Jemaat Jemaat Allah Al Maséhi

[103z]

 

 

 

Ringkasan:

Perjamuan Suci [103z]

(Edisi 1.1 19950413-19981226)

 

Karya ini menerangkan maksud kompleks di sebalik sakramen Perjamuan Suci. Hubungannya kepada Keluaran serta Paskah juga diterangkan. Darah Perjanjian Baru serta kemasukan imam besar iaitu Mesias ke dalam tempat Maha Suci merupakan pendahulu kepada bagaimana kita semua menjadi anak-anak Tuhan.

 

 

 

Christian Churches of God

 

PO Box 369, WODEN ACT 2606, AUSTRALIA

E-mail: secretary@ccg.org

 

(Hakcipta ã 1995, 1998 Wade Cox)

(Tr. 2003)

 

Karya tulis ini boleh disalin semula dan didistribusikan secara bebas dengan syarat ia disalin semuanya tanpa apa-apa perubahan atau penghapusan kata. Nama dan alamat penerbit serta notis hakcipta harus disertakan.  Sebarang bayaran tidak boleh dikenakan ke atas penerima-penerima salinan yang didistribusikan.  Petikan-petikan ringkas daripadanya boleh dimasukkan ke dalam artikel-artikel kritis dan karya ulasan tanpa melanggar undang-undang hakcipta.

 

Karya ini boleh didapati daripada Internet di:
http://www.logon.org dan http://www.ccg.org


 

 

Perjamuan Suci [103z]

 


Malam ini merupakan ulang tahun kematian Tuhan dan Juruselamat kita Yesus Kristus. Kita memelihara upacara ini seperti yang diperintahkan Kristus (Lukas 22:19). Ini bukanlah sekadar adat upacara, yang perlu diulangi beberapa kali di dalam setahun. 1Korintus 11:23 mengatakan, “pada malam waktu Ia diserahkan…” adalah malam bilamana Kristus telah menetapkan Perjamuan istimewa ini dengan simbolismenya. Asal-usul upacara ini disebut di dalam Lukas 22:7-16.

 

Ada yang menganggap bahawa “hari” yang disebutkan di dalam Lukas 22:7-16 jatuh sama masanya dengan hari apabila Paskah dimakan, namun itu tidak betul. Di dalam Lukas 22:15-16, Kristus mengatakan: “Aku tidak akan memakannya (Paskah) lagi sampai ia beroleh kegenapannya dalam Kerajaan Allah." Dia ingin untuk makan Paskah dengan mereka. Namun dia tahu bahawa dia akan mati sebelum makan Paskah itu betul-betul tiba. Dia merupakan penggenapan Domba Paskah itu (1Korintus 5:7), dan kerana itu harus mati pada masa yang sama apabila domba-domba Paskah disembelih.

 

Perjamuan yang Kristus dirikan berlangsung pada permulaan Perayaan Roti Tidak Beragi. Ianya termasuk kedua-dua Hari Persediaan dan Paskah (Matius 26:17). Ungkapan, “hari pertama perayaan roti tidak beragi,” merujuk kepada 14 Nisan (Keluaran 12:6, 8, 18) kerana hari Sabat Besar yang pertama bagi hari-hari roti tidak beragi belum lagi tiba. Hari Persediaan dikira sebagai hari pertama daripada lapan hari yang meliputi tempoh yang disebutkan sebagai Perayaan Roti Tidak Beragi.

 

Jika kita tidak memelihara upacara ini mengikut cara yang diperintahkan Kristus, Dia mengatakan bahawa kita tidak akan mencapai kehidupan kekal (Yohanes 6:53-54). Dengan mengkaji simbolisme berkaitan upacara ini dan kemudiannya menurut arahan-arahan Kristus, kita akan faham kenapa Dia membuat pernyataan tersebut. Simbolisme berkaitan perayaan ini mengajar kita apa yang patut kita pelajari, dan lakukan sebagai pengikut-pengikut Kristus.

 

Bahagian pertama upacara ini membabitkan pencucian tapak kaki seseorang (Yohanes 13:1-5). Perbuatan mencuci kaki seseorang itu merupakan suatu amalan biasa pada zaman Kristus. Kebanyakan orang memakai sandal (kasut bertali), yang lebih selesa di dalam cuaca yang panas, namun kaki mereka akan menjadi kotor. Biasanya, pencucian kaki dilakukan sebagai layanan mesra tuan rumah apabila tetamu sampai. Ianya biasanya dilakukan pelayan atau hamba yang paling rendah sekali. Apakah yang dapat kita pelajari daripada upacara ini?

 

1. Kristus, yang berpangkat paling tinggi di dalam alam surgawi, di bawah Allah Bapa, menunjukkan kepada kita melalui upacara pencucian kaki itu, bahawa kita perlu mengikut teladannya dan rela melepaskan apa saja yang menghalang kita daripada melayani orang lain, termasuk musuh-musuh kita. Memangnya, Kristus telah mencuci kaki musuhNya, Yudas Iskariot!

 

Hal-hal yang mungkin menghalang kita daripada melayani orang lain termasuklah megah diri, kedudukan, keangkuhan, irihati, persaingan, dan sebagainya.

 

2. Sebelum mencuci tapak kaki murid-muridnya, Kristus telah membuka pakaiannya (tithenai) yang melambangkan penyerahan hidupnya. Dengan menyerahkan hidupnya, dia telah mencuci kesemua kita. Sikap Yesus ini adalah sikap rela menyerahkan hidupnya bagi manusia. Kita juga haruslah bersedia untuk menyerahkan hidup kita untuk sesama sendiri, dan Kristus menunjukkan bahawa ini termasuklah mengampuni saudara kita (Matius 18:21-35).


 

3. Kita mestilah membiarkan kaki kita dicuci setiap tahun sewaktu Paskah kerana kita perlu ingat bahawa Kristus mencuci kita bersih daripada dosa secara berterusan (1 Yohanes 1:9). Selagi kita terdedah kepada kekotoran dunia sekarang ini, kita pasti terpungut sebahagian daripadanya sepertimana orang-orang pada zaman Kristus yang terpungut debu kekotoran pada kaki mereka (1Yohanes 1:10). Inilah sebabnya kenapa Kristus memberitahu Petrus bahawa dia tidak perlu dicuci seluruhnya, namun perlu dicuci kakinya (Yohanes 13:9-11).

 

Perlambangannya di sini adalah sama penting dengan pembaptisan. Setelah seseorang itu bertaubat, mereka perlu dibaptiskan. Pembaptisan membabitkan rendaman di dalam air, yang dibandingkan Kristus dengan suatu pemandian. Setelah pembaptisan seorang pelayan/pendeta Yesus Kristus akan meletakkan tangannya pada orang berdosa yang telah bertaubat itu, dan Tuhan kemudiannya mengaruniakan Roh KudusNya kepada individu itu (Kisah 8:18). Individu tersebut tidak perlu dibaptiskan lagi apabila mereka tersandung dan berdosa selepas pembaptisan, tetapi mereka memang perlu bertaubat dan dicuci kaki mereka setiap tahun sewaktu Perjamuan Suci itu. Jika kita tidak menurut perintah Kristus dalam hal ini, kita membawa dosa-dosa yang telah dilakukan pada tahun sebelumnya. Dengan berbuat begitu dengan rela, kita akan kehilangan Roh Kudus Tuhan (Ibrani 10:26). Ini adalah salah satu sebabnya kenapa Kristus mengatakan kita harus mengambil bahagian di dalam Perjamuan Suci itu demi mendapatkan kehidupan kekal.

 

4. Dengan membiarkan seseorang mencuci kaki kita pada upacara Paskah itu, kita belajar untuk dilayani orang lain. Apabila kita benar-benar memerlukan bantuan, kita mestilah membiarkan orang lain menolong kita. Ianya sesuatu yang merendahkan diri kita untuk mengaku bahawa kita memerlukan pertolongan, dan Kristus menunjukkan kepada kita bahawa kita semua memerlukan bantuan dari semasa ke semasa (Matius 25:34-40). Sungguhpun kita mungkin tidak pernah lapar, haus atau telanjang secara fizikal, kita masih perlu bantuan dari segi rohani (Kisah 8:30-31).

 

Selepas upacara Pencucian Kaki itu, Kristus memperkuatkan maksud manna yang diberikan kepada Israel kuno (Markus 14:22). Israel telah dipelihara dengan ajaibnya dengan roti istimewa yang telah disediakan Tuhan, dan diturunkan kepada mereka. Manna dari syurga ini tidak membuatkan mereka hidup selamanya kerana lama-kelamaan mereka telah mati di gurun belantara itu (Yohanes 6:58). Kristus kemudiannya menunjukkan bahawa manna ini mewakili tubuhnya yang dipecah-pecahkan, yang diberikan agar manusia dapat mencapai kehidupan kekal yang ditawarkan kepada mereka (Markus 14:22). Jadi Kristus adalah Roti kehidupan kekal yang telah disediakan khusus “sejak dari permulaan dunia” (Wahyu 13:8), dan kemudiannya diturunkan kepada manusia.

 

Kita haruslah memakan roti ini setiap tahun sewaktu Perjamuan Suci kerana kita perlu diingatkan bahawa hanya melalui Kristus yang hidup di dalam diri kita barulah kita beroleh hidup kekal. Ianya bukan disebabkan “kebaikan” kita sendiri sehinggakan Tuhan mengaruniakan kita hidup kekal. Israel kuno tidak mungkin hidup lama di gurun belantara tanpa keajaiban, dan Tuhan telah menyediakan keajaiban itu melalui manna. Kita tidak dapat terus hidup di dalan gurun belantara kerohanian dunia sekarang ini tanpa suatu keajaiban, dan Tuhan telah menyediakan itu melalui Yesus Kristus yang menguatkan kita (Yohanes 14:6). Jika kita tidak mengambil bahagian di dalam roti tidak beragi pada Perjamuan Suci, kita secara langsungnya mengatakan bahawa kita tidak memerlukan pengorbanan Kristus atau pekerjaanNya yang berterusan di dalam hidup kita.

 

Seterusnya, Kristus memperkenalkan wain, yang dikatakanNya mewakili darahNya yang dicurahkan. Pencurahan darah ini perlu bagi pengampunan dosa-dosa (Ibrani 9:22). Darah yang dicurahkan mengingatkan kita bahawa dosa diambil berat oleh Tuhan. Dosa telah mengakibatkan hanya kedukacitaan bagi manusia, dan kedukacitaan ini akan terus berkekalan sehinggalah dosa dihapuskan sepenuhnya (Wahyu 21:4). Di dalam Israel Kuno, apabila Imam Besar memasuki tempat Maha Kudus, pada Hari Pendamaian, ianya digambarkan sebagai datang secara langsung ke hadapan Allah Bapa.

 

Namun begitu, Imam Besar tidak boleh berbuat demikian sehinggalah darah suatu korban telah dicurahkan (Imamat 16:6). Dalam kata lain, Imam Besar perlu menghapuskan dosa-dosanya sebelum memasuki hadirat Tuhan. Ini perlu dilakukan setiap kali Imam Besar datang ke hadapan Tuhan. Alangkah baiknya, kerana darah Kristus jauh lebih bernilai daripada darah manusia mahupun darah binatang, dan Dia hanya perlu mati sekali saja agar kita dapat datang ke hadapan Allah Bapa di dalam doa secara berterusan (Ibrani 9:24-26). Jika kita tidak sedar akan hakikat ini dan tidak memelihara Perjamuan Suci serta mengambil bahagian di dalam wain itu, maka kita menyatakan bahawa kita dapat datang ke hadapan Allah Bapa di dalam doa tidak kira sama ada Kristus telah mencurahkan darahNya untuk dosa-dosa kita ataupun tidak.

 

Darah yang dicurahkan juga digunakan sebagai meterai atau tanda suatu perjanjian (Keluaran 24:7-8). Sekali lagi, pencurahan darah menunjukkan bahawa ini tidak boleh dianggap ringan/enteng. Tuhan menganggap sangat serius perjanjianNya dengan kita, dan Dia menjangkakan kita berbuat sama (Matius 26:28). Sepertimana Israel kuno telah membuat suatu perjanjian, atau persetujuan dengan Tuhan sebelum memasuki Tanah Perjanjian itu, kita juga membuat perjanjian dengan Tuhan sewaktu pembaptisan, yang mendahului kemasukan kita ke dalam kehidupan kekal. Pada Pembaptisan, kita bersetuju untuk menurut Tuhan tidak kira betapa sukar atau tidak selesa keadaannya (Matius 7:13-14).

 

Setelah melakukan ini, Tuhan mengaruniakan kepada kita Roh KudusNya (Kisah 5:32). Dengan Roh Kudus yang berkerja di dalam fikiran kita, kita akan lambat-laun dibimbing untuk memahami segala perkara berkenaan kehidupan kekal (Yohanes 14:26). Ini termasuklah mengetahui siapa dia Allah Sebenar yang Tunggal dan siapa dia Yesus Kristus (Bandingkan Yohanes 17:3 dengan Ibrani 8:10-11). Ini semuanya adalah sebahagian daripada perjanjian yang kita buat dengan Tuhan pada pembaptisan, dan kita dibimbing untuk memperingati semua ini pada Perjamuan Suci. Ini adalah satu sebabnya kenapa Perjamuan Suci itu adalah untuk anggota-anggota yang sudah dibaptiskan sahaja.

 

Pada penutup upacara Perjamuan Suci itu, suatu syair lagu dinyanyi mengikut teladan Kristus di dalam Markus 14:26.

 

Setelah mengambil simbol-simbol Pencucian Kaki, Roti dan Wain serta mengkaji ayat-ayat kitab suci yang berkaitan (Yohanes 17:1-26), kita harus melalui hari seterusnya sambil menyedari bahawa Kristus telah menderita dengan berat sekali untuk kita. Kita boleh menggunakan masa ini untuk mengkaji semula beberapa ayat Alkitab yang berkaitan: Yesaya 52:13-15; Yesaya 53:1-12 dan Mazmur 22.

 

Kita juga boleh membaca pesanan-pesanan yang Kristus berikan untuk menguatkan kita pada masa ini (Yohanes 14:1-31).

 

q