dalam karung-karung mereka itu, seandainya wang itu tertinggal di dalam karung-karung mereka dengan tidak sengaja (Kejadian 43:12-13).
Sewaktu mereka mula berangkat, Yakub mengisytiharkan, “Allah Yang Mahakuasa kiranya membuat orang itu menaruh belas kasihan kepadamu, supaya ia membiarkan saudaramu yang lain itu beserta Benyamin kembali. Mengenai aku ini, jika terpaksa aku kehilangan anak-anakku, biarlah juga kehilangan!” (Kejadian 43:14).
Pada peringkat ini di dalam kebuluran tersebut, Yakub menyedari bahawa lebih ramai nyawa lagi yang mungkin hilang selain hanya nyawa Benyamin dan anak-anaknya yang lain jika dia tidak mengisi semula bekalan makanan keluarganya. Dengan membiarkan dirinya mungkin berdukacita atau kecewa dengan kehilangan Benyamin, dan mengutus semula anak-anaknya yang lain ke Mesir, Yakub menunjukkan kesediaannya untuk mengorbankan Benyamin, agar keluarganya selebihnya dapat terus hidup untuk masa depan.
Apabila Yusuf melihat saudara-saudaranya kembali bersama Benyamin, dia menyuruh ketua rumahnya untuk menyembelih seekor binatang sebagai persediaan untuk suatu majlis kemeriahan yang akan diadakan di rumahnya. Sebaik saja saudara-saudara itu dibawa terus ke rumah Yusuf, mereka serta-merta berasa takut atas sebab-sebab yang mungkin kenapa mereka telah dibawa ke sana. Dengan menganggap sebabnya sebagai wang yang telah ditemui di dalam karung-karung gandum mereka dari lawatan sebelumnya, mereka menemui ketua rumah itu untuk menjelaskan situasi mereka. Jelas mengetahui keadaannya, ketua rumah Yusuf meyakinkan saudara-saudara itu bahawa kehadiran mereka di situ adalah untuk sebab-sebab yang baik (Kejadian 43:15-23).
Setelah membasuh kaki mereka yang telah kotor daripada perjalanan mereka, meminum air, dan memberi makan kepada keldai mereka, saudara-saudara tersebut menyediakan persembahan mereka untuk kedatangan Yusuf pada waktu tengah hari (Kejadian 43:24-25).
Apabila Yusuf tiba dia dipersembahkan persembahan-persembahan tersebut dari Yakub. Dia bertanya mengenai bapa mereka dan diberitahu bahawa dia masih lagi hidup dan sihat sejahtera. Sementara saudara-saudaranya sujud kepadanya, Yusuf mengenali dan berkata kepada adiknya Benyamin, “Allah kiranya memberikan kasih karunia kepadamu, anakku!” Yusufpun merasa begitu ingin untuk memeluk Benyamin. Jadi, sekali lagi dia telah mengundurkan dirinya dari saudaranya untuk menyembunyikan perasaannya dan juga identitinya yang sebenar. Apabila Yusuf kembali, semua orang telahpun duduk mengikut bangsa dan pangkat mereka di dalam keluarga (Kejadian 43:26-33).
Oleh kerana orang-orang Mesir menganggapnya suatu kekejian untuk makan bersama orang-orang Ibrani, mereka duduk berasingan dari keluarga Yusuf. Saudara-saudara Yusuf begitu hairan melihat bahawa orang ini, yang dianggap mereka tidak benar-benar tahu mengenai keluarga mereka, telah mendudukkan betul-betul mengikut susunan lahir serta umur mereka. Bukan itu saja, mereka mungkin juga hairan kenapa Yusuf memastikan Benyamin mendapat sajian lima kali ganda lebih besar daripada yang lainnya (Kejadian 43:34).
Jika kita melihat pada kepentingan sajian makanan untuk Benyamin, kita harus faham mengenai maksud nombor lima di dalam Alkitab. Sungguhpun Alkitab lazimnya merujuk kepada bilangan lima sebagai berkait kepada kasih karunia ilahi tanpa ujian, mungkin sebagaimana Benyamin tidak melalui ujian seperti yang dihadapi oleh saudara-saudara tirinya yang lain pada masa itu, hakikat Yusuf memberi lebih kepada saudara sejatinya daripada saudara-saudara tirinya, mungkin sekali sama penting.
Jika kita lihat pada contoh yang ditunjukkan kepada kita oleh Allah Bapa, kita dapat melihat bahawa, seperti Dia, Yusuf atau kita sendiri tidak harus “membezakan orang” (Kisah 10:34). Sebagai contoh dari hidup Yusuf sendiri, kita lihat bagaimana cemburu dan kemarahan terhasil di antara saudara-saudara itu, disebabkan sikap memilih kasih dari Yakub, yang akhirnya membawa kepada rancangan untuk membunuh Yusuf.
Cawan Yusuf
Ujian kedua yang digunakan Yusuf ke atas saudara-saudaranya adalah meletakkan Benyamin ke dalam posisi bersalah yang membawa maut. Untuk mencapai ini, Yusuf menyuruh kepala rumahnya untuk sekali lagi mengembalikan wang saudara-saudaranya ke dalam karung-karung mereka, tetapi untuk karung Benyamin pekerjanya itu juga disuruh untuk memasukkan piala/cawan perak Yusuf. Jadi, setelah saudara-saudara itu berangkat pergi bersama keldai-keldai mereka setibanya fajar, kepala rumah Yusuf telah mengikuti mereka. Apabila dia menghampiri mereka, dia telah menuduh mereka mencuri harta peribadi tuannya yang telah melayani mereka dengan baik (Kejadian 44:1-8). Mereka sekali lagi telah menafikan tuduhan terhadap mereka dengan mengatakan:
“Pada siapa dari hamba-hambamu ini kedapatan piala itu, biarlah ia mati, juga kami ini akan menjadi budak tuanku.” (Kejadian 44:9)
Tidak sabar-sabar untuk membuktikan mereka tidak bersalah, mereka dengan cepat membuka karung-karung mereka untuk diperiksa. Masa itulah, setelah mencari dari yang paling tua kepada yang paling muda, piala perak itu ditemui di antara barang kepunyaan Benyamin. Seperti mana adat pada masa itu apabila seseorang itu begitu beremosi sekali, saudara-saudara itu telah menggoyakkan jubah-jubah mereka. Mereka berasa bersalah dan takut untuk hidup saudara mereka yang termuda dan mungkin juga untuk hidup mereka sendiri. Sekali lagi mereka akan perlu berbincang dengan Yusuf, jadi saudara-saudara itupun kembali ke kota (Kejadian 44:10-13).
Sambil mengaku perhambaan serta kesalahan mereka ke atas apa yang telah terjadi dengan piala perak itu, di samping kesalahan-kesalahan mereka yang lalu, mereka sekali lagi telah sujud menyembah Yusuf. Melihat sikap rendah diri mereka itu, Yusuf berkata kepada mereka, “Pada siapa kedapatan piala itu, dialah yang akan menjadi budakku, tetapi kamu ini, pergilah kembali dengan selamat kepada ayahmu” (Kejadian 44:14-17).
Oleh sebab piala perak itu kedapatan bersama dengan Benyamin, dia menghadapi risiko dijadikan hamba kepada Yusuf, yang merupakan penguasa Mesir. Menyedari bahawa apa yang sedang berlaku kepada Benyamin menyamai apa yang telah dilakukan mereka kepada Yusuf semasa mudanya, membuatkan saudara-saudara itu berasa sangat bersalah. Apakah yang akan kamu lakukan kalau kamu seorang dari saudara Benyamin?
Yehuda cuba menyelamatkan Benyamin
Bagi Yehuda, jawapannya jelas. Dia takut bahawa bapanya tidak akan lama hidup dan bahawa dosa tersebut akan ditanggungnya untuk selamanya jika dia tidak membawa Benyamin kembali ke Kanaan. Sambil berharap untuk menjelaskan situasinya, Yehuda menghampiri Yusuf untuk menceritakan semula seluruh ceritanya tentang apa yang berlaku (Kejadian 44:18-32). Yehuda kemudiannya merayu kepada Yusuf.
Kejadian 44:33-34 Oleh sebab itu, baiklah hambamu ini tinggal menjadi budak tuanku menggantikan anak itu, dan biarlah anak itu pulang bersama-sama dengan saudara-saudaranya. 34 Sebab masakan aku pulang kepada ayahku, apabila anak itu tidak bersama-sama dengan aku? Aku tidak akan sanggup melihat nasib celaka yang akan menimpa ayahku."
Yusuf mendedahkan siapa dirinya
Yehuda telah memainkan peranan yang besar di dalam menculik Yusuf dan menjualnya kepada perhambaan. Apabila Yusuf mendengar Yehuda mengatakan bahawa dia sanggup menyerahkan hidupnya sendiri demi hidup adiknya, Yusufpun tidak tertahan lagii dan menangis di depan semua yang ada di situ. Sebaik saja semua hamba-hamba Mesirnya telah keluar dari bilik itu, Yusuf memberitahu saudara-saudaranya siapa dia sebenarnya (Kejadian 45:1-4).
Setelah persatuan semula mereka yang penuh tangisan, Yusuf memberitahu saudara-saudaranya bahawa mereka tidak bersalah kerana menjualnya sebagai hamba; kerana disebabkan Tuhan-lah, dia telah tiba di situ di mana dia menjadi orang kedua kepada Firaun dan penyelamat nyawa sewaktu masa kebuluran itu (Kejadian 45:5-8).
Ketika Firaun mendengar khabar dari hamba-hamba rumahnya bahawa saudara-saudara Yusuf telah datang. Firaun serta pegawai-pegawainya bergembira untuk Yusuf. Sebagai hasilnya, Firaun telah menyuruh Yusuf untuk mengutus saudara-saudaranya kembali ke Kanaan, mengambil bapa mereka dan semua harta milik Yakub, dan kembali semula ke Mesir. Firaun akan memberikan Yakub kawasan tanah yang terbaik di Mesir, yang juga dikenali sebagai ‘kesuburan tanah’. Yusuf melakukan seperti yang diperintahkan Firaun (Kejadian 45:9-21).
Yusuf telah memberikan saudara-saudaranya salinan pakaian, namun kepada Benyamin diberikannya lima salinan pakaian dan tiga ratus keping perak. Untuk ayahnya, Yusuf telah mengirim sepuluh keldai jantan yang dimuati dengan apa yang paling baik di Mesir, dan sepuluh ekor keldai betina yang dimuati dengan gandum dan roti dan makanan untuk ayahnya dalam perjalanan (Kejadian 45:22-24).
Simbolisme pasangan sepuluh keldai itu adalah penting bukan saja dari segi erti fizikal, tetapi juga di dalam simbol-simbol yan diwakilinya. Sungguhpun simbol-simbol yang ditemui dengan bilangan-bilangan angka di dalam Alkitab mungkin terlalu banyak untuk difahami sekarang ini, pada masa hadapan ia akan menjadi penting di dalam pemahaman rencana serta kalendar Tuhan.
Di dalam simbolisme, bilangan sepuluh biasanya menggambarkan kesempurnaan serta permulaan yang baru. Bilangan dua, seperti di dalam sepuluh set dua [jenis] keldai, mewakili perbezaan. Ianya mungkin sekali bahawa bagi Yusuf, mengirim keldai-keldai itu di dalam set-set sepuluh merupakan bukti simbolik kepada ayahnya Yakub bahawa dia masih hidup dan bahawa mereka boleh menjalin hubungan mereka semula.
Setelah tiba di tanah Kanaan, saudara-saudara Yusuf memberitahu bapa mereka bahawa Yusuf masih hidup lagi dan kini merupakan penguasa Mesir. Mulanya, Yakub tidak mempercayai anak-anaknya itu, mungkin kerana penipuan mereka pada masa lampau di mana mereka telah memberitahu dia bahawa Yusuf telah dibunuh oleh haiwan liar ketika masih muda. Namun, sebaik saja Yakub melihat keldai-keldai itu dan segala yang telah dikirimkan kepadanya dari Mesir, Yakub mempercayai bahawa Yusuf memang benar-benar masih hidup. Ini membuatkan Yakub sangat gembira. Maka, Yakub memberitahu anak-anaknya yang lain bahawa, tanpa berlengah-lengah lagi, dia akan pergi ke Mesir untuk melihat Yusuf sebelum kematiannya (Kejadian 45:25-28).
Sebagaimana yang ditunjukkan dari contoh hidup Yusuf ini, kita seharusnya tidak memilih kasih sama ada sebagai ibubapa ataupun saudara, seperti mana yang telah dilakukan Yakub dengan Yusuf dan Yusuf dengan Benyamin. Kita seharusnya tidak ragu-ragu dengan mimpi ataupun cara dengan mana Tuhan melakukan pekerjaanNya, kerana ia tidak selalunya nampak bererti kepada kita. Dan akhirnya, janganlah kita terlalu cepat bertindak mengikut perasaan kita seperti mana saudara-saudara Yusuf melakukan terhadapnya, kerana akan sentiasa ada akibat dari pemikiran dan perbuatan kita.
Yakub dan anak-anaknya berjalan ke Mesir
Maka Yakub dan anak-anaknya serta semua keluarga mereka telah berangkat ke Mesir bersama segala kepunyaan mereka. Di dalam perjalanan, Yakub telah diberitahu di dalam suatu penglihatan atau mimpi oleh Malaikat Yahovah untuk tidak takut pergi ke Mesir, kerana Tuhan mempunyai rencana untuk keluarganya di sana (Kejadian 46:1-3).
Apabila Yusuf mendengar bahawa bapanya ada di dalam perjalanannya, dia pergi ke Gosyen untuk menemuinya. Bayangkanlah kesukacitaannya apabila Yakub bertemu semula dengan anak kesayangannya setelah bertahun lamanya dan lebih-lebih lagi memikirkan dia sudah mati. Jadi mereka menangis kegembiraan. Yakub kini bersedia untuk mati kerana dia telahpun menemui Yusuf semula (Kejadian 46:29-30).
Yusuf memberitahu saudara-saudaranya untuk memberitahu Firaun bahawa mereka sudah biasa memelihara binatang ternakan. Kebanyakan orang Mesir tidak menyukai orang yang melakukan pekerjaan ini, kerana kambing lembu adalah suci bagi mereka (Kejadian 46:31-34).
Lima dari saudara-saudara itu telah dibawah menghadap Firaun dan apabila dia mendengar bahawa mereka adalah penternak kambing lembu, Firaun memberitahu Yusuf untuk membiarkan mereka tinggal di tanah Gosyen. Ini merupakan tempat yang paling baik untuk binatang ternakan dan tidak ramai bangsa Mesir yang tinggal di situ, jadi Yusuf gembira untuk keluarganya (Kejadian 47:1-6).
Seterusnya Yusuf telah membawa ayahnya ke hadapan Firaun dan dia begitu menghormati Yakub. Apabila ditanya umurnya Yakub menjawab bahawa dia telah hidup selama 130 tahun (Kejadian 47:7-9). Selepas itu, Yusuf menempatkan ayah dan saudara-saudaranya serta keluarga mereka di Gosyen. Dia juga memastikan mereka mempunyai cukup makanan untuk dimakan (Kejadian 47:10-12).
Kebuluran itu berterusan
Sementara itu, kebuluran itu bertambah buruk dan rakyat terpaksa membayar untuk gandum yang mereka dapat dari Yusuf, namun lambat laun wang itu habis. Ini juga menunjukkan bahawa mereka tidak betul-betul bersedia untuk masa-masa yang sukar dengan menyimpan wang mereka ketika masa-masa yang baik di mana mereka mempunyai kelimpahan (Kejadian 47:13-15).
Namun rakyat tersebut kelaparan dan merayu meminta makanan. Yusuf kemudiannya memberitahu mereka bahawa mereka boleh membawa binatang-binatang mereka untuk digantikan dengan makanan. Namun lama kelamaan mereka juga kehabisan haiwan dan mereka sekali lagi merayu. Kali ini mereka menjual tanah milik mereka kepada Firaun agar mereka dapat makan. Seluruh rakyat telah menjual tanah mereka kerana kebuluran itu begitu buruk sekali. Dengan itu, penduduk kemudiannya telah dipindahkan ke kota-kota untuk hidup di sana dan mereka diberik makan di sana sehinggalah kebuluran itu tamat. Satu-satunya tanah yang tidak dijual adalah tanah yang dimiliki para imam Mesir. Mereka telah diperuntukkan bahagian makanan dari Firaun (Kejadian 47:16-22).
Setelah masa sukar itu berlalu, rakyat negeri itu telah diberikan biji benih untuk ditanam dan mereka diperlukan memberi kepada raja sebanyak satu perlima dari semua hasil mereka. Empat bahagian selebihnya adalah milik mereka. Rakyat senang dengan rancangan ini, lebih-lebih lagi kerana mereka telah diselamatkan daripada kelaparan. Sama seperti yang dikatakan Yusuf, tujuh tahun kebuluran itu akhirnya tamat dan hujanpun akhirnya datang (Kejadian 47:23-26).
Yakub mengambil anak-anak Yusuf sebagai anak angkat
Bapa dan saudara-saudara Yusuf telah berada di Mesir selama tujuh belas tahun apabila khabar datang kepada Yusuf bahawa bapanya sakit tenat. Jadi dia telah membawa anak-anaknya, Efraim dan Manasye dan pergi kepada bapanya. Yakub memberitahu Yusuf apa yang telah dikatakan Malaikat itu kepadanya lama dahulu, bahawa suatu bangsa yang besar akan muncul daripadanya dan tanah Kanaan akan diberikan kepada keturunan-keturunan yang datang selepas Yakub (Kejadian 48:1-4).
Yakub kemudiannya memberitahu Yusuf bahawa dia ingin menjadikan anak-anaknya itu sebagai anak-anak angkatnya, supaya mereka dapat dimasukkan bersama anak-anaknya yang lain di dalam berkat-berkat serta janji-janji yang dibuat oleh Tuhan. Dengan melakukan ini dia memastikan bahawa Efraim dan Manasye akan tetap berada di dalam keluarga itu dan tidak bercampur dengan keluarga-keluarga Mesir (Kejadian 48:1-5).
Yakub memberkati Yusuf dan anak-anaknya dan memberitahu Yusuf bahawa Tuhan akan menyertainya dan membawanya kembali ke negeri nenek moyangnya (Kejadian 48:21-22). Kemudian Yakub memberkati kesemua anak-anaknya yang lain. (Kejadian 49:1-2) Setelah semua ini Yakub menghembuskan nafasnya yang terakhir dan mati (Kejadian 49:29-33).
Yusuf meratapi ayahnya dan menciumnya. Kemudiannya dia memerintahkan para tabib Mesir untuk menyediakan tubuh bapanya untuk dikebumikan. Pengawetannya mengambil masa empat puluh hari; selepasnya terdapat suatu tempoh perkabungan yang lama untuk Yakub. Setelah semua itu berlalu Yusuf memberitahu Firaun bahawa bapanya telah membuatnya bersumpah bahawa dia akan mengembalikan badan bapanya itu ke Kanaan. Firaun memberitahunya untuk melakukan apa yang diminta bapanya. Oleh itu, saudara-saudaranya serta kesemua pegawai Firaun dan para tua-tua rumahnya serta semua para tua-tua Mesir telah pergi bersamanya. Apabila sampai ke sana, perkabungan selama tujuh hari lagi telah diadakan. Sesudah itu mereka semua kembali ke Mesir, sedia maklum bahawa mereka telah menunaikan janji mereka kepada bapa mereka (Kejadian 50:1-14).
Melalui semua ini Yusuf akhirnya didamaikan dengan saudara-saudaranya. Segala masalah-masalah mereka yang lalu akhirnya telah dikesampingkan. Dia meyakinkan saudara-saudaranya bahawa dia akan menanggung keperluan mereka dan keluarga-keluarga mereka (Kejadian 50:15-21). Yusuf tidak ingin membalas dendam ke atas perkara-perkara jahat yang telah dilakukan saudara-saudaranya kepadanya. Begitu juga kita tidak seharusnya membalas dendam terhadap mereka yang menyakiti kita. Tuhan akan menguruskan semua hal ini untuk kita jika kita percaya pada Dia.
Kematian Yusuf
Yusuf terus hidup di Mesir bersama saudara-saudaranya dan keluarga-keluarganya sehinggalah dia meninggal dunia. Sewaktu hampir mati, dia memberitahu umatnya bahawa Allah Benar yang Tunggal ada menyertai mereka dan akan membawa mereka keluar dari Mesir (Kejadian 50:15-26). Yusuf tidak pernah melupai janji-janji Tuhan (Kejadian 15:16; 46:4; 48:21). Dia kemudiannya meminta saudara-saudaranya bersumpah bahawa mereka akan membawa tulang-tulangnya keluar dari Mesir apabila Tuhan menunaikan janji ini. Kita tahu daripada Alkitab bahawa Musa telah membawa tulang-tulang Yusuf keluar dari Mesir beratus tahun kemudiannya (Keluaran 13:19). Yakub juga telah memohon permintaan yang sama dari anak-anaknya ketika hampir mati (Kejadian 47:29-31).
Yusuf telah hidup selama seratus sepuluh tahun. Tubuhnya diawetkan dan dikuburkan di Mesir. Umat Mesir menganggapnya suatu rahmat ilahi untuk hidup begitu lama.
Dari karya ini diharapkan bahawa kita akan menyedari serta menghargai dengan lebih baik ujian-ujian serta proses-proses pembelajaran yang dialami saudara-saudara Yusuf. Kita boleh terapkan ajaran-ajaran ini kepada sikap-sikap kita sendiri serta keputusan-keputusan yang kita lakukan sepanjang kehidupan kita.