Jemaat-jemaat Allah Al Masehi
[CB56]
Gideon
(Edisi 2.0 20060422-20061214)
Apabila Malaikat Tuhan muncul di hadapan Gideon dia berkata, “Tuhan menyertai engkau, wahai pahlawan yang gagah berani. Pergilah dengan kekuatanmu dan selamatkanlah Israel daripada cengkaman Midian.” Karya in telah disesuaikan daripada bab-bab 61-63 The Bible Story Volume III oleh Basil Wolverton, diterbitkan oleh Ambassador College Press. Sesetengah ayat Alkitab diambil daripada The Holy Bible New International Version, Hakcipta 1973, 1978, 1984 International Bible Society. Digunakan dengan izin Zondervan Bible Publishers.
E-mail: secretary@ccg.org
(Hakcipta ã 2006 Jemaat-jemaat Allah Al Masehi,
ed. Wade Cox)
(tr. 2009)
Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan. Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan. Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.
Karya
ini boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org dan http://www.ccg.org
Gideon
Kita teruskan di sini dari karya Hakim-hakim untuk Israel
(No. CB55).
Selama empat puluh tahun lagi
selepas penggulingan Yabin, Israel bebas daripada musuh-musuhnya (Hakim 5:31).
Namun baru selepas beberapa tahun, satu lagi keturunan muncul, dan sebahagian
besar Israel sekali lagi mula hidup dalam keadaan kacau dan sembarangan, tiap
orang mengikut hati nuraninya sendiri – berbuat apa yang DIA fikirkan terbaik –
membiarkan pendapatnya sendiri, dan bukan Hukum Tuhan, menuntun cara hidupnya.
Orang Midian lagi
Kira-kira dua ratus tahun
sebelumnya, ketika Musa menjadi pemimpinnya, Israel telah hampir menghapuskan
bangsa Midian yang musyrik di sempadan mereka di timur Laut Asin (Mati). Sejak
itu orang Midian telah bertambah bilangan dengan banyak sekali dan, walaupun
beberapa keturunan telah berlalu sejak perang penentuan itu dengan Israel, rasa
benci yang sengit terhadap pemenang atas mereka itu masih lagi wujud pada orang
Midian.
Pada waktu ini Tuhan campur tangan
untuk menggunakan orang Midian untuk menghukum Israel. Kesudahannya ialah orang
Midian bakal mengakhiri empat puluh tahun kemerdekaan, kesenangan dan dosa
Israel!
Orang Israel telah menjadi begitu
tidak teratur sekali dan lemah sehingga orang Midian yang ganas itu mengusir
mereka dari kota-kota mereka dan ladang-ladang mereka. Beribu-ribu orang Israel
lari menyelamatkan diri ke pergunungan. Mereka bersembunyi dalam gua-gua
malahan dalam jurang-jurang terpencil yang sempit – di mana saja mereka dapat
menyembunyikan diri mereka (Hakim 6:1-2).
Orang Midian terus berulang kali pergi
ke sana sini melalui semua tempat untuk mengalahkan orang Israel dan merampas
ternakan dan hasil tani mereka. Sekembalinya mereka ke setiap tempat yang
ditakluki, orang Midian akan menyerang sesiapa orang Israel yang cuba pulang ke
rumah mereka.
Hidup seperti binatang
Meskipun semua ini, orang Israel
dengan degilnya terus hidup menurut jalan mereka sendiri, walaupun mereka
terpaksa tinggal dalam gua-gua seperti binatang, daripada bertaubat dan menurut
Tuhan dan memperolehi perlindungan ilahiNya.
Kota-kota direbut, ladang-ladang
dirompak hasilnya dan penyerang-penyerang itu merampas kawanan dan ternakan
yang memakan rumput di lembah-lembah sebelum orang Israel sempat menyembunyikan
mereka di pergunungan. Bilangan musuh kali ini begitu besar dan begitu meluas
sampai orang Israel mempunyai sedikit atau tiada peluang untuk mencari makanan.
Mereka terpaksa terus tinggal di tempat-tempat perlindungan gunung mereka di
ambang kelaparan (Hakim 6:3-6).
Setelah tujuh tahun berlalu, Israel
berada dalam keadaan hampir kelaparan dan buntu.
Pada waktu ini seorang yang namanya
tidak disebut dalam Alkitab telah dipilih Tuhan untuk mengingatkan orang Israel
bahawa mereka telah mendatangkan malapetaka ini pada diri mereka dengan
keingkaran mereka kepada Tuhan. Bangsa itu telahpun mula merayu kepada Tuhan
untuk pengampunan dan pertolongan (ayat 6-10).
Pertaubatan membawakan
pertolongan ilahi
Malaikat Tuhan datang dan duduk di
bawah pohon tarbantin (ek) di Ofra yang dimiliki Yoas, di mana satu hari
anaknya Gideon sedang mengirik gandum dalam tempat pemerasan anggur untuk
menyembunyikannya daripada orang Midian. Apabila Malaikat Tuhan muncul di depan
Gideon dia berfirman, “Tuhan menyertai engkau, wahai pahlawan yang gagah
berani.”
Gideon menjawab, “Tetapi jika Tuhan
menyertai kami, kenapa semua ini terjadi kepada kami? Di manakah segala
perbuatan ajaib yang diceritakan oleh nenek moyang kami kepada kami? Sekarang
Tuhan telah meninggalkan kami dan menyerahkan kami ke dalam cengkaman Midian”
(ayat 11-13).
Malaikat Tuhan berkata, “Pergilah
dengan kekuatanmu dan selamatkan Israel daripada cengkaman Midian. Bukankah Aku
mengutus engkau?” (ayat 14).
Tugas ilahi Gideon
“Mungkinkah untuk aku menolong
menyelamatkan Israel, Tuhanku?” tanya Gideon. “Kaumku paling lemah dalam Manasye,
dan aku paling muda dalam keluargaku.”
Malaikat itu menjawab, “Aku akan
menyertaimu, dan engkau akan memukul kalah semua orang Midian sekaligus” (Hakim
6:15-16).
Gideon berasa dia tidak boleh
menerima tanggungjawab sebegitu tanpa tahu dengan pasti bahawa orang ini
benar-benar seorang makhluk syurgawi dalam rupa manusia. Sebaliknya pula, dia
tidak mengambil risiko menolak satu tugasan daripada Tuhan.
Dia meminta orang itu terus berada
di bawah pohon tarbantin itu, meminta diri dan bergegas ke rumahnya tidak jauh
dari situ untuk cepat-cepat menyediakan makanan sebagai persembahan korban.
Sesudah kembali dia mempersembahkan roti-roti tidak beragi, kuah dan anak
kambing yang dimasak kepada Malaikat Tuhan.
Inilah waktunya untuk Paskah, yang
tidak dirayakan orang Israel kerana mereka beribadah kepada tuhan-tuhan asing
dan mengikut adat bangsa-bangsa di sekeliling mereka.
“Letakkan daging dan roti di atas
batu rata ini dan curahkan kuahnya atas semuanya,” Gideon diberitahu, dan dia
berbuat begitu.
Malaikat Tuhan kemudian menyentuh
persembahan itu dengan hujung tongkatnya. Serta-merta saja api timbul daripada
batu itu, dan dengan cepat memakan habis makanan itu! Apabila Gideon
mengalihkan mukanya yang terkejut dari pandangan itu, Malaikat itu telah hilang!
(ayat 17-21).
Melalui perbuatannya di sini
Malaikat Tuhan (yang kemudian menjadi manusia Yesus Kristus) menetapkan kembali
Paskah dan Hukum.
Keberhalaan harus lenyap!
Waktu itu juga Gideon sedar yang
itulah Malaikat Tuhan yang mengunjunginya. Dia takut dia mungkin dipukul mati
kerana dia telah bersemuka dengan Malaikat Tuhan.
“Jangan takut,” dia mendengar suara
itu berfirman. “Engkau tidak akan mati.”
Gideon begitu bersyukur dan terharu
sehingga dia mendirikan sebuah mezbah di situ dan membaktikannya kepada Tuhan
(ayat 22-24). Malam itu juga Tuhan menyuruh Gideon merobohkan mezbah bapanya
kepada tuhan asing Baal dan mendirikan sebuah mezbah yang patut kepada Tuhan di
atasnya dan mempersembahkan seekor lembu jantan sebagai korban bakaran.
Sebab dia takut akan keluarganya
dan penduduk kota itu Gideon menunggu sampai malam, kemudian membawa sepuluh
hambanya dan berbuat seperti yang diperintah kepadanya. Bila pagi menjelang
penduduk kota itu nampak mezbah Baal dan benda-benda ibadat lain mereka musnah
dan seekor lembu jantan dikorbankan di atas mezbah baru itu. (Sepuluh ialah
bilangan orang yang diperlukan untuk setiap keluarga bagi korban Paskah.)
Apabila kumpulan orang marah itu
mendengar yang Gideon telah melakukan ini mereka menuntut supaya bapanya (Yoas)
membawanya keluar. “Dia bersalah merobohkan mezbah kami! Kami harus membunuh
Gideon kerana dia telah memusnahkan mezbah Baal.”
Yoas jengkel dengan apa yang
disangka dilakukan Gideon, namun dia tidak ingin melihat anaknya jatuh ke dalam
tangan orang-orang yang sangat marah ini.
“Kenapa kamu harus meminta apa-apa
untuk membalas dendam Baal?” Yoas bertanya kumpulan itu. “Jika Baal benar-benar
tuhan, tentunya dia akan membalas dendamnya sendiri sebelum berlalunya satu
hari lagi. Jika anakku orang yang bersalah itu, Baal tidak akan membiarnya
hidup!” Itulah sebabnya kenapa Gideon diberikan nama Yerubaal – yang bererti, biarlah
Baal sendiri berjuang (Hakim 6:28-32).
Nasihat ini meredakan kelompok itu.
Tiada seorangpun pemuja Baal mahu mengatakan bahawa tuhan pagan mereka tidak
mampu menangani musuhnya dengan sendiri. Lama kelamaan kelompok itu terbubar.
Kafir dalam ketakutan
Sementara itu, berita telah sampai
kepada musuh bahawa seorang juara bakal memimpin Israel untuk memerangi Midian.
Orang Midian meminta bani Amalek dan beberapa suku Arab untuk datang dan
bersama-sama mereka melawan Israel.
Tidak lama kemudian beribu-ribu
perajurit tiba di lembah Yizreel, tempat di mana tentera Raja Yabin telah
menemui kekalahan teruk beberapa tahun sebelumnya.
Gideon meniup sangkakala untuk
mengumpulkan orang-orang Abiezer, dan mengutus utusan-utusan kepada suku-suku
Manasye, Asyer dan Naftali untuk meminta orang datang dan berperang melawan
orang Midian (Hakim 6:33-35).
Apabila Gideon mengetahui betapa
ramainya orang yang takluk kepada perintahnya, dia mula tertanya-tanya kalau
dia dapat menyelesaikan dengan jayanya tugas besar yang telah diberikan
kepadanya. Susah hati dan ragu-ragu, dia pergi ke satu tempat tersendiri untuk
berdoa kepada Tuhan.
“Aku memerlukan keyakinan
daripadamu,” Gideon berdoa. “Tolong tunjukkan aku sekali lagi bahawa akulah
orang yang engkau pilih untuk memimpin Israel melawan Midian. Malam ini aku
akan membentangkan guntingan bulu domba di atas tanah di tempat pengirikan.
Pagi esok, jika bulu domba itu basah dengan embun dan tanah di situ kering,
maka aku akan pasti bahawa engkau telah memilih aku untuk menolong
menyelamatkan Israel.”
Awal pagi esoknya Gideon
cepat-cepat keluar untuk memeriksa bulu domba itu. Ia dipenuhi dengan embun.
Malah, Gideon mengambilnya dan memeras cukup banyak air daripadanya untuk
memenuhi satu cawan. Pada masa yang sama dia tidak menemui apa-apa kelembapan
pada tanah atau rumput berdekatan.
Kemudian Gideon berkata kepada
Tuhan, “Aku percaya engkau tidak akan murka jika aku meminta satu lagi tanda.
Biarlah aku membuat satu lagi pengujian dengan guntingan bulu itu. Kali ini
jadikan bulu itu kering dan tanah diliputi dengan embun.” Malam itu Tuhan
melakukan demikian. Hanya bulu itu yang kering sementara tanahnya diliputi
dengan embun (Hakim 6:36-40).
Gideon mengalahkan orang
Midian
Gideon tiada keraguan lagi. Pagi
esoknya dia memerintahkan semua perajurit Israel maju ke lembah Yizreel. Mereka
berangkat dan berkhemah malam itu di sebelah selatan lembah it di lereng Gunung
Gilboa. Khemah Midian berada di utara mereka di lembah dekat More. Arah dua
khemah itu ada pengertiannya bagi Raja-raja Utara dan Selatan dalam
perang-perang Zaman Akhir (lihat Daniel 11).
Apabila mereka dihitung dan diatur
menjadi unit-unit tentera, mereka didapati berjumlah tiga puluh dua ribu orang.
Tuhan sudah sedia untuk mengajar
Gideon satu pengajaran iman yang sangat diperlukan.
Terlalu ramai perajurit
Israel!
Malaikat Tuhan berfirman kepada
Gideon, “Engkau mempunyai terlalu ramai orang untukku menyerahkan Midian ke
dalam tangan mereka. Supaya Israel tidak akan bermegah terhadap aku bahawa
kekuatannya sendiri telah menyelamatkan dirinya, umumkan kepada mereka bahawa
sesiapa yang takut berlawan orang Midian adalah bebas untuk meninggalkan tempat
ini”.
Jadi dua puluh dua ribu orang
berundur daripada tentera itu. Ini meninggalkan Gideon dengan hanya sepuluh
ribu orang. Ini bererti seorang perajurit Israel yang kurang terlatih untuk
sekurang-kurangnya tiga belas perajurit musuh yang terlatih untuk perang (Hakim
7:1-3).
Tetapi Malaikat berfirman kepada
Gideon, “Masih terlalu ramai orang. Suruh mereka turun minum air. Cara mereka
minum akan menentukan berapa ramai orang yang akan engkau bawa bersamamu. Aku
akan memberitahu kamu kemudian mana satu untuk dipilih.”
Gideon membawa sepuluh ribu
orangnya turun minum air. Di situ Malaikat itu berkata, “Pisahkan mereka yang
menghirup air dengan lidahnya seperti anjing menjilat daripada mereka yang
berlutut untuk minum”. Tiga ratus orang menghirup dengan membawa tangannya ke
mulutnya. Semua yang lain berlutut minum air.
Kemudian Malaikat memberitahu
Gideon bahawa dia akan menyelamatkannya dengan tiga ratus orang yang menghirup
itu dan menyerahkan orang Midian ke dalam tangannya (Hakim 7:4-6). Air
merupakan lambang Roh Kudus dan air hidup ini mengalir keluar daripada Kristus
(Yohanes 4:10-11,14).
Semua perajurit lain – hampir
sepuluh ribu – harus disuruh balik! Tuhan tahu tentu sukar bagi Gideon mengerti
bagaimana tiga ratus orang saja dapat mengatasi kumpulan orang yang begitu
besar (Hakim 7:7-8; Zakharia 4:6). Israel ialah milik pusaka Kristus dan
walaupun tentera telah berkumpul dan bersedia untuk perang Dia memilih untuk
menggunakan hanya tiga ratus orang untuk pergi berperang dengannya. Ini seperti
tentera kecil Jemaat Zaman Akhir yang menyebarkan firman Tuhan dan mengingatkan
semua bangsa tentang kedatangan kedua Mesias.
Khemah Midian ada di bawah dalam
lembah itu. Pada malam itu Tuhan berkata kepada Gideon, “Bangunlah dan turun ke
perkhemahan itu, sebab aku akan menyerahkannya ke dalam tanganmu. Jika engkau
takut menyerang, turun ke perkhemahan itu bersama hambamu Pura dan dengarlah
kepada apa yang mereka katakan. Apabila engkau mengetahui keadaan fikiran musuh
itu, engkau akan mendapat keberanian.” Jadi malam itu Gideon pergi bersama Pura
ke perkhemahan orang Midian (Hakim 7:9-11).
Ketika melalui salah sebuah khemah
itu, mereka tertarik kepada satu perbincangan di dalamnya oleh dua perajurit
Midian/
“Aku bermimpi pelik semalam,”
mereka terdengar seorang berkata. “Aku bermimpi bahawa sekeping roti jelai yang
besar terguling masuk ke dalam perkhemahan orang Midian. Roti itu melanggar
khemah ini dengan begitu kuat sekali sehingga khemah ini terbalik dan roboh.”
Temannya menjawab, “Itu tidak lain
daripada pedang Gideon bin Yoas, orang Israel itu. Tuhan menyerahkan orang
Midian dan seluruh perkhemahan ini ke dalam tangannya” (Hakim 7:12-14).
Gideon tidak tunggu mendengar lebih
banyak. Kini dia yakin sepenuhnya bahawa Tuhan akan mengotakan janjiNya untuk
membinasakan semua penyerang itu. Dia mengucap syukur kepada Tuhan untuk
keyakinan yang diterimanya itu. Sekarang sesudah Gideon bertaubat daripada
imannya yang lemah, Tuhan boleh menggunakannya.
Dia kembali bersama hambanya ke
perkhemahan Israel dan menyeru, “Bangunlah! Tuhan telah menyerahkan perkhemahan
orang Midian ke dalam tangan kita.”
Tuhan berperang untuk
Israel!
Sesuai dengan perintah Tuhan,
Gideon membahagikan orang-orang itu kepada tiga pasukan. Mereka dengan senyap
mengeliling perkhemahan itu, tetapi sebalik membawa senjata dalam tangan
mereka, setiap orang membawa sangkakala dan buyung, dengan suluh disembunyikan
di dalam setiap buyung (ayat 15-16).
Sebaik saja orang-orangnya berada
dalam kedudukan, Gideon meniup sangkakalanya. Itu tanda bagi semua orangnya
meniup sangkakala mereka. Kemudian Gideon memecahkan buyungnya dan mengangkat
tinggi suluhnya untuk ditonton semua. Dengan cepat tiga ratus orang itu juga
memecahkan buyung mereka. Cahaya tiba-tiba terlihat daripada tiga ratus obor
yang bernyala! (Hakim 7:16-20).
Cahaya dan bunyi bising yang
mendadak itu dari semua arah membingungkan dan mengejutkan orang Midian. Malah
para penjagapun terkejut. Dalam kegelapan itu tampak seolah-olah satu tentera
yang sangat besar mengelilingi mereka sepenuhnya. Untuk menambah kepada
kegelisahan mereka, banyak suara berteriak datang dari sekeliling mereka.
“PEDANG DEMI TUHAN DAN DEMI
GIDEON!” merupakan kata-kata kuat yang berkumandang di seluruh dataran itu dari
orang-orang Gideon.
Percaya bahawa bilangan luar biasa
orang Israel bersenjata sedang menyerbu mereka dari semua arah, orang Midian
tergesa-gesa keluar dari khemah-khemah mereka. Keadaan begitu gelap sekali
sehingga dalam kegila-gilaan mereka orang-orang itu saling berlanggaran.
Memikirkan bahawa orang Israel telah sampai di kalangan mereka, mereka
menyerang sesama sendiri. Dalam beberapa minit seterusnya beribu-ribu orang
Midian mati dalam tangan saudara-saudara mereka sendiri. Tuhan telah campur
tangan sekali lagi untuk Israel! (ayat 21-22).
Sedikit masa kemudian, apabila
sudah jelas bahawa orang Midian dalam kepanikan mereka sedang berlari ke timur
mengikut arah ke tanah air mereka, Gideon mengutus utusan-utusan ke pelbagai
bahagian negeri itu yang diduduki oleh orang Efraim. Para utusan itu disuruh memberitahu
orang-orang suku itu apa yang sudah terjadi, dan bahawa orang Midian itu
mungkin boleh dihalang daripada lari menyeberangi Yordan jika orang Efraim
bergerak pantas untuk menyekat mereka.
Pada waktu yang sama Gideon
mengutus seorang utusan kepada beribu-ribu orang yang dilepaskannya daripada
kewajipan perang hanya beberapa jam sebelumnya, dan memberitahu mereka bahawa
musuh sedang melarikan diri ke timur, dan bahawa orang-orang Israel itu dapat
berjasa besar dengan mengejar mereka (ayat 23-24).
Jadi semua orang Efraim dikerahkan
dan mereka menduduki semua batang air Yordan sampai ke Bet-Bara. Mereka juga
menawan dan membunuh dua raja Midian, Oreb dan Zeeb. Kepala-kepala mereka
kemudiannya dibawa kepada Gideon sebagai tanda-tanda kemenangan (Hakim 7:25).
“Jawapan lemah lembut
meredakan kegeraman”
Para tua-tua suku Efraim datang
kepada Gideon untuk bertanya dengan marah kenapa perajurit-perajurit Efraim
tidak diminta untuk mengikut serta ketika pertemuan pertama dengan orang
Midian.
“Jika engkau merasakan suku kamu
tidak mendapat peluang untuk berbuat cukup banyak dalam perang ini,” Gideon
memberitahu mereka, “maka aku harus mengingatkan kamu bahawa
perajurit-perajuritmu itulah yang telah tiba tepat pada waktunya untuk
mengalahkan kebanyakan orang Midian yang melarikan diri di Sungai Yordan. Tanpa
orang-orangmu di situ, apa yang mungkin kami dapat lakukan? Di situlah Tuhan
telah menyerahkan ke dalam tangan perajurit-perajuritmu kedua raja Midian yang
perkasa itu, Oreb dan Zeeb. Ini sajapun sudah lebih besar daripada apa yang aku
dan kaumku lakukan!”
Gideon memilih untuk menenangkan
perasaan mereka yang terluka dengan jawapan lemah lembut seperti yang Tuhan
perintahkan hamba-hambaNya lakukan (Amsal 15:1). Apabila mereka mendengar
Gideon memuji perajurit-perajurit mereka, mereka sungguh senang hati, dan
berangkat pergi dalam suasana amat ramah-tamah (Hakim 8:1-3).
Kelepasan sementara untuk
beberapa
“Kita belum betul-betul memenangi
perang ini!” Gideon berseru kepada orang Israel. “Sebahagian besar musuh itu
telah mengelak kita. Kita tidak boleh biarkan mereka terlepas. Aku bukannya
meminta kamu semua untuk mengejar mereka tetapi aku dengan tiga ratus orang
pilihanku akan menyeberangi Yordan untuk mengejar pasukan musuh yang lari.”
Orang-orang Gideon sudah penat,
tetapi untuk meneruskan pengejaran itu mereka sampai ke Yordan dan
menyeberanginya. Namun mereka mula lelah sebab kurang makan dan rehat (Hakim
8:4).
“Jangan putus asa engkau sekalian!”
Gideon menyeru. “Saudara-saudara Israel kita di kota di depan seharusnya boleh
memberi kita makanan cukup untuk memulihkan kekuatan kita!”
Apabila mereka sampai ke Sukot,
Gideon memberitahu penduduk kota itu apa yang terjadi, kenapa mereka sedang
melalui tempat itu dan bahawa mereka sangat-sangat memerlukan makanan (ayat 5).
Para pemimpin Sukot berkata: “Kamu
sangka kami akan percaya yang kamu telah menghapuskan kebanyakan tentera Midian
seperti kamu katakan, dan beribu-ribu orang yang telah berlalu di sini
sebenarnya melarikan diri daripada kamu? Kamu sangka kami kami akan
membahayakan hidup kami dengan memberi makanan kepada tenteramu sedangkan orang
Midian masih menguasai negeri ini?” Begitu menghina sekali terhadap janji pasti
Tuhan! (banding Imamat 26:3, 7-8).
Selepas kerjasama baik sekali yang
diterimanya daripada suku-suku lain, Gideon terkejut dengan ketiadaan
keprihatinan bersaudara dan kepercayaan dalam Tuhan ini.
“Kamu menolak untuk membantu orang
bangsamu sendiri yang membahayakan nyawa mereka berjuang untuk kemerdekaanmu.
Ini menentang Tuhan namanya – dan semuanya kerana kamu takut apa yang orang
Midian mungkin lakukan kepadamu dan bukan takutkan Tuhan!” Gideon berkata.
“Kamu harus lebih takutkan hukuman yang akan kamu terima daripada Tuhan di
tangan kami kerana kamu mementingkan diri, apabila kami pulang dengan
kemenangan!” (Hakim 8:6-7).
Satu lagi kota menderhaka
Tentera kecil Gideon dengan
lelahnya terus berjalan ke timur laut ke hulu lembah Sungai Yabok untuk
mengikut jejak musuh itu. Beberapa batu kemudian mereka sampai ke kota Pnuel,
di mana adanya sebuah menara batu yang agak luar biasa yang didirikan lama
dahulu oleh orang Moab sebagai tempat pemerhatian dan sebagai satu kubu. Orang
Gad yang tinggal di situ sungguh megah sebab kota mereka satu-satunya kota di
wilayah itu dengan menara seperti itu.
Gideon memanggil para pemimpin kota
itu, menceritakan keadaannya kepada mereka dan merayu bermati-matian untuk
makanan bagi orang-orangnya. Namun jawapan mereka sama seperti penduduk Sukot.
“Kami akan kembali ke sini selepas
kami menyelesaikan orang Midian,” Gideon dengan marah memberitahu orang Gad
yang berkumpul dekatnya. “Waktu itu kamu akan kehilangan menara yang sangat
kamu banggakan itu. Selain itu, kamu mungkin sekali akan kehilangan nyawamu!”
(Hakim 8:8-9).
Tuhan berperang sekali lagi
Seperti di Sukot, Gideon dan
orang-orangnya berangkat kepenatan dari tengah-tengah ekspresi memusuhi dan
bisikan tidak ramah daripada saudara-saudara Israel. Mereka kemudian mengikut
jalan orang-orang yang berdiam dalam khemah (orang nomad) di timur Nobah dan
Yogbeha dan menyerbu tentera yang tidak berjaga-jaga itu.
Zebah dan Salmuna, dua raja Midian
berada di situ bersama kira-kira lima belas ribu orang – semua yang masih
tinggal daripada bala tentera bangsa timur itu. Raja-raja itu cuba melarikan
diri tetapi Gideon mengejar mereka dan menawan mereka, serta menghancurkan
seluruh tentera mereka. Tuhan sekali lagi telah campur tangan bagi pihak orang
Israel yang bilangannya jauh lebih kurang (Hakim 8:11-12).
Dengan kemusnahan orang Midian
diselesaikan, Gideon dan orang-orangnya kemudian kembali dari pertempuran itu
mengikut Pendakian (Laluan) Heres. Dua raja Midian itu ada bersama mereka.
Gideon menangkap seorang muda dari
Sukot dan selepas menyoalnya orang muda itu menuliskan nama-nama tujuh puluh
tujuh pegawai Sukot. Kemudian Gideon datang dan berkata kepada orang-orang ini,
“Inilah Zebah dan Salmuna yang kerananya kamu mencela aku dan tidak memberikan
roti kepada orang-orangku yang keletihan.” Lalu Gideon mengumpulkan para
tua-tua kota itu dan mengajar mereka dengan menghukum mereka dengan duri padang
gurun dan onak. Dia juga merobohkan menara Pnuel dan membunuh orang-orang kota
itu (Hakim 8:13-17).
Keadilan cepat Tuhan
Gideon dan kumpulannya kemudian
berjalan ke sebelah barat, menyeberangi Sungai Yordan dan memasuki bahagian
tengah negeri mereka. Di situ Zebah dan Salmuna dihadapkan kepada pengadilan
sebagai dua pemimpin utama penindasan Midian terhadap Israel dalam tahun-tahun
kebelakangan itu.
Dalam soal jawab itu, Zebah dan
Salmuna mengaku mereka telah membunuh beberapa daripada saudara Gideon.
“Sekiranya kamu telah membiarkan
saudara-saudaraku hidup, aku tidak akan membunuh kamu sekarang,” Gideon
memberitahu mereka. “Sebab kamu membunuh ramai orang Israel tanpa belas
kasihan, termasuk saudara-saudara kandungku, kamu tidak akan terlepas daripada
hukuman mati kerana membunuh” (ayat 18-19).
Ada peraturan di kalangan orang
Israel bahawa anak lelaki sulung sebuah keluarga harus menjadi orang yang
menghukum mati sesiapa yang membunuh mana-mana saudaranya. Gideon anak bongsu
kepada ibu bapanya (Hakim 6:15), dan sebab itu dia merasakan dirinya sendiri
tidak sesuai untuk menghukum bunuh dua raja Midian itu, walaupun nasib mereka
lebih daripada sekadar hal keluarga.
Anak sulung Gideon, Yeter, baru
berumur belasan tahun, tetapi menurut tatacara Israel dialah orang yang
sepatutnya membalas dendam bapa-bapa saudaranya itu. Apabila bapanya
menyuruhnya menghunus pedang dan membunuh kedua raja ini Yeter tidak menghunus
pedangnya – dia takut.
Zebah dan Salmuna berseru agar
Gideon sendiri menguruskan mereka dan membunuh mereka serta merta – jadi dia
melakukannya (Hakim 8:20-21).
Selepas mayat-mayat dua raja Midian
itu diseret pergi dan unta-unta mereka dilucutkan segala hiasan berharganya,
barulah orang Israel merasakan bahawa perjuangan mereka menentang musuh purba
dari timur itu benar-benar berakhir. Bagaimanapun, Gideon sedar bahawa
perjuangan untuk menjauhkan bangsa itu daripada keberhalaan tidak pernah
berakhir, dan dia meneruskan usahanya menentang ibadat berhala.
Batu sandungan kelihatan
tidak bersalah
Tidak lama selepas itu, serombongan
besar orang Israel berkumpul di hadapan rumah Gideon. Apabila Gideon keluar
untuk mengetahui kenapa begitu ramai orang telah berkumpul, sorakan-sorakan
kuat kedengaran.
“Sebab engkau telah menyelamatkan
kami daripada orang Midian,” seorang jurubicara untuk rombongan itu berseru,
“Kami telah datang untuk meminta engkau memerintah kami”.
“Aku tidak akan memerintah kamu!”
Gideon berseru kepada rombongan itu. “Tidak anakku atau anaknya. Seandainya aku
dipilih oleh Tuhan untuk menjadi pemimpinmu, biarlah begitu. Tetapi Pemerintah
kamu ialah TUHAN!” (Hakim 8:22-23).
“Bagaimanapun aku mempunyai satu
permintaan. Banyak anting-anting emas baru-baru ini telah dijarah daripada
orang-orang Midian yang terbunuh dan aku meminta supaya setiap kamu memberi aku
anting-anting daripada jarahannya.”
“Kami sudi memberinya kepadamu!”
mereka menjawab.
Seseorang membentangkan sehelai
kain di atas tanah, dan mereka masing-masing melemparkan anting-anting dari
jarahannya ke atas kain itu. Gideon membuat efod daripada semua emas itu, yang
diletakkannya di Ofra, kotanya. Malang sekali, benda ini begitu dipuja oleh
bangsa itu sehingga ia akhirnya menjadi benda ibadat berhala (Hakim 8:24-27).
Para pembaca mungkin ingat kejadian
serupa bilamana Harun membuat anak lembu emas daripada anting-anting emas yang
diberikan kepadanya oleh orang Israel selepas Musa berada begitu lama di atas
pergunungan (Keluaran 32:1-4).
Hanya empat puluh tahun …
Selama empat puluh tahun
berikutnya, selagi Gideon menjadi pemimpin dan pelaksana hukum mereka (disebut
dalam Kitab Suci sebagai seorang Hakim), kebanyakan orang Israel menikmati
berkat-berkat kedamaian dan kemakmuran (ayat 28-29). Sebab kebanyakan orang
tidak tahu bagaimana untuk mempergunakan kedamaian dan kemakmuran dengan bijak,
waktu sedemikian mungkin berbahaya. Dalam waktu itu Gideon mempunyai ramai
isteri. Amalan beristeri lebih daripada seorang itu ditoleransi pada zaman itu,
khususnya mereka yang mampu menyara ramai anak-anak. Alkitab tidak menyatakan
berapa semuanya anak-anak Gideon, walaupun ia ada mengatakan dia mempunyai
sekurang-kurangnya tujuh puluh dua anak lelaki (Hakim 9:5).
Sebaik saja Gideon meninggal, ramai
orang Israel mula menyalahgunakan kemakmuran mereka dan berpaling kepada
kemalasan dan kesenangan. Mereka segera mula menjauhi ibadat Tuhan dan kembali
kepada ibadat Baal dan Easter (Ishtar/Astarte), dewa dan dewi utama orang
pagan. Agama palsu itu telah berkembang menjadi nama-nama dan bentuk-bentuk
berlainan di kalangan pelbagaibangsa sejak zaman purba Nimrod dan ibu-isterinya
Semiramis. Tidak lama kemudian kebanyakan bangsa itu tidak lagi menghormati apa
yang dicapai Gideon dan apa yang diperintahkan Tuhan. Jelas sekali Israel
sekali lagi menuju ke arah kehancuran, kali ini jatuh ke dalam kesengsaraan
perang saudara (Hakim 8:30-35).
Sumber:
Angkatan Gideon dan Zaman
Akhir (No. 22)
Tujuh Paskah Besar Alkitab
(No. 107)
NIV Study
Bible
(Zondervan Bible Publishers)
q