Jemaat-jemaat Allah Al Masehi

[CB55]

 

 

 

 

Hakim-hakim untuk Israel

(Edisi 2.0 20060313-20061214)

 

Selepas kematian Yosua, orang Israel sekali lagi menyembah tuhan-tuhan asing dan melupai Allah Maha Esa, jadi Tuhan membuka perlindunganNya daripada mereka. Apabila mereka mendapat kesusahan mereka akan bertaubat dan meminta Tuhan menolong mereka sekali lagi. Pada waktu ini Tuhan membangkitkan Hakim-hakim untuk melepaskan Israel daripada banyak penawanan mereka. Karya ini telah disesuaikan daripada Bab-bab 59 dan 60 The Bible Story Volume III oleh Basil Wolverton, diterbitkan oleh Ambassador College Press.

 

 

 

Christian Churches of God

 

PO Box 369, WODEN ACT 2606, AUSTRALIA

E-mail: secretary@ccg.org

 

(Hakcipta ã 2006 Jemaat-jemaat Allah Al Masehi, ed. Wade Cox)

(tr. 2009)

 

Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan.  Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan.  Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.

 

Karya ini boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org dan http://www.ccg.org

 

Hakim-hakim untuk Israel

 


Kita teruskan di sini dari karya Matahari Berhenti (No. CB53).

 

Perhentian Israel daripada usaha penaklukan Kanaan memanjang menjadi beberapa tahun. Dalam kemakmuran yang bertumbuh itu ada juga peningkatan ketara jumlah penduduk.

 

Ketika waktu itu, ramai orang Kanaan yang telah melarikan diri ke negeri-negeri berdekatan beransur-ansur pindah kembali ke beberapa kota dan tempat-tempat dari mana Tuhan telah mengusir mereka. Ada juga beberapa kota dan kawasan, khususnya di barat Yordan, yang belum didatangi orang Israel (Yosua 13:1-6). Semua ini bermakna bahawa perang-perang penaklukan Israel belum lagi berakhir. Kalaulah Israel telah taat dan setia sepenuhnya, Kanaan tentu dapat dikosongkan semua musuh itu dalam masa yang singkat saja.

 

Apabila akhirnya Israel memutuskan untuk sekali lagi mengangkat senjata untuk meneruskan kekalahan orang Kanaan, timbul persoalan suku manakah yang harus bergerak dahulu. Pinehas, yang menjadi Imam Besar selepas kematian Eleazar, meminta nasihat Tuhan di Khemah Tuhan, dan Tuhan menyatakan bahawa suku Yehuda harus maju dahulu, dan bahawa Dia akan menolong para perajurit Yehuda mengatasi musuh mereka.

 

Kemudian bani Yehuda meminta bani Simeon untuk pergi bersama mereka ke dalam wilayah yang diberikan kepada mereka untuk melawan orang Kanaan itu. Mereka setuju kerana bani Yehuda berkata mereka akan menolong bani Simeon mengambil wilayah mereka bila sampai waktunya. Ini bermakna tentera bersenjata yang lebih besar dan lebih kuat untuk digunakan dalam kedua-dua wilayah mereka (Hakim 1:1-3).

 

Hanya beberapa batu di barat daya Silo ialah sebuah kota dipanggil Bezek. Di sinilah mereka bertembung beribu-ribu orang Kanaan yang dipersenjatai kembali. Ramai orang Kanaan ini mengikut raja baru mereka sebab takut. Dia seorang raja kejam yang memotong ibu jari tangan dan ibu jari kaki sesiapa daripada bangsanya yang tidak mahu tunduk kepadanya. Orang Israel mengingati janji Tuhan kepada mereka, dan tanpa membuang masa terus menyerang.

 

Dalam satu pertempuran itu sepuluh ribu musuh tewas di hadapan Yehuda dan Simeon. Dalam kegemparan itu raja Bezek, Adoni-Bezek, berjaya melepaskan diri dan lari ke selatan bersama beberapa pembantu. Setelah mendengar bahawa dia seorang yang kejam orang Israel berusaha keras untuk menangkap Adoni-Bezek. Orang Israel berkuda berjaya mengejarnya di pergunungan. Daripada membunuhnya, mereka memberinya satu pengajaran yang tidak sekali-kali dilupainya. Mereka mengikut kebiasaannya memotong ibu jari tangan dan kaki musuhnya dengan melakukan hal yang sama kepadanya.

 

Adoni-Bezek menerima hukumannya dengan berani, bagaimanapun, dan mengaku bahawa Tuhan Israel memperlakukannya seperti yang patut diterimanya. Dia mendakwa bahawa pada satu ketika tawanan-tawanannya termasuk sejumlah tujuh puluh raja, dan dia telah memotong ibu jari tangan dan ibu jari kaki kesemua mereka!

 

Hari demi hari bani Yehuda dan Simeon maju ke selatan untuk menghabiskan semua tentera lawan. Mereka bergerak ke barat ke kota Gaza di Laut Besar dan ke timur hampir ke hujung selatan Laut Asin (Laut Mati).

 

Tuhan menolong mereka untuk berjaya hampir sepenuhnya dalam perang mereka. Bagaimanapun, ada orang Kanaan dapat melepaskan diri dan memperkuatkan pertahanan beberapa kota yang ditakluki, seperti Yerusalem (ayat 21). Sedikit pengecualian ini terjadi hanya kerana orang Israel tidak taat keseluruhannya atau tidak mempunyai iman yang cukup dalam Tuhan (Hakim 1:4-20).

 

Kira-kira waktu itu, suku Efraim (kadangkala dipanggil keturunan Yusuf), maju ke seluruh wilayahnya, khasnya ke barat daya, yang termasuk Silo dan kawasan di sekelilingnya. Efraim mendapati bahawa kota Betel nyata telah diduduki kembali menjadi kubu yang kuat, walaupun Yosua dan tenteranya telah membunuh perajurit-perajurit Betel ketika penawanan kota Ai yang berdekatan.

 

Dengan tiadanya apa-apa pengetahuan bagaimana keadaan Betel sekarang atau berapa ramai perajurit berada di dalamnya, para pegawai Efraim mengutus beberapa pengintai untuk cuba mengetahui benda-benda ini. Mereka bersembunyi pada waktu malam di satu tempat yang selamat jaraknya dari situ, tetapi cukup dekat untuk memerhati dan cuba menentukan di mana tempat-tempat masuk kota itu serta bagaimana semua itu boleh digunakan untuk masuk ke dalam Betel.

 

Bantuan tidak dijangka

 

Peluang tiba dengan cara yang tidak dijangka pada satu malam. Seorang bangsa Het keluar dari kota itu dan mereka berkata kepadanya, “Tunjukkan kami bagaimana untuk masuk ke dalam kota itu dan kami akan melayani engkau seperti sahabat.” Jadi dia menunjukkan mereka, dan mereka membunuh seluruh penduduk kota itu tetapi melepaskan orang tadi dan keluarganya. Mungkin Tuhan telah sengaja mengutus orang Het itu untuk memberitahu orang Israel.

 

Selepas itu orang ini pergi ke tanah orang Het dahulu di utara; dia mengasas sebuah kota dan menamakannya Lus, yang dulunya nama purba Betel (Hakim 1:21-26).

 

Apa yang suku-suku Yehuda, Simeon dan Efraim lakukan sebagai bahagian mereka mereka dalam penaklukan Kanaan merupakan teladan yang agak baik kepada suku-suku lain. Tetapi walaupun semua orang Israel memiliki janji Tuhan yang tidak pernah gagal untuk menggunakan kuasaNya yang besar untuk menolong mereka, sesetengah suku-suku itu gagal mengatasi musuh mereka di pelbagai tempat.

 

Daripada menghapuskan orang Kanaan dari beberapa wilayah Israel sebaliknya mengizinkan orang Kanaan ini tinggal. Apabila Israel menjadi kuat mereka mendesak orang Kanaan menjadi buruh paksa tetapi tidak pernah mengusir mereka sepenuhnya (ayat 27-33).

 

Di tempat-tempat lain ada orang Israel menjadi jemu melawan musuh mereka. Mereka memutuskan untuk bergabung dengan mereka (ayat 34-36). Selepas beberapa tahun ini bermakna bahawa ramai orang Israel berkahwin campur dengan orang Kanaan. Inilah selalunya hasil gabungan. Jadi Israel merosot sampai menyembah tuhan-tuhan pagan dan berhala Kanaan. Tuhan telah berulang kali mengingatkan mereka supaya tidak bergabung kerana sebab inilah (Keluaran 20:3-7; Keluaran 23:31-33; Ulangan 12:29-32; 6:4-7,14; 7:1-11; Yosua 23:6-8; Hakim 3:1-7).

 

Selepas satu lagi keturunan menjadi dewasa sejak kematian Yosua, kebanyakan Israel telahpun meremehkan gabungan dan sudah jatuh ke dalam dosa! Peringkat-peringkat akhir penaklukan Kanaan yang diusulkan telahpun berhenti. Kemakmuran berkurangan sedikit demi sedikit tatkala orang Israel mula hidup semakin menyerupai orang Kanaan di sekeliling mereka.

 

Bilangan terbesar orang Israel dalam satu tempat masih lagi di dalam dan sekitar kawasan Silo-Gunung Efraim. Tanpa mengira keadaan merosot suku-suku itu secara keseluruhannya, masih ada orang yang datang ke Khemah Suci untuk mempersembahkan korban dan meminta nasihat Imam Besar dan para pembantunya. Silo masih lagi pusat bangsa itu, dan di situlah berlakunya satu kejadian yang luar biasa dan mengkagumkan.

 

Malaikat berkunjung

 

Satu hari seorang yang pelik kelihatan berjalan ke Silo dari arah Gilgal. Jelas kemudian, ini ialah Malaikat Yahovah.

 

“Dengarlah Israel! Aku membawa kamu dari Mesir dan masuk ke dalam negeri ini yang aku janjikan kepada nenek moyangmu. Aku membuat perjanjian dengan kamu bahawa aku akan menolongmu menakluk negeri ini jika kamu melakukan bahagianmu dengan mentaati aku (Keluaran 23:23-28). Kamu sepatutnya memusnahkan semua mezbah pagan. Kamu dilarang membuat apa-apa perjanjian apa sekalipun dengan musuhmu atau bergabung dengan mereka. Tetapi engkau tidak menurut aku! Kenapa? Ingat, aku juga berfirman bahawa jika kamu gagal menghalau orang Kanaan, mereka akan menjadi seperti duri dalam dagingmu dan tuhan-tuhan mereka akan menjadi seperti jerat yang mematikan! (Hakim 2:1-3; Keluaran 23:31-33; Ulangan 7:16; Mazmur 106:34-40; Yosua 23:12-13). Sekarang, sebab kamu telah melanggar perjanjianku dan berkahwin campur dengan orang Kanaan, jangan harapkan apa-apa lagi pertolongan daripadaku untuk mengusir mereka! Sebaliknya, aku akan mengizinkan mereka menang atas kamu!” (Hakim 2:1-3).

 

Sesudah Malaikat Tuhan habis berfirman bangsa itu menangis dengan keras; kemudian mereka memanggil tempat itu Bokhim. Lalu mereka mempersembahkan korban kepada Tuhan (Hakim 2:4-5).

 

Pertunjukan pertaubatan itu tidak kekal lama. Setelah berhari-hari lamanya dan tiada kejadian mengkagumkan berlaku, ramai orang mula kembali kepada cara mereka yang salah. Malah, mereka terperosok lebih jauh ke dalam amalan-amalan keberhalaan orang Kanaan dengan siapa mereka terus berkahwin campur. Banyak sekali tuhan-tuhan yang mereka sembah dengan bodohnya bersama-sama dengan musuh pagan mereka (ayat 11-13).

 

Dalam kemurkaannya terhadap Israel Tuhan menyerahkan mereka kepada perompak yang menjarah mereka. Dia menyerahkan mereka ke dalam tangan musuh-musuh mereka di sekeliling, dan mereka tidak dapat bertahan lagi. Bila saja Israel keluar untuk berlawan, tangan Tuhan menentang mereka hingga mengalahkan mereka, sama seperti yang disumpahnya kepada mereka. Mereka amat susah sekali (ayat 14-15).

 

Kemudian Tuhan membangkitkan Hakim-hakim, yang menyelamatkan mereka daripada perompak-perompak ini. Namun mereka tidak mendengar Hakim-hakim itu dan terus menyembah tuhan-tuhan palsu. Bila saja mereka mempunyai seorang Hakim Tuhan beserta dengannya dan menyelamatkan Israel daripada musuh mereka. Apabila Hakim itu mati bangsa ini kembali kepada kejahatan mereka dan menyembah tuhan-tuhan palsu. Tuhan sangat murka dengan Israel dan meninggalkan beberapa bangsa untuk menguji ketaatan orang-orang Israel yang belum pernah menyertai mana-mana perang di Kanaan (ayat 16-23). Ini adalah untuk mengajar mereka cara berperang, sebab masih ada banyak negeri untuk ditakluk (Hakim 3:1-2).

 

Orang Israel terus berkahwin campur dengan bangsa-bangsa di sekitar mereka. Mereka berbuat jahat dan melupai Tuhan mereka serta beribadah kepada tuhan-tuhan pagan bangsa lain. Sekali lagi Tuhan bernyala-nyala kemurkaanNya dan menyerahkan mereka ke dalam tangan raja Aram. Kehidupan senang Israel berubah dalam hanya beberapa minggu kepada kehidupan penuh sengsara dan perhambaan. Harapan Israel tampak suram untuk lapan tahun berikutnya (Hakim 3:5-8).

 

Pertaubatan membawakan pelepasan

 

Selepas beberapa lama, apabila mereka sudah kebuntuan jalan keluar daripada kesusahan mereka, orang Israel dengan ikhlas bertaubat. Untuk ramai orang, hidup menjadi satu kitaran kerja paksa, air mata dan doa. Namun tahun-tahun perhambaan terus saja.

 

Otniel

 

Kemudian Tuhan membangkitkan seorang yang bernama Otniel. Dia orang suku Yehuda, anak saudara dan anak mertua Kaleb. Bertahun-tahun sebelumnya, dia telah menonjolkan dirinya dengan memimpin pasukan tentera untuk mengalahkan ramai orang Kanaan (Hakim 1:12-13; 3:9).

 

Roh Tuhan turun pada Otniel dan dia menjadi Hakim Israel dan pergi berperang (3:10). Akhirnya, selepas lapan tahun yang panjang sebagai bangsa tawanan, Israel dengan tiba-tiba merdeka. Tuhan telah mendengar segala doa mereka yang bertaubat. Dia telah memilih Otniel untuk memimpin bangsa itu kepada kemenangan dan kemerdekaan. Malah, Tuhan memilih Otniel sebagai orang pertama dalam satu barisan Hakim-hakim benar yang diilhami untuk memimpin dan menuntun Israel untuk bertahun-tahun lamanya.

 

Sikap bangsa itu telah berubah begitu banyak sekali ketika lapan tahun perhambaan mereka sehingga mereka sangat sudi untuk mentaati Tuhan sekarang. Mereka bekerjasama dengan Otniel dalam semua pembaharuan yang dituntutnya demi kebaikan bangsa itu. Perkahwinan campur dengan orang Kanaan dan ibadah tuhan-tuhan asing dilarang. Mereka yang terus melakukan hal-hal ini dihukum berat. Mereka kembali hidup menurut Hukum-hukum Tuhan. Hasilnya ialah Israel yang lebih bahagia dan lebih makmur daripada sebelumnya selepas waktu yang lama.

 

Di bawah pimpinan Otniel, hamba pilihan Tuhan, Israel menikmati empat puluh tahun kedamaian. Ketika empat puluh tahun itu Otniel merupakan orang pertama daripada para pemimpin – sejak zaman Yosua – yang dikenali sebagai Hakim-hakim. Mereka bukan jenis Hakim yang dilantik hanya sebagai orang yang membuat keputusan tentang kasus-kasus keadilan; mereka lebih seperti raja, dan mereka mengepalai Israel dari zaman Yosua sampai zaman Samuel (Hakim 3:11).

 

Pengajaran segera dilupai

 

Otniel memelihara hukum dan tatatertib di Israel. Namun tidak lama selepas kematiannya bangsa itu tidak mempunyai pemimpin yang tegas dan sekali lagi mula kembali kepada hidup berdosa mereka. Murka Tuhan sekali lagi bangkit terhadap mereka. Sekali lagi mereka telah bersumpah dengan mengutuk diri, walaupun mereka tidak tahu bagaimana Tuhan merencana untuk menghukum mereka.

 

Bangsa Moab waktu itu diperintah oleh seorang yang bernama Eglon. Kebanyakan wilayah yang diduduki Israel di timur Yordan pernah menjadi sebahagian daripada Moab, dan Eglon bertekad untuk mendapatnya kembali. Dia tidak sedar bahawa keinginan kuatnya ini telah ditanam kuat dalam fikirannya oleh Tuhan, yang merancang untuk menggunakannya untuk menghukum Israel.

 

Selain membangunkan tenteranya sendiri menjadi kuasa berperang yang kuat, Eglon mendapatkan bantuan beribu-ribu tentera daripada orang Amon dan orang Amalek, dua bangsa kecil yang membenci Israel kerana semua kemenangan Israel sebelumnya atas mereka (Hakim 3:12-13).

 

Selama lapan belas tahun orang Israel menjadi takluk kepada Eglon (ayat 14).

 

Ehud

 

Seperti yang dijangkakan, orang Israel sekali lagi bertaubat. Mereka menyesal, seperti biasa, jatuh ke dalam keadaan berdosa seperti itu. Segala penderitaan, air mata dan doa mereka menyentuh hati Pencipta yang sentiasa berbelas kasihan, yang kali ini memilih seorang bangsa Benyamin yang kidal dan tegap bernama Ehud untuk menolong mengubah keadaan (ayat 15).

 

Peranan Ehud dalam pelepasan Israel bermula apabila dia dipilih untuk mengepalai sekumpulan utusan untuk membawa ufti berharga kepada raja Moab. Pada kali ini, Ehud, yang mempunyai kekuatan dan kecekapan baik dalam penggunaan tangan kirinya, menyembunyikan pedang tajam bermata dua di sebalik pakaiannya di pinggul kanannya. Selepas ufti itu diberikan kepada Eglon, Ehud dan para pembawa ufti berangkat dan berjalan balik ke arah Silo. Ehud hanya sampai sejauh sempadan terdekat yang telah ditanda dengan batu-batu berpahat. Di situ dia menyuruh yang lain pulang ke Silo tanpanya. Dia bergegas kembali ke istana raja dengan alasan bahawa dia mempunyai pesan rahsia untuk Eglon. Setelah para pegawal memberitahu raja, dia meminta Ehud datang ke kamar peribadinya dan menyuruh hamba-hambanya keluar (Hakim 3:16-20).

 

“Sekarang apakah pesan rahsia yang kamu kata kamu ada untukku?” raja bertanya.

 

“Adakah engkau hairan yang pesannya datang dari Tuhan?”Ehud berkata.

 

“Apa maksudmu, dari Tuhan?” Eglon bertanya, sambil mengangkat tubuh gendutnya dari kerusinya dan berjalan keasyikan ke arah Ehud.

 

“Aku maksudkan INI!” Ehud berseru. Tangan kirinya menyelinap ke bawah jubahnya dan menghunus pedangnya dengan cepat sekali sehingga raja Moab itu tidak sempat berteriak meminta pertolongan. Ehud menikam pedang itu dengan cepat ke dalam tubuh Eglon, kemudian terburu-buru meninggalkan kamar itu dan mengunci pintu-pintu setelah keluar. Keadilan telah dilakukan.

 

Selepas itu, apabila para hamba tiba untuk melayani raja mereka dan mendapati pintu-pintu dikunci, mereka percaya bahawa Eglon tidak mahu diganggu. Mereka menunggu seketika tetapi apabila raja itu tidak membuka pintu-pintu itu mereka mengambil kunci dan membukanya. Mereka ketakutan bila menjumpai raja mereka mati daripada pedang yang telah ditikam ke dalam tubuh gendutnya (Hakim 3:21-26).

 

Sementara hamba-hamba raja itu menunggu Ehud melarikan diri ke Seira.

 

Tuhan bijaksana dan adil

 

Setakat ini, seperti kejadian-kejadian lain dalam episod-episod lalu The Bible Story (Kisah Alkitab), sesetengah pembaca akan cenderung tidak berasa sedap hati. Mereka akan tertanya-tanya kenapa Tuhan harus mengizinkan seorang daripada umat pilihanNya membunuh seseorang, dan kenapa kisah ini patut dimasukkan dalam satu versi yang ditulis khasnya untuk orang lebih muda.

 

Alkitab patut dibaca sama-sama oleh orang muda mahupun orang tua. Ia gambaran terus terang tentang sejarah Israel, yang sebahagiannya, menggambarkan banyak kesengsaraan yang diakibatkan oleh sifat manusia. Dalam penceritaan hal itu, tiada kelonggaran untuk perasaan lekas tersinggung individu-individu.

 

Tuhan khususnya memilih Israel untuk satu tujuan tertentu, dan sebahagian daripada tujuan itu termasuk menghapuskan bangsa-bangsa kafir yang tinggal di Kanaan. Dalam satu pengadilan kemudian Tuhan akan memberikan bangsa yang dulunya kafir ini peluang untuk keselamatan (Matius 12:41-42; Wahyu 20:11-12; Yesaya 65:19-25). Bagi Tuhan, tiada bezanya seorang bangsa Israel menghukum mati seorang raja kafir yang menyembah berhala daripada seorang perajurit Israel membunuh seorang perajurit musuh dalam perang.

 

Ingat bahawa Israel merupakan bangsa duniawi, dan belum insaf – melainkan sedikit orang saja seperti Para Nabi dan Hakim-hakim. Hanya Tuhan berkuasa menyuruh sesiapapun untuk membunuh. Ini tanggungjawab Tuhan, seperti yang ditetapkan menurut HukumNya, untuk memutuskan bila waktunya seorang yang jahat harus dihukum mati untuk kebaikannya sendiri dan kebaikan mereka di sekelilingnya. Apa sekalipun, hari ini ia bukan kewajipan seorang Kristian untuk melaksanakan jenis keadilan ini. Lazimnya orang yang belum insaflah yang memerintah dunia ini. Yesus berfirman kerajaanNya BUKAN kerajaan dunia ini (Yohanes 18:36), kalau tidak hamba-hambanya tentu berlawan. Bilamana sebuah negara harus diperintah oleh orang Kristian ia harus diperintah menurut Hukum-hukum Tuhan. Israel adalah dari dunia ini. Tetapi Kerajaan Tuhan adalah dari dunia masa depan. Kristus akan berlawan untuk mendirikannya apabila Dia datang kembali.

 

Untuk meneruskan kisah tersebut: Ehud tanpa membuang masa pergi ke Gunung Efraim, di mana dia memanggil ramai orang Israel untuk memberitahu mereka apa yang terjadi.

 

“Perajurit-perajurit Moab ini yang ditempatkan di sini untuk menjaga kita ialah pahlawan-pahlawan terbaik bangsa mereka,” Ehud memberitahu mereka. “Tetapi apabila mereka mendengar bahawa pemimpin mereka mati, mereka akan hilang keinginan mereka untuk terus menjaga kita, dan akan mahu melarikan diri menyeberang Yordan ke negeri mereka. Sesungguhnya sesuai dengan kehendak Tuhan bahawa kamu mengangkat senjatamu sekarang dan mengikut aku!” (Hakim 3:27).

 

Jadi mereka mengikutnya turun dan merebut tempat-tempat penyeberangan Yordan yang membawa ke Moab. Mereka tidak mengizinkan sesiapapun menyeberang. Pada waktu itu mereka menewaskan kira-kira sepuluh ribu orang Moab dan tidak seorangpun terlepas. Israel kini bebas daripada penindasan Moab dan negeri itu damai selama lapan puluh tahun.

 

Disebabkan kebolehannya dalam kepimpinan, Ehud menjadi pemimpin Israel kedua dikenali sebagai seorang Hakim. Dia kekal berkuasa di Israel selama bertahun-tahun kedamaian dan kemakmuran, yang diberikan sebab bangsa itu taat, kebanyakannya, kepada Hukum-hukum Tuhan (Hakim 3:28-30).

 

Samgar

 

Hakim 3:31 menyebut seorang yang bernama Samgar sebagai seorang lagi yang berkepimpinan. Dia mungkin seorang Hakim yang kurang terkenal di Kanaan barat sewaktu zaman Ehud. Orang Filistin, satu bangsa kota-negeri di tepi pantai Laut Besar, telah menyertai Moab untuk menyerang orang Israel di wilayah itu dan telah memperhambakan mereka selama bertahun-tahun sebagai petani.

 

Perhambaan itu berakhir tiba-tiba apabila para petani menyerang penakluk mereka dengan perkakasan penanaman mereka. Satu hasil luar biasa daripada pertempuran ini ialah penggunaan tongkat penghalau lembu (tongkat kayu panjang dengan hujung logam yang digunakan untuk mendorong binatang muatan) oleh Samgar dengan begitu tangkas dan cekap sehingga dia membunuh enam ratus orang Filistin, walaupun kemungkinan sebahagian bilangan itu termasuk usaha teman-teman petani Samgar (ayat 31).

 

Kembali kepada gaya lama 

 

Mungkin kelihatan suram dan berulang-ulang untuk melaporkan bahawa selepas Ehud mati, Israel sekali lagi menyeleweng kepada keadaan menderhaka terhadap Tuhan, tetapi ini terjadi! Sekali lagi Tuhan menggunakan seorang raja pagan untuk menghukum bangsa itu. Kali ini orangnya ialah Yabin, seorang raja kuat di Kanaan utara. Dia seorang keturunan kepada Yabin itu, yang, bertahun-tahun sebelumnya, telah cuba menyerang tentera Israel dengan kereta-kereta besi. Dia telah dikalahkan oleh Yosua dan kehilangan kotanya dalam kebakaran. Yabin seterusnya ini telah membangun kembali kota Hazor, dan telah menjadi begitu kuat sekali sehingga dia mengatasi orang Israel di bahagian utara Kanaan. Yang ironi, Yabin yang kemudian ini menggunakan sembilan ratus kereta besi sebagai cara mencapai kemenangan. Panglima tentera ini ialah Sisera yang ditakuti.

 

Selama dua puluh tahun tiada bahagia yang berlarutan Israel menderita di bawah penguasaan dahsyat Yabin (Hakim 4:1-3). Seperti biasa, Israel sekali lagi menangis kepada Tuhan meminta belas kasihan. Bangsa ini menunjukkan bukti pertaubatan mereka dengan meninggalkan gaya-gaya jahat yang mereka tahu dilarang oleh Tuhan.

 

Debora

 

Sebagai cara menyelamatkan Israel, Tuhan menggunakan seorang perempuan bernama Debora. Dia hidup di Gunung Efraim, dan begitu baik pertimbangan serta pemikiran adilnya sehingga ramai orang Israel datang kepadanya untuk nasihat. Tuhan memilih Debora, nabiah Efraim yang memerintah Israel pada waktu itu, untuk menolong Israel dengan beberapa cara (ayat 4-5).

 

Seperkara, Tuhan memberi Debora pengetahuan tentang apa yang boleh terjadi untuk kebaikan Israel, tetapi ini memerlukan orang yang merupakan pemimpin tentera untuk melaksanakan rencana itu. Debora mengenali orang seperti itu. Namanya ialah Barak. Dia datang dari rumahnya di utara apabila Debora memanggilnya.

 

“Tuhan telah menyingkap kepadaku bahawa jika seorang yang serba boleh seperti engkau dapat mengumpulkan sepuluh ribu orang Israel bersenjata di Gunung Tabor, maka Dia akan memberi mereka kemenangan atas orang Kanaan yang mencari mereka di luar sana untuk bertempur,” Debora memberitahu Barak. “Dengan janji seperti itu daripada Tuhan, adakah alasan kamu untuk menolak menjadi orang yang berjasa besar dengan mengumpulkan dan memimpin orang-orang itu memerangi orang Kanaan?” (Hakim 4:6-7).

 

Barak menjawab, “Jika engkau pergi bersama aku, aku akan pergi; tetapi jika engkau tidak pergi, akupun tidak pergi.”

 

Debora bersetuju, tetapi memberitahu Barak bahawa disebabkan cara dia melakukannya, Tuhan akan mengizinkan seorang perempuan untuk menghapuskan Panglima Sisera.

 

Barak mengatur pasukan-pasukan tentera yang diperlukan daripada suku-suku utara Naftali dan Zebulon dan mereka mengikutinya. Debora juga pergi bersamanya (ayat 8-10).

 

Apabila Sisera, panglima tentera Yabin, mengetahui tentang orang Israel berada di Gunung Tabor, dia mengumpulkan orang-orangnya untuk pergi ke situ. Termasuk dalam angkatan perangnya yang kuat ialah sembilan ratus kereta besi dan beribu-ribu pahlawan terlatih yang begitu ditakuti oleh Israel (ayat 12-13).

 

Jalan damai

 

Hanya pertolongan ghaib Tuhan saja yang dapat menyelamatkan Israel sekarang!

 

Diilhami oleh Tuhan, Debora memberitahu Barak bahawa orang Israel harus menyerbu menuruni lereng sekaligus untuk menyerang, dan bahawa mereka akan mendapat pertolongan ghaib Tuhan (ayat 14). Barak dibangkitkan semangatnya oleh teladan dan iman Debora. Dia memerintah orang-orang itu mengikutnya menuruni gunung itu.

 

Dengan kemajuan Barak Tuhan mengalahkan Sisera dan semua kereta besi dan tenteranya dengan pedang, dan Sisera meninggalkan keretanya dan melarikan diri dengan berjalan kaki. Namun Barak mengejar kereta-kereta dan tentera itu sampai Haroset-Hagoyim. Semua pasukan Sisera tewas dengan pedang; tiada seorangpun yang tinggal. Tuhan mula berperang untuk Israel seperti yang dijanjikanNya (ayat 15).

 

Sisera melarikan diri ke khemah Yael, isteri Heber orang Keni itu, sebab ada perhubungan baik antara Yabin raja Hazor dengan keluarga Heber orang Keni.

 

Yael kebetulan melihat panglima Kanaan yang kepenatan itu berjalan terhuyung-hayang ke arah khemahnya. Dia mengenali siapa dia, dan keluar mendapatkannya.

 

Ajal Sisera yang dinubuatkan

 

“Singgahlah berehat dalam khemahku,” Yael memberitahunya sambil memapahnya (Hakim 4:15-18).

 

Di dalam khemah itu, dia duduk kepenatan, letih oleh lariannya melepaskan diri. Apabila Sisera meminta air , Yael memberinya susu untuk menghilangkan dahaganya dan untuk membuat dia tidur lebih nyenyak, dan selepas itu menutupnya dengan selimut (Hakim 5:25).

 

“Kalau ada sesiapa datang untuk bertanya tentang aku, jangan sebut yang kamu telah melihatku,” Sisera mengingatkan Yael. “Engkau akan diberi ganjaran baik jika engkau melindungiku daripada sesiapa orang Israel yang fanatik dan takut akan Tuhan itu!”

 

Itu merupakan kata-kata terakhir yang diucapkan panglima Kanaan pagan itu. Dia begitu letih sehingga dia tertidur hampir serta-merta. Yael mendengar sampai pasti yang dia tidur. Kemudian dia mengambil pancang (patok) khemah yang tajam dan mencapai palu. Dengan sangat berhati-hati supaya senyap, dia memasuki kamar di mana Sisera tidur dan melantak patok itu ke dalam pelipis Sisera, sampai tembus ke tanah, lalu membunuh panglima itu hampir serta-merta (Hakim 4:19-21; 5:26).

 

Tuhan mengizinkan Yael mengambil nyawa Sisera dengan cara kejam itu sebagai peringatan kepada kita semua. Orang-orang Kanaan itu lebih baik mati. Mereka mengorbankan banyak bayi mereka di kuil-kuil Baal dan memenuhi perkuburan bersampingan dengan kendi-kendi berisi mayat-mayat kecil ini. Apabila mendirikan rumah baru, sebuah keluarga Kanaan akan mengorbankan seorang bayi dan meletakkan mayatnya dalam dasar rumah itu untuk memberi nasib baik kepada keluarga itu selebihnya. Ahli-ahli arkeologi yang telah menemui banyak rangka kecil bayi-bayi yang dikorbankan ini pernah tertanya-tanya kenapa Tuhan tidak menghapuskan orang Kanaan lebih awal. Dia tentunya sudah berbuat demikian jika Israel mentaati perintahNya untuk menghukum mati semua orang Kanaan musyrik itu ketika mereka mula-mula menakluk negeri itu (Ulangan 7:1-6).

 

Sebab Sisera seorang Kanaan yang menyembah berhala, dia hanya seorang lagi yang harus disingkirkan dari negeri itu sesudah dia digunakan untuk tujuan menghukum orang Israel dan membawa mereka kepada pertaubatan. Sebagai orang yang pernah berniat untuk menghapuskan tentera Israel, dia tidak diberikan apa yang dipanggil kehormatan mati berjuang, seperti yang biasanya lebih disukai oleh perajurit berpangkat tinggi.

 

Hanya sedikit masa saja selepas kejadian ini Yael memandang keluar untuk melihat tentera Israel yang menang itu berderap menyeberangi dataran. Dia berlari keluar ke arah orang-orang itu, melambai liar untuk menarik perhatian mereka. Apabila mereka sampai kepadanya dia memberitahu mereka yang dia mempunyai pesan penting untuk pemimpin mereka, dan Barak mendekatinya untuk mendengar apa yang hendak dikatakannya.

 

“Kalau engkau mencari panglima Yabin, Sisera, aku boleh membawamu kepadanya sekarang juga,” Yael memberitahu Barak.

 

Jadi dia pergi bersamanya, dan di situlah terbaring Sisera dengan patok khemah menembusi pelipisnya – mati. Kemudian Barak teringat nubuatan Debora bahawa seorang perempuan akan menghapuskan Sisera kerana Barak pada mulanya terlalu bergantung pada iman Debora. Dengan penuh hina, Barak menyedari ketiadaan imannya itu merupakan satu dosa terhadap Tuhan. Dia bertaubat sepenuhnya dan diampuni oleh Tuhan yang kini dipercayainya sepenuhnya (Ibrani 11:13, 32, 39).

 

Walaupun Israel menang hari itu untuk menjadi merdeka, orang yang telah merencana untuk mengalahkan Israel masih selamat di dalam tempat tinggalnya di utara. Itu ialah Yabin, raja orang Kanaan utara. Bila saja dia mendengar tentang kekalahan tenteranya, dia cepat-cepat mencari perlindungan, namun dalamm beberapa hari dia jatuh ke dalam tangan musuh-musuhnya dan kehilangan nyawanya (Hakim 4:22-24).

 

Pelepasan daripada orang Kanaan dianggap satu pencapaian amat membahagiakan sehingga satu perayaan besar diadakan oleh Israel. Nyanyian-nyanyian digubah, dan Debora serta barak memimpin bangsa itu memuji Tuhan dengan kuatnya dan semangat bersungguh-sungguh (Hakim 5:1-31). Kebanyakan mereka sedar bahawa Pencipta mereka merupakan sumber kekuatan dan kuasa mereka, walaupun ada waktunya mereka melupai fakta penting itu kerana setiap orang berkeras mahu melakukan apa yang dianggapnya terbaik (Hakim 17:6).

 

Tuhan telah khusus memerintahkan umatNya untuk tidak berbuat apa yang dianggap mereka jalan terbaik (Ulangan 12:8 kerana jalan itu seringkali salah dan membawa kepada mati (Amsal 14:12; 16:25). Kebanyakan orang Israel belum lagi belajar bahawa hati nurani manusia  bukanlah pedoman yang boleh dipercayai untuk tingkah laku – bahawa manusia memerlukan Hukum Tuhan untuk memberitahunya bagaimana untuk hidup (Ulangan 12:32.

 

q