Jemaat-jemaat Allah Al Maséhi

[CB16]

 

 

 

 

Musa dan Keluaran [CB16]

(Edisi 1.0 20020301-20020301)

 

Musa telah dipilih oleh Tuhan untuk memimpin bangsa Israel keluar dari Mesir di mana mereka telah diperhambakan. Melalui Musa dan Harun, Tuhan telah menggunakan banyak keajaiban dan penanda untuk menunjukkan bahawa Dia adalah Allah Benar yang Tunggal yang Maha Kuasa.

 

 

 

Christian Churches of God

 

PO Box 369, WODEN ACT 2606, AUSTRALIA

E-mail: secretary@ccg.org

 

(Hakcipta ã 2002 Diane Flanagan dan Wade Cox)

(Tr. 2003)

 

Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan.  Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan.  Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.

 

Karya ini boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org dan http://www.ccg.org


 

Musa dan Keluaran [CB16]

 


Pertama, adalah penting untuk mengetahui kenapa bangsa Israel berada di Mesir dan bagaimana mereka telah dijadikan hamba-hamba. Ia juga penting untuk mengetahui cerita Yusuf (lihat karya Yusuf: Anak Yakub Bahagian 1 [CB14].

 

Yakub yang kemudiannya dinamakan Israel, telah pergi untuk tinggal di Mesir bersama sebelas anak lelakinya serta keluarga-keluarga mereka. Terdapat kebuluran di Kanaan di mana mereka tinggal pada masa itu. Yusuf, anak kesayangan Yakub merupakan pemimpin di Mesir dan dia telah menjemput mereka untuk datang dan tinggal di situ, di mana makanannya banyak. Keturunan Yakub (Israel) adalah seramai tujuh puluh pada ketika mereka pergi ke Mesir (Keluaran 1:1-2).

 

Selepas memimpin Mesir selama bertahun lamanya, Yusus telah mati pada umur 110 tahun. Sebelum meninggal dia memberitahu saudara-saudaranya bahawa Tuhan akan satu hari nanti membawa bangsa Israel kembali ke Kanaan (Kejadian 50:15-21).

 

Setelah Yusuf dan saudara-saudaranya mati, bilangan orang-orang Israel di Mesir telah bertambah dengan banyak sekali. Negeri itu penuh dengan mereka (Keluaran 1:6-7).

 

Untuk selama dua abad seterusnya, orang-orang Israel di Mesir telah bertambah kepada dua juta orang. Beberapa orang Firaun telah memerintah dan mati sewaktu tempoh itu. Akhirnya Yusuf telah dilupai oleh golongan Firaun (Keluaran 1:8). Firaun seterusnya yang disebutkan di dalam cerita Alkitab itu tidak menyukai bangsa Israel. Dia melihat bahawa mereka telah menjadi terlalu ramai jadi dia telah memberikan mereka kerja yang berat untuk dilakukan. Namun bukannya berkurangan, tetapi sebaliknya bilangan mereka bertambah. Orang-orang Mesir melayani mereka dengan buruk sekali. Lambat-laun bangsa Israel telah menjadi hamba-hamba di bawah kawalan orang-orang Mesir. Mereka bekerja keras selama berjam-jam lamanya setiap hari (Keluaran 1:8-14).

 

Apabila bangsa Israel tidak juga berkurangan bilangan mereka, Firaun telah memerintah agar semua anak lelaki yang baru dilahirkan, dibunuh oleh bidan-bidan Mesir mereka (Keluaran 1:15-16). Melalui tindakan yang kejam ini Firaun memikirkan dia dapat mengawal orang-orang Israel. Namun bidan-bidan itu tidak sanggup melakukannya. Mereka memberitahu Firaun bahawa kaum perempuan Israel adalah kuat dan tidak memerlukan pertolongan untuk melahirkan anak-anak mereka. Tuhan memastikan bidan-bidan ini tidak dihukum kerana kebaikan mereka (Keluaran 1:17-21). Terdapat pengajaran yang penting di sini untuk kita semua berkenaan tindakan-tindakan bidan-bidan ini. Mereka yang menurut Tuhan sebalik menurut pihak pemerintah adalah dilindungi dan diberikan pusaka (Keluaran 1:21-22).

 

Kemudian Firaun telah menyuruh tenteranya untuk mengambil anak-anak lelaki yang baru lahir itu dan melemparkan mereka ke Sungai Nil dan mereka telah lemas (Keluaran 1:22). Pada waktu ini orang-orang Israel merasakan kecelakaan yang menimpa diri mereka dan mereka ingin untuk lari dari Mesir.

 

Hidup Musa menunjukkan rencana Keselamatan

Kisah Musa bukan hanya cerita mengenai pembebasan sekumpulan hamba-hamba dari Mesir. Ia bertujuan untuk menunjukkan kita rencana keselamatan Tuhan bagi dunia seperti yang dilihat dari Alkitab.

 

Rencana keselamatan boleh dilihat dari segi keadaan kelahiran Musa serta peringkat-peringkat hidupnya. Hidupnya terbahagi kepada tiga peringkat selama 40 tahun masing-masing. Dia telah hidup selama 120 tahun (Ulangan 34:7).

 

Empat puluh tahun pertama telah dihabiskannya di Mesir. Empat puluh tahun kedua dihabiskan di Midian sebagai seorang gembala (Kisah 7:29) sementara empat puluh tahun terakhir telah digunakan di padang gurun. Rencana keselamatan meliputi masa enam ribu tahun yang diikuti dengan pemerintahan Yesus Kristus selama seribu tahun (Wahyu 20:2-6).

 

Daripada hidup Musa kita juga boleh mengetahui bahawa tempoh enam ribu tahun itu adalah dibahagikan kepada tiga peringkat selama kira-kira empat puluh jubli masing-masing. Satu Jubli adalah lima puluh tahun. Jadi satu peringkat adalah 40 x 50 = 2,000 tahun. Jadi, ketiga-tiga peringkat seharusnya berjumlah 2000 x 3 = 6,000 tahun.

 

Musa dilahirkan

Seorang anak kecil yang cantik rupa parasnya telah dilahirkan kepada suatu pasangan Israel dari suku Lewi yang hidup berdekatan dengan Sungai Nil. Mereka berjaya menyembunyikan anak ini daripada pihak berkuasa selama tiga bulan. Apabila mereka tidak boleh lagi menyembunyikannya, mereka telah memasukkan dia ke dalam peti pandan yang dipakalnya dengan gala-gala dan ter, dan diapungkannya di antara teberau di tepi sungai itu. Adik perempuannya menunggu berdekatan untuk melihat apa yang akan terjadi kepada anak itu (Keluaran 2:1-4).

 

Akhirnya puteri Firaun telah datang untuk mandi di sungai itu dan dia telah melihat peti tersebut. Dia mengenal anak itu sebagai bangsa Israel namun dia begitu cantik sekali sehingga dia ingin memeliharanya dan melindunginya (Keluaran 2:5-6). Kemudian kakak anak itu datang kepada puteri tersebut dan menawar untuk mendapatkan seorang inang untuk anak itu. Semestinya dia telah pergi kepada ibunya yang sebenar dan puteri itu telah meminta perempuan itu untuk menjaga anak itu, bahkan akan memberikannya upah. Mereka juga tidak akan menghadapi apa-apa bahaya (Keluaran 2:7-9).

 

Setelah anak lelaki itu menjadi cukup dewasa, dia telah dikembalikan kepada puteri Firaun. Dia memanggilnya Musa (Keluaran 2:10). Musa telah diajar di dalam pengetahuan dan struktur ketenteraan Mesir dan tidak lama kemudian telah menjadi seorang pegawai berpangkat tinggi di dalam bala tentera Mesir. Tuhan sedang menyediakannya untuk suatu tugas yang besar. Kemudiannya dia akan perlu menyusun serta mengumpulkan Israel dan memimpin mereka di padang gurun.

 

Ketika dia berusia empat puluh tahun, Musa menjadi lebih prihatin terhadap kesejahteraan bangsanya sendiri dan kurang berminat terhadap bangsa Mesir.

 

Musa lari ke Midian

Musa melihat bagaimana buruknya layanan orang-orang Mesir terhadap bangsa Israel. Ini adalah bangsanya sendiri jadi dia begitu risau mengenainya. Suatu ketika dia campur tangan untuk cuba menyelamatkan seorang Israel yang sedang dipukul hampir mati oleh seorang Mesir. Namun begitu, orang Mesir itu telah mati dan apabila tiada yang melihatnya, Musa telah menyembunyikannya di dalam pasir (Keluaran 2:11-12).

 

Tidak lama kemudian Musa mengetahui bahawa kejadian tersebut telah dilihat oleh orang lain. Apabila Firaun mendengar tentang hal itu, dia telah cuba untuk membunuh Musa (Keluaran 2:15). Jadi, Musa telah melarikan diri dari Mesir dan pergi ke Midian. Ini merupakan hujung empat puluh tahun pertama atau fasa pertama kehidupan Musa.

 

Di Midian, Musa bertemu dan berkahwin dengan Zipora iaitu salah seorang daripada anak perempuan seorang imam yang bernama Rehuellah (Keluaran 2:16-22). Akhirnya mereka telah mendapat dua orang anak lelaki. Musa telah hidup dan bekerja di Midian sebagai seorang gembala selama empat puluh tahun. Bahagian kedua hidupnya ini juga penting. Waktu yang dihabiskan menjaga kawanan kambing adalah untuk menunjukkan kepada kita bahawa Israel akan menggunakan masa empat puluh Jubli (2000 tahun) untuk membentuk sejarahnya serta tradisi alkitabiahnya. Ini mewakili tempoh masa dari Abraham hingga Mesias.

 

Setelah bertahun-tahun bekerja sebagai hamba abdi untuk orang-orang Mesir, bangsa Israel telah berseru kepada Tuhan. Tuhan mendengar bagaimana sedihnya dan kesiannya mereka. Dia telah memilih seorang yang istimewa untuk memimpin umatNya keluar dari Mesir. Kita akan lihat dari apa yang terjadi seterusnya bahawa Tuhan memilih Musa untuk menebus umatnya.

 

Musa dan semak yang bernyala

Musa berada di Midian selama kira-kira 40 tahun apabila satu hari dia melihat suatu kejadian yang aneh pada suatu gunung berdekatan (Keluaran 3:1,2). Malaikat Tuhan telah muncul kepadanya di dalam nyala api suatu semak duri. Namun semak duri itu tidak terbakar (Keluaran 3:3).

 

Di sini, adalah penting untuk membincangkan sedikit mengenai malaikat ini. Malaikat Tuhan adalah utusan Tuhan. Malaikat ini, yang mewakili hadirat atau kemuliaan Tuhan, merupakan Yesus Kristus sebelum dia datang ke bumi sebagai seorang manusia. Dia telah diberikan tugas menjaga Israel. Di dalam cerita ini kita akan melihat bagaimana dia telah melepaskan mereka keluar dari Mesir melalui Musa dan membawa mereka ke Tanah Perjanjian.

 

Pada masa ini Musa berasa hairan dengan semak yang bernyala ini kerana ia tidak terbakar hangus. Sementara dia menghampiri semak ini Malaikat Yahovah, yang berbicara sebagai wakil Allah Bapa, telah memanggil Musa dan Musa menjawab (Keluaran 3:4).

 

Dia menyuruh Musa untuk tidak datang lebih dekat serta menanggalkan kasutnya kerana tempat di mana dia berdiri adalah kudus (Keluaran 3:5). Musa begitu takut sekali sehingga dia menyembunyikan mukanya. Malaikat itu terus berkata bahawa “Akulah Allah ayahmu, Allah Abraham, Allah Ishak dan Allah Yakub.” Ini merupakan malaikat yang sama yang berbicara sebagai utusan Tuhan. Suara itu juga memberitahu dia bahawa dia akan melepaskan orang-orang Israel yang menderita daripada orang-orang Mesir. Tuhan menyatakan dirinya kepada Musa dan dengan itu Israel di sini melalui Kristus. Kemudian hari, Dia akan menyatakan diriNya kepada dunia melalui Mesias secara peribadi.

 

Musa telah disuruh untuk pergi kepada Firaun dan memberitahu dia untuk melepaskan umatnya (Keluaran 4:6-10). Musa menjadi lebih takut lagi sekarang. Dia tertanya-tanya kenapa Tuhan memilihnya untuk pergi kepada Firaun dengan permintaan ini. Dia berfikir bahawa dia tidak boleh berbahasa Mesir dengan cukup baik dan dia juga mempunyai masalah percakapan. Namun malaikat itu memberitahunya bahawa dia akan pergi bersamanya (Keluaran 4:11-12).

 

Musa membantah bahawa umat itu tidak akan mempercayainya dan akan bertanya apakah nama utusannya. Malaikat itu menjawab, “AKU ADALAH AKU”. Ini sebenarnya bermakna bahawa Aku adalah apa yang aku akan menjadi di dalam bahasa Ibrani asalnya. Malaikat itu berkata: “Beginilah kaukatakan kepada orang Israel itu: AKULAH AKU telah mengutus aku kepadamu.” (Keluaran 3:14-15).

 

Musa telah diarahkan untuk mengumpulkan para tua-tua Israel dan memberitahu mereka apakah yang telah dikatakan Mesias kepadanya. Sesudah itu, Musa seharusnya pergi ke Firaun dan memberitahunya, “TUHAN, Allah orang Ibrani, telah menemui kami; oleh sebab itu, izinkanlah kiranya kami pergi ke padang gurun tiga hari perjalanan jauhnya untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah kami.” (Keluaran 3:16-22).

 

Musa masih lagi takut bahawa umat itu tidak akan mempercayainya. Tuhan telah memberikan Musa tiga tanda yang akan menunjukkan bahawa dia telah berbicara dengan Tuhan dan bercakap benar (Keluaran 4:1).

 

Tanda pertama adalah tongkat atau kayu gembalanya itu boleh bertukar menjadi ular dan kembali semula kepada bentuk tongkatnya (Keluaran 4:1-5). Ini bermaksud bahawa Musa telah diberikan kuasa ke atas para iblis Iblis.

 

Perkara kedua yang Musa diminta untuk melakukan adalah memasukkan tangannya ke dalam bajunya. Dia berbuat demikian dan tangannya telah mendapat kusta. Ini adalah suatu penyakit yang membuatkan kulit seseorang itu menjadi putih dan tidak sihat. Kemudian Musa diberitahu untuk memasukkan tangannya sekali lagi ke dalam bajunya dan ia menjadi sihat semula (Keluaran 4:6-7). Tanda ini bermaksud bahawa Musa mempunyai kuasa ke atas tubuh manusia.

 

Kemudian dia diberitahu bahawa jika umat itu tidak mempercayai dua tanda pertama itu atau mendengar apa yang dikatakannya, maka akan ada satu tanda lagi. Musa diberitahu untuk mengambil air dari sungai dan mencurahkannya ke atas tanah kering. Dalam proses ini, Tuhan menukarkan air itu kepada darah (Keluaran 4:8-9). Tanda ini menunjukkan bahawa Musa memiliki kuasa-kuasa Roh Tuhan.

 

Musa kemudiannya merungut bahawa dia tidak boleh berkata-kata dengan baik. Namun malaikat itu memberitahunya bahawa abangnya Harun akan menjadi jurucakap baginya. (Keluaran 4:10-17). Tuhan yang juga merupakan malaikat itu telah memberitahu Musa bahawa dia akan mengajar mereka apa yang perlu diucapkan apabila tiba waktunya. Hubungan Musa dan Harun ini adalah seperti hubungan antara Kristus dan Tuhan. Kristus disebutkan sebagai ‘firman’ atau jurucakap untuk Tuhan seperti yang kita lihat di atas. Begitu jugalah, Harun menjadi jurucakap bagi Musa.

 

Maka berakhirlah empat puluh tahun kedua atau fasa kedua kehidupan Musa. Musa kini berumur lapan puluh tahun. Dari sini kita pergi kepada empat puluh tahun terakhir, atau fasa ketiga kehidupannya.

 

Musa pergi ke Mesir

Musa mengucapkan selamat tinggal kepada bapa mertuanya dan membawa isterinya Zipora serta dua orang anak lelakinya dan memulakan perjalanannya ke Mesir. Namun pada perjalanannya, Tuhan telah bertemu dengan Musa dan ‘berikhtiar untuk membunuhnya’ (Keluaran 4:18-24).

 

Sebabnya adalah Musa belum lagi menyunatkan anaknya itu, seperti mana yang diperintahkan kepada Abraham. Lalu Zipora telah mengambil pisau batu dan memotong kulit khatan anaknys itu dan dengan menyentuhkah kulit itu pada kaki Musa (Keluaran 4:24-26). Dia marah dengan Musa dan mungkin dia telah menghantar keluarganya pulang pada masa ini, kerana seterusnya kita melihat dia pergi ke Mesir bersama abangnya Harun.

 

Apabila Musa bertemu dengan Harun dia memberitahunya segala yang telah dikatakan Tuhan kepadanya. Kemudian mereka telah pergi kepada para tua-tua dan mengatakan segala firman yang telah disebutkan Tuhan. Mereka melakukan tanda-tanda itu untuk dilihat umat tersebut dan umat itu percaya. Mereka tahu bahawa Tuhan telah akhirnya menghantar seseorang untuk melepaskan mereka keluar dari Mesir.

 

Keluaran bab 5 menceritakan kepada kita tentang lawatan pertama Musa dan Harun kepada Firaun. Firaun tidak bersedia melepaskan umat itu pergi. Bahkan dia telah memutuskan untuk membuatkan mereka bekerja lebih keras lagi kerana katanya mereka malas. Dia mempersalahkan Musa kerana mengalihkan perhatian rakyat tersebut dari kerja mereka. Jadi dia memutuskan bahawa umat itu akan memungut jerami mereka sendiri untuk dijadikan batu bata. Ini akan memakan masa yang lebih lama lagi namun mereka masih lagi dijangka untuk membuat jumlah batu bata yang sama setiap hari. Kemudian orang-orang itu dipukul kerana mereka tidak menghasilkan batu bata yang cukup. Firaun tidak mahu melepaskan umat itu untuk pergi mempersembahkan korban kepada Tuhan mereka. Dengan itu Firaun cuba menjadikan keadaan lebih buruk lagi untuk umat itu dan juga cuba membuatkan umat itu ragu-ragu bahawa Musa adalah hamba Tuhan.

 

Keluaran bab 6 memberitahu kita bahawa Tuhan dan Musa berbicara semula. Pada masa ini, Musa semakin putus asa. Tuhan memberitahu Musa bahawa Dia mengingati perjanjianNya (persetujuan) dengan Abraham. Tuhan telah mendengar rayuan-rayuan orang-orang Israel yang meminta tolong. Tuhan berjanji untuk:

 

1) membawa mereka keluar dari Mesir dan perhambaan mereka

2) menebus mereka dengan tangan teracung dan hukuman-hukuman berat

3) menjadikan mereka umatNya

4) menjadi Allah bagi mereka

5) membawa mereka ke negeri yang telah dijanjikanNya kepada nenek moyang mereka

6) memberikan mereka negeri ini sebagai pusaka.

 

(Keluaran 6:6-8).

 

Musa telah bercakap dengan bani Israel tetapi mereka tidak mendengar kerana semangat mereka telah dipatahkan oleh perhambaan kejam yang mereka lalui.

 

Musa tidak mempercayai Firaun akan mendengarnya kerana umatnya sendiri tidak mendengarnya. Tuhan menerangkan bahawa Dia akan menggunakan pelbagai tanda dan mukjizat di Mesir dan Firaun serta orang-orang Mesir akan mengetahui bahawa Allah Benar yang Tunggal yang membawa umatNya keluar dari Mesir.

 

Musa dan Harun berjumpa Firaun

Musa berumur 80 tahun ketika dia pergi berbicara dengan Firaun. Harun berumur 83 tahun.

 

Keluaran bab 7 mula menceritakan mengenai sepuluh tulah tersebut, yang menyebabkan kesakitan amat sangat, kesusahan serta masalah bagi orang-orang Mesir. Sepanjang sembilan tulah pertama Firaun sentiasa menolak untuk melepaskan umat Tuhan.

 

Tanda pertama adalah tongkat Harun yang berubah menjadi ular. Kemudian Firaun memanggil ahli-ahli sihirnya dan mereka melakukan perkara yang sama. Setiap orang melontar tongkatnya dan semuanya menjadi ular. Firaun memikirkan bahawa ahli-ahli sihirnya itu adalah lebih baik daripada Tuhan. Namun tongkat Harun telah menelan semua tongkat mereka itu. Firaun masih tidak percaya dan dia tidak mendengar kepada Musa dan Harun.

 

Sepuluh Tulah

Tulah pertama: air menjadi darah

 

Firaun sedang mandi di Sungai Nil. Tongkat Harun menyentuh air itu dan ia menjadi darah. Ikan-ikan mati, sungai berbau busuk dan tidak ada air segar untuk diminum orang-orang Mesir selama tujuh hari. Ahli-ahli sihir itu juga mampu mengubah air menjadi darah (Keluaran 7:22). Jadi Firaun mempunyai penjelasan tentang perkara ini dan tidak percaya bahawa ia suatu mukjizat Tuhan.

 

Ia akan berkeadaan begini juga pada zaman akhir nanti apabila para saintis moden cuba menerangkan apa yang sedang berlaku ke atas planet ini dan sewaktu sangkakala-sangkakala dan cawan-cawan kemurkaan Tuhan.

 

Tulah kedua: katak

Harun menghulurkan tongkatnya ke atas segala air di Mesir dan katak-katak keluar dan meliputi negeri Mesir. Mereka terdapat di rumah, tempat tidur, dan tempat pembakaran roti orang-orang Mesir. Namun begitu, para ahli sihir Firaun juga telah mengeluarkan katak. Firaun meminta Musa untuk meminta Tuhan membawa pergi katak-katak itu dan barulah dia akan melepaskan umat Tuhan pergi. Musa menjamin bahawa katak-katak itu akan lenyap dari negeri itu apabila tiba waktu pagi. Jadi pada waktu pagi, katak-katak itu telah mati. Sekali lagi Firaun mempunyai penjelasan terhadap apa yang berlaku dan melanggar janjinya. Dia masih tidak mahu melepaskan umat itu pergi.

 

Katak-katak itu mewakili roh-roh namun bukan saja bagi Mesir. Tulah ini juga seperti roh-roh jahat akhir zaman. Mereka diumpamakan seperti katak-katak, yang keluar dari mulut naga, binatang dan nabi palsu itu (Wahyu 16:13).

 

Tulah ketiga: nyamuk (kutu)

Harun memukulkan tongkatnya pada debu tanah dan ia menjadi kutu ke atas manusia dan binatang. Semua debu negeri itu menjadi kutu di seluruh Mesir. Ahli-ahli sihir Mesir cuba untuk melakukan ini tetapi telah gagal. Ahli-ahli sihir ini telah memberitahu Firaun bahawa ini adalah tangan Tuhan (Keluaran 8:19). Musa sekali lagi meminta Firaun untuk melepaskan umat Tuhan atau tidak, tulah seterusnya akan datang.

 

Tulah keempat: pikat (lalat)

Dari Keluaran 8:20 dan seterusnya, Tuhan mengutus Musa untuk membawa tulah pikat-pikat ke atas manusia dan binatang di Mesir. Namun Tuhan meletakkan sempadan atau batas pemisah antara umatNya dan orang-orang Mesir. Oleh sebab bangsa Israel tinggal di wilayah Gosyen, yang seumpama kawasan pinggir kota Mesir yang terpisah, Tuhan tidak membenarkan sebarang pikat dari tulah itu untuk pergi ke sana.

 

Ini merupakan tanda untuk menunjukkan kepada semua bahawa Israel adalah suatu umat khusus dan diasingkan untuk Tuhan. Juga ianya penting untuk menyedari bahawa pikat-pikat adalah simbol Baalzebub, iaitu dewa Ekron di kalangan bangsa-bangsa Kanaan. Bangsa-bangsa ini mempunyai pertalian dengan orang-orang Mesir. Sekali lagi, apa yang kita lihat adalah serangan ke atas rakyat itu dengan menggunakan simbol-simbol yang berkaitan dengan dewa-dewa lain untuk menunjukkan bahawa mereka tidak mempunyai kuasa.

 

Firaun sekali lagi berjanji untuk melepaskan umat itu untuk mempersembahkan korban kepada Tuhan mereka, namun tidak terlalu jauh, jika Musa meminta Tuhan untuk menghentikan tulah itu. Pikat-pikat itu telah pergi dan hati Firaun dikeraskan dan dia tidak mahu membenarkan umat itu pergi.

 

Tulah kelima: penyakit binatang ternakan

Ini melibatkan satu penyakit yang mempengaruhi binatang. Ada yang mengatakan bahawa ini kemungkinannya akibat daripada penyakit-penyakit yang disebarkan pikat-pikat itu. Namun ini adalah pemikiran saintifik moden yang bertujuan menjadikan orang ramai ragu-ragu bahawa ini adalah mukjizat dari Tuhan. Semua binatang ternakan milik orang-orang Mesir telah mendapat penyakit itu dan mati. Tiada satupun dari binatang orang-orang Ibrani itu yang jatuh sakit. Firaun masih tidak mahu membiarkan mereka pergi. Idea kekudusan yang sama dilanjutkan kepada binatang ternakan. Ini adalah untuk menunjukkan tuntutan-tuntutan berlainan untuk persembahan korban. Ia juga menjadi lambang korban Mesias. Lembu jantan dianggap kudus atau keramat di Mesir bagi dewa Apis. Jadi pembunuhan ternakan itu merupakan satu lagi serangan terhadap salah satu tuhan mereka.

 

Tulah keenam: barah yang memecah

Musa telah mengambil jelaga dari dapur peleburan dan menghamburkannya ke udara di depan Firaun. Ini telah membawakan barah-barah memecah, atau bisul-bisul yang sangat dahsyat terhadap manusia dan binatang. Namun Firaun tetap tidak mahu melepaskan umat Tuhan. Ubat-ubatan ahli-ahli sihir itu sekalipun tidak dapat menyembuhkan barah-barah ini.

 

Keadaan ini akan terjadi pada zaman akhir, apabila manusia sekali lagi akan dijangkiti barah-barah yang dahsyat, yang timbul dari tanda binatang itu (Wahyu 16:11).

 

Musa memberi amaran kepada Firaun mengenai tulah seterusnya. Dia memberitahu kepadanya bahawa jika ada sesiapa orang atau binatang yang tidak dibawa pulang dan di bawah lindungan maka mereka akan mati.

 

Tulah ketujuh: hujan ais (hujan es)

Ini merupakan hujan batu es yang paling dahsyat yang bercampur dengan api yang pernah dilihat Mesir. Musa telah menghulurkan tongkatnya ke langit dan Tuhan telah menghantar guruh dan hujan es, dan apipun menyambar ke bumi. Ia membunuh manusia dan binatang yang berada di luar; ia menumbangkan pohon-pohon dan membinasa tumbuh-tumbuhan. Hanya di Gosyen, di mana orang-orang Israel berada, tidak ada hujan es tersebut.

 

Firaun telah diberikan notis empat puluh jam untuk membawa binatang ternakan serta rakyatnya ke tempat perlindungan. Ini diberikan untuk menguji ahli-ahli sihir Mesir yang difikirkan mempunyai kebolehan untuk mengawal cuaca. Sekali lagi, kita lihat bahawa mereka tidak mampu menghalang tangan Tuhan yang bekerja.

 

Tulah ini akan sekali lagi digunakan pada zaman akhir (Wahyu 11:19; 16:21). Mereka yang takut akan Tuhan pergi kepada tempat perlindungan. Mereka yang tidak, mati di padang (Keluaran 9:21). Firaun mengalah namun Musa mengatakan bahawa dia tahu yang Firaun dan para pegawainya belum lagi takut akan Tuhan Allah (Keluaran 9:30).

 

Firaun telah memanggil Musa untuk meminta Tuhan menghentikan hujan es serta guruh itu. Musa memberitahu Firaun bahawa sebaik saja dia meninggalkan kota itu dan mengembangkan tangannya kepada Tuhan maka hujan es dan guruh itu akan berhenti. Sekali lagi setelah tulah itu berhenti, Firaun telah mengubah fikirannya dan tidak mahu membiarkan umat Tuhan pergi.

 

Tuhan terus menerus menunjukkan tanda-tanda dan keajaiban-keajaiban agar semua generasi akan mengenali Allah Benar yang Satu.

 

Tulah kelapan: belalang (belalang juta)

Belalang ini akan memakan apa saja tumbuhan atau pohon hijau yang tidak habis dibinasakan oleh hujan es itu. Firaun cuba membuat tawaran dengan Musa di mana kaum lelaki boleh pergi menyembah dan mempersembahkan korban, namun kaum perempuan dan anak-anak harus tinggal di Mesir. Firaun cuba menjadikan perempuan serta anak-anak sebagai tebusan agar kaum lelaki mereka akan kembali ke Mesir. Tuhan berurusan dengan kita sebagai keluarga-keluarga dan ini bukanlah satu tawaran yang boleh diterima. Jadi belalang-belalang itupun tiba. Terdapat begitu banyak belalang sekali sehinggakan negeri itu menjadi gelap. Mereka telah memakan apa saja yang tinggal di negeri Mesir. Sekali lagi, jelas sekali bahawa tuhan-tuhan mereka tidak berkuasa untuk menghentikan tulah ini.

 

Tuhan telah mengeraskan hati Firaun dan para pegawainya agar Dia dapat menunjukkan kepada semua orang tanda-tanda yang besar ini. Firaun harus direndahkan dan pengetahuan tentang peristiwa-peristiwa ini telah diperturunkan kepada anak cucu (Keluaran 10:2). Maka semuanya akan mengenali bahawa Allah Benar yang Satu adalah Tuhan atas segalanya. Belalang-belalang itu digunakan untuk menyempurnakan pembinasaan padang-padang yang telah dimulakan oleh hujan es itu (Keluaran 10:3-6).

 

Firaun sekali lagi telah meminta Musa untuk menghilangkan belalang-belalang itu, dan ini dilakukan Musa. Namun seperti banyak kali sebelumnya, Firaun sekali lagi menolak untuk melepaskan umat Tuhan.

 

Tulah kesembilan: kegelapan

Kegelapan ini di negeri Mesir boleh dirasai. Ia berlanjutan selama tujuh hari. Orang-orang Israel mempunyai terang di dalam tempat kediaman mereka. Setelah tiga hari Firaun telah memanggil Musa dan mengatakan bahawa semua umat itu boleh pergi beribadah kepada Tuhan, tetapi binatang ternakan mereka harus ditinggalkan. Binatang-binatang ini merupakan sebahagian daripada sumber kehidupan dan adalah satu keperluan bagi korban-korban kepada Allah Maha Besar.

 

Tindakan ini merupakan serangan terus ke atas kuasa tuhan tertinggi Mesir, iaitu Ra Dewa Matahari atau Amun-Ra.

 

Hati Firaun dikeraskan dan dia mengatakan “Pergilah dari padaku; awaslah engkau, jangan lihat mukaku lagi, sebab pada waktu engkau melihat mukaku, engkau akan mati." Musa setuju bahawa dia tidak akan melihat Firaun lagi kerana sudah tiba masanya bagi tulah terakhir.

 

Malaikat Tuhan memberitahu Musa bahawa orang-orang Israel akan diusir keluar dari Mesir. Musa disuruh untuk meminta orang-orang Israel meminjam serta meminta barang-barang dari orang-orang Mesir. Orang Mesir dengan rela memberikan barang-barang emas dan perak mereka. Kemurahan hati mereka ini menunjukkan bahawa mereka menyanjung tinggi Musa dan mengingati dia dari masanya sebagai seorang pegawai Mesir berpangkat tinggi. Juga mungkin penduduk Mesir sangat berterima kasih untuk kerja yang telah bangsa Israel lakukan untuk mereka.

 

Musa mendapat tahu bahawa tulah terakhir itu adalah kematian anak sulung manusia dan binatang. Anak-anak sulung diasingkan dan adalah kudus kepada Tuhan. Tuhan mengajar Musa bagaimana untuk menghalang kematian anak-anak sulung bangsa Israel.

 

Paskah Pertama

Keluaran bab 12 memberitahu kita “Bulan inilah akan menjadi permulaan segala bulan bagimu; itu akan menjadi bulan pertama bagimu tiap-tiap tahun.” Pada hari kesepuluh bulan pertama seekor anak domba diasingkan bagi setiap keluarga. Anak-anak domba ini harus disimpan sehingga hari keempat belas dan disembelih menjelang waktu senja.

 

Tiada seorangpun dari umat Israel yang boleh keluar dari rumah mereka sehingga pagi. Haiwan itu dipanggang seluruhnya di dalam api sebelum pagi. Bersama domba itu, mereka memakan sayur pahit dan roti tidak beragi. Apa sahaja sisa domba yang tinggal harus dibakar di dalam api sebelum pagi. Umat Israel harus makan dengan cepat sambil bersedia sepenuhnya untuk bergerak dengan kasut pada kaki mereka dan tongkat di tangan.

 

Apabila mereka menyembelih domba itu, mereka diperlukan membubuh sedikit darah itu pada tiang-tiang pintu. Ini merupakan tanda perlindungan Tuhan. Apabila malaikat maut melalui negeri itu pada tengah malam, ia akan melepasi keluarga-keluarga yang mempunyai darah pada tiang pintu mereka.

 

Peristiwa ini akan dipelihara sebagai suatu peringatan; sebagai perayaan kepada Tuhan turun-temurun (Keluaran 12:14). Ia dipelihara sebagai hari Paskah setiap tahun pada hari keempat belas bulan pertama.

 

Dari ayat 15, kita diberitahu untuk memakan roti tidak beragi selama tujuh hari. Hari pertama dan ketujuh bagi bulan pertama, Abib, adalah hari-hari kudus (iaitu 15 dan 21 haribulan). Kita seharusnya tidak melakukan apa-apa pekerjaan pada hari-hari ini melainkan menyediakan makanan. Kita harus membersihkan segala ragi dari rumah-rumah kita sebelum hari ke 15. Orang-orang Israel diperintahkan untuk membuang semua benda-benda beragi, seperti roti, kek, dan biskut dari rumah-rumah mereka sebelum mereka meninggalkan Mesir (Keluaran 12:15).

 

Minggu dalam mana kita tidak memakan apa-apa benda yang beragi adalah masa yang harus dipelihara selamanya oleh kita. Masih ada banyak lagi yang dapat kita pelajari dari perayaan ini tetapi ini akan dibincangkan di dalam Hari-hari Kudus Tuhan [CB22].

 

Pada malam tersebut, Tuhan telah membuat pengadilan ke atas semua tuhan-tuhan Mesir. Setiap tulah ditujukan kepada salah satu dewa yang disembah orang Mesir. Tidak boleh dinafikan bahawa tulah-tulah itu adalah kejadian-kejadian yang ngeri untuk disaksikan dan lebih dahsyat lagi jika dialami. Namun begitu, Firaun telah menjadi seperti tuhan kepada bangsanya dan segala kengerian ini bertujuan membuktikan bahawa tiada raja, putera atau berhala yang berkuasa terhadap Allah Benar yang Tunggal.

 

Dengan menurut perintah Tuhan, umat Israel memakan perjamuan Paskah dengan cepat dan sudah berpakaian dan sedia untuk berangkat.

 

Tulah kesepuluh: kematian anak sulung Mesir

Pada waktu tengah malam semua anak sulung Mesir, manusia mahupun binatang telah mati. “Dari anak sulung Firaun yang duduk di takhtanya sampai kepada anak sulung orang tawanan, yang ada dalam liang tutupan, beserta segala anak sulung hewan.” (Keluaran 12:29). Terdengar tangisan yang hebat di Mesir, kerana setiap keluarga telah kehilangan seseorang. Namun begitu, orang-orang Israel selamat di dalam rumah mereka di mana mereka telahpun diberitahu mengenai perlindungan dari pintu-pintu yang dibubuh darah itu (Keluaran 12:27-28). Sekali lagi ini adalah untuk menunjukkan perbezaan di antara dua umat ini.

 

Ketika ini Firaun tentu telah menyedari bahawa Tuhan perkasa umat Israel adalah lebih besar lagi daripada sebarang tuhan yang dikenalinya. Tuhan-tuhannya langsung habis dihapuskan. Kini dia tidak sabar lagi untuk mengusir kesemua bangsa Israel itu.

 

Keluaran

Firaun telah memanggil Musa dan Harun pada waktu malam dan memberitahu mereka (Keluaran 12:31 dan seterusnya) “Bangunlah, keluarlah dari tengah-tengah bangsaku, baik kamu maupun orang Israel; pergilah, beribadahlah kepada TUHAN, seperti katamu itu. Bawalah juga kambing dombamu dan lembu sapimu, seperti katamu itu, tetapi pergilah! Dan pohonkanlah juga berkat bagiku.”

 

Israel meninggalkan Mesir pada hari yang sama apabila mereka tiba di Mesir 430 tahun yang lalu (Keluaran 12:40-41). Tuhan memberitahu umat Israel untuk memberitahu anak-anak mereka tentang hal ini melalui turun-temurun. Dia tidak mahu mereka lupa bagaimana dia telah melepaskan mereka dari perhambaan orang-orang Mesir (Keluaran 13:3-10). Ia merupakan suatu Malam Berjaga-jaga untuk semua generasi selamanya.

 

Sementara Malaikat Tuhan membawa Israel keluar dari Mesir, dia memimpin mereka sebagai tiang awan pada waktu siang dan tiang api pada waktu malam. Malaikat Tuhan tidak pernah meninggalkan Israel. Tuhan memimpin bangsa Israel ke arah kebebasan melalui padang gurun Laut Merah. Ini merupakan jalan yang lebih sukar lagi namun umat Israel hanya boleh maju ke depan dan tidak kembali ke Mesir sungguhpun mereka tergoda dan ingin berbuat demikian.

 

Setelah mereka pergi, Firaun menyesali keputusannya di dalam membenarkan orang-orang Israel itu pergi. Umat Mesir kini telah kehilangan hamba-hamba mereka. Jadi dia menyediakan kereta-kereta kudanya dan tenteranya untuk mengejar bekas hamba-hambanya itu.

 

Tidak lama kemudian Firaun dan tenteranya telah dilihat oleh umat Israel sewaktu mereka menghampiri Laut Merah. Walaupun mereka telah melihat segala mukjizat dan tanda-tanda Allah Benar yang Satu, mereka telah bersungut dan ingin kembali ke Mesir.

 

Arahan Musa kepada mereka adalah: “Janganlah takut, berdirilah tetap dan lihatlah keselamatan dari TUHAN, yang akan diberikan-Nya hari ini kepadamu; sebab orang Mesir yang kamu lihat hari ini, tidak akan kamu lihat lagi untuk selama-lamanya. TUHAN akan berperang untuk kamu, dan kamu akan diam saja.” (Keluaran 14:13-14).

 

Musa telah mengangkat tongkatnya dan membelah Laut Merah menjadi dua supaya ada jalan yang kering untuk umat Israel lalui. Tiang yang ada di hadapan umat Israel bergerak ke belakang mereka. Kini tiang itu ada di antara umat Mesir dan Israel. Tiang itu merupakan kegelapan bagi orang-orang Mesir, namun ia memberikan terang kepada orang-orang Israel. Angin timur yang kuat membuatkan lantai laut itu kering pada malam itu dan bani Israel berjalan melintasi Laut Merah di atas tanah kering.

 

Umat Mesir itu terus mengejar orang-orang Israel. Setelah orang Israel yang terakhir menyeberangi Laut Merah, Musa sekali lagi mengangkat tongkatnya dan laut itu telah menelan orang-orang Mesir tersebut. Itu adalah bagaimana Allah Benar yang Tunggal telah menyelamatkan Israel dari perhambaan Mesir.

 

“Ketika dilihat oleh orang Israel, betapa besarnya perbuatan yang dilakukan TUHAN terhadap orang Mesir, maka takutlah bangsa itu kepada TUHAN dan mereka percaya kepada TUHAN dan kepada Musa, hamba-Nya itu.” (Keluaran 14:31).

 

Rujuk juga kepada karya Musa dan Dewa-dewa Mesir [105].

 

q