Jemaat-jemaat Allah Al Masehi

[045C]

 

 

 

 

Keturunan Ham: Bahagian III

Misraim

(Edisi 1.5 20070922-20071008)

 

Misraim merupakan anak Ham yang memainkan peranan amat penting dalam sejarah dunia. Pengertian terkini kita mengenai keturunannya dan rangka waktu dalam mana mereka hidup bergantung pada satu susunan kembali sejarah yang diperintahkan oleh Ptolemy II dan dilengkapkan oleh ahli sejarah Mesir, Manetho. Karya ini dan Lampiran-lampiran berikutnya akan menghasilkan pengertian yang lebih tepat tentang Sejarah Mesir dan tempatnya dalam dunia ini.

 

 

 

Christian Churches of God

 

PO Box 369, WODEN ACT 2606, AUSTRALIA

E-mail: secretary@ccg.org

 

(Hakcipta © 2007 Wade Cox dan anor.)

(tr. 2010)

 

Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan.  Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan.  Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.

 

Karya ini boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org dan http://www.ccg.org


 

Keturunan Ham: Bahagian III Misraim

 

 


Pengenalan

 

Misraim atau Mesir merupakan anak lelaki kedua Ham, seperti dicatatkan dalam senarai bangsa-bangsa dalam Kejadian 10 dan 1 Tawarikh 1. Dia juga dikenali sebagai Menes atau Min, raja pertama orang Mesir yang memerintah selama kira-kira 60 tahun, menurut ahli-ahli sejarah Manetho dan Herodotus.

 

Kejadian 10:1,6 Inilah keturunan Sem, Ham dan Yafet, anak-anak Nuh. Setelah air bah itu lahirlah anak-anak lelaki bagi mereka… 6 Keturunan Ham ialah Kush, Mesir [Misraim: KJV], Put dan Kanaan. (RSV)

 

Mizraim (Misraim) diperolehi daripada satu istilah Ibrani, dan merupakan perkataan jamak dengan makna kesukaran dua kali lipat (SHD 4714, mitsrayim – duaan untuk matsor (4693)). Keduaan ini boleh merujuk kepada perbezaan antara kerajaan-kerajaan asal Mesir Atas dan Mesir Bawah. Orang Mesir memanggil negeri mereka sebagai Kmt dalam hieroglif.

 

Dalam inskripsi Asyur dan Babel Mesir dikenali sebagai Musur dan Musri, mungkin daripada perkataan Misr yang ringkasnya bermakna, negeri. Inskripsi Ugaritik merujuk kepada Mesir sebagai Msrm, sementara dalam tablet Amarna ini dipanggil Misri. Istilah Misr masih dilihat dalam nama Arab moden untuk negara itu, Jumhuriyah Misr al-'Arabiyah (Republik Arab Mesir). Istilah Egypt datang daripada Aiguptos Yunani.

 

Dalam bukunya Legend: Genesis of Civilisation, David Rohl memberi pendapat lain tentang asalan nama Mizraim.

 

Antara pengikut Meskiagkasher [Kush] ialah ‘saudara’nya yang lebih muda – yang sendirinya merupakan seorang pemimpin kuat dan berkarisma. Dia merupakan kepala suku burung helang – keturunan Horus ‘Yang Amat Jauh’. Alkitab memanggil Horus-raja baru ini ‘Misraim’ tetapi namanya, sebenarnya, hanyalah julukan. Ini bermakna ‘pengikut Asr’ atau ‘Asar’ (m-asr Arab dengan kata depan Mesir m ‘dari’). Misraim hanyalah m-Izra dengan akhiran jamak agung ‘im’. Begitu juga, bangsa besar berbahasa Semit yang satu lagi – orang Asyur – memanggil negeri firaun-firaun itu ‘Musri’ (m-Usri). Dengan itu kita pelajari bahawa nama Semitik untuk Mesir – Masr (Arab)/Mizr (Ibrani)/Musri (Akad) – diperolehi daripada julukan bagi pemimpin orang Mesopotamia yang menakluk lembah Nil. (Arrow Books Ltd, London, 1999, ms 451-452)

 

Dalam Antiquities of the Jews, ahli sejarah Josephus mencatatkan:

 

Ingatan tentang orang Mesraite juga terpelihara dalam nama mereka; sebab semua kami yang mendiami negeri ini [dari Yudea] memanggil Mesir Mestre, dan orang Mesir orang Mestre.

 

Sesungguhnya semua anak-anak Mesraim, lapan orang semuanya, memiliki negeri dari Gaza sampai Mesir, walaupun ia memelihara nama seorang saja, orang Filistin; sebab orang Yunani memanggil sebahagian negeri itu Palestin. Yang selebihnya, Ludieim, dan Enemim, dan Labim, yang sendirian mendiami di Libya, dan memanggil negeri itu daripada dirinya, Nedim, dan Phethrosim, dan Chesloim, dan Cephthorim, kita tidak mengetahui apa-apa tentang mereka selain nama mereka; sebab perang Etiopia (17) yang kita akan gambarkan selepas ini, ialah sebab kota-kota itu dijatuhkan.

(Bi. I, vi, 2)

 

Septuagint secara dasarnya menggunakan istilah yang sama, Mesrain. Mesir/Misraim seringkali dikenali sebagai tanah Ham (Maz. 105:23,27), sebagaimana Kanaan dipanggil tanah orang Filistin (Zef. 2:5) sempena penduduknya yang amat terkenal.

 

Mazmur 105:23 Demikianlah Israel datang ke Mesir, dan Yakub tinggal sebagai orang asing di tanah Ham. (RSV)

 

Dari segi perlambangan, Mesir juga dipanggil sebagai Rahab (penggertak atau angkuh: SHD 7294), seperti yang kita lihat dalam Mazmur 87:4 dan 89:10.

 

Anak-anak Misraim

 

Dalam Kejadian 10:13-14 dan 1 Tawarikh 1:11-12, “anak-anak” Misraim disenaraikan sebagai kumpulan-kumpulan suku dan bukan individu: Ludim, Anamim, Lehabim, Naftuhim, Patrusim, Kasluhim (nenek moyang orang Filistin), dan Kaftorim.

 

1 Tawarikh 1:11-12 Misraim memperanakkan orang Ludim, orang Anamim, orang Lehabim, orang Naftuhim, 12 orang Patrusim, orang Kasluhim--dari mereka inilah berasal orang Filistin--dan orang Kaftorim. (RSV)

 

Kitab Jasher (bab 10) memberikan perincian luar alkitabiah mengenai anak-anak ini.

 

21 Dan anak-anak Misraim ialah Ludim, Anamim, Lehabim, Naftuhim, Patrusim, Kasluhim dan Kaftorim, tujuh keluarga. 22 Semua ini diam di tepi sungai Sihor, iaitu sungai Mesir, dan mereka mendirikan kota-kota dan memanggilnya mengikut nama-nama mereka sendiri. 23 Dan anak-anak Patros dan Kasloh saling berkahwin sesama sendiri, dan daripada mereka datangnya Pelishtim, Azathim, dan Gerarim, Githim dan Ekronim, semuanya lima keluarga; mereka juga mendirikan untuk diri mereka kota-kota, dan mereka memanggil kota-kota ini sempena nama bapa-bapa mereka sampai hari ini.

 

Ludim

Walaupun ada seorang Semit yang sama namanya, kita dapati bahawa Lud, cucu Ham, merupakan bapa orang Ludim. Dia juga anak sulung Misraim. Perkataan Ibraninya ialah ludiyiy (SHD 3866), ertinya kepada orang penggertak: kesusahan (BDB). (Keturunan Lud, anak lelaki keempat Sem, dikatakan orang Lidia.)

 

Catatan dalam International Bible Encyclopaedia (ISBE) adalah seperti berikut:

 

Dalam Kej 10:13 Ludim muncul sebagai anak sulung Misraim (Mesir), dan dalam 10:22 Lud merupakan anak lelaki keempat Sem. Dengan itu kita harus berdepan dengan dua bangsa berlainan yang menggunakan nama yang sama, dan tidak selalunya senang untuk dibezakan. ...

 

Dalam Yes 66:19 Lud disebut bersama dengan Tarsis dan Pul (umumnya diangap satu kesilapan untuk Put), Tubal, Yawan, dan pulau-pulau. Dengan menerima pembetulan ini, bahagian ini bersetuju dengan Yer 46:9, yang mana orang Ludim diperkatakan bersama-sama dengan Kush dan Put sebagai sekutu Mesir; dan juga dengan Yeh 27:10, yang mana Lud disebut bersama-sama dengan Persia dan Put sebagai tentera Tirus. Lud, sekali lagi, disebut bersama Etiopia (Kush), Put, semua orang campuran, Cab, dan orang-orang negeri yang bersekutu (atau, ruang tepi “negeri perjanjian”), yang semuanya akan mati oleh pedang (Yeh 30:5). ...

 

Kewujudan Lud dalam sekitaran Mesir serta di Asia Minor sejajar dengan Mucri Syria bagi inskripsi Asyur pada tepi Mucur yang mewakili Mesir, dan lebih banyak lagi dalam Kush Kapadokia bagi surat-surat Asyur tertentu berkenaan dengan kuda-kuda, di tepi Kush (Kusu juga) yang mewakili Etiopia.

 

Dengan itu, segalanya menunjuk kepada Lud Semitik dan Ludim sebagai Lidia, dan identifikasi ini boleh dianggap memuaskan. Bagaimanapun, keadaannya sama sekali sebaliknya dengan Lud dan Ludim Mesir, yang tentangnya sedikit saja boleh diperkatakan buat masa ini. Rujukan kepada sebuah kota yang kelihatannya Putu-yawan dalam satu inskripsi yang menyebut tahun ke 37 Nebukadnezar, dan nampaknya merujuk kepada satu ekspedisi melawan Amasis, walaupun ini mungkin bermaksud “Put Yunani,” amat sedikit sangkut-pautnya dengan kedudukan Lud Mesir, khususnya sebab teks dalam mana ini muncul amat cacat sekali. Bagaimanapun, ada seperkara yang pasti: orang Ibrani menganggap Lud dan Ludim ini sebagai keturunan Ham, dan bukan Sem.

 

Rujukan Yesaya 66:19 ini nampaknya meletakkan negeri Lud di Mediterranean, sementara Yeremia (46:9) dan Yehezkiel (27:10; 30:5) meletakkannya tepat dalam Afrika. Kemungkinannya ialah ini terletak di Afrika Utara di tepi laut Mediterranean.

 

Orang Lidia di Asia Minor telah berhubung dengan orang Asyur dan dengan Mesir pada awal abad Ketujuh BCE bilamana raja mereka Gyges mengutus satu kedutaan besar ke Ashurbanipal pada 668 atau 660 (Interp. Dict., Vol. 3, ms 179). Bahasa mereka tidak diketahui dan mereka tidak betul-betul difahami sehinggalah orang Persia menakluk mereka pada 546 BCE. Mellink (ibid.) menganggap orang Lidia Asia Minor sebagai bukan keturunan Ham mahupun keturunan Sem. Bagaimanapun, jika ya, mereka tentunya orang Sem. Kami telah bincangkan gerakan mungkin orang Ludim Semit ke Hindu Kush di sempadan India dan melebihinya ke Punjab dalam naskah-naskah Keturunan Sem (No. 212 A-G).

 

Anamim

Anak lelaki kedua Misraim mempunyai nama yang bermakna penderitaan air (anamiym, SHD 6047), dan nampaknya berasal daripada satu perkataan Mesir. Septuagint menggunakan istilah Enemetiim.

 

Satu teks Asyur daripada zaman Sargon II merujuk kepada orang tertentu sebagai Anami, walaupun mereka nampaknya terletak di Cyrene, Libia sebagaimana diusulkan Albright dan yang artikel Interpreter’s Dictionary (Vol. 1, ms 124) katakan sangat mungkin. Albright (A Colony of Cretan Mercenaries on the Coast of the Negeb, JPOS, 1 (1921), ms 191-2) menyamakan mereka dengan kuneiform A-na-mi yang ditemui dalam satu teks geografi daripada zaman Sargon II dan sejajar dengan Kapara, iaitu orang Kaftorim.

 

Tiada lagi hal lain diketahui tentang suku ini.

 

Lehabim

Istilah Lehabim (SHD 3853; singular 3851) bermakna nyala api atau pedang. Ada diusulkan bahawa orang-orang ini patut dikenal pasti dengan orang Lubim, timbul daripada saranan bahawa “satu perkataan mungkin korupsi perkataan yang satu lagi” (ISBE). Nama Lubim mungkin sama dengan negeri di barat laut Mesir, Libya/Libia. Lambdin (Interp. Dicti., Vol. 3, ms 110) mempunyai pendapat sama.

 

Kemungkinan istilah Lybios sebagai anak Misraim merujuk kepada Ludim dan Lehabim yang bergabung, sama seperti dua lagi anak Misraim di Afrika Utara, dan dengan itu membentuk orang Filistin dan juga orang Tebes (lihat atas).

 

Naftuhim

Sebagai suku keempat yang turun daripada Misraim, Naftuhim mempunyai nama yang bererti bukaan (SHD 5320, naphtuchiym), dan dianggap satu perkataan asing. Septuagint memberikan nama mereka sebagai Nephthalim.

 

Catatan ISBE untuk kumpulan ini berbunyi:

 

Seorang anak Misraim (Kej 10:13; 1 Taw 1:11); namun, menurut kebanyakan wibawa moden, satu daerah atau jajahan Mesir. Antara banyak usaha identifikasi, berikut patut diberi perhatian: Naftuhim sama dengan (1) Nephthys (Nephthus) di Timur laut Mesir; (2) Na-ptah, iaitu orang Ptah, penduduk sekitar Memphis; (3) Nathu (menurut Herodotus, Natho), yang muncul dalam Rekod Sejarah Assurbanipal (Assurbanipal’s Annals) sebagai nama satu bahagian Mesir Bawah; (4) Erman (ZATW, X, 118), dengan perubahan satu huruf, berbunyi Petemhim, yang bermaksud “Negeri Utara”; (5) Spiegelberg nampak dalam perkataan itu satu panggilan lama untuk Delta, dan dengan itu menterjemahkan nama itu, “orang Delta” (bandingkan Johns, HDB; Skinner and Holzinger mengenai Kejadian).

 

Brown-Driver-Briggs juga menganjurkan bahawa Naftuhim berada di Mesir Bawah, dan satu pertalian telah dibuat dengan Na-Ptah, nama Mesir bagi Memphis. Lamdbin dalam artikelnya (Interp. Dicti., Vol. 3, ms 510) meletakkan Naftuhim antara Lehabim (yang dikenal pasti dengan orang Libia) dan Patrusim sebagai penduduk Mesir Atas, dan dengan itu mereka ialah penduduk Delta. Dia berpendapat bahawa penterjemahan W. Spielberg bagi Naftuhim ialah nama Mesir na-patoh-+-im, yang mana nama Mesir ini merupakan bentuk terbaru yang masuk akal tetapi tekaan bagi “mereka yang dari delta.

 

Patrusim

Patrusim (SHD 6625, bermakna orang selatan) merupakan satu suku yang terletak di Patros dekat Tebes di Mesir Atas. Nama Patros bermakna daerah selatan (6624), mungkin daripada nama Mesir Pa-To-Ris. LXX menyebut suku ini sebagai Patrosoniim.

 

Dalam Kitab Jasher yang tidak disahkan, kedua-dua Patrusim dan Kasluhim dicatatkan sebagai leluhur orang Pelistim, Azatim, Gerarim, Gitim, dan Ekronim, yang dipertalikan dengan beberapa kota Filistin terkemuka, seperti Gerar, Gat dan Ekron.

 

Kesimpulannya seharusnya bahawa jika mereka betul-betul bergabung maka ini terjadi dengan cabang-cabang. Cabang utama pergi ke selatan ke Tebes sementara cabang kadet menyertai orang Kasluhim dan membentuk lima kota Filistin itu dan sebab itu jugalah ada lima nama dalam Jasher.

 

Nama Ibrani Pathros dan Pathrusim bahasa asing diperolehi daripada nama Mesir p’-t’-rsy, iaitu satu istilah yang digunakan untuk menandakan seluruh Mesir di atas Memphis.

 

Dalam material Asyur Esarhadon memanggil dirinya sebagai raja Musur, Paturisi, dan Kusi, ertinya, daripada Yesaya 11:11, bahawa Musur dan Misrayim Ibrani terbatas kepada Mesir Tengah dan Bawah, justeru meninggalkan Patros untuk Thebaid.

 

Yeremia 44:1,15, Yehezkiel 29:14 dan 30:14 merujuk kepada Patros sebagai kediaman asal orang Mesir. Bahasa asing Pathrusim hanya muncul di Kejadian 10:14 dan 1 Tawarikh 1:12.

 

Kasluhim

“Anak” Misraim ini ialah leluhur salah satu suku lebih terkemuka, iaitu orang Filistin (lihat bawah). Nama Casluhim (SHD 3695, kasluchiym) bererti diperkuat/dibentengi dan merupakan terbitan perkataan asing. Catatan ringkas untuk suku ini dalam ISBE berbunyi:

 

Kasluhim—bangsa  tidak dikenali—atau, menurut Septuagint, dari Kasmanim, yang bererti “para pencukur kepala”—satu adat orang Fenisia (dilarang bagi orang Ibrani sebagai peraturan), seperti yang diketahui daripada satu gambar zaman Thothmes III pada abad ke 16 BC.

 

Bangsa ini dipertalikan dengan orang Kaftorim (bawah) dan hidup bersama mereka di Crete (Kreta) dan mungkin di Asia Minor. Bagaimanapun, mereka dikatakan telah datang dari Kaftor (Caphtor), yang difahami sebagai Crete. Mereka menetap di tepi laut di tempat yang kemudiannya dikenali sebagai Palestin, daripada istilah Filistin/Philistine.

 

Kaftorim

Istilah Kaftorim bermakna mahkota-mahkota (SHD 3732, kaphtoriy) daripada Caphtor (3731), sebagai “kediaman asal orang Filistin, mungkin di pantai tenggara Asia Minor, mungkin di Mesir atau berhampiran, atau lebih mungkin lagi di pulau Crete” (BDB). Mereka dipanggil Gapthoriim dalam Septuagint.

 

Kaftor mula-mula muncul dalam teks-teks Akad sebagai Kaptara, yang mana ini digambarkan sebagai di luar Laut Atas dan dalam lingkungan pengaruh Sargon dari Akad. Rujukan-rujukan kepada Kaptara ditemui dalam arkib ekonomi Mari abad ke 18 BCE dan dalam teks-teks dalam bahasa Akad dan Ugarit di Ugarit di mana ini ialah kptr (Greenfield, art. ‘Capthor’, Interp. Dict., Vol. 1, ms 534).

 

Orang Mesir merujuk kepada satu tempat sebagai Keftiu (kftyw atau kftiw) dari apa yang ditarikhkan oleh ahli-ahli kaji Mesir sebagai 2200 sampai 1200 BCE. Mereka umumnya menerima bahawa keftiu ialah perkataan Mesir untuk Kaftara/Caphtor dan memang jelas daripada semua konteks bahawa Crete-lah yang disebutkan. Mesir mempunyai hubungan perniagaan dengan mereka sejak 2200 BCE, pada kronologi mereka, yang kita akan bincangkan dalam Lampiran (No. 45F) berhubungan dengan dinasti-dinasti dan rangka-rangka waktu.

 

Ada diusulkan bahawa suku ini sebenarnya seorang anak lelaki Kasluhim (dan dengan itu seorang cucu Misraim) seperti orang Filistin. ISBE memberikan beberapa teori mengenai identiti kumpulan ini, yang mana teori pertama dianggap paling mungkin.

 

1.  Teori Pertama: Crete:

Negeri dan orang daripada mana asalnya orang Filistin (Kej 10:14 = 1 Taw 1:12 (di sini klausa “dari mana perginya orang Filistin” sepatutnya, mungkin datang selepas Kaftorim); Ula 2:23; Yer 47:4; Amos 9:7). Yer (loc. cit.) memanggilnya sebuah “pulau”; terdapat bukti hubungan dahulukala antara Crete dan Filistia; dan orang Filistin dipanggil orang Kreti, yang boleh bererti orang Kreta .... Semua pertimbangan ini telah menyebabkan ramai mengenal pasti Kaftor sebagai pulau penting Crete. Bagaimanapun, harus diperhatikan bahawa perkataan ‘i, yang digunakan oleh Yeremia, menandakan bukan saja “pulau,” tetapi juga “pantai.”

 

2.  Teori Kedua: Fenisia:

Ebers (Aegypten und die Bucher Moses, 130 ff) mengandaikan bahawa Kaftor mewakili Kaft-ur dalam bahasa Mesir, berpendapat bahawa Kaft ialah nama Mesir untuk koloni-koloni orang Fenisia dalam Delta, diperluaskan untuk meliputi orang Fenisia di utara dan koloni-koloni mereka. Kaft-ur, dengan itu, bererti “Fenisia Besar.” Namun penemuan Kaptar di kalangan nama-nama banyak negeri yang ditakluk oleh Ptolemy Auletes dalam satu inskripsi di Kuil Kom Ombo menghapuskan teori ini.

 

3.  Teori Ketiga: Kilikia:

Satu teori ketiga mengenal pasti Kaftor sebagai Kafto dalam inskripsi Mesir. Seawal zaman Thotmes II, penduduk negeri ini, orang Kafti, disebut dalam rekod-rekod. Dalam inskripsi tiga bahasa Canopus nama ini ditulis dalam bahasa Yunani oleh Phoinike, “Fenisia/Phoenicia.” Ini nampaknya satu kesilapan, sebab Kafti yang digambarkan pada tugu-tugu peringatan tidak mempunyai ciri-ciri yang serupa dengan orang Semit. Mereka tentunya mewakili jenis barat.

 

Bagaimanapun, seperti yang kita lihat di atas, teks-teks rujukan menjelaskan Crete-lah yang disebutkan; tetapi kita harus menerima bahawa Raja-raja Laut Purba mempunyai sistem perdagangan luas dan mereka memang mungkin pernah mempunyai banyak koloni di pelbagai tempat. Pemisahan orang Kasluhim dan orang Kaftorim mungkin sekali satu keputusan sengaja kolonisasi disebabkan ruang untuk dua suku itu.

 

Orang Filistin

 

Mereka adalah antara bangsa paling sering disebut dalam Alkitab. Penguasaan dan pengaruh mereka di Mediterranean begitu besar sekali sehingga ini pernah dipanggil sebagai “laut Filistin” (Keluaran 23:31). Istilah Ibrani untuk mereka ialah Pelishtiy (SHD 6430, bererti imigran/pendatang), patrial daripada Pelesheth atau Philistia, negeri orang pesinggah.

 

Dalam catatan ISBE-nya, C.R. Conder nampaknya yakin bahawa orang Filistin merupakan orang Semit dan bukan orang Ham. Malahan, mereka mungkin mengandungi elemen-elemen kedua-dua kumpulan.

 

Orang Filistin merupakan satu bangsa tidak bersunat yang mendiami dataran pantai antara Gezer dan Gaza di Tenggara Palestin ... Mereka juga berhubungan dengan Kaftorim atau orang Kaftor, dari mana sesungguhnya mereka dikatakan berasal (Yer 47:4; Am 9:7). Kaftor merupakan “negeri pantai,” namun kedudukannya diragui (lihat De :23); Kaftorim menemui satu bangsa lebih awal, Avim, yang tinggal dalam “tempat-tempat tertutup” dekat Gaza, dan menghapuskan mereka. ...

 

Selain nama-nama peribadi ini, dan nama-nama kota-kota Filistia yang semuanya Semitik, kita ada gelaran yang diberikan kepada tuan-tuan Filistin, ceren, yang Septuagint terjemahkan sebagai “pemerintah/satrap” dan “pemerintah/ruler”, dan mungkin datang daripada kata dasar Semitik yang bermakna “memerintah”. Ini secara tetap diterapkan kepada para pemerintah Gaza, Asdod, Askelon, Gat dan Ekron, 5 kota utama Filistia.

 

Hakikat bahawa orang Filistin tidak bersunat tidak membuktikan bahawa mereka bukan orang Semitik. Herodotus (ii.104) berkata bahawa orang Fenisia mengakui bahawa mereka mengambil adat ini daripada orang Mesir, dan orang Arab menurut bahagian ini masih lagi tidak bersunat, dan tidak juga diketahui bahawa ini merupakan adat orang Babel dan orang Asyur.

 

Para penterjemah Septuagint untuk Pentateuch selalu menterjemah nama ini Phulistieim, dan ini juga ditemui dalam 8 petikan Yosua dan Hakim-hakim, namun dalam kitab-kitab kemudian nama ini diterjemahkan dengan erti “orang asing” keseluruhannya, sebab mereka bukan penduduk pertama Filistia. ...

 

Dalam Surat-surat Tell el-Amama kita juga ada (kira-kira 1480 BC) surat-surat daripada ketua-ketua yang tunduk kepada Amenophis III di Yafo, Askelon, Gezer, Lakhis dan Keila yang menunjukkan kita satu populasi Semitik, bukan saja dengan bahasa surat-surat ini, tetapi juga dengan nama-nama para penulisnya. Dalam kasus Askelon khususnya para pemerintah Semitik didapati memuja Dagon; dan, walaupun nama “Filistin” tidak muncul, kaum ini nyata sama dengan apa yang ditemui orang Asyur pada 800 BC di tanah Palastan di tepi Laut Besar. (ISBE)

 

Harus diingati bahawa pada 1480 BCE Keluaran belum lagi terjadi namun orang Hyksos baru saja dibuang. Orang Kanaan dan Amori masih menjajah dan bahasa mereka serupa dengan Ibrani dan berasal daripada Akad, Sumer dan Amori di utara – namun jelas sekali mereka bukan orang Semit. Justeru tidak hairanlah bahawa orang Filistin Hamitik menggunakan bentuk bahasa Kanaan untuk berhubung dengan mereka (lihat juga Keturunan Ham Bahagian V: Kanaan (No. 45E)).

 

Orang Filistin merupakan pahlawan-pahlawan ulung dan ditakuti. Dalam satu pertempuran tertentu dalam Alkitab, mereka mampu meletakkan 30,000 kereta, 6000 pasukan berkuda dan pasukan berjalan kaki yang tidak terhitung di medan pertempuran (1 Sam. 13:5). Selain itu, bersama-sama dengan orang Amon, orang Filistin digunakan secara langsung oleh Tuhan untuk menghukum Israel (Hakim 10:7). Bangsa-bangsa lain juga diberikan tugas sama pada pelbagai waktu, iaitu orang Mesir, orang Amori, orang Sidon, orang Maon (dari Moab dan Amon) dan orang Amalek (ayat 11-12). Bagaimanapun, kesombongan atau keangkuhan orang Filistin, mungkin dalam kuasa tentera unggul mereka, dikutuk dalam Zakharia 9:6.

 

Dalam beberapa ayat kitab suci kita lihat Raja Daud diiringi oleh pengawal orang Kreti dan orang Pleti, yang kebanyakan pengulas setuju merupakan suku-suku orang Filistin (contohnya nota Bullinger mengenai 1 Sam. 30:14 dalam Companion Bible). Dalam istilah moden, ini sama seperti para pejuang Hamas atau Fatah dari Palestin (sama kata dasar seperti Filistin) bekerja sebagai pengawal kepada Perdana Menteri Israel sekarang.

 

Artikel ISBE memberi pendapat bertentangan dengan apa yang diterima mengenai orang-orang ini sebagai pengawal upahan kepada seorang raja Israel.

 

Penjelasan sebenar pelbagai perkataan ini untuk perajurit nampak mudah: dan Daud—sebagai raja yang sangat terkenal—tidak mungkin memerlukan tentera upahan asing; sementara orang Filistin, yang berulang kali dikalahkannya, amat tidak mungkin menjadi pengawal yang dipercayai. Perkataan “Kreti” (kerethi) bererti “pemukul” atau “pemusnah,” dan “Pleti” (pelethi) bermakna “orang pantas” atau “pengejar.” ... Jelasnya kita ada dua kelas pasukan di sini—seperti di kalangan orang Rom—regimen lebih berat “pemusnah,” atau “para penikam,” diperlengkapi pedang, pisau atau lembing; sementara “orang pantas” atau “pelari” mengejar musuh yang dikalahkan. ... Pleti atau “para pengejar” mungkin “pelari” berjalan kaki, tetapi lebih mungkin menunggangi unta, atau kuda seperti orang Asyur kemudian; sebab pada zaman Salomo (1 Raja 4:28) kuda-kuda dan unta-unta tunggangan ada digunakan—kuda-kuda untuk kereta.

 

Nampaknya tidak mungkin bahawa mereka ini hanyalah kelas-kelas pasukan yang berlainan, sebab bangsa (atau orang: Ibrani goyim) Kreti disebut secara nubuatan dalam Zefanya 2:5; dan pengambilan pengawal dari antara bangsa lain, termasuk bekas musuh, tidaklah begitu luar biasa seperti yang kenampakan. Sebagai satu contoh, Firaun Amenophis IV (Akhenaton) dikatakan pernah mengupah orang Aram, Libia dan Nubia dalam pasukan pengawalnya. Malahan, raja-raja seringkali lebih menghadapi bahaya daripada orang sebangsa mereka dan sekutu rapat daripada (bekas) musuh asing. Raja Elah Israel, contohnya, dibunuh oleh panglima kudanya sendiri.

 

Dalam 2 Samuel 15:18, orang Kreti dan orang Pleti termasuk dalam 600 orang Gat dari kota Gat Filistin (kediaman Goliat) yang meletakkan Salomo atas keldai Raja Daud dan mengiringinya sebagai pengumuman pertabalannya sebagai raja. Justeru kita ada situasi menakjubkan orang Kreti dan orang Pleti terus setia kepada raja-raja Israel yang ditahbiskan – Daud dan Salomo – berlainan dengan orang-orang seperti imam Abiatar yang biasanya setia, yang peliknya menyebelahi Adonia menentang Salomo, waris dipersetujui Daud. Contoh ini mungkin khusus bagi orang bangsa asing yang dibawa ke dalam Israel mempamerkan kesetiaan lebih besar dan lebih menghargai ‘kewarganegaraan’ mereka daripada ramai orang Israel asli.

 

Ironinya, negeri Filistin juga dilihat sebagai tempat perlindungan pada beberapa kejadian. Ishak pergi kepada Abimelekh (bermakna Bapa-raja: nampaknya satu gelaran rasmi, seperti Firaun bagi Mesir) di Filistia ketika kebuluran mengancam negeri Kanaan (Kej. 26:1). Begitu juga, perempuan Sunem disuruh pergi ke Filistia oleh Elisa untuk melepasi kebuluran tujuh tahun di Israel (2 Raja-raja 8:1-3). Malah Daudpun, bekas cambuk orang Filistin, mencari perlindungan di kota Gat ketika diburu oleh Saul (1 Sam. 27:1-2).

 

Dalam 1 Samuel 6, kita lihat bahawa sementara mereka menyimpan Tabut Perjanjian, orang Filistin diberikan peluang keselamatan – namun mereka tidak mengambilnya. Akibatnya, mereka secara efektifnya mengundang tulah-tulah Mesir ke atas diri mereka (lihat naskah Soalan Lazim Pelajaran Alkitab Perjanjian Lama (No. 57)).

 

Pada zaman Hakim-hakim, Israel mengalami 40 tahun damai di bawah Gideon (Hakim 8:28), diikuti dengan 40 tahun kesusahan di bawah kuk Filistin seperti direncanakan Tuhan, sehingga Simson diangkat untuk menyelamatkan Israel (Hakim 13:1).

 

Naskah lain yang membincangkan orang Filistin secara terperinci ialah Simson dan Para Hakim (No. 73), Daud dan Goliat (No. 126) dan Mengukur Bait Suci (No. 137).

 

Semua nubuatan berhubungan Hari-hari Kemudian menunjukkan bahawa penyatuan dan saling percaya ini akan sekali lagi terjadi dan sisa orang Filistin serta sisa Libanon dan Syria (Aram) akan menyertai Bangsa Lebih Besar Israel dan menjadi sebahagian daripada pentadbirannya di bawah Mesias.

 

Asal usul Mesir

 

Nama Egypt/Mesir datang daripada nama Hi-ku-Ptah, yang bermakna Rumah Roh dewa Ptah.  Ini terbitan kemudian. Asalnya negeri ini secara tepatnya ialah dua tebing Nil dari Katarak Pertama ke utara ke wilayah Cairo – merupakan Mesir Atas dan Tengah – dan selepas itu ke Delta, iaitu Mesir Bawah. Seperti kita sudah lihat, Patros ialah Mesir Atas.

 

Tidak lama selepas 2000 BCE mengikut kronologi terkini, Mesir mendorong kerajaannya ke selatan Katarak Kedua dan tidak lama selepas 1500 BCE ke Katarak Keempat.

 

Untuk satu waktu yang lama ia menuntut hak kepada oasis-oasis (wahah) di barat Nil, yang telah dituntut dan didiami oleh keturunan Misraim.

 

Selepas 1500 BCE, Mesir membentuk sebuah Kerajaan Asia yang meluas ke utara ke Efrat tetapi secara efektifnya hanya menguasai tanah-tanah di Palestin dan Fenisia. Nama Mesir hanya muncul kemudian dan asalnya hanya dipanggil Dua Negeri (iaitu kerajaan Atas dan Bawah) atau Negeri Hitam berlainan dengan gurun merah sekitarnya; atau hanya “Negeri”.

 

Lukisan umum Mesir dipanggil “dari Migdo ke Syene.” Luasnya ialah dari benteng perbatasan Timur laut ke Aswan (Syene) di Katarak Pertama.

 

Pelusium (Yehez. 30:15) ialah satu benteng perbatasan. Kota-kota alkitabiah utama ialah Zoan (Tanis) dan/atau Rameses di daerah perniagaan Delta Timur; On (atau Heliopolis) yang terletak di Gosyen di mana Yusuf dan orang Ibrani dan Hyksos membuat kediaman mereka; Memphis di puncak Delta dekat Cairo moden; Tebes ibu kota Mesir Atas; dan Syene (Aswan) di Katarak Pertama. Siut merupakan ibu kota Mesir Tengah yang kaya pertanian atau ibu kota lain umpamanya kemudian – tetapi sebuah sentiasa ada di situ.

 

Pembanjiran Nil dianggap menunjukkan bahawa para dewa menyukai Mesir lebih daripada negeri-negeri sekitar. Ini membentuk dasar ekonomi kekayaan di Mesir.

 

Terdapat enam katarak di sepanjang Nil, yang mengalir melalui batu pasir dan batu kapur, dan rabung-rabung batu yang lebih keras yang membentangi Nil telah membentuk katarak-katarak ini. Nil Putih mengalir empat ribu batu dari Tasik-tasik Besar Afrika ke utara ke Mediterranean. Di Khartum di Sudan ini berhubung dengan Nil Biru, yang berpunca di Abyssinia.

 

Terdapat sedikit jumlah hujan tahunan efektif di sekitar Katarak Keempat dan ini mengizinkan keturunan Kush Selatan untuk membentuk wilayah dipanggil Etiopia. Ini ditakluki Musa tetapi selepas itu menjadi sangat kuat mulai abad kelapan BCE dan seterusnya. Antara Katarak Ketiga dan Pertama tanah ini dipanggil Nubia. Mesir tepatnya terletak di utara Katarak Pertama.

 

Nil paling lebar (125 batu) di Delta, dengan dua muara pada zaman moden – tetapi dahulunya mempunyai lima. Tepi pantai Delta ini terdiri daripada paya-paya garam, dan kota-kota purba terletak dua puluh lima batu ke pedalaman dari Mediterranean dan dicapai dengan kapal dengan menghulu muara-muara sungai. Tiada kota di tepi pantai sehingga Alexander yang Agung mengasaskan Alexandria.

 

Nil dilayari dengan bantuan angin Utara sejuk dari Mediterranean, kecuali untuk musim bunga bilamana angin Selatan meniup ribut debu ke dalam Mesir dan ini pastinya membantu kegelapan tebal Paskah musim bunga dalam Keluaran itu (Keluaran 10:22-23).

 

Orang Kush Selatan tidak dilihat di bawah Katarak Ketiga dan sebelum Mesir mencapai Katarak Keempat sekitar 1500 BCE mereka tidak berhubung tetap dengan orang Negro Kush Selatan.

 

Orang Mesir tidak memakaikan istilah kaum kepada sesiapa. Mereka hanya memanggil diri mereka “rakyat” dan memakai istilah-istilah geografi untuk mereka yang di luar, contohnya orang Nubia, orang Libia atau orang Asia.

 

Seperti dijangkakan, bahasa Mesir berhubungan dengan bahasa-bahasa Hamitik. Dialek-dialek telah hanya dapat dikenal pasti di Mesir Zaman Pertengahan dan Mesir Moden di mana berlakunya perpecahan besar dalam dialek antara Mesir Atas dan Bawah. Dahulunya ini jauh lebih dibakukan oleh fungsi para imam. Bagaimanapun, dari sudut rujukan kesusasteraan kita tahu bahawa memang sukar untuk seseorang dari Katarak Pertama untuk mengerti loghat Paya-paya Delta (lihat Interp. Dict., art. ‘Egypt’, Vol. 2, ms 42).

 

Kita tidak akan memperhatikan sejarah Mesir di sini tetapi akan meninggalkannya sehinggalah kita membincangkan dinasti-dinasti dalam Keturunan Ham: Bahagian VI Dinasti-dinasti Mesir (No. 45F).

 

Konsolidasi Mesir terjadi dari wilayah atas Abydos, dan satu keluarga di situ menakluki negeri itu dan membentuk dinasti pertama. Ini umumnya dipertalikan dengan Menes tetapi nampaknya beberapa generasi digunakan untuk menyatukan negeri itu. Pembangunan Piramid-piramid Tangga bermula pada dinasti Ketiga, sementara Piramid-piramid Besar didirikan pada dinasti Keempat. Kita akan bincangkan aspek-aspek ini dalam Lampiran.

 

Raja-raja merupakan pusat kewajiban ilahi dan dengan itu menjadi penjelmaan tuhan. Bila sampai dinasti Kelima barulah dua “dewa” lain muncul. Ini ialah dewa Matahari, Re di Heliopolis, yang menjadi amat kuat dengan tuntutan bahawa dialah bapa raja ketika itu; dan Osiris menjadi terkenal sebagai dewa Orang Mati.

 

Sebelum dinasti Kelima tiada ukiran atau abstrak tuhan-tuhan. Semua ukiran mempunyai bentuk binatang dan paling popular sekali ialah singa, banyak seperti hari ini dalam pahatan.

 

Tuhan-tuhan terawal yang dihubungkan dengan penciptaan adalah abstrak. Khnumu ialah bapa segala bapa dan ibu segala ibu dan membentuk segalanya (Encyclopedia of Religion and Ethics (ERE), Vol. 4, ms 145a). Dialah bapa dari semula. Dia menjadikan langit dan bumi. Dia menjadikan tuhan-tuhan, dan segala sesuatu.

 

Dia sentiasa digambarkan dengan kepala domba jantan untuk menandakan kuasa-kuasa penciptaannya, dan pusat ibadatnya terletak di Katarak Pertama Nil.

 

Pembantunya, yang diciptanya bersama-sama dengan tuhan lain yang kita tentunya panggil elohim dalam Alkitab, ialah Ptah, “Tukang yang Agung.” Dia membentuk telur-telur bulan dan matahari pada jentera pembuat tembikarnya. Dia ialah tuhan hukum dan tatatertib yang mencipta segala sesuatu dengan Maat, iaitu kebenaran atau ketepatan. Ini merupakan taksiran Logos menggunakan Roh Kudus dan menyampaikan hukum dan tatatertib kepada umat manusia. Inilah sistemnya sehingga selewat-lewatnya dinasti Kelima bilamana Re dan Osiris muncul dan mencemari teologi Mesir (lihat ERE, ibid.).

 

Teologi Mesir berbeza daripada teologi Semitik dalam mana Langit ialah perempuan dan Bumi ialah lelaki, sementara keadaannya terbalik dengan budaya-budaya itu. Bagaimanapun, ini tidak mengecilkan monoteisme dinasti-dinasti awal dan penggunaan Demiurge atau Logos, Ptah, sebagai instrumen hukum dan tatatertib melalui kebenaran.

 

Kita akan bincangkan pencemaran beransur-ansur teologi Mesir dengan dinasti-dinasti itu sementara kepetahan bercakap berkembang bersama mereka.

 

Banyak keberhalaan berpunca daripada pemujaan nenek moyang.

 

Dr. Diop (1923-1986) merupakan seorang ahli kajian Mesir yang mendakwa bahawa orang Mesir awal berkulit hitam, tetapi dia tidak mengenal pasti perbezaan antara orang Kush Hg A, B dan C daripada orang Kanaan dan Mesir Hg E sebab dia meninggal sebelum ilmu sains telah berkembang cukup untuk berbuat demikian (lihat African Origin Of Civilization dan Civilization Or Barbarism, oleh Cheikh Anta Diop). Namun begitu, tidak ragu lagi, bahawa orang Mesir awal merupakan keturunan Ham. Kahwin campur juga terjadi antara berbagai elemen di hulu Nil.

 

Dakwaan bahawa orang Mesir awal berkulit hitam terhasil sedikit sebanyak kerana patung-patung dan patung dada beberapa pemerintah Mesir: mereka nyata sekali “orang Afrika” dari segi rupa. Satu contoh terkemuka ialah Ratu Tiye, isteri Firaun Amenhotep/Amenophis III dan ibu kepada Akhenaton.

 

Monoteisme Mesir

 

Daripada masa lalu yang tulen dan sederhana Mesir mengembangkan kosmologinya menjadi kira-kira 70 dewa yang meniru kerajaan Tuhan. Iblis setan menggunakan mereka untuk tujuan mereka sendiri.

 

Selama satu waktu yang amat singkat dalam sejarah Mesir, rakyatnya nampaknya telah membuang dewa-dewa mereka yang banyak dan menyembah satu Tuhan tertinggi. (Untuk satu senarai dewa-dewa mereka, lihat naskah Musa dan Dewa-dewa Mesir (No. 105).).

 

Kita akan bincangkan proses ini dalam Lampiran.

 

Ringkasan

 

Impak Misraim atau Mesir pada dunia adalah signifikan dan hari ini sekalipun ia menawan imaginasi dunia.

 

Anak-anaknya menduduki hampir kebanyakan Afrika Utara. Orang Mesir moden mempunyai banyak pengaruh Arab serta campuran-campuran Eropah dan Timur Tengah lain.

 

Sebaik saja kita menghubungkaitkan dinasti-dinasti itu kita akan mengerti sejarahnya.

 

Kita sebaik-sebaiknya harus terus mengembangkan dinasti-dinasti itu dan menyusun kembali dengan betul semua rangka waktu negara ini, dan memperbetulkan kesilapan-kesilapan Manetho dan ahli-ahli evolusi yang mengikuti kesilapannya dan yang cuba memanjangkan lagi rangka-rangka waktu itu untuk membuktikan model-model mereka.

 

Seperti yang dikatakan seorang sarjana: Untuk dinasti-dinasti terbaru sehingga abad Ketujuh BCE, kami mempunyai persetujuan, tetapi lebih jauh ke belakang kita pergi dari situ semakin kurang persetujuan kami sehinggalah, untuk zaman-zaman awal, kami hampir tiada persetujuan sama sekali.

 

Kami bermaksud untuk membetulkan masalah itu dan memadankannya dengan Alkitab.

 

q